BERUBAH. Hanya satu jalan untuk Umno dan Barisan Nasional untuk terus kekal mentadbir negara selepas pilihanraya umum yang akan datang iaitu BERUBAH.
Keputusan pilihanraya kecil Bukit Gantang dan Bukit Selambau mempunyai mesej yang jelas kepada Umno dan BN iaitu BERUBAH atau rakyat tidak takut untuk membuat PERUBAHAN kalau Umno dan BN keras kepala dan tidak mahu BERUBAH.
Rakyat termasuk orang Melayu tidak lagi boleh diugut, diancam, diperbodohkan dan diperkotak-katikkan dengan retorika Umno. Mesejnya, orang Melayu tidak lagi boleh diperbodohkan dengan slogan-slogan hilangnya Ketuanan Melayu dan penderhakaan kepada Raja.
Apa yang berlaku di Bukit Gantang pasti menakutkan dan membuntukan pemimpin Umno. Sebelum ini orang Melayu diingatkan jangan derhaka kepada Raja, orang Melayu ditakutkan akan kehilangnya ketuanan Melayu. Malang buat Umno, pengundi Bukit Gantang tidak termakan retorika sedemikian.
Apa maknanya Ketuanan Melayu sekiranya orang di desa kais pagi makan pagi, kais petang, makan petang, ketika pemimpin Umno hidup selesa, kaya raya. Orang Melayu tidak pernah derhaka kepada Raja. Kalau nak menderhaka pun, kita memohon untuk derhaka. Itulah sopan santun orang Melayu.
Umno dilamun kejayaan zaman silam. Di zaman silam, bila berlaku perubahan pucuk pimpinan, BN akan menang besar. Bila Tun Mahathir Mohamad bersara, Tun Abdullah Ahmad Badawi menang besar. KIta war-warkan pada orang Melayu. Ingatlah perjuangan untuk bangsa, agama dan negara. Begitulah dengan sejarah Umno. Kami rakyat juga dah lama berjuang untuk agama, bangsa dan negara tetapi tidaklah sekaya pemimpin Umno. Malangnya perjuangan kami hanya setakat boleh hidup untuk mati.
Perletakan jawatan Tun Abdullah baru-baru ini kononnya mampu meniup semangat baru kepada Umno. Umno menjangkakan akan menang di Bukit Gantang dan Bukit Selambau. Hari ini adalah satu tragedi buat Umno dan BN.
Separuh dari orang Melayu menolak Umno dan orang bukan Melayu terus mengenepikan BN. Apa jalan penyelesaiannya. Jawapannya mudah. BERUBAH.
Esok, Perdana Menteri dijangka akan mengumumkan barisan Kabinet beliau. Siapa yang hendak dipilih Najib?
Apakah mereka-mereka ini anggota barisan yang sanggup berubah? Pemilihan baru-baru ini memberi gambaran bahawa Umno tidak akan berubah. Siapakah pemimpin-pemimpin Umno yang terpilih baru-baru ini?
Siapa mereka? Mereka adalah anak-anak dan menantu bekas Perdana Menteri. Anak-anak orang politik berada. Hidup senang lenang dengan kebangsawanannya. Tiada seorang pun di atas pentas Umno baru-baru ini yang hidup papa kedana macam kita, rakyat jelata. Ada yang pakai Porsche, ada yang memandu Hummer, ada yang ke sana-sini menggunakan jet peribadi, ada yang pernah berkahwin anak raja, ada yang pernah dituduh melakukan gangguan seksual terhadap wanita, ada yang dituduh berniaga sambil menikmati hidup selesa sebagai Menteri, ada pernah "menarah bukit" sehingga Kementeriannya menjadi "padang jarak padang terkukur" dan ada di kalangan Menteri yang begitu angkuh sehingga nak menjalankan tugas-tugas rasmi pun kena naik kapalterbang kelas satu bukan ekonomi.
Siapakah yang di atas pentas Umno tempoh hari yang tidak mempunyai mahligai indah? Siapa yang di atas pentas Umno tempoh hari yang kais pagi makan pagi?
Di mana guru-guru yang dahulunya memperjuangkan Umno dan orang Melayu? Di mana pemimpin Umno yang sanggup bergadai golok demi kepentingan orang bawahan?
Esok, hanya satu harapan kita apabila Najib mengumumkan barisan Kabinet. Kita mahu melihat Najib tidak pilih kawan untuk berada dalam Kabinetnya. Kita tidak mahu Najib memilih pemimpin yang mengharap untuk menongkat langit untuk membarisi Kabinetnya. Kita tidak mahu orang yang sudah diselaputi lumpur dipilihnya sebagai Menterinya.
Kita mahu kualiti. Kita mahu keikhlasan. Kita mahu melihat pembersihan dalam Umno. Kita tidak mahu melihat separuh dari khazanah negara digunakan untuk memberi kemewahan kepada pemimpin-pemimpin Umno dan anak-anak mereka. Kita tidak mahu perasuah menjadi pemimpin kita.
Kita nak lihat ini semua, Datuk Seri Najib. Dengarlah rintihan kami. Kalau rintihan ini dihindari, bukan salah kami, rakyat papa kedana ini akan pastikan perubahan cara kami. Oleh itu BERUBAH lah.
Tuesday, April 7, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
aku setuju kau suruh umno berubah. apa yg kau tulis tu betul. tapi bagilah cadangan. apa yang patut umno buat. apa yang patut diubah. janganlah hentam jer.
aku tahu kau mesti orang politik jugak ni. mesti banyak benda yang kau tahu.
kau mesti banyak cadangan. cuba tulis apa bendanya yang patut umno buat.
janganlah berselindung di balik tabir. tampillah dan bagi cadangan tu.
aku rakyat biasa. aku tak tahu apa yang orang lain nak
Post a Comment