Friday, September 30, 2011

MUHYIDDIN: PENGUNDI "PENAT" TENGOK MUKA LAMA

"...umumnya para pengundi mahu Umno menurunkan calon-calon muka baru pada pilihan raya umum ke-13.

“Calon yang boleh menang, yang paling penting ialah sama ada calon (diturunkan) boleh diterima dan boleh menang, meskipun calon itu sudah lama menjadi ketua bahagian, menang tanpa cabaran dan menjadi ahli Parlimen sebelum ini.

“Tetapi apabila kita tanya orang ramai, mereka berkata ‘ah, orang itu sudah terlalu lama, kami sudah penat. Kami mahukan seseorang yang baru’. Itulah maklum balas yang kami terima.”
http://www.themalaysianinsider.com/print/bahasa/pru-13-pengundi-mahu-umno-letak-muka-baru-kata-muhyiddin/

Sekurang-kurangnya Muhyiddin Yassin berani mengeluarkan kenyataan seumpama ini.

Kita juga berharap Muhyiddin juga berani menyampaikan mesej ini kepada Menteri-Menteri yang "tarikh luput"nya sudah lama berlalu.

Antaranya Rais Yatim, Nor Mohamed Yakcop, Nazri Aziz dan Mustapha Mohamad.

Lazimnya, pemimpin hanya berani menegur golongan bawahan sahaja tetapi bila tiba masanya "muka yang penat" inilah juga yang dicalunkan.

Di akar umbi sekarang ini, yang telah pencen pun masih mengidam hendak menjadi calon. Antaranya AO dan SHA.

Baguslah sekiranya Muhyiddin awal-awal lagi menyatakan pendirian parti mengenai calon PRU-13. Tetapi biar lah adil. Kalau yang "muka penat" itu Menteri, gugurkanlah mereka.

Kita takut, bila tiba masanya, ada yang "penat" ini kekal kerana isteri beliau dengan isteri bos akrab atau ada "muka penat" yang meraung menangis depan bos minta satu penggal lagi seperi mana seorang Menteri Besar pernah lakukan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dulu sampai satu negeri jatuh ke tangan pembangkang.

Adakalanya, sesuatu kenyataan itu dibuat untuk dilihat popular sahaja. Bagi sesetengah pemimpin, menang jawatan dalam parti menjadi keutamaan dari memenangi pilihanraya.

Kalau Menteri tertentu bakal menentukan nasib seseorang di dalam pemilihan Umno, walau penat macam mana pun mukanya, beliau akan kekal sebagai Menteri.

Kita dah masak dengan budaya Umno ini.

Sunday, September 25, 2011

NAJIB TAK COOL?



Tiba-tiba Najib Razak dikritik sebagai tidak "cool" gara-gara tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia yang ditadbir oleh Rais Yatim mengharamkan penayangan video klip "Undilah" hasil ciptaan Peter Teo.

Tiba-tiba kerajaan menjadi sensitif terhadap kandungan video tersebut yang memaparkan artis-artis popular tanahair serta beberapa ahli politik seperti Tengku Razaleigh Hamzah (Umno), Wee Ka Siong (MCA), Rosnah Rashid Shirlin (Ketua Puteri Umno), Nurul Izzah Anwar (PKR), Khalid Samad (Pas) serta Tony Pua.

Semalam Wee Ka Siong mempersoalkan tindakan Kerajaan mengharamkan penyiaran video klip tersebut.

Najib baru-baru ini muncul di khalayak ramai untuk menonjolkan imej "cool" dengan menghadiri konsert Suarakami anjuran Astro ber-T-shirt dengan gimik mengambil gambar penonton menggunakan telefon bimbit beliau serta turun ke konti-konti radio swasta untuk menjadi DJ bagi meraih undi golongan muda.

Tiba-tiba kerajaan membuat keputusan mengharamkan penayangan video klip rap "Undilah" yang kini popular di YouTube di kalangan anak-anak muda.

Semalam Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia mengeluarkan kenyataan bahawa penarikan semula penyiaran klip video 'Undillah' adalah kerana ia belum mendapat kelulusan Lembaga Penapisan Filem (LPF).


Apa yang susah sangat hendak menapis video klip yang tak sampai 5 minit itu?

Sekali imbas, video tersebut tiada unsur keganasan dan seks. Oleh itu di mana salahnya?

Mungkin juga kita masih takut dengan bayang-bayang. Sekarang ini kita takut segala-galanya, termasuk video klip.

Itulah akibatnya apabila kita mempunyai Menteri Penerangan yang usianya hampir mencecah 70an dan masih hidup di era 70an.

Saturday, September 24, 2011

SATELIT AMERIKA TIDAK AKAN JATUH DI MALAYSIA

Satelit UARS Amerika tidak akan jatuh di Malaysia!

Kemungkinan besar ia akan melalui Kanada, Afrika atau Australia dan kemungkinan jatuh di Lautan India, Atlantik atau Pasifik.

Malahan NASA, meramalkan sukar ia jatuh ke daratan kerana 70 peratus dari muka bumi adalah laut.

Beberapa fakta menarik yang dikeluarkan oleh NASA.

1) Berat satelit ialah 6 ton.

2) Sekurang-kurangnya 26 pecahan akan jatuh ke bumi.

3) Pecahan paling besar beratnya 158 kilogram.

4) Keberangkalian risiko akan mencederakan manusia ialah 1:3,200

5) Keberangkalian ia akan jatuh keatas orang perseorangan 1: xxx trilion

6) Apabila Columbia meletup pada 2003, 42.5 ton serpihan jatuh ke bumi dan tiada sebarang kecederaan.

7) Sekiranya serpihan ini mengenai rumah kita, pampasan akan diberikan oleh NASA.

8) Sebarang serpihan satelit ini adalah hak Amerika Syarikat dan NASA. NASA memberi amaran agar tidak mendekati atau menyentuh serpihan satelit ini sekiranya ia jatuh di halaman rumah kita.

Friday, September 23, 2011

ISU E&O: NOR YAKCOP TOLAK ISU KEPADA NAJIB

‘‘Saya tak ada kena-mengena, saya bukan Menteri Kewangan, saya ialah menteri yang bertanggungjawab dalam Unit Perancang Ekonomi (EPU), ini berlaku semasa saya bukan lagi dalam Kementerian Kewangan.

‘‘Tetapi orang kata Nor Mohamed perlu beri jawapan (isu pembelian). Apa itu? Tak masuk akal, bodoh punya kenyataan. Jadi lebih baik saya tidak cakap apa-apa tentang perkara ini, nanti lagi menjadi kontroversi.’’ - Nor Mohamad Yakcop.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0923&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_09.htm

Tiba-tiba Nor Mohamad Yakcop menjadi defensif apabila membicarakan isu pembelian saham Eastern & Oriental (E&O) oleh Sime Darby Berhad.

Kalau diteliti kenyataan Nor Yakcop, beliau menegaskan beliau bukan lagi Menteri Kewangan atau dengan kata lain Menteri Kewangan perlu menjawab isu ini.

Siapa Menteri Kewangan? Najib Razak.

Itulah yang dimaksudkan oleh Nor Yakcop. Najib perlu menjelaskan isu pembelian saham E&O ini. Dan kita menanti jawapan Perdana Menteri.

Isu ini banyak ditulis oleh blogger Another Brick in the Wall. Lihat artikel-artikel berikut:
http://anotherbrickinwall.blogspot.com/2011/09/sdarby-purchase-in-e-strange-buy-and.html
http://anotherbrickinwall.blogspot.com/2011/09/sime-e-cimb-second-collaboration-ecm.html
http://anotherbrickinwall.blogspot.com/2011/09/go-or-no-go-zarinah-and-sc-are-under.html
http://anotherbrickinwall.blogspot.com/2011/09/kalimullah-friend-leslie-lopez-keen-on.html
http://bigdogdotcom.wordpress.com/2011/09/06/smelling-a-rat/
http://www.rockybru.com.my/2011/09/zarinah-anwars-hubby-azizan-should-go.html
http://www.rockybru.com.my/2011/09/crookwatching.html

Wednesday, September 21, 2011

SANUSI JUNID: KOH TSU KOON BERLAGAK PANDAI DI KACA TV

"...ada sekitar 400,000 yang pasti tidak gembira apabila melihat tokoh (Koh Tsu Koon) yang mengecewakan mereka berlagak pandai di kaca TV." - Sanusi Junid.

Inilah pandangan Sanusi Junid, veteran Umno yang cukup berpengalaman dalam politik, mengenai Koh Tsu Koon, presiden Gerakan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, yang kalah dalam pilihanraya umum yang lepas.

Ikuti artikel Sanusi di blog beliau dan celoteh Sanusi mengenai Mat Kudong.
http://sanusijunid.blogspot.com/2011/09/perkara-kecil-akibatnya-besar.html#more

Monday, September 19, 2011

ISA: DR MAHATHIR SINDIR NAJIB?

"tindakan menghapuskan ISA meletakkan Malaysia "pada tahap moral yang tinggi", malah boleh dianggap setahap lebih baik daripada negara maju seperti Amerika Syarikat dan Britain.

"Selepas penghapusan akta itu, kita boleh mulakan kempen untuk minta mereka lepaskan tahanan tanpa bicara, sebagai contoh, di kem tahanan Teluk Guantanamo.

"Masih ada yang ditahan sejak 10 tahun lepas dan tidak dibicarakan, ditahan hanya kerana mereka orang Islam.

Malaysia kini lebih liberal dengan penghapusan ISA dan berhak membuat tuntutan seumpama itu terhadap negara seperti Amerika dan Britain." - Tun Dr Mahathir Mohamad.
http://www.malaysiakini.com/news/176290
http://www.pribumiperkasa.com/?p=6719
http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsgeneral.php?id=614460

Akhirnya Dr Mahathir menyuarakan pendapat beliau mengenai penghapusan ISA oleh Najib Razak.

Kepada mereka yang mengenali Dr Mahathir, pastinya mereka dapat membezakan samada kenyataan berunsur sinis atau tidak berdasarkan kepada intonasi kenyataan beliau.

Pada pandangan kita, kenyataan beliau ini lebih menyindir Najib apabila Dr Mahathir berkata tindakan menghapuskan ISA tersebut "meletakkan Malaysia di tahap moral yang tinggi" dan "kita boleh mulakan kempen untuk meminta mereka (Amerika) lepaskan tahanan tanpa bicara sebagai contoh di kem tahanan Teluk Guantanamo".

Kini mesej Dr Mahathir kepada Najib mengenai penghapusan ISA jelas.

Sunday, September 18, 2011

NAJIB: JANGAN SYOK SENDIRI

"Jangan kita syok sendiri...apabila buat program Juara Rakyat, (laporan dibuat) kami ada perhimpunan 300 orang dan kesimpulannya program berjaya. Kemudian laporan dihantar ke ibu pejabat, diproses serta dihantar kepada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Siapa 300 orang itu, saya sudah tahu. Sudah 35 tahun dalam politik, saya tahu permainannya. Anda tahu apa yang saya tahu, saya tidak pakai laporan seumpama itu, tetapi kalau 300 itu bukan ketua cawangan dan penyokong tegar atau yang dahulu menentang kita, itu berbaloi." - Najib Razak (perasmian Konvensyen BN Selangor di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam).
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0918&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_01.htm

Saturday, September 17, 2011

ISA: NAJIB AKAN MENYESAL

Akan terpahat di dalam sejarah negara Najib Razak, Perdana Menteri Malaysia yang ke 6, sebagai Perdana Menteri yang bertanggungjawab menghapuskan Akta yang paling kontroversial di negara ini iaitu Akta Keselamatan Dalam Negeri atau lebih dikenali sebagai ISA.

Peristiwa bersejarah ini tercatat pada malam 15hb September 2011, di ambang sambutan Hari Malaysia. Malangnya, pada malam bersejarah tersebut, tidak kelihatan wajah Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk turut sama meraikan pengumuman tersebut, walaupun sehari dua sebelum pengumuman tersebut dibuat, Rais Yatim telah mewar-warkan bahawa satu pengumuman penting akan dibuat oleh Najib.

Keputusan Najib tersebut cukup mengejutkan dan sehingga hari ini, kita masih tertunggu-tunggu nama-nama besar negara memberi pandangan mereka mengenai keputusan Najib menghapuskan ISA.

Kita tertunggu pandangan Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas-bekas Ketua Polis Negara, veteran-veteran Umno seperti Sanusi Junid, Musa Hitam yang bertanggungjawab terhadap Peristiwa Memali, dan bekas-bekas Panglima Angkatan Tentera.

Keputusan Najib ini boleh dilihat dari dua perspektif. Perspektif golongan yang ANTI-ISA dan PENYOKONG ISA terutamanya penyokong-penyokong Umno.

PERSPEKTIF GOLONGAN ANTI ISA
Keputusan Najib menghapuskan ISA tidak membawa apa-apa makna kepada golongan ini terutamanya mereka yang pernah merengkok di Kemunting. Janganlah mengharapkan satu undi pun dari mereka - parti yang paling mereka benci ialah UMNO dan Barisan Nasional.

Anak dipisahkan dari bapa dan bertahun-tahun isteri mengharungi hidup membesarkan anak dan menjaga keluarga kerana suami merengkok di Pusat Tahanan ISA. Apa salah mereka?

Ianya hanya kerana perbezaan ideologi politik. Apabila ISA diperkenalkan pada tahun 1960 di bawah pentadbiran Tunku Abdul Rahman, tujuannya ialah untuk membasmi fahaman komunis.

Sebaliknya di bawah pentadbiran Mahathir Mohamad dan Abdullah Ahmad Badawi, ianya disalahgunakan untuk kepentingan politik Umno dan BN.

Mempunyai Akta ini tidak salah, tetapi yang salah ialah penyalahgunaannya oleh pucuk pimpinan untuk kekal berkuasa.

Sekiranya Najib mengharapkan tindakan beliau menghapuskan ISA akan mengembalikan sokongan golongan ini terhadap beliau dan BN, beliau silap.

Penderitaan yang mereka lalui sudah cukup untuk mereka membenci Umno, BN dan Kerajaan.


GOLONGAN PRO-ISA


Apabila Najib mengumumkan penghapusan ISA, ramai di kalangan ahli Kabinet dan pegawai-pegawai kanan yang hadir pada malam tersebut bertepuk tangan seolah-olah memberi gambaran bahawa selama ini Kerajaan salah dan pembangkang berada di pihak yang benar.


Pada tanggal 15 September 2011, Kerajaan Umno dan Barisan Nasional pimpinan Najib Razak mengakui bahawa selama ini penggunaan ISA oleh Umno, BN dan pemimpin-pemimpin terdahulu termasuk Dr Mahathir dan Pak Lah adalah satu kesilapan yang besar.


Kini, golongan Pro-ISA terutamanya penyokong Umno hairan dengan apa yang hendak dilakukan oleh Najib. Puluhan tahun, Umno dan BN mengharungi ujian menangkis serangan pembangkang dalam isu ISA ini. Namun tidak sekali pun kita kalah dalam pilihanraya umum semata-mata kerana ISU ISA.


ISA bukan isu baru. Malahan Umno dan BN tidak pernah kalah dalam mana-mana PRU dek isu ISA. Kekalahan di 6 negeri semasa PRU-12 tidak ada kena mengena pun dengan isu ISA. Kekalahan pada 2008 lebih kepada pentadbiran lemah dan longlai Pak Lah.


Tiba-tiba Najib tidak sanggup mengharungi PRU-13 dengan isu ISA. Tidak salah kalau kita katakan bahawa tindakan menghapuskan ISA merupakan tindakan terdesak yang memberi gambaran betapa paniknya Najib untuk mengharungi PRU-13 ini.


Perjuangan menghapuskan ISA adalah perjuangan pembangkang. Apa tidaknya, Akta ini digunakan hanya untuk menangkap pemimpin pembangkang.


Pada malam 15 September 2011, perjuangan pembangkang akhirnya berhasil. ISA dihapuskan. Siapa yang memberi kredit kepada pembangkang? Najib Razak.


Tindakan menghapuskan ISA ini dilihat tidak lain tidak bukan hanya semata-mata untuk menaikkan peratusan populariti Najib melebihi 59 peratus yang diterima beliau kini.


Apakah tindakan menghapuskan ISA ini sudah mengembalikan keyakinan rakyat kepada kerajaan?


Tidak memeranjatkan sekiranya tindakan Najib ini menyebabkan orang Melayu bertambah muak dengan Najib. Tidak memeranjatkan juga sekiranya ahli-ahli Umno mula memperkatakan samada Najib adalah "winnable candidate" untuk Umno dan BN pada pilihanraya akan datang ini.


Ramai di kalangan ahli Umno sudah mula mempertikaikan komitmen Najib terhadap orang Melayu. Di mana letaknya Agenda Melayu di bawah pentadbiran Najib?


Perkara pertama yang dilakukan Najib apabila menjadi Perdana Menteri ialah menghapuskan Kementerian Pembangunan Usahawan diikuti dengan falsafah 1Malaysianya dan Dasar Ekonomi Melayu entah ke mana.


Tidak salah sekiranya ahli-ahli Umno mempersoalkan samada Najib adalah "winnable candidate" buat mereka untuk PRU-13 nanti.


Apapun, ISA sudah dihapuskan. Tak payahlah kita bercakap secara teknikal kononnya terpaksa menunggu Parlimen bersidang dan sebagainya.


Bermula malam 15 September 2011, ISA sudah berkubur. Kepada pemimpin Umno yang selama ini cukup berminat menggunakan perkataan ISA untuk mengugut pembangkang, carilah modal (Akta) lain.


Realitinya mungkin menakutkan buat Najib. Tidak mustahil hari ini beliau kehilangan sokongan bukan saja dari golongan Anti-ISA, malah beliau juga kehilangan sokongan dari golongan Pro-ISA.


Kita sama-sama tunggu kajian terkini Merdeka Center.

Wednesday, September 14, 2011

NAJIB JUMPA NAMEWEE



Ramai rakan blogger begitu marah apabila terdengar Najib Razak bertemu dengan Namewee, artis kontroversi yang menghasilkan lagu di Youtube bertajuk Negarakuku.

Antaranya:

Paneh Miang: "Apo masalah ekau ni Najib? Ekau memang tut...tut...tut. Ke ekau nak ikut jejak sepupu kau Hisham Bapuk yang asyik nangis sambil goyang kaki bagi amaran tu. Cib...la kau Najib. Memang dasar hampeh, cipan, suwey, derhaka, bac**, gam****tut...tut...tut. Camno la rakyat nak respek dengan kerajaan kok kau sanggup jumpa bangsat Namawee. Memang ekau ni chicken dance, suka tabur duit kat Cina, kecikkan hati orang Islam, tak sayang Melayu tapi sayang Rosmah, jendol, bibir merah, pm liberal dot...dot...dot..."
http://paneh.blogspot.com/2011/09/nah-najib-nah-sucks-banana.html

Mahaguru58: "Saya berani berkata bahawa jika PM Dato Seri Mohd Najib Tun Razak mahu melayan harami#1 kat Malaysia ni @ Namewee ~ Wee Meng Chee, saya bersumpah demi Allahu Ta'ala bahawa kami blogger seMalaysia yang sekian lama ini dok sokong Kerajaan BN Malaysia akan melancarkan PERANG SIBER keatas sekelian kamu yang buat masa sekarang ini masih memegang teraju kuasa pemerintahan kat Malaysia, bekas Tanah Melayu ini!!!"
http://mahaguru58.blogspot.com/2011/09/najib-tun-razak-jika-nak-kalah-pru13.html

Jelapang tidaklah nak mengugut Najib. Terpulang kepada kebijaksanaan beliau dalam membuat keputusan.

Kalau dalam Umno pun tidak berani menegur, teguran kita tidak bermakna buat Najib. Jadi terpulanglah kepada Najib. Pisau di tangan beliau, mentimun pun di tangan beliau.

Kita hanya penting dan diperlukan 5 tahun sekali. Itulah nilai rakyat kepada sesetengahnya.

Tuesday, September 13, 2011

NAJIB: CUKAI GST MUNGKIN SELEPAS PRU-13

Semasa perjumpaan tertutup Umno, Najib Razak, presiden Umno, sering mengingatkan pemimpin-pemimpin di peringkat negeri, bahagian dan cawangan agar tidak menembak kaki sendiri (shooting ourselves in the foot) dalam tindakan dan tingkah laku kita.

Beberapa hari lepas Kementerian Komunikasi di bawah pimpinan Rais Yatim membiarkan kaki kerajaan ditembak apabila industri telekomunikasi mengumumkan akan mengenakan caj servis perkhidmatan kepada pengguna telefon pra-bayar.

Mungkin kita akan merasakan kerajaan sudah belajar dari kesilapan yang lalu memandangkan PRU-13 sudah hampir.

Rupa-rupanya tidak. Hari ini, Najib membuat kenyataan berikut:

"Kami telah umumkan, secara prinsip bahawa kita akan memperkenalkan GST dan mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk menubuhkan sistem bagi membolehkan kita untuk melaksanakan ini. Persoalannya ialah tempoh masa yang sesuai.

"Saya percaya apabila sesuatu sistem diperkenalkan, tidak kira betapa rapi persediaan dilakukan, tetap akan ada kesilapan dan kelemahan dalam pelaksanaan nanti. Apabila tiba masa yang sesuai, dalam masa terdekat, MUNGKIN SELEPAS PILIHAN RAYA UMUM AKAN DATANG, KITA AKAN MEMPERKENALKAN GST."
http://www.malaysiakini.com/news/175731

Kita hanya boleh mendoakan agar laporan Malaysiakini ini palsu.

Jika tidak, sekali lagi kita menembak kaki kita sendiri.

Kekadang, kita tertanya-tanya, siapakah sebenarnya yang menasihati Najib selama ini? Adakah ini sebahagian dari nasihat yang mereka berikan?

Monday, September 12, 2011

PANEH MIANG: ISU ROSMAH GLAMOUR KINI ISU NASIONAL

NAJIB LIABILTI BN?

Itulah tajuk yang dipilih rakan blogger Paneh Miang dalam posting terkini beliau.

Paneh Miang menulis akan keresahan rakyat dan persepsi rakyat bahawa negara kini hilang kawalan di bawah pentadbiran Najib Razak.

Paneh Miang turut menyenaraikan isu-isu yang meresahkan rakyat ketika ini.

Jelapang ingin memetik hanya satu isu yang disenaraikan oleh rakan Paneh Miang iaitu isu Rosmah Mansor gila glamer (glamour). Kata Paneh Miang:

"Kes gila glamer Kak Mah bukan lagi isu pembangkang, tetapi dah jadi isu nasional. Pelik juga apabila melihat ramai golongan yang tidak pernah berminat dengan politik sebelum ini pun sibuk berbicara (mengutuk sebenarnya) Rosmah Mansur. Jika Najib sendiri tampak hilang kawalan terhadap isteri sendiri, apatah lagi nak kawal negara ni? Dan seperti biasa tiada tindakan daripada Najib."

Untuk senarai penuh isu yang menjadi keresahan rakyat, sila layari Paneh Miang di link berikut:
http://paneh.blogspot.com/2011/09/najib-liabiliti-bn.html

Sunday, September 11, 2011

KOH TSU KOON MAHU GERAKAN KELUAR DARI BN

2008, perbalahan di antara Koh Tsu Koon dan bekas Ketua Bahagian Bukit Bendera Ahmad Ismail berlarutan sehingga Gerakan Pulau Pinang mengambil keputusan menamatkan hubungan antara Gerakan Pulau Pinang dengan Umno Pulau Pinang.

Perbalahan tersebut juga menampilkan insiden gambar Koh Tsu Koon di koyak oleh penyokong-penyokong Umno Pulau Pinang.

Suatu perkara yang tidak diketahui kita ialah cadangan Koh Tsu Koon kepada Gerakan untuk membawa keluar Gerakan dari BN berikutan insiden mengoyak potrait beliau.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris memetik kenyataan Setiausaha Agung Gerakan Tan Chang Yeow bahawa Koh Tsu Koon memanggil satu mesyuarat pada 2008 dan mencadangkan Gerakan keluar dari BN berikutan insiden berikut. Lihat link ini:
http://www.thesundaily.my/news/137793

Begitulah rapuhnya ikatan dalam BN berikutan keputusan PRU-13 dulu.

Saturday, September 10, 2011

DR MAHATHIR: POPULARITI NAJIB MENURUN

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat tinjauan Merdeka Center baru-baru ini yang menunjukkan sokongan terhadap Datuk Seri Najib Razak merosot teruk berpunca antara lain kesan cara kerajaan menangani perhimpunan Bersih 2.0 pada awal Julai lalu.

"...tindakan kerajaan tidak membenarkan orang memakai baju kuning adalah satu tindakan yang dilihat tidak betul.

“Ini disalahkan ke atas (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib tetapi saya tidak tahu apakah Datuk Seri (Najib) yang beri arahan baju kuning tak boleh pakai.

Saya tak fikir dia nak kata kepada polis baju kuning tak boleh pakai. Tetapi hakikatnya orang yang pakai baju kuning kononnya dianggap sebagai musuh dan ditahan. Itu tindakan kerajaan Malaysia dan ini memberi gambaran yang tidak baik kepada kerajaan.” - Tun Dr Mahathir Mohamad dalam wawancara yang disiarkan Astro Awani seperti yang dilaporkan oleh Malaysian Insider.
http://www.themalaysianinsider.com/print/bahasa/mahathir-akui-populariti-najib-jatuh-akibat-cara-tangani-bersih-2.0/

Apa signifikannya kenyataan ini? Jelas sekali Dr Mahathir memberi kredibiliti kepada kajian yang dibuat oleh Merdeka Center bahawa populariti Najib menurun adalah satu realiti.

Friday, September 9, 2011

SENYUM KAMBING: CUKAI TELEFON PRABAYAR

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta syarikat telekomunikasi supaya mengkaji semula keputusan mengenakan cukai perkhidmatan 6.0 peratus ke atas produk tambah nilai prabayar dan pek permulaan prabayar kerana keputusan itu kini dilihat membebankan rakyat.

"..kerajaan tidak pernah meluluskan apa-apa berkenaan caj cukai 6 peratus berkenaan sebaliknya ia dibuat syarikat telekomunikasi sendiri. "
http://www.malaysiakini.com/news/175358



Thursday, September 8, 2011

CUKAI PERKHIDMATAN TELEFON: RAKYAT MISKIN 6% LAGI

Pembelian tambah nilai prabayar dan permulaan prabayar/pek SIM bagi semua syarikat telekomunikasi akan dikenakan cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus, berkuat kuasa 15 Sept.

Dengan cukai perkhidmatan enam peratus terhadap perkhidmatan prabayar, seorang pelanggan yang membeli tambah nilai RM10 perlu membayar RM10.60, dengan 60 sen sebagai cukai perkhidmatan.
http://www.mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2011/9/8/mstar_berita/20110908152844&sec=mstar_berita

Inilah kenyataan yang dibuat oleh industri telekomunikasi hari ini.

Sebenarnya ini keputusan Kerajaan bukan keputusan industri kerana cukai perkhidmatan dimasukkan ke kantung kerajaan dan bukannya dibayar kepada syarikat telekomunikasi.

Sebelum ini Kerajaan mengenakan cukai perkhidmatan 6 peratus terhadap pengguna Astro. Tidak lama selepas itu Astro menaikkan kadar langganannya.

Setelah mendapat desakan dan tentangan dari pengguna, Kerajaan berpura-pura sensitif dengan rakyat apabila Kabinet menolak kenaikan tersebut atas alasan tidak mendapat kelulusan kerajaan.

Beberapa bulan selepas itu, Astro meneruskan tindakan mereka menaikkan kadar langganan dan sehingga hari ini, Rais Yatim dan Kerajaan membisu seribu bahasa walaupun sebelum ini tampak seolah-olah kerajaan begitu sensitif apabila Astro mahu menaikkan kadar bulanannya.

Hari ini, kita dikejutkan dengan cukai perkhidmatan untuk telefon mudah alih pula.

Siapa yang menggunakan telefon pra-bayar ini?

Mereka ialah ratusan ribu pelajar IPTA dan IPTS, peniaga kecil, peruncit, nelayan, petani, peneroka Felda serta makcik dan pakcik di kampung-kampung.

Apakah mesej yang hendak disampaikan kerajaan kepada rakyat dengan keputusan ini?

Mungkin mesejnya kerajaan sudah kering kantungnya sehinggakan terpaksa mengenakan cukai hampir setiap perbelanjaan dalam hidup rakyat.

Sebelum ini Najib Razak mencanangkan cita-cita beliau mahu menjadikan negara ini negara berpendapatan tinggi.

Hari ini, kita tertanya-tanya apa sudah jadi dengan cita-cita itu?

Pendapatan rakyat masih ditakuk lama, malahan hari ini kita miskin 6 peratus lagi.

P/S: Harga minyak kini diparas US$86 setong, apakah kerajaan tidak berminat menurunkan harga RON95?

Wednesday, September 7, 2011

JAMAL ABDILLAH SERTAI UMNO: TAK KISAH DITUDUH CARI PUBLISITI MURAHAN

“Saya bukan menyertai UMNO untuk kepentingan diri ataupun mempunyai agenda tersembunyi tetapi kerana saya yakin dengan parti keramat UMNO. Saya yakin dengan prinsip saya dan saya rasa kalau parti lain yang memerintah negara, tidak mungkin saya mampu bertahan bergelar penyanyi sehingga kini.

“Kerana kepimpinan Barisan Nasional (BN) yang berjaya mentadbir dengan aman damai maka saya mampu bertahan sehingga kini. Malah peminat saya juga terdiri dari berbilang kaum. Saya tidak kisah sekiranya selepas ini ada yang menuduh saya mahu mencari publisiti murahan kerana saya tahu dan yakin dengan apa yang saya lakukan.”
- Kenyataan Jamal Abdillah ketika menyerahkan borang menyertai Umno di ibupejabat Umno hari ini.
http://umno-online.com/?p=44852

Tuesday, September 6, 2011

AZEEZ RAHIM HERO TANPA BATASAN



Al-Fatihah.

Takziah kepada ibu, ayah, anak-anak dan isteri Allahyarham Norzamfaizul Mohd Nor di atas pemergian beliau.

Ibu dan ayah akan kehilangan seorang anak yang amat dikasihi mereka. Anak-anak dan isteri Allahyarham akan kehilangan seorang ayah dan suami.

Anak-anak Allahyarham terpaksa meneruskan sisa-sisa hidup mereka tanpa belaian kasih sayang dari seorang ayah buat selama-lamanya.

Anak-anak beliau tidak akan mengerti mengapa ayah mereka pergi begitu cepat sekali. Anak-anak beliau tidak akan mengerti kenapa ayah mereka ditembak mati bukan di bumi sendiri.

Ayah dan ibu Allahyarham tidak pernah menyangka bahawa mayat yang terkujur di hadapan mereka Ahad lalu adalah anak mereka yang dikasihi. Hanya Allah swt yang mengetahui akan perasaan seorang ibu dan ayah apabila melihat anak mereka pergi dahulu daripada diri mereka sendiri.

Pemergian beliau tiada gantinya. Duit ringgit bukan gantinya.

Sejak kembalinya ketua misi ke Somalia, Azeez Rahim, ke bumi sendiri bersama satu jenazah, Azeez tak kering gusi ke sana ke mari muncul di kaca-kaca TV dan di dada akhbar bercakap mengenai misi beliau ke Somalia.

Dari RTM, beliau ke Bernama TV. SMS dari beliau disebar luas mewar-warkan akan kemunculan beliau di RTM dan Bernama TV.

Disebalik kesedihan di atas kehilangan Allahyarham, Azeez terus tampil mendabit dada mempromosi diri sebagai hero dari Malaysia di Somalia. Ini lah tabiee orang politik. Tragedi boleh digunakan untuk kepentingan diri.

Nak muntah rasanya menonton temuramah Azeez di RTM dan Bernama TV. Malam tadi, wajah Azeez tampil di TV3 mencabar pemimpin-pemimpin pembangkang untuk menyertai beliau ke Somalia bulan hadapan. Ini bukan isu cabar mencabar. Ini isu di mana silapnya sehingga seorang insan terkorban atas kesilapan diri kita sendiri.

Tiada sepatah perkataan pun keluar dari mulut Azeez sehingga hari ini akan kekesalan atas sebarang kesilapan yang mungkin berlaku di Somalia tempoh hari.

Allahyarham, kata Azeez, yang memilih untuk menyertai misi tersebut atas kerelaan diri sendiri.

Allahyarham salah. African Union salah. Kerajaan Somalia salah. Pas salah. DAP salah. Lim Kit Siang salah. Mat Sabu salah. Semua orang salah. Itulah gambaran yang diberikan oleh Azeez sehingga hari ini.

Allahyarham Norzamfaizul telah pergi. Azeez masih berdiri megah dan masih seorang hero. Dan jika diizinkan Allah, tidak mustahil suatu hari nanti Azeez dimartabatkan sebagai Menteri dan tidak mustahil juga sebagai Perdana Menteri.

Sekalipun Azeez dimurahkan rezeki menjadi Perdana Menteri, Jelapang akan mengingati Azeez sebagai Ketua Misi ke Somalia di mana seorang insan bernama Norzamfaizul Mohd Nor pergi meninggalkan ibu, ayah dan anak isteri semata-mata kerana misi Azeez Rahim.

Kepada Azeez, bacalah artikel-artikel berikut. Semuga ianya memberi sedikit kesedaran kepada saudara.

1) Failure to listen cost a life: Comment by MERGAWATI ZULFAKAR - http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2011/9/6/focus/9434094&sec=focus

2) Somalia Tragedy Can be Avoided - 6 Things To Do - http://www.financetwitter.com/2011/09/somalia-tragedy-can-be-avoided-six-things-to-do.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+Financetwitter+%28FinanceTwitter%29

3) A Life is Lost and Thanks to Azeez Rahim. - http://www.mediamsia.blogspot.com/

Saturday, September 3, 2011

KAJIAN MERDEKA CENTER: PERINGATAN AWAL BUAT NAJIB

Apabila Merdeka Center memaparkan hasil kajian terkini populariti Najib Razak merosot, ramai pemimpin Umno mengkritik keputusan tersebut.

Antaranya Rais Yatim yang menyatakan hasil kajian tersebut tidak berasas dan kajian Jabatan Penerangan menunjukkan sokongan kepada Najib amat kukuh.

Tiba-tiba kajian Merdeka Center kali ini tidak berasas. Dahulu apabila Merdeka Center mengeluarkan hasil kajian pada Mei 2010 yang menunjukkan populariti Najib melonjak 72 peratus, ramai yang memuji hasil kajian tersebut.

Betullah kata seorang rakan. Orang politik apabila menduduki peperiksaan, hanya satu keputusan saja yang boleh diterimanya. Iaitu LULUS. Orang politik cukup takut kalau keputusan menunjukkan beliau GAGAL.

Begitu juga dengan kajian politik. Orang politik hanya sanggup mendengar bahawa dirinya popular. Kalau kajian menunjukkan beliau tidak popular, maka kajian tersebut tidak berasas.

Kajian seumpama ini perkara biasa dalam politik dunia. Di Amerika Syarikat, ianya satu panduan dan dianggap suatu petanda penting kecendurangan politik pengundi.

Kajian terkini Gallup di Amerika Syarikat menunjukkan calon Republican Mitt Romney lebih popular dari Presiden Barack Obama. Tetapi tidak pula kedengaran kem Obama mengatakan kajian tersebut tidak berasas.
http://www.gallup.com/poll/149114/Obama-Close-Race-Against-Romney-Perry-Bachmann-Paul.aspx

Di Thailand, sebelum pilihanraya umum diadakan, adik Thaksin, Yingluck Shinawatra merupakan pemimpin yang paling popular dalam kajian politik dan buktinya kini Yingluck dinobatkan sebagai Perdana Menteri Thailand.
http://asiancorrespondent.com/62478/polls-show-yingluck-is-the-most-popular-part-1/

Oleh itu apalah salahnya kita menerima hakikat bahawa populariti Najib kini menurun ke 59 peratus sebagai realiti. http://merdeka.org/v2/index.php?option=com_jotloader&section=files&task=download&cid=91_d9ea48ea39f9ad26ccbbcc6fac156e36&Itemid=68

Apa salahnya kita menerima hasil kajian ini sebagai satu peringatan? Najib perlu ingat, sebelum PRU-12 pada Mac 8, 2008, populariti Abdullah Ahmad Badawi ketika itu lebih tinggi dari beliau tetapi BN kalah di Kedah, Perak, Selangor, Wilayah Persekutan, Pulau Pinang dan Kelantan.

Pada ketika itu, populariti Pak Lah berada pada tahap 61 peratus, 2 peratus lebih dari populariti Najib pada hari ini. http://www.merdeka.org/media/24-130208.html

Pada tahap populariti Pak Lah berada pada 61 peratus, BN kalah di 6 negeri. Ini realiti. Malahan kalau dibandingkan populariti Najib dan Pak Lah sebelum pilihanraya umum, kedudukan Pak Lah adalah lebih kukuh.

Sebelum PRU-12, populariti Pak Lah di kalangan orang Melayu ialah 76 peratus (Najib ketika ini 69 peratus), Cina 42 peratus (Najib ketika ini 38 peratus) dan India 38 peratus (Najib lebih tinggi dengan 69 peratus).

Oleh itu anggaplah kajian Merdeka Center ini satu peringatan awal buat BN dan Najib bahawa PRU-13 ini bukan mudah buat Kerajaan malahan PRU-13 adalah saat paling genting buat Umno dan BN.

Cerminlah diri dan perbaiki lah segala kelemahan sebelum terlambat. Pasanglah teliga dan bukalah mata seluas-luas dan dengarlah dengup jantung rakyat.

Apakah rungutan rakyat di bawah dan nilailah apakah yang dilakukan selama ini sudah memadai.

Najib kenalah bertanyakan pada diri beliau samada apa yang beliau lakukan selama ini sudah cukup menggembirakan rakyat dan Rosmah Mansor juga perlu bertanyakan pada diri beliau, samada apa yang dilakukan oleh beliau sebagai isteri Perdana Menteri membantu Najib, BN dan Umno.

Terimalah hakikat bahawa kajian Merdeka Center itu sebahagian peringatan awal kepada Perdana Menteri, BN dan Umno.

Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin.