skip to main |
skip to sidebar
MALAM tadi BN mengumumkan MANIFESTO untuk PRU-14.
Buat pertama kali, manifesto BN sudah menjadi macam Belanjawan Tahunan Negara.
Apakah ia bermaksud BN terdesak? Apakah Najib Razak mengetahui bahawa hanya dengan cara ini dapat menyelamatkan BN? Adakah ini tanda-tanda akan berlaku Tsunami Melayu?
Semua JANJI-janji ini termasuk kenaikan GAJI kakitangan awam hanya akan dilaksanakan selepas berakhirnya PRU-14.
Satu soalan yang sedang berlegar di media sosial - DARI MANA DATANGNYA DUIT UNTUK MELUNASKAN SEMUA JANJI-JANJI INI?
Tanpa GST, kerajaan tak ada wang. Hendak hantar pelajar Malaysia ke luar negara pun tak mampu, di sekolah-sekolah, guru-guru meminta bantuan ibubapa untuk membeli kertas photostat.
Adakah GST akan dinaikkan lagi?
Tidak sepatah pun kerajaan menyentuh dan menjanjikan GST tidak akan dinaikkan lagi di dalam manifesto semalam.
Sudah menjadi lumrah sebelum ini, selepas PRU berbagai harga barang dan perkhidmatan dinaikkan. Selepas PRU-13 berikut antara kenaikan yang dibuat oleh kerajaan,
1. 1 Jan 2014: Tariff letrik dinaikkan 15%.
2. 15 Okt 2015: Kadar TOL dinaikkan antara 10 sen dan RM3 di 18 lebuhraya.
3. 10 Mei 2017: Harga gula dinaikkan 11 sen
4. 1 Disember 2014: Harga petrol RON 95 diapungkan.
5. 1 April 2015: GST diperkenalkan
6. 1 Mac 2016: Subsidi tepung ditarik.
Apakah pemberian berbentuk wang yang diumumkan semalam akan digantikan dengan kenaikan cukai dan harga barangan?
Itu soalan kita.
SEKARANG musim berJANJI. Musim janji pilihanraya. Masa inilah nak janji apa-apa pun, bulan pun boleh, bintang pun boleh.
Esok Pas akan pula war-warkan janji mereka. Sudah berpuluh tahun Pas berjanji, kesudahannya hanya tinggal janji lebai malang.
Rabu lepas Pakatan Harapan melancarkan buku janji mereka dikenali sebagai "Buku Harapan".
Seperti biasa. Buku janji Pakatan Harapan diperlekehkan oleh pimpinan Umno.
TIDAK lama lagi, Najib Razak pula akan melancarkan JANJI BN kepada pengundi.
Seperti biasa, pelancarannya akan dibuat besar-besaran di Stadium. Ratusan bas dari Perlis hingga Johor akan membanjiri ibukota membawa bersama penyokong Umno meraikan Buku Janji Umno dan BN.
JELAPANG ingin mencadangkan, sebelum manifesto BN dilancarkan, Najib adakan satu majlis sama seperti majlis GTP yang pernah beliau lakukan.
Bawa Menteri-Menteri BN dan pemimpin Umno ke auditorium RTM. Buat siaran langsung.
Nyatakan berapa banyak JANJI PRU13 telah terlaksana.
Contohnya:
1. Berapa banyak rumah PR1MA telah disiapkan. Janji 500,000 unit. Dah siap kesemuanya?
2. Lebuhraya Pan Borneo - sudah siap?
3. Mengurangkan tol dalam bandar berperingkat-peringkat. Berapa banyak tol sudah diturunkan harga?
4. Harga kereta murah? Sudah diturunkan 30%?
5. Memperluaskan bekalan air bersih ke seluruh negara. Dah buat ke belum?
Seperti juga dengan majlis GTP sebelum ini, Najib boleh meminta Pemandu Associates mengadakan majlis ini - majlis "report card" BN.
Kita yakin, jika Najib membentang pencapaian manifesto PRU13 beliau yang bertemakan "Janji ditepati, rakyat didahulukan", pasti parti pembangkang gundah gulana.