Sabbaruddin Chik salahkan menteri, kontrak pengerusi Bank Rakyat tak diperbaharui
Bekas Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Sabbaruddin Chik mendedahkan khidmatnya tidak disambung gara-gara pinjaman bernilai RM40 juta yang dibuat oleh seorang individu yang rapat dengan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak.
Sabbaruddin memberitahu The Malaysian Insider, individu tersebut menggunakan jaringan politiknya untuk melangsaikan baki pinjaman berjumlah kira-kira RM32 juta tanpa faedah.
"Individu yang berhutang tersebut tidak sepatutnya berbincang dengan menteri, hutang beliau dengan Bank Rakyat jadi kenapa perlu jumpa menteri?".
Sabaruddin mendedahkan individu tersebut bertemu dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek yang bertindak masuk campur tangan.
"Malah apabila menteri dapat tahu, dia berkata 'saya boleh pecat kamu semua'," kata Sabbaruddin merujuk kepada Hasan.
Sabbaruddin memberitahu Lembaga Pengarah Bank Rakyat pada mulanya untuk menolak penyelesaian mudah yang diberikan bagi menyelesaikan baki pinjaman individu tersebut dengan tempoh bayaran selama 10 tahun melalui 120 keping cek "post dated".
"10 tahun bayar hutang tanpa faedah, maknanya bank rugi tanpa faedah," kata Sabaruddin menjelaskan mengenai penyelesaian mudah tersebut.
Menurut Sabbaruddin, selepas keputusan tersebut, Hasan tidak berpuas hati dan enggan menandatangani surat untuk menyambung khidmat beliau sebagai pengerusi Bank Rakyat.
"Sebenarnya penggal saya berakhir pada 8 April dan Bank Negara sudah bersetuju, tetapi menteri tidak mahu menandatangan," katanya.
Malah, Sabbaruddin juga mendedahkan Hasan mengadakan pertemuan dengan individu tersebut di luar pengetahuan Bank Rakyat pada Januari lalu.
"Selepas itu baru kita tahu sudah ada mesyuarat pada Januari lalu, cek sudah tersedia untuk bulan Januari, Februari dan Mac cuma tunggu didepositkan sahaja," kata Sabbaruddin.
The Malaysian Insider difahamkan individu yang berhutang tersebut merupakan pemilik kepada sebuah syarikat karpet di ibu kota yang pernah menimbulkan kontroversi sebelum ini.
Sabbaruddin juga menunjukkan surat yang ditandatangani oleh Hasan kepada The Malaysian Insider yang secara jelas mendedahkan perbincangan pada Januari dan mengarahkan Bank Rakyat supaya mengikut telunjuknya.
Kemelut tersebut menjadi serius apabila Pengarah Urusan Mustafa Razak diarahkan membawa perkara tersebut ke Lembaga Pengarah Bank Rakyat untuk bersetuju dengan pembayaran hutang itu pada Mac lalu.
Bahkan, Sabbaruddin berkata Bank Rakyat sehingga kini tidak lagi mempunyai pengerusi selepas khidmatnya tidak disambung.
"Sampai hari ini, pengerusi baru Bank Rakyat belum ada pengganti," kata beliau.
Cubaan The Malaysian Insider menghubungi Hasan gagal kerana beliau sekarang ini berada di luar negara atas urusan kerja.
Individu berhutang itu pernah mencetuskan kontroversi sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tahun lalu.
Beliau juga pernah menyaman Putrajaya kerana melanggar perjanjian tanah di Bukit Raja, Selangor, dan ditarik balik pada hari yang sama.
Kemudiannya, syarikat milik tabung kerajaan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Boustead Holdings Bhd mengumumkan pada 2012 membeli 80% saham syarikat individu tersebut, Astacanggih Sdn Bhd dan sebidang tanah bernilai RM130 juta milik Awan Megah Sdn Bhd, syarikat ketua wanita Umno Selangor Senator Datuk Raja Ropiaah Abdullah. – 26 Mei, 2014.
JELAPANG:
1. Beginikah kita mengurusakan wang rakyat? Umum mengetahui penyimpan dan pemegang saham Bank Rakyat adalah terdiri majoritinya kakitangan kerajaan. Apakah cara Bank Rakyat menguruskan simpanan rakyat ini juga diamalkan oleh kerajaan di institusi lain? Bukan main susah kita hendak mendapatkan pinjaman dari bank kepunyaan kerajaan. Tak cukup dengan penyata bank, kita kena buat kertas kerja. Separuh nyawa dibuatnya nak dapatkan RM30,000 pinjaman dari Bank Rakyat. Tetapi kalau ada jaringan politik seperti kata Sabaruddin, semuanya MUDAH. RM30 juta perkara biasa. Ini cara Malaysia, bakal negara maju.
2. Benarkah tuduhan Sabaruddin ini? Ini bukan main-main punya tuduhan. Ia dibuat oleh BEKAS Setiausaha Agung Umno, Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Timbalan Menteri Kewangan dan Ahli Parlimen Temerloh dan masih Ahli Umno. Bank Rakyat menafikan kontrak Sabaruddin tidak disambung semula kerana isu tersebut tetapi tidak pula menafikan segala tuduhan beliau.
Benar atau tidak. Atau faktor umur yang lanjut mungkin menyebabkan daya ingatan Sabaruddin lemah sehinggakan membuat tuduhan yang bukan-bukan? Biasalah kadang-kadang bila sudah lanjut umur, masalah nyanyuk akan menyerap ke diri seseorang. Tetapi bukan tujuan Jelapang menghina orang tua-tua kerana Hassan Malek pun tua.
3. Jelapang terbaca kenyataan PKR yang mendesak SPRM menyiasat Hassan Malek. Inilah perangai pembangkang. Bila ada saja cerita seumpama ini, ungkapan popular mereka ialah mendesak SPRM menyiasat.
Marilah kita sama-sama merayu kepada Kerajaan dan SPRM. Janganlah ikut telunjuk pembangkang ini. Jangan layan kerenah mereka.
Tak payah siasat kes-kes seumpama ini. Sebarang siasatan akan melibatkan duit rakyat. Sudah berapa banyak duit rakyat kita habiskan untuk menjalankan siasatan seumpama ini. Kita siasat Musa Aman. Kita siasat Menteri Besar Negeri Sembilan Mohamad Hassan. Kita siasat Taib Mahmud (Jelapang ingin mengucapkan tahniah kepada Taib sempena penganugerahan darjah Tun hari ini). Sampai ke luarnegara kita siasat.
Hasilnya, samada siasatan kes belum selesai atau tiada kes.
Oleh itu JANGANLAH kita bazirkan duit rakyat.
Sekali lagi saya merayu, janganlah disiasat kes Hassan Malek dan Bank Rakyat demi kepentingan rakyat. Tak usahlah kita membazir duit rakyat dengan satu lagi siasatan oleh SPRM.
3 comments:
Sdra,
Kes ini kalau sah adalah serious kerana ia melibatkan salah guna kuasa.
Orang pertama yang harus di siasat ialah Pengarah Urusan Bank Rakyat sendiri kerana menurut kata menteri sedangkan beliau merupakan seorang FELLOW CERTIFIED PUBLIC ACCOUNTANT.
Maaflah, kalau dibiarkan kes ini tanpa disiasat nanti ia akan menjadi ikutan-"precedent".Saya selaku seorang Pengerusi KOPERASI pun amat meargui kredibiliti DTK HASAN, sememangnya ada usul dari ahli-ahli koperasi untuk mengantar memorandum bagi menukar menteri ini.
Bayangkan kalau tiada tindakan ,maka sesiapa yang meminjam dengan BANK RAKYAT hanya perlu dapatkan tanda tangan menteri supaya pinjaman -pinjaman ini tidak di kenakan faedah.
HC-ex banker cum PENGERUSI Koperasi yang juga ahli UMNO.
minta penjelasan sikit...tak siasat adakah bermaksud kita biar saje bende2 mcm ni berlaku? sapu bawah karpet peminjam yg menjual karpet..?
Kesian pada rakyat semua.
Yang diatas makan isi sedap-sedap.
Rakyat jelata dapat tulang dan kuah.
Bank Rakyat jaga kroni menteri saja.
Post a Comment