Sunday, January 10, 2010

DOMPOK: KENAPA ALLAH POPULAR KEPADA PENGANUT KRISTIAN

Berikut ialah pandangan Tan Sri Bernard Dompok mengenai penggunaan kalimah Allah di kalangan pengikut Kristian. Surat ini telah disiarkan oleh Malaysiakini.


Kenapa 'Allah' popular kepada penganut Kristian
Bernard Giluk Dompok Jan 6, 10 12:42pm


Keputusan hakim Mahkamah Tinggi pada 31 Disember 2009 bahawa penerbitan Herald boleh terus menggunakan istilah Allah dalam penerbitan edisi Bahasa Malaysia telah mencetuskan pelbagai reaksi daripada beberapa pihak di seluruh negara.

Sesetengah daripada komen dan reaksi tersebut tidak membantu usaha pengukuhan perpaduan dan hubungan antara kaum di negara ini.

Sejurus selepas perkara ini dibawa ke mahkamah, saya telah menggesa semua pihak supaya menghormati dan memberikan sepenuhnya kebebasan kepada mahkamah untuk menjalankan tanggungjawabnya.

Saya percaya bahawa hakim Datuk Lau Bee Lian telah melihat segala aspek sejarah dan hak perlembagaan sebelum membuat keputusan tersebut.

Dari aspek sejarah, istilah Allah telah digunakan sejak sekian lama, yakni sebelum rakyat Sabah memutuskan untuk menubuhkan Malaysia bersama-sama dengan Tanah Melayu, Singapura dan Sarawak pada 1963.

Masyarakat Sabah telah menggunakan bahasa Melayu sesuai dengan statusnya sebagai lingua franca di rantau ini. Agama Kristian mulai bertapak di Sabah sejak 1881 dan terus berkembang selepas itu.

Bagi masyarakat bumiputera Kristian di Sabah seperti Kadazandusun dan Murut, upacara ibadat diadakan dalam tiga bahasa iaitu bahasa Inggeris, Melayu dan bahasa ibunda mereka.

Dalam upacara ibadat yang menggunakan bahasa Inggeris, istilah yang digunakan ialah God, manakala upacara ibadat dalam bahasa Melayu menggunakan istilah Allah dan upacara ibadat dalam bahasa ibunda, misalnya dalam bahasa Kadazandusun, menggunakan istilah 'Kinoingan'.

Kebanyakan gereja di kawasan bandar menggunakan bahasa Inggeris, manakala bahasa Melayu dan bahasa ibunda digunakan dengan meluas di gereja-gereja di kawasan luar bandar di Sabah.

Pengiktirafan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perantara dalam sistem pendidikan negara telah memperluaskan lagi pengaruh bahasa ini di kalangan masyarakat Sabah.

Generasi yang lahir selepas dasar ini dibuat lebih selesa menggunakan bahasa Melayu. Mereka juga lebih selesa menghadiri upacara-upacara ibadat yang diadakan dalam bahasa kebangsaan ini.

Generasi muda masyarakat bumiputera Kristian dari Sabah yang berhijrah ke Semenanjung sama ada untuk bekerja atau melanjutkan pelajaran turut meminta pihak gereja di sini supaya upacara ibadat dalam bahasa Melayu turut diadakan kerana mereka sudah serasi dengan penggunaan bahasa ini.

UPKO merasakan bahawa setiap anggota masyarakat diberikan kebebasan untuk terus menunaikan ibadat keagamaan mereka dalam keadaan yang tenang serta dapat menggunakan bahasa serta istilah-istilah yang mereka berasa selesa untuk menggunakannya sepanjang upacara ibadat tersebut.

Kenyataan media Tan Sri Bernard Giluk Dompok, presiden UPKO dan menteri perusahaan perladangan dan komoditi. http://www.malaysiakini.com/letters/121251

1 comment:

Yb Raz said...

kalau dikira segala pertimbangan memang tak mengapa asalkan ianya digunapakai di sabah/sarawak sahaja.

ini bertepatan dengan kehendak penduduk pribumi disana yang telah menggunakannya sejak dulu lagi.

tetapi yang dikhuariri ianya turut digunakan di semenanjung. suasana agama di semenanjung tidak sama dengan sabah/sarawak.

sebab itulah ianya ditentang. mencegah adalah lebih baik dari mengubati. sebelum ianya digunakan meluas di semenanjung, adalah lebih baik ianya dihalang.