Showing posts with label bagan pinang. Show all posts
Showing posts with label bagan pinang. Show all posts

Thursday, October 1, 2009

DR MAHATHIR: SAYA TAK AKAN BERKEMPEN DI BAGAN PINANG

Berikut ialah kenyataan Tun Dr Mahathir mengenai pemilihan Isa Samad sebagai calon Umno di Bagan Pinang seperti yang dilaporkan Bernama malam tadi.

Tun Dr Mahathir Tidak Akan Berkempen Di Bagan Pinang

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan berkempen untuk calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.

"Beliau adalah calon parti, saya sokong. Pendapat peribadi saya tidak perlu diambil kira," katanya apabila ditanya sama ada beliau kecewa dengan pencalonan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Isa Abdul Samad sebagai calon BN.

Pada Selasa, Isa, 59, diumumkan sebagai calon BN bagi kerusi DUN Bagan Pinang.

Apabila ditanya adakah ia akan menjejaskan peluang BN untuk memenangi pilihan raya kecil kali ini, katanya, "Saya rasa kita ada peluang baik. Kita akan menang."

Bagaimanapun, apabila ditanya tentang majoriti, beliau berkata: "Saya tidak tahu. Mungkin boleh. Saya agak."

BN memenangi kerusi DUN Bagan Pinang dengan majoriti 2,333 pada pilihan raya lepas bagaimanapun ia kosong selepas kematian penyandangnya, Azman Mohammad Noor.

Pengumuman berhubung pencalonan Isa dibuat Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di bilik operasi BN di Port Dickson, Negeri Sembilan pada Selasa.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu pada Sabtu ini dengan pengundian pada 11 Okt.

-- BERNAMA
http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/news_lite.php?id=443432

Kenyataan Tun Dr Mahathir sebelum ini yang tidak mahu Isa diumumkan sebagai calon.
1) http://www.agendadaily.com/cmspreview/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_cf1660ff-7f000010-6cf97c00-27de4ef5

2) http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newspolitic.php?id=441278

3) http://www.malaysiakini.com/news/113199

4) http://kedahku.blogspot.com/2009/09/dr-mahathir-lupakan-isa-samad.html

Tuesday, September 29, 2009

NAJIB PILIH BEKAS BANDUAN SEBAGAI CALON!

UMNO tidak bermaruah. Umno tidak bermoral.

Inilah yang kita hendak sampaikan kepada Najib Razak, Presiden Umno, berikutan keputusan beliau memilih Isa Samad sebagai calon Umno di Bagan Pinang.

Apabila Najib mengambil alih tampuk pentadbiran Umno, janji beliau ialah membawa perubahan drastik di dalam Umno ekoran aspirasi yang ditunjukkan oleh rakyat semasa pilihanraya umum Mac 2008 yang mahukan Umno berubah.

Di mana janji itu? Isa adalah "bekas banduan Umno." Isa adalah seorang perasuah seperti mana yang diputuskan oleh Lembaga Disiplin Umno pada 24 Jun 2005. Tidakkah Najib malu pada rakyat dengan keputusan beliau hari ini?

Bukankah Najib sendiri yang mengesahkan Isa sebagai perasuah? Najib ketika itu Timbalan Presiden Umno dan merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Umno ketika Majlis Tertinggi membuat keputusan untuk mengurangkan hukuman ke atas Isa dari 6 tahun ke 3 tahun pada 7 Oktober 2005.

Tidak mengejutkan sekiranya Najib diserang hebat oleh Pakatan Rakyat semasa kempen pilihanraya Bagan Pinang ini. Tidakkah terlintas di fikiran Najib bahawa pemilihan Isa membawa risiko yang lebih besar kepada beliau dari Isa?

Najib dan pimpinan Umno akan dituduh bertolak ansur dengan Isa kerana "bapa borek, anak rintik" dan Isa dan pimpinan Umno sama sahaja, sama-sama perasuah. Imej Umno akan terjejas lebih teruk. Umno akan dituduh tidak sedar diri dan hari ini, Najib sahkan bahawa beliau dan Umno tidak berminat mencegah gejala rasuah di dalam parti.

Jelas Najib hanya mahu menang di Bagan Pinang tanpa memikirkan tentang masadepan Umno dan perasaan rakyat dan penyokong Umno di seluruh negara. Najib takut kepada kekalahan sehingga sanggup mengorbankan imej Umno yang semakin nazak ketika ini.

Keputusan Najib hari ini sama seperti mana di zaman Abdullah Ahmad Badawi. Lebih mementingkan kawan dan membalas budi kawan dari masadepan Umno.

Apakah Najib tidak menyelami perasaan orang muda seluruh negara? Tidak cukupkah Isa menikmati faedah sebagai Menteri Besar selama 22 tahun dan 2 tahun sebagai Menteri Kabinet?

Adakah Bagan Pinang ketandusan pemimpin dan pemimpin muda sehinggakan Najib terpaksa memilih seorang bekas banduan yang sudah mencecah usia 6 abad sebagai calon di kerusi dewan undangan negeri (bukan kerusi Parlimen pun)?

Selama ini rakyat mempunyai keyakinan Najib serius dalam membawa perubahan dalam parti apabila Muhammad Muhammad Taib, Azalina Othman Said dan Zain Mohamad digugurkan dari barisan Kabinet.

Malangnya, pemilihan Isa hari ini memusnahkan segala harapan yang ada pada Najib.

Monday, September 28, 2009

BAGAN PINANG: SEHARI 3 PROJEK

Hari ini saja, pengundi Bagan Pinang terima 3 hadiah dari Muhyiddin Yassin (baca sebagai JANJI).

1) RM18 juta: Sekolah Kebangsaan yang baru di Taman Intan Perdana.

2) RM20 juta: Sekolah Menengah baru.

3) RM3.8 juta: Peruntukan untuk membaiki 21 sekolah di Bagan Pinang.
http://www.bernama.com/bernama/v5/news_lite.php?id=442887
http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/news_lite.php?id=442879

Ini baru sehari. Ada 13 hari lagi untuk pengundi Bagan Pinang menanti hari pengundian dan akan banyak lagi hadiah-hadiah yang akan mereka terima sementara menanti hari pengundian 11 Oktober ini.

Nampak gayanya, melimpah ruahlah rezeki orang Bagan Pinang.

Sunday, September 27, 2009

DR MAHATHIR: BIAR SAYA BERTANDING DI BAGAN PINANG

"Kalau Umno tidak cukup calon, pilih saja saya (untuk bertanding di Bagan Pinang)." - Tun Dr Mahathir Mohamad.
http://www.themalaysianinsider.com/index.php/malaysia/38673-dr-m-volunteers-to-run-in-bagan-pinang

Begitulah kerasnya pendirian Dr Mahathir terhadap desakan orang-orang Isa Samad di Teluk Kemang yang mahukan pucuk pimpinan Umno meletakkan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu sebagai calon di Bagan Pinang.

Dr Mahathir mengkritik orang-orang Isa ini sebagai berfikiran singkat.

Kata Tun: "Mereka amat berpandangan singkat, mereka hanya melihat kepentingan beliau (Isa) dan kepentingan bahagian itu tetapi bagaimana pula dengan kepentingan parti. Jika parti meletakkan calon yang tidak bersih dengan itu seluruh parti akan dikutuk."

"Kita bukan semata-mata hendak menang. Kalau menang pun malu kerana orang ini tidak bersih, pemimpin kita orang yang tidak bersih."

"Kalau saya jadi Isa saya sendiri akan minta supaya jangan calonkan saya sebaliknya saya akan berusaha untuk bagi mana-mana calon yang dipilih dan berkempen untuk dia. Dengan itu nama Isa akan jadi cukup harum."
http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/news_lite.php?id=442515

Jelas kini Tun Dr Mahathir cuba untuk memudahkan kerja Najib Razak. Inilah kali ketiga Dr Mahathir menyatakan "protes" beliau kepada desakan Umno Teluk Kemang yang diketuai Isa untuk mencalonkan beliau.

Inilah masalah politik Umno. Tidak pernah kita dengar pemimpin Pas berebut menjadi calon. Malangnya perkara ini lumrah dalam Umno.

Apa lagi yang Isa mahukan setelah 22 tahun menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan. Kalau menang dan kembali menjadi Menteri Besar, apalah pembaharuan atau idea baru yang boleh Isa bawa kepada Negeri Sembilan.

Apakah orang muda tidak layak menjadi pemimpin? Apakah orang muda yang bersih latarbelakangnya dan tidak pernah dilabel perasuah tidak layak menjadi calon?

Orang politik memang tebal mukanya. Mungkin bagi Isa, selepas 22 tahun menjadi Menteri Besar, kali ini dapat turun pangkat jadi Adun pun tidak mengapa.

Kalau ini berlaku, memang benarlah kata orang - pemimpin Umno memang kaki kemaruk.

Thursday, September 24, 2009

ASKAR DI BAGAN PINANG BERGAJI KECIL

4,604

Inilah jumlah undi pos di kerusi Bagan Pinang. Majoriti besarnya adalah anggota pasukan keselamatan negara atau dengan kata lain askar. http://www.spr.gov.my/index_files/artikelweb/BAGANPINANG.pdf

Keyakinan Pakatan Rakyat untuk menang di Bagan Pinang cukup rendah sementara Umno begitu yakin akan menang semata-mata kerana persepsi bahawa askar akan "menyokong" kerajaan dalam mana-mana pilihanraya.

Malah ada yang membuat "tuduhan" dan "teori" mengapa anggota tentera menyokong kerajaan.

Semasa pilihanraya umum 2008, lebih 3,000 askar menyokong BN untuk memberi kemenangan kepada BN yang dipimpin Abdullah Ahmad Badawi sementara lebih 1,000 anggota tentera menyokong calon PAS.

Maka kali ini, Umno beranggapan bahawa trend yang sama akan berlaku di Bagan Pinang. Malah lebih ramai lagi askar akan menyokong BN kali ini kerana negara kini dipimpin Perdana Menteri baru, Najib Razak, yang juga bekas Menteri Pertahanan.

Sebenarnya pilihanraya Bagan Pinang merupakan peluang keemasan untuk anggota tentera mengubah nasib dan kehidupan mereka. Tetapi kenalah mereka belajar berpolitik sedikit.

Kehidupan anggota tentera tidak lah sebaik mana. Gaji mereka kecil.

Menurut Penasihat Majlis Permaufakatan Ummah (Pewaris) Dr Ahmad Zaki Ismail (Utusan Malaysia 23/9/09): "Anggota pasukan keselamatan negara antara golongan paling ramai menyertai skim pelaburan cepat kaya kerana mendakwa gaji yang diterima tidak mencukupi.

"Mereka meminjam dari ah long bagi menyara kehidupan keluarga ekoran wang simpanan habis digunakan selain gaji dipotong setiap bulan untuk pelaburan."

Mungkin Umno beranggapan anggota tentera akan sentiasa bersama mereka, tetapi tiada yang mustahil dalam suasana politik hari ini kerana setiap satu undi mempunyai nilai dan harganya.

Tuesday, September 22, 2009

BAGAN PINANG: PENENTU KEPIMPINAN NAJIB

Menteri Besar Negeri Sembilan Mohamad Hassan adalah antara 4 Menteri Besar yang tewas di dalam pemilihan Umno Mac lepas.
http://www.mesra.net/forum/index.php?showtopic=88250

Maka penganalisa politik ketika itu meramalkan Mohamad Hassan akan digugurkan oleh Najib Razak sementara musuh Menteri Besar Negeri Sembilan pula sudah pun membaca talqin untuk Mohamad Hassan.

Bagaimanapun ramalan tersebut meleset sama sekali. Najib mengekalkan Mohamad Hassan sebagai Menteri Besar walaupun Presiden Umno itu mengetahui Mohamad Hassan lebih mendatangkan masalah kepada Umno dari membawa kebaikan.
http://beritadarigunung.blogspot.com/2008/09/mohamad-hasan-negeri-sembilan.html

Kenapa Najib bertindak sedemikian? Dua sebab. Pertama, Najib tidak mahu dilihat sebagai melakukan "witch hunt" terhadap orang-orang Pak Lah. Kedua, Najib memang dikenali sebagai seorang pemimpin yang "play safe", seorang pemimpin yang memilih jalan paling selamat dan tidak mampu beradu pengaruh seperti pemimpin Umno lain.

Sepanjang karier politik Najib, kebanyakan keputusan politik beliau menjuruskan kepada mencari jalan selamat, tanpa ranjau. Oleh itu, pilihan terbaik untuk mengelakkan diri dari mengambil risiko dan kontroversi, Najib mengambil keputusan untuk mengekalkan Mohamad Hassan di Negeri Sembilan walaupun ditentang oleh majoriti ketua-ketua bahagian di Negeri Sembilan.

Paling lantang menentang Mohamad Hassan ialah Ketua Bahagian Seremban Ishak Ismail yang terang-terangan menghentam Mohamad Hassan. http://www.mesra.net/forum/lofiversion/index.php/t61389.html

Pembabitan Azman, abang Mohamad Hassan, di dalam pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan dan Perhubungan Umno Negeri Sembilan mendapat tentangan dari Ketua-Ketua Bahagian. Tetapi ini tidak dipedulikan Mohamad Hassan.

Apabila tewas di dalam pemilihan Umno Mac lepas, Mohamad Hassan umpama cacing kepanasan. Beliau resah dan gundah gulana memikirkan akan digugurkan oleh Najib sebagai Menteri Besar. Musuh-musuh Mohamad Hassan menanti saat-saat akan berakhirnya karier politik Menteri Besar Negeri Sembilan itu.

Bagaimanapun, Najib mengambil keputusan menyebelahi Mohamad Hassan. Maka beliau kekal sebagai Menteri Besar.

Kemungkinan keputusan itu dibuat tanpa memikirkan masa depan Umno di Negeri Sembilan.

Kini, Umno menghadapi cabaran yang cukup getir di pilihanraya kecil Bagan Pinang. Mungkin ramai meramalkan Umno akan menang mudah berdasarkan jumlah undi pos yang besar.

Menang sudah pasti. Tetapi bagaimana kalau Umno kalah! Dan bagaimana kalau Umno menang tetapi gagal mempertahankan majoriti semasa pilihanraya umum 2008?

Kalah Umno di Bagan Pinang adalah penanda berakhirnya hayat Umno dalam politik negara. Nasib yang akan menimpa Umno nanti samalah dengan nasib parti LDP di Jepun dan memang benarlah bahawa Najib adalah pelengkap kepada teori RAHMAN.

Kini, Najib dan konco-konconya menyedari akan perjudian di Bagan Pinang. Pakatan Rakyat juga menyedari, inilah peluang keemasan untuk merangkul mahkota politik paling berharga dalam politik tanahair.

Itulah sebabnya Pakatan Rakyat mengambil pendekatan menyerang di Bagan Pinang. Gagal tidak mengapa. Kalau berjaya, ianya penanda zaman kegelapan Umno dalam pilihanraya umum yang akan datang kerana mustahil pembangkang boleh menang di Bagan Pinang kerana ia merupakan kubu kuat Umno. http://www.themalaysianinsider.com/index.php/bahasa/37627-bagan-pinang-pr-ambil-pendekatan-menyerang

Najib mahukan kemenangan. Bagi Najib, kemenangan "dalam tangan" sekiranya Isa Samad menjadi calon. Najib takut kepada kekalahan. Kalau ikut hati, Najib mahu umumkan siang-siang lagi Isa Samad sebagai calon.

Tetapi masalah kepada Najib ialah rakyat mahukan Umno membuktikan bahawa Najib benar-benar ikhlas mahu membawa perubahan dalam Umno.

Tun Dr Mahathir Mohamad sudah menyatakan pendirian beliau. Isa bukan calon Bagan Pinang. Isa seorang perasuah politik. Ini bukan tuduhan. Ini adalah keputusan pucuk pimpinan Umno.

Tetapi ketua-ketua bahagian yang menentang Mohamad Hassan mahukan Isa. Sebabnya mudah. Mereka tidak mahu Mohamad Hassan tidur nyenyak.

Sekiranya Isa menjadi calon, maka Isa bakal diwarwarkan sebagai pengganti Mohamad Hassan sebagai Menteri Besar dan sudah pasti, Isa adalah orang terakhir yang Mohamad Hassan mahukan sebagai calon di Bagan Pinang.

Semalam, seorang veteran Umno mengakui Umno Negeri Sembilan dilanda badai. Menurut beliau, bukan rahsia lagi bahawa Umno Negeri Sembilan bagaikan kapal pecah dan sekiranya ianya tidak dibaiki, Umno bakal tewas di Bagan Pinang.
http://www.nst.com.my/Current_News/NST/articles/09iop-2/Article/index_html

Bukan itu sahaja masalah Umno. Barisan Nasional juga menghadapi masalah dengan perpecahan berlaku di dalam MCA, MIC dan PPP. http://www.nst.com.my/Current_News/NST/articles/08heng-2/Article/index_html

Harapan BN untuk mendapat sokongan dari pengundi Cina hanya 15 atau 20 peratus.

Menurut Rita Sim, pemikir MCA, antara 80 dan 85 peratus pengundi Cina hari ini menyokong Pakatan Rakyat. http://www.malaysiainsider.com/index.php/malaysia/38336-mcas-real-crisis-is-the-chinese-no-longer-care-

Apakah langkah Najib seterusnya? Inilah masanya untuk kita menilaikan kewarasan dan kebijaksaan (wisdom) Presiden Umno ini. Inilah masanya untuk kita menilai samada beliau benar-benar mempunyai keulungan seperti Presiden-Presiden Umno terdahulu (kecuali Pak Lah) atau beliau juga hambar seperti Presiden Umno yang lepas, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Monday, September 21, 2009

UMNO AKAN MENANG DI BAGAN PINANG TANPA ISA SAMAD


Umno akan menang walaupun calonnya bukan Isa Samad.
Itulah gambaran yang diberikan Exco Pemuda Malaysia Hisamuddin Yahya.
Kata Hisamuddin: "Kita yakin siapa sahaja calon yang dikemukakan sama ada Ketua Umno Bahagian Teluk Kemang Tan Sri Mohd Isa Samad atau ORANG LAIN, Umno PASTI MENANG dalam pilihanraya (Bagan Pinang) itu."
Dan Hisamuddin mahukan "semua pihak termasuk Pergerakan Pemuda Umno perlu mengelak berlagak seperti "AYAM JANTAN" dengan cuba menonjolkan calonnya untuk bertanding pada Pilihanraya Kecil DUN Bagan Pinang pada 11 Okt ini". Mingguan Malaysia 20 September 2009.
Siapa AYAM JANTAN yang dimaksudkan Hisamuddin?

Friday, September 18, 2009

DR MAHATHIR: LUPAKAN ISA SAMAD


KALI ini giliran Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan Najib Razak dan Umno bahawa bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Isa Samad yang didapati bersalah oleh Umno atas tuduhan rasuah politik tidak harus dicalonkan sebagai calon Umno untuk kerusi pilihanraya kecil Bagan Pinang.

Kata Dr Mahathir: "Tan Sri Isa sudah didapati bersalah, kalau Umno letak dia juga bermakna bahawa Umno tak ambil berat tentang kes-kes macam ini. Kalau pun dia (Isa) boleh menang di situ, kena fikir seluruh Malaysia fikir apa terhadap Umno."
http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php?id=441278

Kita tunggu keputusan Najib dan Umno. Umno dijangka mengumumkan calonnya 29 September ini.

Adakah Najib lebih mementingkan untuk hanya menang di Bagan Pinang atau beliau lebih pentingkan imej beliau dan parti?
http://www.themalaysianinsider.com/index.php/malaysia/38043-dont-name-isa-samad-as-candidate-says-dr-mahathir
http://www.themalaysianinsider.com/index.php/malaysia/38071-poll-shows-bagan-pinang-voters-want-isa-as-umno-candidate

Thursday, September 10, 2009

ISA SAMAD, MOHD NAJIB ATAU FAIZAL BAKAL CALON BAGAN PINANG

Desas-desus mengatakan Umno Bahagian Teluk Kemang hanya menamakan Ketua Bahagian Teluk Kemang dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan sebagai calon Umno untuk pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang sebenarnya tidak benar.

Bahagian Teluk Kemang petang tadi dikatakan memaklumkan kepada Perhubungan Umno Negeri Sembilan bahawa tiga individu telah dipersetujui oleh Bahagian Teluk Kemang untuk diangkat nama mereka kepada pucuk pimpinan Umno pusat untuk dipertimbangkan sebagai calon. Mereka ialah:
ISA SAMAD dan anak beliau, MOHAMAD NAJIB (gambar: kiri sekali)
dan, KETUA PEMUDA TELUK KEMANG MOHD FAIZAL RAMLI

Monday, September 7, 2009

NAJIB: JANGAN PILIH ISA SAMAD!

"BN berpeluang cerah untuk memenangi pilihan raya kecil (Bagan Pinang) itu berdasarkan sokongan akar umbi Umno terhadap Mohd Isa walaupun pernah digantung daripada parti kerana dikatakan terbabit politik wang." - Berita Harian 7/9/2009.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Nasional/20090907001144/Article/index_html

Ketua Umno Bahagian Seremban Ishak Ismail juga mahukan Isa Samad, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan dipilih sebagai calon.

Mengikut Malaysian Insider, lima kepala perang di Negeri Sembilan mahukan Isa dipilih bertanding di Bagan Pinang.
http://m.themalaysianinsider.com/articles.php?id=37103-ns-umno-warlords-back-return-of-ex-mb-isa

Inilah Umno. Belum lagi pucuk pimpinan dan Najib Razak membuat keputusan, sudah kedengaran suara-suara sumbang mendesak pucuk pimpinan memilih calon mengikut kehendak dan selera masing-masing.

Kepentingan parti nombor dua, kepentingan diri diutamakan. Kalau benarlah laporan Malaysia Insider itu, maka jelas desakan ini tidak lebih daripada hanya merupakan tindakan ingin "mengajar" Mohamad Hassan, Menteri Besar Negeri Sembilan.

Kata Ishak: "Saya merasakan bahawa MB sekarang tidak cukup kuat. Pengalaman Isa akan membantu beliau (memenangi pilihanraya kecil ini)."

Maksud Ishak, Mohamad Hassan adalah seorang Ketua Perhubungan yang lemah dan tidak mendapat sokongan di Negeri Sembilan.

Malah Ishak mengakui beliau tidak "sebulu" dengan Mohamad Hassan.

Jadi jelaslah apa yang terbuku di hati Ishak Ismail dan sekarang adalah masanya untuk membalas dendam dan mengajar Mohamad Hassan.

Sekiranya Isa menang, maka mudahlah bagi Ishak dan kepala-kepala perang ini untuk meletakkan Mohamad Hassan dalam kegusaran dengan mengenengahkan nama Isa sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.

Berdasarkan latar belakang Isa, Ketua Bahagian Teluk Kemang itu tidak layak dibenarkan bertanding dalam mana-mana pilihanraya.

Isa semasa menjadi Naib Presiden Umno telah digantung jawatan dan keahliannya selama dua penggal atau enam tahun kerana didapati bersalah terlibat dalam rasuah politik wang oleh Lembaga Disiplin parti.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0625&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm

Persoalannya, apakah Umno mahu berubah atau tidak? Kalau Isa dipilih sebagai calon, maka mesejnya Umno dan Najib tidak mahu berubah.

Di sebalik tabir, Umno menyalahkan diri sendiri apabila memilih calon yang tercalar latarbelakangnya semasa pilihanraya kecil Permatang Pasir sehinggakan tempoh kempen dihabiskan hanya untuk mempertahankan peribadi calon yang diserang bertubi-tubi oleh pihak lawan.

Apakah Najib dan Umno mahu terus mengulangi kesilapan yang sama dengan memilih Isa yang Umno sendiri dapati terlibat dengan rasuah politik?

Memang benar ketokohan Isa sudah cukup untuk memastikan Umno menang selesa dalam mempertahankan kerusi Bagan Pinang.

Tetapi adakah Umno mahu parti berubah atau berada di takuk lama? Umno harus mengajar pemimpin dan ahli-ahlinya bahawa tiada tempat untuk mereka yang menjatuhkan maruah dan imej parti dengan perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan bermoral.

Cukuplah dengan apa yang berlaku di masa lampau. Umno kini tidak perlukan mereka yang cacat moralnya. Apakah kita mahu orang Melayu dipimpin oleh seorang pemimpin yang penuh dengan cacat celanya? Apakah orang Melayu sanggup dipimpin oleh seorang pemimpin yang tidak bermoral seperti mana sebuah parti komponen Barisan Nasional yang pernah dipimpin oleh seorang pemimpin yang melakukan adegan ranjang yang menghairahkan dalam sebuah bilik hotel?

Kalau Umno mahu terus disokong, jadilah parti bermoral atau lupakan saja dari terus mengharap simpati rakyat dengan hanya laungan-laungan slogannya.