Showing posts with label brim. Show all posts
Showing posts with label brim. Show all posts

Tuesday, March 7, 2017

KEPADA PENSYARAH UNIVERSITI YANG TELAH DIBUANG, BERSABARLAH. ANDA LAYAK DAPAT BR1M


SEMALAM akhbar utama negara yang menyokong Umno menyiarkan satu berita yang tidak mengejutkan kita.

Ini laporan Berita Harian:
Hampir 6,000 pensyarah itu termasuk profesor diberhentikan dan tidak disambung kontrak perkhidmatan mereka sejak tahun lalu disebabkan universiti awam dihimpit masalah kekangan kewangan yang meruncing.

Kini dianggarkan hanya tinggal 29,000 pensyarah universiti awam berbanding jumlah seramai 35,000 orang yang direkodkan sebelum ini.

Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia, (MAAC) Prof Datuk Dr Mohd Idrus Mohd Masirin, berkata pengurangan bajet pada tahun lalu antara 30 hingga 40 peratus untuk setiap universiti awam oleh Kementerian Pendidikan Tinggi memaksa pengurusan universiti tidak menyambung kontrak pensyarah berkenaan.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan ada pensyarah yang diberhentikan sebelum kontraknya tamat.

"Pihak universiti tiada pilihan lain selain terpaksa mengurangkan jumlah kakitangan akademik yang diambil secara kontrak dan sementara,"

"Ada universiti terpaksa membekukan pengambilan kakitangan pentadbiran untuk mengurangkan kos malah ada juga di universiti memutuskan untuk tidak memperbaharui atau mengambil staf akademik walaupun secara kontrak atau sementara,"

Jika mengambil kakitangan tambahan sekalipun ia mungkin membabitkan bidang kritikal sahaja, tetapi bukan jawatan tetap kalau sebelum ini pensyarah itu seorang profesor dengan gaji Jusa A mungkin gaji Jusa C yang jauh lebih rendah akan ditawarkan kepadanya.
Semalam kerajaan TIDAK menafikan laporan ini, sebaliknya mengatakan jumlah bukan 6,000 TETAPI 2,000.

Rasanya pengarang berita sudah biasa dengan kerja nafi-menafi ini. Bila dikejutkan dengan realiti yang buruk - perkara pertama dilakukan ialah MENAFIKAN.

Tak pernah pun kita dengar, bapak MENTERI tampil dan memberi penjelasan kenapa mereka ini diberhentikan. Cakap terang-terang apa masalahnya. Setakat nafi jumlah saja.

Kepada pensyarah-pensyarah yang telah diberhentikan ini, bawalah bersabar.

Kita kena sentiasa ingat - BERSABAR ITU SEBAHAGIAN DARI IMAN.

Janganlah marah-marah kerajaan. Jangan ke kedai-kedai kopi balun kerajaan. Tolong jangan.

Dulu masa ada kerja, masa dapat RM10,000 sebulan, kerajaan ini yang bagi kerja.

Hutang budi kena dibayar. Ingat itu. Kerajaan telah berbudi kepada anda, kenanglah budi itu.

Jangan hentam kerajaan, tolonglah.

Ingat pesanan pemimpin, jangan tanya apa sumbangan kerajaan kepada kita, tanya apa sumbangan kita kepada kerajaan.

Ramai orang susah, tetapi kerajaan dah bantu.

Pensyarah-pensyarah ini kini layak mendapat BR1M. Insyaallah dapatlah BR1M nanti.

Kita kena berterimakasih. Jumlah penerima BR1M pun sudah bertambah. Dah dekat 7 juta katanya, satu ANGKA yang amat diSUKACITA oleh Perdana Menteri kita. http://www.malaysiakini.com/news/373902

Najib Razak baru-baru ini amat sukacita. Ini kata beliau:

Saya lihat ramai tanya di FB, Twitter & IG mengenai BR1M. Sukacita saya maklumkan, Insya-Allah BR1M akan diagihkan bermula 18 Februari ini. 7:51 PM - 27 Jan 2017
Kepada semua pensyarah-pensyarah yang telah diberhentikan, teruslah memberi sokongan kepada kerajaan.

Jangan kita puji kerajaan semasa kita ada kerja sahaja, kemudian hentam semasa kita diberhentikan.

Kena buang kerja perkara biasa, terimalah hakikatnya.

Tuan-tuan kena ingat, apabila mengundi nanti, tuan akan lupa semua kesusahan ini. Percayalah, tuan-tuan akan tetap mengundi Umno kerana kita semua takut kita mengemis di tanah sendiri.

Bersabarlah para pensyarah. Tak kisahlah 6,000 ke dibuang, 2,000 ke dibuang. 

Ingat perjuangan kita.

Sekali lagi, saya ingin memberi peringatan mesra, Tuan-Tuan pensyarah kini layak menerima BR1M.

Dan jangan lupa menyimpan keratan akhbar Berita Harian semalam.


Wednesday, September 10, 2014

TUN DR MAHATHIR: "KALAU SAYA PERDANA MENTERI SEKARANG, SAYA AKAN LETAK JAWATAN"


NAMPAKNYA, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan berhenti menegur Najib Razak.

Mungkin benar kata Mukhriz, anak Tun, bahawa teguran ini sebenarnya adalah "lahir dari sifat sayang Tun Dr Mahathir dan bertujuan memberi kekuatan kepada Perdana Menteri".
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140906/dn_17/Teguran-Tun-Mahathir-kerana-sayang---Mukhriz


Kritikan terbaru Tun Dr Mahathir di link ini: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140906/dn_17/Teguran-Tun-Mahathir-kerana-sayang---Mukhriz

Thursday, June 5, 2014

NOOR AZAM: KITA ADA WANG, TAPI RAKYAT TETAP MISKIN

Berikut ialah tulisan Noor Azam yang dimuatkan oleh akhbar Utusan semalam.



BR1M, subsidi, MAS: Tujuan mulia, matlamat tak sampai


SUDAH tiga kali diagih-agihkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Jumlahnya dinaikkan daripada RM300 kepada RM500 dan RM700. Subsidi petrol dan diesel pula disambung. Setiap tahun tambahan modal untuk 'selamatkan' MAS turut diteruskan.

Tujuan bantuan kewangan ini baik tetapi matlamat sebenarnya tak tercapai. Ada pula ketirisan, penyelewengan dan rasuah yang parah di kalangan pegawai.


Setiap kali dapat BR1M, habis dibelanja untuk macam-macam termasuk yang bukan keperluan asas. Macam budak-budak dapat duit raya setahun sekali! Rata-rata kehidupan penerima BR1M nampak tak berubah. Yang miskin tetap miskin. Yang susah tetap susah. Mereka tahu, tahun depan pasti ada BR1M lagi! Yang tak patut dapat pun, boleh dapat.


Tiada kerajaan lain di dunia - yang sepanjang masa - mengagih-agihkan wang untuk rakyat. Sebutlah kelompok mana pun, dari anak sekolah hingga orang tua, yang kerja sendiri dan yang berniaga, macam-macam persatuan dan rumah ibadat, pasti dapat bantuan. Maka dalam rekod Bank Negara, daya beli pengguna dalam negeri, bertambah. Belanja duit bantuan kerajaan.
Matlamat sebenar beratus juta subsidi minyak dan diesel, tak tercapai. Yang untung para peniaga, pencuri, perompak dan penyeludup dan pegawai penguat kuasa yang rasuah.

Mengikut laporan, sejak beberapa tahun lalu, kerajaan dan rakyat telah kerugian berbilion ringgit. Kisah pegawai rasuah adalah cerita lama yang dibongkar lagi oleh akhbar ini.

Kementerian Perdagangan Dalam Ne­geri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengisytihar perang melalui Ops Titik. Kita tunggu! Pengarah Penguat Kuasa KPDNKK dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia berkata: "Orang pertama saya hendak tendang ialah pegawai yang menyeleweng.

"Ramailah nanti pegawai yang akan terkangkang ke dalam longkang.
Wang subsidi berbilion itu, seharusnya dibelanjakan untuk keperluan rakyat yang memang perlu dibantu. Hospital, klinik dan doktor tak cukup.

Penderitaan rakyat miskin, termasuk kanak-kanak, dilapor dan dibongkar oleh media massa hampir setiap hari. Tetapi cerita rakyat miskin tidak tergolong berita penting. Kalau tidak ada pilihan raya, siapa yang peduli? Pemimpin dan ketoloi-ketoloi parti pembangkang - yang selalu berkokok pun - tak peduli!

Di kota raya kemegahan kita, Kuala Lum­pur, gelandangan bertambah ramai. Beberapa NGO turun padang memberikan bantuan makanan. Menteri dan pegawai Kebajikan Masyarakat entah di mana.

Sekolah agama rakyat dan sekolah tahfiz, menggunakan bermacam cara untuk memungut derma. Sudah bertahun-tahun pelajar dijadikan pengemis di merata masjid dan pekan. Menyedihkan dan memalukan Melayu-Islam!

Ada insan dan pertubuhan rakyat yang pemurah dan prihatin, menyediakan rumah tumpangan dan asrama untuk anak-anak yatim, fakir miskin dan wanita-wanita yang terlanjur ke jurang dadah dan pelacuran. Ada gereja yang menampung orang Islam yang dimamah virus AIDS. Tetapi ini bukan tanggungjawab mereka!

Semua yang saya sebut sepintas lalu ini - rakyat miskin, orang kurang upaya, sekolah agama dan sekolah tahfiz, gelandangan, penghidap AIDS dan korban dunia pelacuran - memerlukan bantuan terancang, bukan 'sedekah berterusan'.

Matlamatnya mestilah bagi membolehkan mereka mengubah sikap dan menanam keyakinan untuk memulakan kehidupan yang lebih bermakna. Tidak terus jadi pengemis, meminta-minta belas kasihan selagi hayat dikandung badan.

Kita ada banyak wang. Ada kementerian berwajib dan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Ada macam-macam pegawai yang dapat hadiah dan sanjungan. Ada jutaan hasil pungutan zakat. Baitulmal pun ada.

Ada juga pemimpin-pemimpin politik terutama semasa kempen pilihan raya gagah berpidato dan menabur janji di depan rakyat, tetapi setiap hari media menyiarkan berita dan cerita rakyat yang susah dan menderita. Bagai ayam di kampung Melayu, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Masih ada rakyat negara mewah ini yang hidup di bangsal buruk dan di bawah kolong jambatan!

Sudah banyak pandangan dan cadangan para ahli cerdik pandai, agar kerajaan memikirkan sistem dan cara memberikan subsidi dan bantuan. Para menteri, penasihat menteri dan pegawai-pegawai tinggi yang merumuskan dan melaksanakan dasar dan rancangan kerajaan, perlu menghayati pengakuan jujur Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa, 'era kerajaan tahu semua sudah berakhir'. Makna dan mesejnya luas dan dalam.

Sudah sampai masanya kita bedah dan potong mana yang perlu untuk selamatkan wang rakyat!


SIAPA Noor Azam?

M. Noor Azam, atau nama sebenarnya, Mohd. Noor bin Yusoff (Dato')ialah mantan Ketua Pengarang majalah Dewan Masyarakat, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka dan pernah juga bertugas sebagai Setiausaha Politik kepada Tun Mahathir Mohamad.