Saturday, June 25, 2016

MUHYIDDIN: SAYA DIPECAT KERANA SKANDAL MORAL NAJIB






"Malangnya saya dipecat kerana apa yang saya perkatakan selama ini menyentuh skandal moral dan kewangan paling besar dalam sejarah UMNO dan negara yang melibatkan Perdana Menteri. Segala-galanya berlaku hanya kerani kami mengambil langkah berani menegur Perdana Menteri yang sudah jauh tersasar daripada perjuangan UMNO yang asal." - Tan Sri Muhyiddin Yassin 25 JUN 2016
SELAMAT TINGGAL UMNO


KENYATAAN YB TAN SRI DATO' HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN

Setelah lebih empat dekad saya melalui perit jerih dan suka duka perjuangan dalam UMNO, semalam Majlis Tertinggi membuat keputusan untuk memecat saya daripada parti. Saya tidak pernah meninggalkan perjuangan parti atau mengkhianati parti. Saya cuma berkata benar kerana itulah prinsip yang saya junjung dalam perjuangan saya.

Malangnya saya dipecat kerana apa yang saya perkatakan selama ini menyentuh skandal moral dan kewangan paling besar dalam sejarah UMNO dan negara yang melibatkan Perdana Menteri. Sahabat saya Datuk Seri Mukhriz Mahathir juga dipecat dan Datuk Seri Shafie Apdal digantung keahlian. Segala-galanya berlaku hanya kerani kami mengambil langkah berani menegur Perdana Menteri yang sudah jauh tersasar daripada perjuangan UMNO yang asal.

Saya berasa kecewa kerana UMNO yang ada pada hari ini bukan lagi UMNO yang sebenar. Ia telah berubah menjadi sebuah parti yang dikuasai hanya oleh seorang individu yang sanggup melakukan apa sahaja untuk menutup kesalahannya dan menyelamatkan dirinya. Mereka yang melakukan perbuatan jenayah yang merosakkan imej parti dan integriti tidak menerima hukuman yang setimpal. Sebaliknya, mereka yang berjuang untuk menegakkan kebenaran dan keadilan dipecat daripada parti.

Mereka yang menguasai UMNO boleh melakukan apa sahaja terhadap saya, namun saya tidak rela hidup melutut. Bukan prinsip saya untuk tunduk bersekongkol dengan perbuatan jahat seorang pemimpin yang merosakkan bangsa dan negara.

Keputusan pemecatan saya ini telah pun saya duga dari awal. Maka semalam berakhirlah sejarah panjang perjalanan hidup saya yang penuh liku di dalam UMNO. Sejarah ini akan terus terpahat dalam ingatan saya kerana UMNO telah sekian lama menjadi sebahagian daripada denyut nadi dan darah daging saya. Hakikat ini tidak boleh dinafikan oleh sesiapapun hatta diri saya sendiri. Saya tidak pernah mengkhianati UMNO. Saya hanya menentang pemimpin UMNO yang korup dan menyeleweng.

Namun, jika mereka beranggapan perjuangan saya berkubur di sini, mereka silap. Saya akan terus berjuang selagi hayat dikandung badan. Biarlah mereka memecat saya dan melakukan apa sahaja untuk melunturkan semangat juang saya. Obor perjuangan di dalam jiwa saya akan terus menyala.

Walaupun tindakan terhadap saya daripada penggantungan jawatan sehingga pemecatan saya daripada parti bercanggah dengan proses keadilan dan tidak berperlembagaan, saya tidak akan merayu.

Saya redha dengan ketentuan Allah SWT. Saya telah melaksanakan tanggungjawab saya sebagai pemimpin UMNO dan akan tetap terus melaksanakan tanggungjawab saya kepada agama, bangsa dan negara seperti pejuang-pejuang bangsa kita sebelum ini. Bangkitlah bangsa Melayu memperjuangkan nilai-nilai moral dan integriti supaya kita tidak mudah diperkotak-katikkan oleh pemimpin yang rasuah dan tamak haloba.

Kepada para penyokong, saya tahu anda memahami pendirian saya. Teruskanlah perjuangan menegakkan kebenaran dan membela tanah air tercinta walau di mana sahaja anda berada. Insya-Allah kita akan terus bersama dalam perjuangan suci ini.

Kepada seluruh rakyat Malaysia, saya yakin anda boleh menilai yang mana benar dan yang mana salah, yang mana baik dan yang mana buruk. Anda pastinya tidak rela membiarkan negara ini diperlakukan sewenang-wenangnya oleh pemimpin yang rakus menyalahgunakan kuasa. Sebagai rakyat, anda berhak untuk membuat perhitungan yang terbaik demi masa depan anda, keluarga dan negara.

Saya menganggap pemecatan saya ini adalah satu lagi dugaan Allah SWT terhadap saya dalam bulan Ramadhan yang mulia ini. Saya yakin segala yang berlaku ada hikmahnya. Saya berdoa semoga sentiasa diberikan ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi ujian Allah dan segala urusan kita akan dipermudahkan oleh-Nya.


Allah s.w.t berfirman dalam Surah At-Taghabun ayat 11 yang bermaksud:
"Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa seseorang melainkan dengan izin Allah, dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku dengan tenang dan sabar) , dan ingatlah Allah maha mengetahui akan tiap- tiap sesuatu"

Sempena bulan Ramadan yang mulia dan Syawal yang bakal menjelma, saya menyusun sepuluh jari memohon kemaafan daripada seluruh ahli UMNO sekiranya terdapat sebarang kesilapan yang saya lakukan sepanjang saya berada di dalam parti.

Selamat tinggal UMNO.

Kepada Allah saya berserah.

TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN
25 Jun 2016

7 comments:

Anonymous said...



sabar lah tan sri. neraka jahanam menanti najib di akhirat nanti

Anonymous said...

Mereka membuat tipu daya dan Allah membuat tipu daya terhadap mereka. Mungkinkah sumpah laknat yang di buat Najib sudah dan sedang berlaku keatas diri nya dan kemuncaknya bakal tiba.....pada kita kebetulan tapi pada Allah tiada sesuatu yang berlaku secara kebetulan. Syabas orang2 yang menegakkan kebenaran! Teruskan berjuang!
#UMNO Pagoh

Anonymous said...

setiap yang berlaku mesti ada sebab musabab nye.jgn asik nak menyalahkan orang lain.sekali2 tu cuba renungkan kembali apakah yang telah diri sendiri buat.

Anonymous said...

Semoga tan sri tabah dan redha dgn ketentuannye..allah maha adil...

Anonymous said...

Bye bye... Terselamatnya Umno dari para pelobi kuasa dan pemiaga regim lama... ini yg dikatakan Puak yg membangkang ..Najib lari dari cara asal Umno Mahathir...dikelilingi siape? takkan tuan tuan dah lupa...sbb diseru agar melayu mudah lupa.. sapert..Malaysia Boleh..ini teknik pyso..Skrg...Umno dibawah DSN.. rectifies (pembetulan) benda benda yg perlu agar Rakyat dan Negara... dijalan yg selamat..terhindar dari kerakusan ..kemahakan.. angkatan Regim lama..

Anonymous said...


saya mendoakan tan sri muhyiddin banyak bersabar & berserah kepada Allah swt.

Tan sri difitnah dengan dahsyat sekali yg benar2 menduga kesabaran keluarga.

Tuhan sentiasa dipihak yg benar. Mereka yg mencuri, menipu dan bersikap hipokrit dibulan Ramadhan yg mulia ini akan tempatkan oleh Allah di neraka.

Ingatlah, Allah swt memerhatikan gologan fasik ini. Agama menjadi mainan mereka. cara mereka bercakap seolah2 agama ini hanya mainan.

kepada mereka yg fasik ini, Allah swt itu adil. akan tiba masanya kamu dihukum sacara tunai didunia yg fana ini.

bersabar lah tan sri

Anonymous said...


sy cadangkan tan sri, ds mukhriz, ds shafie apdal tubuh parti baru (parti serpihan umno), sertai pakatan harapan dan bertanding disemua kerusi umno termasuk Pekan dan bagan datok seperti mana yg dilakukan Pas bertanding di kerusi pakatan harapan.

amanah pula bertanding disemua kerusi Pas di terengganu, kedah, kelantan.