
Husin Lempoyang menyifatkan pilihanraya kecil Bukit Gantang dan Bukit Selambau sebagai "Perang Dua Bukit".
Bekas orang media, A.Kadir Jasin pula berkata kematian Ahli Parlimen Pas Bukit Gantang Roslan Shaharum dan perletakan jawatan V.Arumugam di Bukit Selambau disifatkan oleh sesetengah pihak sebagai "sudah jatuh ditimpa tangga dan ada pula yang mengatakan pucuk dicita ulam mendatang."
Keputusan Suruhanjaya Pilihanraya untuk mengadakan pilihanraya kecil ini pada 7 April dipertikaikan oleh Lim Kit Siang yang menyifatkan SPR sebagai "badan yang cukup taat kepada Umno".
Ramai dapat mengagak kenapa SPR perlu menunggu lebih dari sebulan untuk mengadakan pilihanraya kecil ini, satu keputusan yang jarang lakukan.
Apa pun pilihanraya kecil ini akan hanya diadakan pada 7 April dan penamaan calun pada 29 Mac. Apa signifikannya 7 April?
*
Seperti yang dinyatakan Lim Kit Siang, SPR memenuhi kehendak Umno agar tumpuan dapat diberikan kepada pemilihan pucuk pimpinan Umno di mana 2,483 perwakilan dan 49 ahli Majlis Tertinggi bakal memilih Timbalan Perdana Menteri yang baru dan bakal-bakal pemimpin negara.

**
Pilihanraya ini akan dijadikan gelanggang oleh Anwar Ibrahim untuk menyelamatkan maruah Pakatan Rakyat yang kini diserang habis-habisan Umno dengan melabelkannya "Pakatan derhaka Sultan".
Anwar bukan calang-calang orangnya. Pendendam orangnya. Yang pasti, Anwar akan menggunakan peluang ini untuk menyerang Najib dan kali ini Najib akan diserang ketika beliau penyandang jawatan Perdana Menteri dan Presiden Umno.
Mengenali Anwar, serangan-serangan ini akan berbentuk peribadi seperti mana yang dilakukannya terhadap Najib sebelum ini.
Bagaimanapun, Najib mempunyai kekuatannya sendiri. Pada 10 Mac, Najib akan membentangkan pakej rangsangan ekonomi kedua dan sudah pasti beberapa "gula-gula" akan diberikan kepada rakyat yang pasti akan mempengaruhi serba sedikit pandangan pengundi dan sudah tentu boleh dijadikan sedikit "modal" oleh Umno semasa kempen nanti.
Najib tidak mungkin akan mengumumkan senarai Kabinet yang baru sebelum 7 April. Mengenali perangai pemimpin-pemimpin Umno, maka ramailah yang akan cuba "menunjuk-nunjuk" kepada Najib bahawa dia bekerja kuat semasa pilihanraya kecil ini dengan harapan disenaraikan di dalam Kabinet baru. Maka Pakatan Rakyat akan berhadapan satu jentera BN yang cukup sasa untuk mempertahankan kedua-dua kerusi ini.
*** Pilihanraya kecil ini penentu masa depan Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional. Jika kalah Pakatan Rakyat, maka jelaslah yang seperti digembar-gemburkan BN bahawa rakyat tidak dapat menerima tindak-tanduk pembangkang yang digambarkan sebagai penderhaka Sultan.
Tetapi jika BN tewas, maka jelaslah bahawa BN, jika tidak berhati-hati, berada diambang kemusnahan. Maka akan ada anggapan bahawa tindakan Umno merampas Perak dari Pakatan Rakyat tidak dapat diterima oleh rakyat seperti mana kajian yang dilakukan oleh Merdeka Center dan perubahan pucuk pimpinan Umno yang tidak memberi sebarang kesan positif di hati pengundi.
**** Kalau dilihat kepada keghairahan Umno hari ini, tidak salah kalau kita simpulkan bahawa Umno terlupa kepada undi kaum Cina dan India juga penting untuk memenangi kerusi Bukit Selambau dan Bukit Gantang. Kes Kugan dan cara kerajaan Pakatan Rakyat di Perak dijatuhkan sudah pasti dijadikan agenda utama oleh Anwar untuk memancing undi kaum Cina dan India yang mempunyai kuasa politik yang cukup signifikan di kedua-dua kawasan.
Itulah sebabnya, pemimpin MIC, MCA dan Gerakan membisu seribu bahasa kerana mereka tahu ada tindak-tanduk Umno dan kerajaan yang tidak dapat diterima oleh pengundi Cina dan India.
Apapun, keputusan pilihanraya kedua-dua kerusi ini bakal menentukan halatuju kedua-dua perikatan.
Adakah Anwar akan bertambah kuat, atau Najib terpaksa mengharungi cabaran getir dalam sejarah Umno.