Tuesday, March 31, 2009

SELAMAT BERSARA, TUN LAH!

Tepat jam 10 pagi, Jumaat ini, 3hb April, 2009, bertempat di Istana Negara, akan berakhirlah era Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kelima dan bermulanya era Najib Razak sebagai Perdana Menteri yang keenam.

Pak Lah akan meninggalkan Istana Negara dengan gelaran Tun. Begitunya isteri beliau yang akan bergelar Tun Jeanne Abdullah.

22hb Mac 2004, Abdullah juga hadir di Istana Negara (gambar) untuk ditabalkan sebagai Perdana Menteri selepas menang besar dalam pilihanraya ke11 yang diadakan sehari sebelum itu. Jumaat nanti, Abdullah akan kembali ke Istana Negara. Kali ini untuk menyaksikan pertabalan Timbalan beliau sebagai Perdana Menteri yang baru.

Ketika BN menang besar pada 2004, Tun Khalil Yaakob, yang ketika itu Setiausaha Agung BN, menyifatkan kemenangan besar itu "99.9% semata-mata kerana Pak Lah."

Tetapi apabila BN kalah di Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor, Kelantan dan Wilayah Persekutuan, orang di sekeliling Pak Lah tidak pula menyalahkan beliau sebaliknya mendakwa "kita tidak kalah, kita hanya dapat kurang kerusi".

Tun Lah akan meninggalkan persada politik negara dalam suasana Umno dan BN terumbang-ambing dilanda badai politik. Harapan ahli-ahli Umno dan BN kini jatuh ke pangkuan Najib. Gagal Najib, berkuburlah Umno. Berjaya Najib, selamatlah Umno.

Hukuman yang diterima oleh Umno kini adalah berpunca dari kepimpinan Tun Lah. Tun Dr Mahathir Mohamad ketika diwawancara oleh Mishal Hussein dari BBC terus mengkritik Tun Lah walaupun Sabtu lalu kedua-dua mereka bersalaman di atas pentas Umno di PWTC.

Berikut ialah antara komen Tun Dr Mahathir mengenai Tun Lah. (Diterjemah mengikut kesesuaian)

Mishal: Saya tertanya-tanya di mana silapnya Pak Lah sebab beliau adalah orang yang Tun bimbing untuk mengambil alih pentadbiran negara tetapi Tun tidak senang dengan apa yang dilakukan Pak Lah.

Dr Mahathir: Pak Lah melakukan banyak perkara yang salah. Pertama, beliau membenarkan ahli keluarganya campurtangan bukan sahaja dalam hal ehwal parti malah hal ehwal pentadbiran negara juga. Penasihat-penasihat utamanya ialah ahli-ahli keluarga beliau dan sekumpulan orang muda yang dilantik oleh menantunya.

Mishal: Tetapi tidak kah penglibatan ahli keluarga di dalam pentadbiran negara adalah perkara biasa di Malaysia. Anak Tun pun bertanding untuk memegang jawatan dalam Umno. Sebenarnya Tun kecewa kerana anak Tun tidak dipilih?

Dr Mahathir: Beliau aktif dalam politik selepas saya bersara sebagai Perdana Menteri. Saya memberitahu anak-anak saya supaya tidak terlibat dalam politik sehingga saya meletakkan jawatan sebab saya tidak mahu dituduh cuba membina sebuah dinasti.

Mishal: Tetapi Tun mahu melihat nama Mahathir berterusan dalam politik?

Dr Mahathir: Apa salahnya kalau dia layak?

Mishal: Bagaimana dengan Perdana Menteri baru Najib Razak, juga seorang yang Tun kenali. Apa pandangan Tun terhadap beliau dan adakah beliau akan menjadi seorang Perdana Menteri yang baik?

Dr Mahathir: Jelas Najib mempunyai rekod yang baik dan beliau adalah seorang pentadbir yang baik. Tetapi Najib mempunyai beberapa kelemahan dan disebabkan oleh itu kita tidak berapa pasti samada Najib boleh menangani masalah yang dihadapi oleh parti dan kerajaan.

Mishal: Tidak berapa menggalakkan, agaknya? Maksud saya Najib adalah pemimpin dari parti Tun sendiri.

Dr Mahathir: Memang benar. Najib adalah dari parti saya yang dahulu. Sekurang-kurangnya beliau dari parti saya yang kini saya bukan lagi ahli. Tetapi saya mahu berterus-terang. Saya tidak peduli siapa yang rasa terluka, walaupun sekiranya parti saya yang menerima akibatnya, sekiranya ada perkara yang perlu diperbetulkan, saya akan mengkritik.

Mishal: Saya membangkitkan perkara ini kerana Tun mempunyai rekod memilih dan membimbing pegganti. Salah seorang darinya ialah Anwar Ibrahim, juga Abdullah Badawi. Najib Razak adalha yang ketiga. Apabila mereka ini hampir berkuasa atau dinobatkan, Tun serang mereka.

Dr Mahathir: Mereka bukan anak didik saya. Saya tiada pilihan tetapi terpaksa memilih salah seorang dari mereka sebagai Timbalan dan mereka tidak membuktikan mereka berkemampuan untuk mentadbir dan saya terpaksa bertindak terhadap mereka.

Mishal: Sekiranya Tun begitu kritikal terhadap pemimpin dari Umno maka sudah tiba masanya untuk berubah. Mungkin Umno bukan lagi parti yang harus memimpin Malaysia?

Dr Mahathir: Umno adalah parti yang baik. Ia berfungsi lebih 50 tahun tetapi sejak di bawah pimpinan Abdullah, Umno menjadi parti reput dan sudah tidak mampu memenangi pilihanraya yang lazimnya kita menang.

Mishal: Jadi semuanya salah selepas Tun bersara, adakah ianya begitu?

Dr Mahathir: Tidak. Semuanya rosak bila Abdullah mengambil alih pentadbiran.

Mishal: Dalam tempoh yang sama?

Dr Mahathir: Ianya tidak sama. Orang lain pada masa itu juga boleh dilantik. Najib sebenarnya Naib Presiden parti yang paling kanan ketika itu. Dia sepatutnya dilantik sebagai Perdana Menteri selepas saya tetapi saya memikirkan beliau masih mudah dan saya berpendapat saya harus berikan peluang pada Abdullah untuk mentadbir negara.

Mishal: Mari kita lihat beberapa kritikan terhadap Umno. Ia dituduh parti perasuah. Mengenepikan akar umbi. Abdullah Badawi mengatakan Umno terlalu selesa. Kini menghadapi saat kematian. Maksud saya perkara seumpama ini tidak mungkin berlaku sekelip mata. Tidak kah Tun serba sedikit bertanggungjawab terhadap perkara ini? Tun memimpin Umno selama 22 tahun.

Dr Mahathir: Saya memimpin Umno selama 22 tahun. Tidak sekali pun atau dalam sebarang pilihanraya saya gagal mendapat sokongan rakyat. Saya sentiasa mendapat mandat 2/3. Pertama kali dalam sejarah kita tidak mendapat mandat 2/3 ialah selepas lima tahun di bawah pentadbiran Abdullah.

Mishal: Tidakkah Tun melakukan sebarang kesilapan sepanjang 22 tahun?

Dr Mahathir: Kesilapan saya ialah memilih Abdullah sebagai Perdana Menteri.

Mishal: Itu saja kesilapan Tun selama Tun berkuasa selama 22 tahun?

Dr Mahathir: Ya, sebab selepas saya mengundur diri, Umno menang besar. Sekiranya saya meninggalkan partu dalam keadaan tenat, mereka tidak akan menang besar pada 2004.
http://www.malaysiakini.com/news/101377

SELAMAT BERSARA, TUN LAH!!!

No comments: