Saturday, June 6, 2015

KHAIRUL ANUAR: IMEJ NAJIB DIROSAKKAN OLEH ORANG DALAM SENDIRI (PEJABAT NAJIB?)

Image result for dr mahathir+dialog+pwtc


Luahan Pengerusi SukaGuam berkenaan isu penangguhan program Dialog PM bersama NGO sehingga mencemarkan imej banyak pihak.
------------------------------------

1. Sebelum penganjuran program Dialog PM bersama NGO, kami telah bertemu dengan sekurang-kurangnya 3 Pegawai Kanan DS Najib di Putrajaya yang sangat positif dan mahukan program ini mencapai matlamatnya. Malah, idea awal program ini juga adalah hasil perbincangan dua hala antara penganjur & beberapa pegawai kanan DS Najib termasuk seorang pegawai kanan yang dipertanggungjawabkan menyelaras program ini bersama-sama. Justeru, adalah kurang adil jika SukaGuam selaku penganjur serta beberapa pihak lain yang membantu kami dijadikan kambing hitam (scapegoat) serta dijadikan bahan tohmahan.

2. Kami percaya, keadaan akan menjadi sebaliknya (penganjur tidak akan dipersalahkan) jika program Dialog yang dirancang semalam, tidak 'diganggu' secara berlebihan oleh pegawai berkenaan (dan sekutunya).

3. Sebenarnya, penganjur telah pun mendapatkan pandangan dari pegawai-pegawai kanan PM berhubung banyak aspek termasuk kemungkinan jika Tun Dr Mahathir menghadirkan diri. Seperti diakui oleh Tun Mahathir, beliau tidak diundang secara rasmi, namun hadir sebagai tetamu apabila diwar-warkan dalam media mengenai kemungkinan kehadiran beliau ke majlis Dialog itu. Malah, beberapa NGO yang Tun naungi bersedia memberikan kad undangan yang mereka terima bagi membolehkan Tun Mahathir hadir.

4. Atas dasar itulah, apabila ditanya oleh wartawan mengenai kemungkinan Tun Mahathir akan hadir, penganjur mengakui tidak akan menghalang kehadiran Tun sebagai salah seorang tetamu pada majlis berkenaan. Berita ini dilaporkan dalam pelbagai media dan penganjur bersedia dengan sebarang kemungkinan. Penganjur menyediakan satu kerusi (yang dilabelkan dengan nama Tun Mahathir) bersama para hadirin lain dan turut menyediakan bilik tertutup (holding room) sebagai persediaan jika Tun benar-benar hadir. Rata-rata dari kalangan pegawai PM amat positif akan perkembangan ini kerana DS Najib menunjukkan keyakinan yang amat tinggi untuk merungkaikan segala persoalan.

5. Namun demikian, pegawai kanan berkenaan (dan yang sekutu dengannya) yang dipertanggungjawabkan sebagai penyelaras program ini telah bertindak berlebihan dalam beberapa perkara. Ini saya simpulkan sebagai 'pertembungan ego' beliau yang akhirnya menjadikan SukaGuam dan beberapa pihak lain sebagai kambing hitam dan mangsa keadaan.

6. Justeru, ada benarnya seperti yang diperkatakan oleh sesetengah pemimpin-pemimpin Umno sendiri, aktivis NGO dan rakyat, bahawa yang merosakkan imej DS Najib bukanlah sangat oleh pihak luar, tetapi dari kalangan orang dalam sendiri.

7. Saya berkesempatan meluahkan perkara ini secara terus-terang kepada DS Najib pada petang semalam untuk menjelaskan situasi sebenar, dan dari riak wajah Perdana Menteri, beliau menerima baik dan memahami apa yang saya cuba sampaikan. Kami cuma berharap beliau mengambil tindakan tegas terhadap individu ini ( dan yang sekutu dengannya).

8. Sebagai contoh, ketika Tun Mahathir hadir di awal pagi program, pihak penganjur menyediakan satu bilik tertutup supaya DS Najib boleh minum secangkir kopi bersama Tun Mahathir, sebagai memulakan semangat ukhwah persahabatan dan silaturrahim.

9. Apabila DS Najib sudah dalam perjalanan dan dinasihati Ketua Polis Negara mengenai keadaan di PWTC, penganjur berpandangan bahawa DS Najib perlu hadir bagi membuktikan beliau berjiwa besar dan bersedia bertemu wajah dengan Tun Mahathir, sambil berbual mengenai apa jua perkara.

10. Kami yakin dan percaya, sekalipun program dialog itu ditunda atas nasihat polis, pertemuan perlu diteruskan antara DS Najib dan Tun Mahathir dalam bilik tertutup kerana ini akan membuka lembaran baru dalam konteks politik Malaysia sekaligus meredakan hati pendokong-pendokong masing-masing.

11. Malangnya, pegawai berkenaaan telah berusaha menghalang kehadiran Perdana Menteri, menghantar laporan yang kurang tepat, menangguk di air keruh dengan menokok-tambah cerita kepada DS Najib kononnya Perdana Menteri akan diejek sekiranya hadir ke PWTC. Walaupun penganjur akur dengan arahan polis supaya program Dialog bersama NGO ditangguhkan atas sebab keselamatan, namun alang-alang Tun Mahathir sudah bersedia untuk bertemu DS Najib, ia tidak sewajarnya dihalang. Isu keselamatan tidak timbul sama sekali jika mereka bertemu dalam bilik yang tertutup.

12. Bayangkanlah 'feel good factor' yang akan dialami oleh seluruh rakyat Malaysia sekiranya foto DS Najib dan Tun Mahathir sedang menikmati kopi dan berbual dalam keadaan mesra menjadi viral dan foto mereka bersalaman mesra menjadi tatapan rakyat yang rindukan persahabatan dan perdamaian pemimpin-pemimpin mereka. Tidak mengapalah Dialog bersama NGO tidak dapat diteruskan, asalkan persaudaraan dan persahabatan antara kedua-dua pemimpin ini dapat ditautkan apatah lagi dalam keberkatan hari Jumaat di bulan Sya'ban ini,

13. Kepada pihak-pihak yang memberi nasihat dan semangat kepada kami (anda tahu siapa anda), jutaan terima kasih kami ucapkan.

14. Kepada individu berkenaan dan sekutunya (anda tahu siapa anda), hentikanlah menjadikan SukaGuam dan sahabat-sahabat kami sebagai kambing hitam (scapegoat). Hentikanlah serangan peribadi, fitnah dan tohmahan.

15. Jika masih berterusan, terutama melalui agen-agen anda, kami tidak teragak-agak untuk mendedahkan lebih lanjut beserta bukti dan saksi-saksi hidup kerana apa yang kami dambakan sebagai rakyat Malaysia ialah perdamaian dan kesepakatan antara pihak-pihak yang berbeda pandangan dalam isu-isu yang berlaku dalam negara.

16. Tampaknya, ada pihak yang tidak senang melihat perubahan landskap politik yang bakal berlaku sekiranya perancangan semalam berlangsung dengan jayanya kerana pertembungan berterusan antara DS Najib dan Tun Mahathir boleh terus menguntungkan agenda peribadinya.

17. Kami tidak akan teragak-agak menyatakan kebenaran yang hak dan yang batil. Kami berpegang teguh dengan Sabda Rasulullah SAW- "Kulill Haq Wa Lau Kaana Murro" (Maksudnya, berkatalah yang hak (benar) sekalipun ia pahit).

18. Ingin kami jelaskan niat sebenar SukaGuam untuk mencari penyelesaian terbaik bagi memulihkan perpaduan orang Melayu Islam dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya yang kini jelas terbahagi kepada banyak kumpulan. Bagi kami, jika tidak berjaya sepenuhnya pun, sekurang-kurangnya program ini dapat membuka langkah pertama untuk meleraikan kekusutan yang berlaku sesama kita.

18. Mana tahu, dengan kemuliaan Ramadhan yang bakal menjelang, Allah bukakan pintu rahmat-Nya untuk mendamaikan hati semua pihak dan mengorak langkah perpaduan yang sangat dirindukan rakyat Malaysia.

19. Marilah kita teguh dan beristiqamah dengan perintah Allah melalui firman-Nya:-
" Sebenarnya, orang yang beriman itu adalah bersaudara. Maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah itu) dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh Rahmat" (Al Hujurat, ayat 10).
Ikhlas,
Khairul Anwar Rahmat
SukaGuam

3 comments:

Anonymous said...

Entah2 sukaguam dah berpakat dgn pegawai di jpm untuk merosakkan kerajaan dan umno. Skil tuduh menuduh begini ada dalam silibus sekolah politik dap. Mereka bertikam di luar tetapi berpeluk di dalam. Yg penting.kontrol persepsi rakyat.

Anonymous said...

Tuan

Komen Mykmu menarik sekali


Editor: KuntaKinte Malaysia | Diterbitkan pada: 6 June 2015| Kategori: Utama | 16 Comments »

Nothing To Hide: Sukaguam Ikhlas Atau PMO Ditipu?


IMG-20150606-WA0070Setelah berhadapan kritikan teruk semalam, penganjur program Nothing To Hide, tampil mempertahankan diri dengan menyalahkan pegawai Perdana Menteri atas kerosakan imej Perdana Menteri semalam.

Sebenarnya, penulis sangat terkejut apabila Pejabat Perdana Menteri bersetuju mengadakan program Perdana Menteri bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) melalui Sukaguam yang diterajui oleh Datuk Khairul Anwar Rahmat.

Khairul Anwar Rahmat merupakan Naib Ketua Pemuda UMNO Negeri Johor juga diketahui dalam “circle” politik Johor sebagai antara kepimpinan pemuda yang banyak mengkritik kepimpinan Perdana Menteri Mohd Najib Razak.

Ada khabar menyatakan Khairul pernah merancang untuk meminta Najib meletak jawatan tetapi membatalkan hasrat tersebut apabila melihat arus sokongan ke atas agenda itu tidak begitu kuat di kalangan Pemuda Johor.

Malahan ketika laporan kami mengenai lima sekawan, ada sumber memaklumkan bahawa Khairul yang berada dalam program tersebut telah berjumpa dengan Setiausaha Politik PM, Datuk Jelaini Ngah, menafikan 100 peratus ada berlaku sedemikian.

Pada minggu lalu, sumber kami turut memaklumkan ada pertemuan Khairul dengan Khairy Jamaluddin dan beberapa Ketua Pemuda UMNO bahagian di Hotel Thistle, Johor Baharu. Khairul lantang mempertikaikan isu 1MDB ini.

Justeru penulis sangat hairan mengapa orang yang tidak mempercayai penjelasan Kerajaan mengenai 1MDB diberi peluang pula untuk menjadi pengajur program PM bersama NGO.

Kesalahan sudah tentu ke atas Pejabat Perdana Menteri sendiri yang gagal mengesan agenda seperti ini dan membenarkan tema “Nothing To Hide” yang berbentuk provokatif

Khairul Anwar Rahmat perlu tampil menjelaskan pendiriannya mengenai 1MDB dan kepimpinan PM Najib Razak sebelum menyalahkan orang lain atas kegagalan program ini.

Anonymous said...


Ini komen saya.

1. Saya tidak nampak sebarang niat sukaguam mahu mensabotajkan PM kerana program tersebut adalah program yang baik dan platform terrbaik bagi menjelaskan isu 1MDB.

2. Kehadiran yang begitu ramai di PWTC merupakan bukti bahawa rakyat mahu PM menjawab soalan2 yang mereka bangkitkan. Selama ini PM takut untuk berdepan dengan rakyat. Hanya berani bercakap secara one way communication iaitu bercakap di TV, di majlis keramaian, melalui blog, FB dan soalan bertulis di Parlimen.

3. Apa yang rakyat hendak ialah PM menjawab soalan mereka mengenai 1MDB dan bukan PM memberitahu rakyat apa yang PM nak rakyat tahu.

4. Tun M merupakan jurucakap rakyat mengenai 1MDB. Maka program sukaguam adalah platform terbaik utk PM berdepan dan menjawab soalan Tun M once and for all.

5. Selama ini soalan Tun tidak dijawab. Tun bertanya kenapa IPP dibeli dengan harga begitu mahal sekali? Kenapa tanah kerajaan dijual kpd 1MDB begitu murah sekali? sehingga hari ini PM elak menjawab soalan ini. Kenapa? Ada penipuan ke?

6. sy nasihatkan PM, lihat balik semua jawapan yg dibuat mengenai 1MDB sebelum menuduh diputarbelitkan.

7. Pd pandangan saya PMO kacau bilau. Tiada perancangan. Penasihat lemah

inilah pandangan sy yg kurang bijak ini