Wednesday, October 24, 2018

IRWAN SERIGAR DIDAKWA ESOK






Irwan Serigar ditahan SPRM, didakwa esok


Sharaimei Shaik Ahmedullah & Hakimi Ismail

24 Oktober 2018 6:20 PM

PUTRAJAYA 24 Okt. - Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Irwan Serigar Abdullah hari ini ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes pecah amanah membabitkan firma pelaburan Abu Dhabi iaitu International Petroleum Investment Company (IPIC).

Menurut sumber, beliau ditahan selepas hadir ke ibu pejabat SPRM di sini bagi memberi keterangan pada pukul 3.25 petang.

Dalam pada itu, SPRM dalam satu kenyataan berkata, Irwan Serigar akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bersama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak esok.

Sementara itu, SPRM turut menggeledah rumah Irwan Serigar di Presint 8 di sini selepas beliau dibawa keluar oleh lima pegawai SPRM pada pukul 4.30 petang dengan menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Honda Odyssey bewarna emas.

Menurut sumber, SPRM ke rumahnya untuk menggeledah bagi mendapatkan bukti mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan IPIC.

Operasi mengeledah rumah bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan itu berakhir 15 minit kemudian sebelum beliau dibawa semula ke ibu pejabat SPRM untuk meneruskan sesi mengambil keterangan.

Ketika keluar dari rumah tersebut, pegawai SPRM dilihat membawa satu beg bimbit dan dua pasang blazer atau kot dipercayai miliknya.

Beberapa petugas media yang terdiri daripada wartawan dan jurugambar turut berada di rumah beliau untuk merakam sesi geledah itu namun, dihalang oleh ahli keluarganya.

Jurugambar turut diminta oleh ahli keluarganya agar memadam gambar yang diambil kerana dakwa mereka tindakan itu seolah-olah tidak menghormati privasi. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/irwan-serigar-ditahan-sprm-didakwa-esok-1.774164#ixzz5UrF6oYPM
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments: