Ada yang setuju dengan pandangan ini. Memang benar pilihanraya kecil banyak membuang masa, tenaga dan wang ringgit.
Tetapi apa salahnya mengadakan pilihanraya kecil untuk membetulkan kesilapan? Mengadakan pilihanraya kecil bukan perkara baru dalam politik negara.
Barisan Nasional pernah mengosongkan kerusi selepas Muhammad Muhammad Taib meletakkan jawatan pada 1997. Dua kerusi dikosongkan ketika itu. Abu Hassan Omar mengosongkan kerusi Parlimen Kuala Selangor dan Adun Permatang Jamaluddin Adnan mengosongkan kerusi beliau pada 2 Mei 1997.
Pilihanraya kecil Kuala Selangor dan Permatang diadakan serentak pada 29 Mei 1997 dan Abu Hassan menang dan dilantik sebagai Menteri Besar Selangor yang baru.
Sentimen pilihanraya kecil membazir hanya sentimen Barisan Nasional yang tidak sanggup lagi mengharungi pilihanraya kecil yang mana trend pengundi pada hari tidak lagi menyebelahi BN. Sejak PRU Mac 8, 2008, 4 pilihanraya kecil (Parlimen: Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang dan Negeri: Bukit Selambau) sudah diadakan. BN tewas kesemuanya.
Sentimen pilihanraya kecil merugikan hanya merupakan sentimen BN yang tidak sanggup lagi berhadapan dengan rakyat.
Pilihanraya kecil harus dilihat sebagai platform membetulkan kesilapan. Wakil Rakyat yang terlibat dengan jenayah samada seks, rasuah dan jenayah lain serta kegagalan beliau menjalankan tanggungjawab kepada rakyat dan pengundi harus disingkirkan dan pilihanraya kecil diadakan.
Bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Mohamad Fairus Khairuddin yang juga Adun Penanti tidak layak mewakili pengundi Penanti selepas beliau disiasat berhubung kes rasuah. Adun harus mempunyai imej bersih dan Fairus menghadapi masalah dengan imej beliau. Beliau dilihat tidak efisyen dan tidak bersih.
Maka pemimpin seperti Fairus tidak layak memimpin. Maka jalan terbaik ialah memberi peluang baru kepada pemimpin memilih wakil yang mereka rasakan layak dan bersih untuk mewakili mereka. Kalau pengundi selepas ini membuat keputusan memilih BN pula, kita terima keputusan itu.
Apa ada pada perbelanjaan RM5 juta untuk mengadakan pilihanraya kecil. Kita pernah membazir ratusan juta ringgit untuk perkara lain.
Mana-mana pemimpin tidak kira dari pembangkang atau BN harus mengundur diri jika imej mereka tercemar dan tidak efisyen. Kalau mereka enggan, pucuk pimpinan harus menyingkirkan mereka. Inilah demokrasi dan keterbukaan. Kepentingan rakyat mendahului parti.
Ramai pemimpin BN yang tercemar imej mereka. Ada yang dituduh menyalahgunakan kuasa ketika menjadi Menteri, ada yang dituduh menyalahkan gunakan wang kerajaan untuk bercuti, ada yang didapati bersalah terlibat dengan politik wang dan masih kekal sebagai Ketua Menteri dan memegang jawatan tinggi dalam parti dan ada dituduh melakukan jenayah gangguan seksual. Tetapi mereka ini masih lagi kekal ahli Parlimen dan pemimpin rakyat.
Kalau kita benar-benar mahu membersihkan politik kita, mereka-mereka ini harus digantikan. Biarlah pengundi dan rakyat tentukan siapa yang mereka mahu mewakili mereka. Harga demokrasi dan pemimpin yang bersih nilainya bukan RM5 juta.
Pemimpin yang mulia, tidak ternilai harganya.
1 comment:
Fairus dah undur diri bagi adakan pilihanraya kecil. Elizabeth wong yg tak bersih perilaku tu pun bila lagi!
Khir Toyo yang ditelanjangkan Selcat, KJ yang sah politik wang dan Adun Lenggeng Negri Sembilan kena tangkap dan dakwa rasuah pun bila nak undur!!!
Semua pun serupa juga daaa!!!!!
DAH NASIB
Post a Comment