Saturday, August 27, 2011

ISU RASUAH NEGARA SELESAI DENGAN PENGHARAMAN PEMBERIAN HAMPER

Semalam kita ke Kuala Lumpur dan sempat berbuka puasa dengan seorang rakan yang manjalankan perniagaan hamper hari raya.

Kali ini, katanya, perniagaan hampernya malap dek arahan Perkhidmatan Awam untuk menghentikan pemberian hamper kepada kakitangan awam atas alasan untuk menghindar rasuah.

Hari ini pun sebuah akhbar menyiarkan kenyataan SPRM meminta rakyat menghentikan amalan pemberian hamper.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0827&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_07.htm

Menurut rakan kita ini, ratusan hamper tersadai di kedai beliau kerana dilarang memasuki bangunan kerajaan disebabkan arahan ini.

Dengan nada yang sinis, rakan kita berkata nampaknya kerajaan telah berjaya mencari formula untuk membanteras rasuah kerana rupa-rupanya pemberian hamper kepada kakitangan kerajaan merupakan punca berlakunya rasuah.

Maka katanya, sekali lagi dengan nada sinis, dalam masa setahun dua ini, negara akan bersih dari rasuah. Tidak akan ada lagi kakitangan kerajaan yang mengamalkan rasuah dan mungkin juga kita tidak lagi memerlukan agensi seperti SPRM.

Katanya lagi, raya dah tak berapa hari saja lagi. Tak tahulah bagaimana dia nak selesaikan lambakan hamper di kedai beliau.

Kalau tak hantar, katanya, pelanggannya tidak akan membayarnya. Hariraya semakin dekat, dia juga perlukan duit untuk berhariraya.

Bagi mereka yang berpangkat besar, katanya, tidak ada masalah. Selalunya hamper dihantar ke rumah. Masalahnya hamper untuk kakitangan rendah yang pangkatnya tidak seberapa.

Sebelum meninggalkan majlis berbuka puasa, saya hulurkan RM70 kepada beliau untuk satu hamper kerana simpati dengan masa depan perniagaan beliau.

Katanya, RM70 itu macam dapat duit raya dan selepas raya beliau kena cari perniagaan lain kerana perniagaan hamper sudah tiada potensi.

Tetapi katanya, beliau redha, kerana negara sudah dapat menyelesaikan punca segala rasuah iaitu pemberian hamper.

Beliau berkata biarlah beliau berkorban perniagaan beliau kerana sudah jemu mendengar ahli-ahli politik mengamalkan rasuah sepertimana tuduhan di dalam isu PKFZ, tuduhan terhadap Ng Yen Yen, bekas-bekas setiausaha sulit Nor Mohamed Yakcop, Azalina Othman Said, Sime Darby, pemberian netbook Kementerian Penerangan dan banyak lagi.

Semuanya angkara hamper.

No comments: