Saturday, April 11, 2009

HENTIKAN BUDAYA NEGARA DUNIA KEDUA

















Ini kali kedua Menteri Besar Negeri Sembilan Mohamed Hassan menempah iklan untuk mengucap tahniah kepada orang tertentu.
Hari ini ucapan tahniah yang dimuatkan di Berita Harian sebagai ucapan tahniah diatas perlantikan Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri. Kali pertama ianya ditujukan kepada isteri PM Rosmah Mansor kerana menghadiri satu majlis Bakti di Rembau Selasa lalu.
Mohamed sudah pasti dapat merasakan bahang peralihan kuasa. Mohamed Hassan kuat menyokong Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika beliau diasak bertubi-tubi untuk meletakkan jawatan. Malahan Mohamed juga pernah menemplak Muhyiddin kerana mengkritik Tun Abdullah di Singapura.
Hari ini, Mohamed mengucapkan tahniah kepada Muhyiddin. Nampak gayanya, dalam politik hari ini, orang politik menggunakan akhbar untuk melobi pemimpin.
Sepanjang kempen pemilihan Umno, Muhammad Muhammad Taib, Ali Rustam, Mustapa Mohamed, Ismail Sabri, Shabery Chik, Rahim Thamby Chik dan Noh Omar menggunakan iklan di akhbar untuk mewar-warkan betapa baiknya rekod khidmat mereka.
Ada yang menggunakan papan tanda billboard dan banner untuk menarik perhatian orang tertentu. Kini papan-papan tanda ini perlu diturunkan kerana ada antara Menteri-Menteri ini sudah pun tidak berjawatan. Maka perlulah kementerian menamatkan kontrak billboard ini dan mengeluarkan lagi peruntukan untuk menurunkan papan tanda ini
Kita berharap di zaman Najib ini berakhirlah budaya negara-negara dunia kedua dahulu yang meletakkan papan tanda pemimpin dengan mengharapkan mereka dipuja setiap masa.
Apapun memang patut Mohamed Hassan berada di dalam kegusaran. Beliau tewas dalam pertandingan Majlis Tertinggi baru-baru ini. Kekalahan ini boleh menjadi penyebab untuk Mohamed Hassan disingkirkan sebagai Ketua Perhubungan Umno Negeri Sembilan dan tidak memeranjatkan beliau juga hilang jawatan Menteri Besar.
Malah Menteri-Menteri Besar dan bekas Menteri Besar lain juga perlu merasa bimbang menanti keputusan Presiden parti samada mereka kekal di jawatan masing-masing.
Menteri Besar Perlis Isa Sabu, bekas Menteri Besar Kedah Mahadzir Khalid, Menteri Besar Terengganu Ahmad Said, Menteri Besar Pahang Adnan Yaakob dan Menteri Besar Johor Ghani Othman pasti ternanti-nanti akan keputusan Najib.
Ada antara mereka yang kalah dalam merebut jawatan Majlis Tertinggi. Ada yang kalah dalam memimpin pilihanraya kecil.
Najib sudah menjanjikan perubahan dan perubahan sudah dibuat di dalam jemaah kabinet. Beberapa hari lagi Najib akan mengadakan mesyuarat pertama Majlis Tertinggi Umno. Ketika itu kita merasakan Najib akan menentukan kepimpinan baru Umno negeri.
Mereka-mereka yang tidak berkesan pastinya akan digugurkan.

No comments: