Tuesday, May 6, 2014
ROMBAKAN KABINET? BERANI KAH NAJIB?
MINGGU hadapan, tanggal 16 Mei 2014, lengkaplah tempoh satu tahun perkhidmatan anggota Kabinet yang ada pada hari ini.
Seperti biasa, apabila cukup tempuh satu tahun, disertakan dengan kenyataan Najib Razak bahawa beliau akan menentukan tarikh pemimpin MCA akan menyertai semula Kabinet, maka tersebarlah khabar angin bahawa satu rombakan Kabinet akan dibuat oleh Najib Razak.
Heboh bahawa Najib akan mengumumkan rombakan Kabinet esok atau lusa dan majlis mengangkat sumpah untuk Menteri-Menteri baru akan diadakan Jumaat ini.
Sudah menjadi kelaziman apabila ada khabar angin seumpama ini, maka ada pemegang jawatan yang tidak lena tidur. Mungkin ada yang sudah bertemu bomoh dan sebagainya.
Kepada yang tidak memegang apa-apa jawatan, inilah peluang untuk berangan-angan semula selepas setahun kecewa.
Sesetengah pemimpin yang tidak berjawatan, memberi pengharapan kepada penyokong-penyokongnya bahawa kononnya mungkin beliau terpilih menganggotai kabinet atau menerajui kepimpinan di peringkat negeri.
Dalam merebut jawatan, tiada kawan. Yang ada hanya lawan. Masing-masing mahu berebut tempat yang terhad.
Siapa "pandai", dia dapat. Siapa "berani gempaq", dia dapat.
Dulu beberapa pemimpin bukan main kuat "gempaq", akhirnya dapat jawatan Menteri Kabinet.
Tak perlu kita sebut nama-nama mereka di sini, di kalangan akar umbi Umno tahu siapa yang berjaya "gempaq PM."
Di peringkat negeri, katanya, dua Menteri Besar dan satu Ketua Menteri akan diganti.
Tak semena-mena, kita terdengar kenyataan Ketua Pemuda Terengganu Johari Abu Bakar bahawa beliau menyokong kepimpinan dan akan berdiri tefguh di belakang Menteri Besar Ahmad Said. http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PemudaUMNOTerengganuikrarsokongMB/Article/index_html
Kenyataan ini memudahkan kita membuat kesimpulan bahawa Ahmad Said adalah salah seorang yang dikatakan akan diganti oleh Najib sebagai Menteri Besar.
Seorang lagi katanya ialah samada Menteri Besar Negeri Sembilan Mohamad Hassan atau Menteri Besar Pahang Adnan Yaakob sementara Ketua Menteri nya pula ialah Musa Aman di Sabah.
Ini semua hanyalah spekulasi.
Sebelum kita menerima spekulasi ini sebagai realiti, kita kena analisa pula perwatakan Najib.
Perwatakan politik Najib masih sama seperti mana beliau mula-mula memegang jawatan Ketua Pemuda Umno.
Beliau tetap dengan "politik selamat" beliau dan takut bila diugut.
Menteri-menteri yang pernah "gempaq" Najib tahu kelemahan beliau.
Oleh itu, Jelapang tidak yakin akan ada rombakan besar akan dilakukan oleh Najib.
Siapa yang hendak disingkirkan beliau?
Menteri-Menteri dan Timbalan Menteri dari Sabah dan Sarawak hanya akan diganti sekiranya presiden-presiden parti komponen BN di Sabah dan Sarawak mahukan mereka-mereka ini digantikan.
Di semenanjung, Presiden MIC G.Palanivel akan kekal sebagai Menteri walaupun sehingga hari ini kita masih tertanya-tanya apa sumbangan beliau kepada Kabinet dan apa kerja yang beliau buat di Kementerian beliau.
Palanivel akan kekal Menteri walaupun prestasi beliau teruk kerana beliau Presiden MIC dan tidak boleh disentuh.
Yang boleh disentuh oleh Najib ialah Menteri-Menteri dari Umno. Tetapi siapa?
Muhyiddin Yassin tidak boleh disentuh kerana beliau Timbalan Presiden Umno.
Hishammuddin Hussein, Shafie Apdal dan Zahid Hamidi akan kekal Menteri kerana mereka Naib Presiden Umno.
Khairy Jamaluddin masih muda dan Ketua Pemuda Umno.
Mustafa Mohamad, Ismail Sabri, Jamil Khir, Idris Jusoh, Shabery Chik, Abdul Rahman Dahlan antara mereka yang menang besar semasa pemilihan Ahli Majlis Tertinggi Umno dan beranikah Najib menggugurkan mereka?
Semua orang tahu Najib tidak akan berani mengugurkan Nazri Aziz.
Maka, hanya SEORANG saja lah yang mungkin digugurkan sebagai Menteri iaitu Hassan Malek dari Negeri Sembilan.
Setahun mungkin sudah mencukupi untuk Najib membalas hutang budi Hassan pada 1987.
Nasib Hassan dihujung tanduk. Tidak mengapa dikritik hebat kerana usia dan kegagalan menangani isu kenaikan harga, tetapi sekiranya Hassan digugurkan, tidak akan ada sesiapa yang menangis atau merayu bagi pihak beliau.
Kecualilah tiba-tiba Hassan Malek jadi "kaki gempaq".
Negara kita sudah sampai ke satu tahap, kita sudah tidak pedulikan kritikan orang.
Usia purata Menteri Kabinet Najib ialah 61.46 tahun dengan Hassan Malek sebagai Menteri tertua pada usia 68 tahun diikuti oleh Muhyiddin Yassin dan Paul Low, 67 tahun dan Palanivel 65.
Usia purata Timbalan Menteri ialah 54.82 tahun dan antara Timbalan Menteri yang tua ialah Tajuddin Rahman pada usia 66 tahun, Wan Junaidi Jaafar (68 tahun), Hilmi Yahya (65 tahun) dan Ahmad Bashah Md Hanipah (64 tahun).
Sepatutnya, timbalan menteri adalah di kalangan pemimpin-pemimpin muda untuk dibimbing sebagai pemimpin pelapis, tetapi disebabkan kena "gempaq" dan nak jaga hati semua orang, barisan pelapis pun dari golongan berusia.
Apabila barisan Kabinet yang ada diumumkan setahun yang lalu, ramai mengkritiknya sebagai Barisan Kabinet yang paling lemah dalam sejarah pentadbiran negara.
Setahun sudah berlalu dan kita sendiri dapat melihat betapa lemahnya barisan yang ada, tetapi, sikap kita ialah "kita tak peduli apa orang lain kata".
Kalau media barat kritik kita, kita sangkal mereka dengan menuduh mereka ada agenda dan jangan percaya media barat.
Kalau teguran itu datangnya dari dalam, kita jangan pedulikannya kerana "Melayu terbukti mudah lupa."
Oleh itu, jangan lah kita mengharap.
Najib tidak akan berani buat apa-apa.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Belum kenyang Bang ooi. Projek baru nak jalan, nak tukar orang pulak.
Post a Comment