Sunday, August 14, 2011

NAJIB PERLU SINGKIR KOH TSU KOON

Tiba-tiba Presiden Gerakan Koh Tsu Koon diserang hebat dari pelbagai arah.

"Yang pastinya Tsu Koon tiada cermin di rumahnya. Dia patut mencerminkan dirinya sendiri mengapa beliau tewas dengan majoriti lebih 10,000 undi. Ianya petanda dari rakyat. Ini bukan bermakna beliau buta tetapi beliau enggan mencermin dan menilai diri beliau sendiri." - Yang di-Pertua Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang Tan Kok Ping.
http://www.thesundaily.my/news/110617

"Setakat ini, Awang tidak nampak keghairahan dan keyakinan Tsu Koon untuk membawa kebangkitan. Yang beliau lebih ghairah, menurut ramai pemerhati, ialah untuk memastikan wajahnya terselit bersama pemimpin negara bagi tujuan publisiti media." - Awang Selamat, Utusan Malaysia.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0814&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_04.htm

Semalam di kaca TV, Ketua Penerangan Umno Reezal Merican juga menghentam Tsu Koon dengan memuji Pak Lah dan Tun Dr Mahathir Mohamad kerana sanggup berundur dan memberi peluang kepada orang lain untuk memimpin parti.

Sebelum ini Ahli Parlimen Bebas Zahrain Hashim serta beberapa bekas pemimpin Gerakan turut menggesa Tsu Koon meletakkan jawatan.

Dari dulu lagi kita tahu bahawa Tsu Koon sudah melepasi tarikh luput sebagai pemimpin politik. Cuma yang menghairankan ketika itu ialah kenapa Najib Razak tertarik dengan beliau walaupun beliau kalah dengan teruk sekali di Pulau Pinang dan Pulau Pinang jatuh ke tangan DAP ketika beliau memimpin Gerakan Pulau Pinang.

Kita juga hairan kenapa Najib begitu ghairah melantik orang yang kalah ke dalam Kabinet beliau. Jika perlantikan Tsu Koon satu kesilapan, baru-baru ini Najib melantik G. Palanivel sebagai Menteri padahal Najib sendiri yang menolak dan menentang cadangan bekas Presiden MIC S.Samy Vellu pada ketika itu yang mahukan Palanivel sebagai calon pilihanraya kecil Parlimen Hulu Selangor.

Kita masih ingat pada ketika itu, setiba Najib dari lawatan ke Amerika Syarikat, tanpa sebarang rehat, beliau dan Rosmah Mansor turun ke Hulu Selangor untuk berkempen kerana beliau yakin pilihan beliau mempunyai peluang yang cerah untuk menang.

Pelbagai ugutan di buat oleh MIC yang mahukan Palanivel sebagai calon. Akhirnya MIC menang di Hulu Selangor dan Najib selepas itu dengan bangga mengumumkan keputusan beliau betul dengan meletakkan calon "winnable" K. Kamalanathan di Hulu Selangor. Kesimpulannya Palanivel calon "kalah" bagi Najib.

Tiba-tiba Palanivel dilantik menjadi Menteri. Pada hari yang sama Palanivel diumumkan sebagai Menteri, beliau mengugut Najib dan Barisan Nasional bahawa sekiranya BN membenarkan mana-mana parti kaum India menyertai BN, beliau akan membawa MIC keluar dari BN. Sehingga hari ini kita masih belum mendengar komen Najib mengenai ugutan Palanivel ini.

Begitu juga dengan Koh Tsu Koon dan Shahrizat Jalil.

Ada beberapa kaedah untuk membetulkan kesilapan lalu.

Pertama, Koh Tsu Koon sendiri dengan rela hati meletakkan jawatan sebagai Menteri. Kedua, Najib merombak Kabinet dan mengugurkan Koh Tsu Koon sebagai Menteri.

Gerakan tidak berhak mendapat sebarang jawatan di dalam Kabinet berdasarkan kepada keputusan pilihanraya 2008.

Tetapi mampukah Najib merombak Kabinet beliau sekarang ketika beliau sendiri sudah memukul gendang pilihanraya?

Ketika rakyat bersedia melihat rombakan Kabinet dibuat pada 2010, Najib tidak bertindak. Ketika rakyat memperkatakan mengenai beberapa Menteri perlu digugurkan kerana mereka diselubungi isu yang boleh menjejaskan imej kerajaan, Najib berdiam diri.

Mentimun dan pisau di tangan Najib. Beliau Perdana Menteri. Tiada lagi jawatan yang lebih tinggi dan berkuasa dari seorang Perdana Menteri dan Presiden Umno. Apa yang hendak ditakutkan.

Di zaman Tun Dr Mahathir, Anwar Ibrahim di lucutkan jawatan. Musa Hitam dan Daim Zainuddin meletakkan jawatan. Pada satu ketika, Pak Lah tidak berjawatan Kabinet walaupun beliau memenangi jawatan Naib Presiden Umno. Di zaman Pak Lah, beliau gugurkan 7 Menteri termasuk Rafidah Aziz, Jamaluddin Jarjis, Radzi Sheikh Ahmad, Azmi Khalid dan Tengku Adnan Mansor.

Kita boleh mendesak Koh Tsu Koon meletakkan jawatan. Kita boleh menyerang Koh Tsu Koon sebagai personaliti yang tidak tahu malu dan lebih berminat menyelit muka di celah-celah muka Najib dan Muhyiddin Yassin untuk menggambarkan beliau anak kesayangan Najib.

Tetapi siapa yang memberi jawatan tersebut kepada beliau? Najib! Jika keputusan melantik beliau sebagai Menteri salah, tanggungjawab Najib memperbetulkannya.

Jika beliau gagal menjalankan tugas sebagai Presiden Gerakan, tanggungjawab pemimpin Gerakan menyingkirkan beliau.

1 comment:

tokgaru said...

Keistimewaan BN

Kalah pun dapat jawatan dalam kabinet, jadi menteri pula tuh, ayo yo sampai mati pun lu orang tak boleh jumpa ini macam tau.

Ini satu2nya peluang untuk kita menunjukkan semangat kekitaan orang melayu kepada bangsa2 lain. Umno tak perlu bimbang.

Calon2 MCA, Gerakan dan MIC tak perlu di menangkan kerana walau pun kalah jawatan dalam kabinet memang dah jadi hak mereka. Jadi bila mereka MCA, Gerakan dan MIC berlawan dengan Pas, kita orang2 melayu bagi lah undi kepada Pas sebab Pas kalau menang pun bukan nak kacau jawatan kabinet yang sudah di peruntukan kepada MCA, Gerakan dan MIC.

Inilah yang di katakan Win Win Situation. Umno kekal pegang teraju. MCA, Gerakan dan MIC walau kalah masih juga jadi menteri. Pas dapat bersuara lantang di parlimen bantu Umno bela hak2 orang melayu.

Dengan kaedah seperti ini, melayu tak hilang hak, bukan melayu tak rugi apa2.