Sunday, December 6, 2009

TERIMA KASIH SAID HAMDAN!

"Saya letak jawatan bukan sebab tertekan atas desakan sesiapa atau parti politik tetapi atas sebab peribadi dan kehendak saya sendiri. Lagi pun saya dah lama berkhidmat dalam SPRM. Dah lama saya rancang nak bersara tetapi tunggu masa yang sesuai. Sebelum ini saya sibuk dengan kerja, jadi sekarang saya nak luangkan lebih masa dengan keluarga. " - Ahmad Said Hamdan, Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Menurut laporan Bernama: Ahmad Said mengemukakan notis kepada Pejabat Perdana Menteri untuk memendekkan tempoh perkhidmatannya dalam suruhanjaya itu sehingga 31 Dis ini sedangkan perkhidmatannya sepatutnya tamat pada 25 Mei tahun depan. Pengganti beliau ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya Datuk Abu Kassim Mohamed berkuatkuasa 1 Jan tahun depan. http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/news_lite.php?id=460237

Tahniah kepada Said Hamdan. Kalau direnung semula keputusan beliau, kita seharusnya memberi kalungan pujian kepada Pesuruhjaya SPRM ini.

Beliau sendiri mengambil keputusan memendekkan tempoh perkhidmatan beliau. Beliau sendiri menghakimi diri beliau dan keputusannya ialah adalah lebih baik beliau meletakkan jawatan tanpa menunggu tamatnya kontrak beliau.

Inilah budaya bertanggungjawab yang kita mahu diketengahkan dalam pentadbiran negara terutamanya di kalangan orang politik.

Sepatutnya orang politik menjadi hakim kepada diri sendiri. Sepatutnya orang politik tidak menyalahgunakan ungkapan "you are innocent till proven guilty" atau dalam bahasa Melayu "seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah."

Sudah lama generasi baru Malaysia menantikan budaya accountable ini diterapkan oleh masyarakat Malaysia.

Orang politik mesti mengikut jejak langkah Said Hamdan. Jadilah hakim pada diri dan terapkan rasa bertanggungjawab.

Tun Abdullah Ahmad Badawi menghakimi diri beliau sendiri dan membuat keputusan untuk mengundur diri tanpa perlu dipaksa meletakkan jawatan.

Adalah menjadi harapan kita sekiranya pemimpin politik yang bermasalah menghakimi diri mereka. Suluh muka sendiri di cermin dan buat keputusan. Kalau kita bersalah, undur diri. Kalau ada dakwaan yang dibuat terhadap kita dan kita tahu ianya betul, pikul tanggungjawab dan letak jawatan. Janganlah kita membebankan Perdana Menteri untuk menyelamatkan kita hanya demi kepentingan peribadi kita semata-mata.

Kalau ahli politik kita sanggup melakukan perkara bermoral ini, maka tinggilah integriti negara kita. Ikutilah jejak Pak Lah dan Said Hamdan kalau kita mempunyai maruah dan mahukan negara dan parti kita selamat.

No comments: