Monday, September 27, 2010

HIDUP POLITIK NAZRI KERANA DR MAHATHIR

Mungkin Nazri Aziz mudah lupa. Tetapi Sabtu lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan Nazri bahawa beliau hari ini bergelar Menteri semata-mata kerana Tun.

Jadi, tak ada keinginan nak jadi Perdana Menteri. Tolonglah bagi tau kat Nazri ni (Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz), dia ingat saya nak jadi Perdana Menteri. Dia jadi Menteri pun kerana saya angkat dia, tapi orang macam ini, kita suap dia dengan nasi, dia gigit tangan kita. Inilah manusia yang jadi pemimpin sekarang ini," - Tun Dr Mahathir Mohamad.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0926&pub=utusan_malaysia&sec=Politik&pg=po_03.htm&arc=hive

Ahad lalu Awang Selamat menulis lagi mengenai Nazri.

Sebenarnya inilah cara Nazri "menghidupkan" politik beliau - dengan cara memberi gambaran kononnya beliau lah panglima Najib Razak.

Zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi, beliaulah panglima. Kalau dibandingkan dengan panglima-panglima Umno terdahulu seperti Dato' Harun Idris, Tun Ghafar Baba, Tan Sri Sanusi Junid, Tan Sri Mohamed Rahmat, dan lain-lain pemimpin Umno, jauhnya Nazri bagaikan langit dengan bumi jika dibandingkan dengan pemimpin-pemimpin ini.

Dato Harun pernah ditangkap. Tun Ghafar ditewaskan oleh Anwar Ibrahim. Sanusi tewas semasa bertanding Naib Presiden gara-gara Anwar. Mohamed Rahmat pernah dihantar menjadi duta.

Mereka pejuang tanpa takut hilang jawatan. Tetapi lain dengan Nazri. Hidup dengan hanya membuat kenyataan kontroversi. Malahan takut kalah dalam merebut jawatan ahli Majlis Tertinggi Umno (jawatan paling rendah dalam parti). Untuk mendapat perhatian, Nazri akan menghentam pemimpin sendiri dan beliau tahu, menghentam Tun Dr Mahathir adalah salah satu cara untuk mendapat perhatian.

Kalau nak dilihat pada kualiti kerja, hanya Najib saja yang tahu. Kenapa tidak kita tanya Nazri apakah kejayaan beliau dalam mengurangkan kadar rasuah di negara ini? Berapa banyak perasuah jerung yang telah dibawa ke muka pengadilan oleh Nazri?

Nazri akan terus memburu ruang-ruang publisiti di akhbar-akhbar tempatan untuk hidupkan politik beliau.

Kalau tiada ruang dalam akhbar milik Umno, portal seperti Malaysian Insider pun tidak mengapa. Malaysian Insider perlu berterima kasih kepada Nazri kerana telah membantu mengukuhkan kredibiliti portal tersebut.

Seperti biasa, ramai pemimpin dan ahli Parlimen Umno akan menyerang Malaysian Insider secara bermusim dan apabila mereka merasa perlu.

Tetapi apabila Nazri Aziz menggunakan Malaysian Insider untuk menyerang Utusan Malaysia, pemimpin-pemimpin Umno ini membisu seribu bahasa.

Kita faham sangat perangai pemimpin-pemimpin Umno ini. Itulah sebab, apabila mereka menyerang orang tertentu, kita anggap saja ianya komedi. Tidak lebih hanya untuk menghiburkan hati penonton.

Percayalah, sekiranya Barisan Nasional terus berkuasa, Nazri akan kekal sebagai Menteri. Manalah tahu beliau menggantikan Hishammuddin Hussein di Kementerian Dalam Negeri.

Maka pada masa itu, nasib Utusan Malaysia akan lebih malang sekiranya ia terus mendahulukan Melayu dari Malaysia.

Sunday, September 26, 2010

ZAHIDA NAFI KAHWINI SHAFIE APDAL

"Mana ada saya kahwin? Tak baik gosip saya dengan dia. Kalau isteri dia percaya, saya juga yang susah." - Zahid Rafik

Memandang Jelapang telah menyiarkan gosip blog hiburan bahawa Shafie Apdal kononnya telah mengahwini pelakon Zahida Rafik, adalah adil blog ini turut menyiarkan penafian pelakon itu walaupun terlambat beberapa hari.

Penafian tersebut telah dibuat dalam satu interbiu dengan akhbar Kosmo.
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0924&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Thursday, September 23, 2010

KAWASAN SHAFIE APDAL TERBIAR

Shafie Apdal patut meneliti surat pembaca berikut yang disiarkan oleh Utusan Malaysia dua hari lalu dan merealisasikan hasrat Najib Razak untuk mendahulukan rakyat.

Pengalaman perit berhari raya di Semporna, Sabah

SAYA baru menghabiskan cuti raya selama dua minggu di rumah mertua saya di Semporna, Sabah bersama suami dan seorang anak kecil.

Ini kali pertama saya beraya di Semporna, Sabah dan tentunya saya menggambarkan keindahan beraya di perantauan.

Sayang seribu kali sayang, realiti kehidupan di Semporna tidaklah sesempurna namanya. kemudahan paling asas, iaitu bekalan air bersih amat-amat kritikal. walaupun dikelilingi laut, hakikatnya Semporna amat-amat dahagakan bekalan air bersih.

Sepanjang berada di sana, hanya dua kali bekalan air dapat digunakan. saya difahamkan, bekalan air ini dicatu di kampung-kampung, tetapi tiada masalah di taman-taman perumahan dan kuarters kerajaan.

Disebabkan kekurangan bekalan air bersih, penduduk terpaksa mengharapkan air hujan untuk digunakan. ini disebabkan bukan semua rumah yang mempunyai perigi sebagai bekalan air.

Begitu juga saya yang terpaksa berjimat-jimat dan menggunakan air hujan untuk mandi, membasuh baju dan memasak.

Apa yang lebih memeritkan, anak kecil saya dijangkiti kudis seluruh badan sehingga terpaksa ke klinik sebanyak dua kali disebabkan menggunakan bekalan air yang tidak bersih.

Saya juga terpaksa ke klinik kerana cirit birit selama dua hari, juga disebabkan bekalan air yang tidak bersih.

Setahu saya, setiap tahun kerajaan memperuntukkan sejumlah bajet yang tinggi bagi Sabah dan Sarawak, tetapi kedaifan di Semporna menggambarkan seolah-olah sabah tiada pembangunan.

Tiada lampu jalan, jalan yang kebanyakannya rosak, tiada pengangkutan awam, kawasan pasar yang lecak dan kotor dan kawasan hospital yang tidak dapat dilindungi daripada anjing-anjing liar.

Saya ingin menarik perhatian Menteri Kemajuan Luar Bandar dan wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkaitan masalah ini, apakah peruntukan tinggi yang disediakan oleh kerajaan pusat saban tahun tidak dapat disalurkan kepada kawasan-kawasan kampung dan pedalaman yang lainnya?

Tidak dinafikan bahawa kerajaan ada menghulurkan bantuan dari segi kewangan dan modal untuk mereka berniaga kecil-kecilan, tetapi semua itu tidak berbaloi jika kemudahan asas yang penting masih lagi tidak dapat dibekalkan dan diatasi.

Saya sendiri tidak tahan dengan keadaan serba kekurangan ini selama dua minggu berada di sana, apatah lagi penduduk Semporna yang memang hidup serba kekurangan tetapi tidak tahu apa tindakan yang patut mereka lakukan demi memastikan generasi akan datang dapat menikmati taraf hidup yang lebih baik.

MENANTU TERKILAN
Putrajaya
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0922&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_03.htm

Tuesday, September 21, 2010

SHAFIE APDAL BERISTERI BARU?

Zahida Rafik.

Jelapang tidak berapa berminat dengan cerita-cerita artis tetapi apabila gosip ini melibatkan ahli politik terutamanya Menteri, tertanya-tanya juga samada benar khabar angin mengatakan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Shafie Apdal telah berkahwin dengan aktres Zahida Rafik.

Ini gosip yang tersebut di blog-blog hiburan.

Sebelum ini pelbagai cerita kita dengar mengenai isteri Shafie Apdal yang menjadi perbualan orang politik termasuklah polemik dengan isteri orang paling besar dalam politik.

Tetapi itu cerita sebelum Ramadan.

Cerita selepas Ramadan mengatakan Shafie sudah memperisterikan Zahida di London.

Kalau betul, tahniah. Kalau tidak betul, minta maaf.

Gosip mengenai Zahida boleh dibaca di blog ini:
http://beautifulnara.com/gosip-zahida-rafik-sudah-berkahwin-dengan-menteri-di-london/

BAGI NAZRI, MELAYU PERKARA KEDUA

"Dan, bagi saya, saya adalah rakyat Malaysia terlebih dahulu dan kemudian baru saya orang Melayu. Apakah mana-mana pentaksub ada masalah dengan soal ini?" - Nazri Aziz.

Ini ayat terakhir Nazri Aziz di dalam Surat Terbuka beliau bagi menjawab Awang Selamat yang mengkritik beliau
semalam.

Melayu perkara kedua bagi Nazri Aziz.

Tidak menghairankan kalau sebahagian daripada rakyat hari ini menolak Umno dan bersungguh-sungguh untuk menjatuhkan Umno di dalam pilihanraya umum ke 13 nanti.

Jika seorang Menteri menganggap Melayu perkara kedua, apalah rakyat biasa.

Kalau dahulu pemimpin akan melaungkan DEMI BANGSA, AGAMA dan NEGARA, laungan seumpama ini sudah tidak lagi relevan buat mereka.

Bagi Nazri, seorang Menteri Kabinet dilantik oleh Najib Razak di dalam pentadbiran beliau, mungkin Agama dan Bangsa bukan lagi perkara pokok buat beliau.

Tidak menghairankan di mata orang-orang Melayu, Umno semakin tidak relevan di dalam mempertahankan bangsa Melayu dan agama Islam.

Monday, September 20, 2010

NAZRI AZIZ LAWAN UTUSAN

Nazri Aziz berada di Bucharest ketika ini. Yang pasti kritikan pedas Awang Selamat di Mingguan Malaysia cukup menyakitkan hati Nazri. Kalau tidak, tidak mungkin Nazri sanggup men"email" jawapan balas beliau kepada akhbar tersebut dan Malaysian Insider dari Bucharest.

Berikut ialah jawapan balas Nazri kepada Utusan Malaysia.

BUCHAREST, Sept 20 — Saya ada membaca komen Awang Selamat terhadap saya dalam kolumnya. Saya ingin membuat beberapa penjelasan supaya pembaca tidak menganggap apa yang dia tulis itu adalah betul.

Pertama, saya tidak pernah takut untuk dikritik oleh pembangkang. Saya mahu Awang datang ke Parlimen dan melihat dan mendengar dengan sendiri ucapan-ucapan yang menyakitkan hati dan serangan yang saya terima ketika saya mempertahankan kerajaan berhubung isu-isu yang berkaitan dengan Perdana Menteri. Sepanjang tempoh 33 tahun pembabitan saya dalam politik, saya tidak terlepas daripada kritikan mana-mana pihak termasuk komen terbaru daripada Awang. Saya sendiri tidak tahu tentang Awang kerana saya tidak tahu siapa dia Awang. Saya harap dia juga seorang lelaki macam saya dan membuktikan bahawa dia tidak takut untuk berhadapan dengan kritikan dan bersembunyi di sebalik nama samaran yang dia gunakan.

Saya juga bukan anti Dr Mahathir. Bagi saya, setakat ini beliau adalah Perdana Menteri terbaik yang saya pernah berkhidmat. Bagaimanapun, sebagai seorang bekas Perdana Menteri juga ada banyak kekurangannya. Awang sewajarnya keluar daripada peredaran masa dan berhadapan dengan hakikat bahawa saya kini berada dalam kerajaan sebagai seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan bukan sebaliknya. Justeru, yang mengkritik kerajaan ialah Tun Mahathir dan bukan sebaliknya. Sudah tentu, sesiapa sahaja tanpa mengira siapa yang mengkritik kerajaan akan menerima serangan dalam tindakan saya mempertahankan kerajaan, sebagimana yang telah saya lakukan ketika Tun Mahathir dan Tun Abdullah menjadi Perdana Menteri.

Dengan mengatakan begitu, saya mahu Awang mengetahui bahawa saya sentiasa tahu siapa ketua saya. Ia buka Kit Siang ataupun Anwar kerana mereka bukan Perdana Menteri Malaysia, Pengerusi BN ataupun Presiden Umno. Saya tidak pasti sama ada Awang tahu siapa ketuanya kerana dia memperkecilkan dasar 1 Malaysia yang dibawa Perdana Menteri dan mempromosikan perkauman sempit Ibrahim Ali yang sememangnya bukan ahli Umno. Awang harus bertanya pada dirinya persoalan yang dia ajukan kepada saya.

Bersopan kepada pembangkang adalah tindkaan tepat untuk diambil dalam amalan demokrasi kerana seperti saya mereka juga dipilih oleh rakyat. Sudah tentu Awang terperangkap dalam peredaran waktu masa-masa lalu di mana ahli-ahli Parlimen kerajaan bukan sahaja tidak melibatkan mereka bersama, malah membenci mereka dalam kebanyakan masa. Awang tidak akan faham perkara ini kerana dia bukan seorang ahli Parlimen yang dipilih, diletakkan di Dewan menerusi suara rakyat. Awang tidak pernah terfikir bagaimana lima Ahli Parlimen PKR boleh melompat ke kumpulan anggota bebas kalau bukan kerana kesopanan yang diperlihatkan oleh saya kepada mereka selaku Meneri Hal Ehwal Parlimen. Bilangan mereka yang melompat untuk menyertai kokus bebas telah mengatasi satu-satunya wakil rakyat tunggal dari kawasan Pasir Mas, hero orang Melayu yang diagung-agungkan oleh Awang. Umno tidak pernah meminta ataupun memerlukan Ibrahim untuk membantu kami, tetapi kerjasama dengan dia hanya akan menyebabkan kami kehilangan undi. Tun Mahathir sendiri memberitahu kami bahawa beliau telah hilang 90 peratus undi di Kota Setar Selatan yang merupakan kerusi Parlimen majoritinya orang Melayu pada 1969 di tangan Yusof Rawa, di mana dilaporkan bahawa Tun mengatakan beliau tidak memerlukan undi orang Cina. Ini adalah perkara yang perlu dibelajari daripada peristiwa itu.

Sudah tentu, Awang tidak akan faham kerana dia bukan sahaja tidak pernah menawarkan dirinya sebagai calon pilihan raya, tetapi juga pembaca tidak tahu siapa dia sebenarnya. Ahli-ahli politik macam saya, yang telah bertanding empat pilihan raya dan yang telah menang, selalunya jelas dengan apa yang kami perkatakan dan tidak semberono macam Awang. Kita perlu menghimpunkan undi tanpa mengira kaum dan kami tidak duduk di zon selesa macam Awang. Dia boleh tulis dan mengatakan apa sahaja tanpa ada rasa tanggungjawab dan secara semberono dengan menyedari bahawa dia tidak akan dihukum oleh para pengundi.

Itu sebabnya mengapa Awang, jika anda bertanya apakah agenda saya, saya merasakan setiap budak sekolah akan tahu bahawa matlamatnya ialah mahu menang dalam pilihan raya umum akan datang dan Datuk Seri Najib kekal sebagai Perdana Menteri Malaysia. Saya berharap Awang juga mempunyai agenda yang sama melainkan ketuanya adalah orang lain.

Akhirnya, saya mahu menasihatkan Awang agar berpegang pada apa yang dia lakukan dan tahu apa yang terbaik dan tidak mencampuri politik negara yang pengetahuannya jelas cetek dan sifar pengalaman. Dia harus memberi tumpuan untuk menaikkan edaran akhbarnya yang terus merosot. Kedudukan itu dengan sendiri menunjukkan prestasi dan standardnya yang rendah di mana Utusan terpaksa merujuk kepada laporan media alternatif elektronik baru sedangkan ia seharusnya bertindak sebaliknya. Itu yang sepatutnya menjadi KPI dan ukuran kejayan dia dalam bidang yang dia mendakwa dia mewakili. Saya punya sudah pasti iaitu memenangi kerusi Padang Rengas bagi BN dalam pilihan raya umum akan datang tanpa mengira sama ada saya menjadi calonnya ataupun tidak. Sehingga itu kita harus terus melihat.

Dan, bagi saya, saya adalah rakyat Malaysia terlebih dahulu dan kemudian baru saya orang Melayu. Apakah mana-mana pentaksub ada masalah dengan soal ini?

http://www.themalaysianinsider.com/print/bahasa/surat-terbuka-nazri-kepada-awang-selamat/

Sunday, September 19, 2010

UTUSAN: NAZRI SOKONG ANWAR IBRAHIM?

Nazri Aziz hari ini dikritik hebat oleh Mingguan Malaysia melalui ruangan Awang Selamat.

Kritikan yang paling serius ialah apabila Nazri dikatakan begitu lembut dengan pemimpin pembangkang sehingga Awang Selamat bertanyakan Nazri siapa pemimpin beliau - Najib atau Anwar Ibrahim?

Berikut ialah kritikan Awang Selamat terhadap Nazri Aziz

Alahai Nazri...

UTUSAN pernah dikritik oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz sebelum ini. Awang melihatnya sebagai perkara biasa. Perbezaan pendapat bukan suatu masalah lalu Awang memilih untuk berdiam.

Namun Awang terpanggil menjawab tindakan terbaru Nazri yang lantang mempersoalkan Utusan berhubung isu Perkasa.

Seperti biasa, melalui portal berita pro-pembangkang, Malaysian Insider, Nazri sampai ke tahap menuduh Utusan mempunyai agenda untuk membawa balik Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

‘‘Saya tidak boleh faham Utusan. Siapa ketua mereka - Najib atau Dr. Mahathir?,’’ kata beliau dalam laporan bertajuk Nazri persoal agenda Utusan perlekeh dasar Najib.

Awang hanya senyum sambil geleng kepala. Tafsiran Nazri begitu liar dan hairan mengapa seorang menteri boleh berfikir sebegitu.

Untuk pengetahuan Nazri, ingin ditegaskan bahawa Awang dan Utusan adalah penyokong Perdana Menteri. Jika hilang jawatan di Utusan sekalipun, Awang tetap akan menyokong Najib. Tiada keraguan

Maka tidak timbul sama sekali kononnya ada agenda untuk menjadikan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri. Budak sekolah pun tahu hakikat itu.

Awang boleh faham mengapa Nazri melemparkan tuduhan itu kerana beliau sememangnya anti -Dr. Mahathir. Itulah yang menjadikan beliau tidak objektif. Awang bukan seperti Nazri yang sanggup biadap dengan negarawan yang banyak berjasa. Sebab itu, Awang tidak hairan mengapa akhbar Cina ghairah memperlekehkan Dr. Mahathir. Ini kerana ada pemimpin Melayu sendiri yang membuka laluan.

Kalau suatu hari nanti, Nazri bersara, insya Allah, Awang akan menghormati beliau sebagai seorang veteran dan tokoh berjasa, walaupun jasanya tidak sebesar negarawan-negarawan kita.

Nazri juga menghentam Presiden Perkasa, Ibrahim Ali seolah-olah Ibrahim musuh UMNO. Nazri lupa, ketika UMNO diserang bertubi-tubi terutama selepas PRU12 dan pemimpin UMNO difitnah habis-habisan, siapakah pemimpin NGO yang lantang mempertahankan UMNO jika bukan Ibrahim.

Beliau berada di banyak pelosok tanah air berceramah melawan kerakusan pembangkang bagi membela UMNO dan BN. Awang tidak ingat apa yang Nazri lakukan? Apakah beliau seberani Ibrahim dalam menghadapi pembangkang?

Dengar cerita daripada beberapa pemimpin UMNO, Nazri sudah banyak berlembut dengan pembangkang yang motifnya, mungkin beliau tidak mahu dijadikan sasaran kritikan atau mahu ambil jalan selamat. Menurut cerita lagi, kerana strateginya itu, kini Nazri disenangi oleh ramai pemimpin pembangkang. Kalau benar andaian itu, Awang juga boleh bertanya siapa sebenarnya ketua Nazri. Najib atau Anwar Ibrahim atau mungkin Kit Siang?

Mengenai Perkasa, Nazri harus menerima hakikat Perkasa hanyalah sebuah NGO. Orang Melayu tahu membezakan antara parti politik dan NGO.

Awang sesungguhnya tidak berminat berhujah panjang dengan Nazri. Beliau berjawatan menteri, lagi pandai dan bijaksana. Biarlah orang ramai dan pembaca yang menilai. Awang takut menjadi orang yang riak. Jika Awang dilihat silap perhitungan dan terlanjur kata, Awang sedia menerima apa sahaja hukuman. Tiada penyesalan.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0919&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_03.htm

Saturday, September 18, 2010

SIAPA PEMEGANG EKUITI MELAYU?

“Data dan statistik terkini tentang kedudukan ekonomi pelbagai kaum negara ini perlu dimaklumkan kepada rakyat untuk membuktikan bahawa kedudukan orang Melayu di dalam ekonomi dan pelbagai sektor masih ketinggalan berbanding kaum lain.” Ia (data dan statistik kedudukan ekonomi pelbagai kaum) perlu dikeluarkan kerana banyak pihak mendesak supaya dasar kerajaan seperti sistem kuota ditamatkan,” - Timbalan Menteri Pendidikan Dr Mohd Puad Zakarshi.

http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php?id=528645

Benar kata Puad ini. Kita perlu dedahkan statistik kedudukan ekonomi pelbagai kaum di negara ini.

Kita perlu mengambil sikap terbuka. Tidak perlu kita berselindung. Pemuda Barisan Nasional yang diketuai Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin baru-baru ini telah membuat satu kajian menerusi makmal Pemuda BN.

Hasilnya, kajian menunjukkan akan terdapat 7 juta pengundi muda semasa PRU-13 nanti. Siapa yang akan mereka undi? Menurut kajian Khairy, 62 peratus masih belum membuat keputusan atau dengan kata lain, mereka adalah pengundi atas pagar.

Sebenarnya, istilah pengundi atas pagar adalah istilah yang tidak boleh digunapakai. Seseorang pengundi itu tidak akan mengistilahkan dirinya pengundi atas pagar kalau hatinya bersama BN atau Umno. Dengan kata lain 62 peratus pengundi muda yang dikatakan pengundi atas pagar ini adalah pengundi yang akan mengundi Pakatan Rakyat semasa pilihanraya akan datang.

Apa strategi Umno untuk memenangi hati mereka ini dan pengundi lain?

Pengundi Cina semakin hari semakin menjauhkan diri dari BN dan Perkasa turut memburukkan keadaan. Umno tidak boleh lagi menaruh harapan kepada MCA dan Gerakan untuk memastikan kemenangan BN.

Hanya yang tinggal undi Melayu. Malang buat Umno. Belum tentu Umno boleh dapat 50 peratus dari undi Melayu.

Tiba-tiba kedengaran Umno begitu mengharapkan kepada Pas untuk membantu mengukuhkan kuasa Melayu. Tidak pernah terlintas di fikiran kita Umno begitu terdesak mengharapkan belas kasihan Pas untuk mengekalkan kuasa Melayu.

Umno dihina hampir setiap malam oleh Pas kerana kini Umno menagih belas kasihan dari Pas untuk kekal berkuasa. Hadirilah ceramah-ceramah Pas dan dengar apa yang dikatakan. Pemimpin-pemimpin Pas menghina Umno kerana bagi mereka tagih belas kasihan dari Umno hanya semata-mata tindakan terdesak Umno untuk terus kekal berkuasa dan bukan untuk kepentingan orang Melayu.

Pemimpin Umno perlu berhadapan dengan pengundi-pengundi muda ini. Sehingga hari ini tiada satu pendekatan pun dibuat oleh pucuk pimpinan untuk menjawab persoalan-persoalan yang dibangkitkan oleh pengundi.

Tiada apa pun yang boleh kita gunakan untuk menyakin pengundi muda ini untuk menyokong kerajaan.

Kita bangga dengan kouta 30 peratus. Tetapi kepada pengundi muda, kouta 30 peratus tidak membawa apa-apa makna apabila hampir 60 peratus tenaga kerja di Malaysia berpendapatan di bawah RM720 sebulan.

Siapa pemegang ekuiti 30 peratus ini? Siapa mereka? Individu mana? Adakah mereka rakyat biasa?

Mungkin kenyataan ini berbau unsur pembangkang. Tetapi kita jangan lari dari kenyataan. Inilah persoalan yang ditanya oleh pengundi-pengundi hari termasuk pengundi Cina.

Siapakah selama ini di kalangan orang Cina yang semakin hari semakin kaya. Bukannya Ah Chong dan Ah Tong yang setiap hari berniaga kedai runcit. Kita masih mendengar Cina yang sama kaya dan semakin kaya setiap dekad. Vincent Tan, Francis Yeoh, dan lain-lain lagi. Cina lain terus mencari rezeki seperti biasa. Yang kaya raya adalah golongan bangsawan Melayu dan Cina. Dengan kata lain golongan aristokrat Melayu dan Cina.

Ini yang perlu dijawab oleh kerajaan kalau mahukan pengundi mempertahankan kerajaan BN.

Untuk Perdana Menteri Najib Razak, beliau hanya mempunyai tiga bulan sahaja untuk menyakinkan rakyat untuk terus menyokong kerajaan BN. Rakyat menanti ucapan Belanjawan beliau Oktober nanti dan orang Melayu menanti ucapan beliau di Perhimpunan Agung Umno juga Oktober nanti. Tahun hadapan, kita akan menghadapi pilihanraya. Ucapan belanjawan dan ucapan Perhimpunan Umno 2011 nanti tidak akan memberi apa-apa kesan kepada pengundi.

Ini lah peluang terakhir Najib untuk menyakinkan rakyat dan orang Melayu akan relevannya BN. Orang Melayu mahu mendengar apakah pendirian Najib semasa Perhimpunan Agung nanti mengenai kepentingan Melayu.

Najib perlu sedar bahawa tidak cukup dengan hanya ada Program Susu 1 Malaysia dan Ujian 1 Malaysia untuk menyakinkan rakyat terhadap kerajaan pada hari ini.

Najib juga perlu mendengar pandangan luar mengenai corak kepimpinan beliau.

Kita ungkap kembali pandangan blogger Another Brick in the Wall mengenai Najib;
The grassroot perception is that Najib is emulating Tun Dol. He is losing control on the destiny of the party and country. Rakyat is beginning to lose confidence with the indecisiveness of the existing bangsawan class of leadership. With his running dogs and advisers recklessly running amuck, Najib may go down in the history book as the ending N of the RAHMAN series of Prime Ministers from Perikatan-Barisan Nasional. By then, Abdullah will be forgotten but Najib will forever be remembered as the last BN PM by future school children.
http://anotherbrickinwall.blogspot.com/2010/09/omar-ong-conspire-to-drive-wedge.html

Secara ikhlas kita bersetuju dengan pandangan ini. Semakin hari semakin jelas Najib tidak ubah seperti Tun Pak Lah.

Sunday, September 12, 2010

NG YEN YEN JUAL DURIAN D-24 DI SHANGHAI

Inilah rupabentuk Pavilion Malaysia di Ekspo Dunia yang sedang diadakan di Shanghai, China.

Berapa kos pembinaan dan mengurus pavilion ini? Kata Menteri Pelancongan Ng Yen Yen, jumlah keseluruhannya ialah RM35 juta.

Menurut satu laporan yang disiarkan oleh Majalah Forbes, sehingga 1 September, 47 juta orang sudah mengunjungi Ekspo ini.
http://blogs.forbes.com/russellflannery/2010/09/01/shanghai-travel-transportation-businesses-cashing-in-on-world-expo/?boxes=financechannelforbes

Jumaat lepas, jumlah pengunjung mencecah 60 juta pengunjung.
http://news.xinhuanet.com/english2010/china/2010-09/11/c_13489798.htm

Dari 60 juta pengunjung ini, berapa yang melawat pavilion Malaysia?

Jawab Ng Yen Yen semalam, 4.715 juta pengunjung.

Dan berapa pula hasil jualan Malaysia di pavilion ini?

Jawab Ng Yen Yen, RM309,073 atau US Dollar 99,700.

Atau dengan kata lain, setiap pengunjung membelanjakan 0.065 sen seorang di Pavilion Malaysia.

Dan apa yang dipamerkan di Pavilion Malaysia?

Jawab Ng Yen Yen, durian D-24, Tarian Singa, Gendang 24 1Malaysia, jualan kuih bulan dan Pertunjukan Orkestra.
http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/9/11/mstar_berita/20100911221955&sec=mstar_berita

Tidak menghairankan apabila seorang rakan yang baru pulang dari Shanghai membuat kenyataan sinis berikut.

"Pavilion kita antara ke 10 pavilion terbaik. 10 dari bawah."

Berikut ialah pavilion negara lain.
PAVILION UAE

PAVILION BRITAIN

PAVILION CHINA

PAVILION DENMARK

Wednesday, September 8, 2010

HANYA RAIS YATIM BOLEH HENTIKAN KEMPEN "GANYANG MALAYSIA"



"Dalam demonstrasi selama sejam mulai pukul 11.40 pagi ini, 170 anggota kumpulan Laskar Merah Putih (LMP) serta beberapa kumpulan lain dalam gerakan bersama "ganyang Malaysia", datang ke Kedutaan Besar Malaysia ketika hujan lebat.

Sejurus tiba, beberapa anggota kumpulan yang berpakaian seragam LMP terus memanjat pintu pagar dan berdiri di atas bangunan pos pengawal keselamatan sambil mengibarkan bendera Indonesia.

Mereka turut merentangkan sepanduk bertulisan "Ganyang Malaysia" di pintu pagar itu dan dalam pidatonya kumpulan itu meminta agar kerajaan Indonesia melancarkan perang terhadap Malaysia dan mereka sendiri bersedia turut serta bagi mempertahankan Indonesia."

http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsgeneral.php?id=526774

Penunjuk perasaan Indonesia menceroboh Kedutaan Malaysia lagi di Jakarta. Itulah laporan agensi Bernama mengenai kejadian pencerobohan kedutaan kita di Indonesia semalam.

Amat jelas tindakan mereka ini membuktikan kita dianggap musuh oleh Indonesia. Kita bukan lagi negara jiran yang satu ketika dulu dianggap abang adik - saling memerlukan di saat-saat getir.

Apa salah Malaysia? Hampir 1 juta rakyat Indonesia dibenarkan mencari rezeki di bumi Malaysia ini. Ada yang masuk Malaysia secara sah, separuh memasuki Malaysia secara haram.

Apakah negara lain memberi layanan yang sama kepada rakyat Indonesia?

Ketika Indonesia dilanda malapetaka, siapa yang pertama menghulur tangan membantu mereka?

Sekiranya orang Indonesia tidak menyedari hakikat ini, biarlah kita katakan, kami, orang Malaysia, yang pertama menghulur tangan membantu kamu. Ketika Aceh dilanda Tsunami, ketika gempabumi melanda Indonesia, Malaysia ialah jiran setia buat orang Indonesia.

Tetapi malangnya, orang Indonesia tidak tahu berterima kasih kepada tangan yang menghulurkan bantuan.

Pemerintah Indonesia lepas tangan. Penunjuk perasaan disalahkan. Malaysia boleh juga lepas tangan dengan membiarkan penunjuk perasaan di Kuala Lumpur menghumban najis ke arah Kedutaan Indonesia. Tetapi Malaysia bukannya Indonesia. Orang Malaysia tidak diajar berlaku kurang ajar.

Memang benar ada isu yang belum selesai antara Malaysia dan Indonesia. Isu Ambalat, isu tenaga kerja asing, isu nelayan. Kalau dahulu isu-isu seumpama ini dibawa ke meja rundingan, kenapa tidak sekarang?

Kita tidak boleh menyalahkan Indonesia 100 peratus. Kita juga ada kelemahan di pihak kita.

Yang jelas, Duta Besar Malaysia di Indonesia gagal dalam memperbaiki hubungan antara Malaysia-Indonesia.

Terkenang kita akan zaman di mana Allahyarham Tan Sri Mohamad Rahmat menjadi Duta Besar Malaysia ke Indonesia pada tahun 1982. Allahyarham pernah menjadi Menteri Penerangan semasa era Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketika ini negara memerlukan seorang tokoh setanding dengan Allahyarham Mohamad Rahmat untuk memperbetulkan hubungan antara kedua-dua negara.

Hanya Rais Yatim, Menteri Penerangan sekarang, yang mempunyai ketokohan untuk merapatkan hubungan antara Malaysia-Indonesia.

Perdana Menteri Najib Razak perlu membuat keputusan segera demi masadepan negara. Keputusannya mudah. Najib hanya perlu melantik Rais Yatim sebagai Duta Besar ke Indonesia untuk meredakan keadaan.

Rais Yatim amat memahami budaya Indonesia kerana beliau seorang aktivis bahasa dan budaya.

Jarang sekali kita mendengar Rais berbahasa Inggeris kerana tingginya semangat Melayu beliau.

Umum mengetahui, mana-mana pegawai kerajaan dan agensi di bawah Kementerian beliau bertutur dalam bahasa Inggeris akan ditegur Rais. Malahan tersebar berita di kalangan pelabur asing bahawa Rais sanggup bercakap bahasa Melayu apabila bertemu dengan pelabur yang melabur di dalam industri komunikasi negara. Tahniah Dato' Seri Rais.

Apalah ada pada wang pelabur dibandingkan dengan martabat bangsa dan bahasa Melayu.

Rais telah melakukan yang terbaik untuk Kementerian beliau. Kini tibalah masanya ketokohan Rais ini digunakan pula oleh Perdana Menteri untuk memperbaiki hubungan Malaysia-Indonesia.

Malaysia perlukan Rais sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia demi kepentingan rantau Asia Tenggara.

Kita mengharapkan Najib segera menghantar Rais untuk tinggal di Jakarta untuk selama mungkin demi hubungan Malaysia-Indonesia.

Tuesday, September 7, 2010

MUSA HASSAN TUDUH PIHAK KETIGA CAMPUR URUSAN POLIS

Musa Hassan, bakal menjadi bekas Ketua Polis Negara 13 September nanti, membuat dakwaan yang cukup serius semalam.

Antara dakwaan Musa ialah CAMPUR TANGAN PIHAK KETIGA di dalam urusan polis.

Kata Musa:


"Tidak perlu campurtangan orang lain. Kita ada "command and control" dengan arahan bermula dari saya sehingga pegawai bawahan. Jadi tidak perlu ada pihak ketiga untuk bagi arahan. Jika berlaku (arahan tanpa pengetahuan kita), ini salah satu tindakan yang salah dan menyalahi undang-undang." http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/musa-kecewa-ada-pihak-campur-tangan-urusan-polis/

Seterusnya Musa berkata: "Bila saya cuba hendak tingkatkan integrasi ada sebilangan yang cuba rosakkan seperti terlibat dengan RASUAH dan SALAH GUNA KUASA serta merosakkan imej PDRM."

Kenyataan dan dakwaan Musa Hassan cukup serius.

Beberapa persoalan yang perlu dijawab oleh Musa sendiri atau Menteri Dalam Negeri Hishammuddin Hussein.

SIAPA PIHAK KETIGA YANG CAMPURTANGAN DI DALAM URUSAN POLIS DAN APAKAH URUSAN YANG PIHAK KETIGA CAMPURTANGAN?

SIAPA YANG TERLIBAT DENGAN RASUAH DAN SALAH GUNA KUASA?

Hanya Hishammuddin sebagai Menteri yang bertanggungjawab boleh mencari jawapan kepada persoalan-persoalan ini.

Hishammuddin harus segera mengarahkan SPRM menyiasat siapa di dalam PDRM yang terlibat dengan rasuah dan salahguna kuasa.

Dedahkan kepada umum siapa pihak ketiga itu dan urusan apa yang telah pihak ketiga ini campurtangan dan bagaimana ia telah menjejaskan urusan polis.

Tidak perlu kita berselindung lagi. Kenyataan Musa bukan datang dari anggota biasa. Ianya datang dari Ketua Polis Negara.

Kita tunggu jawapan dari Hishammuddin.

Saturday, September 4, 2010

HARIRAYA: POLIS BENAR GUNA LORONG KECEMASAN

Sedikit panduan untuk mereka yang menggunakan lebuhraya utara selatan Plus untuk pulang ke kampung halaman.

Menurut Plus, polis telah membenarkan penggunaan Lorong Kecemasan di tempat-tempat berikut.

9 Sept-11 Sept
HALA KE SELATAN (Johor)
* Nilai ke Seremban

HALA KE UTARA (Pulau Pinang)
* Behrang ke Sungkai
* Tapah ke Gopeng
http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsgeneral.php?id=526297

RAIS YATIM MENYUSAHKAN NAJIB




"Only in Malaysia, we see people go crazy, stomping their feet, insisting that they are Malaysians but at the same time don't want anything to do with Malaysia.

Only in Malaysia, we see people who insist that they are Malaysians but couldn't even speak Bahasa Malaysia.

Only in Malaysia, we see people who want to be treated equally as the original settlers but cunningly try to re-write the Malaysian history and constitution.

Only in Malaysia, we see people who claim to be Malaysians but cannot even sing the National Anthem!

Only in Malaysia, we see people who fight for equality but insist on going to vernacular schools.

NO other multiracial country in the world would tolerate vernacular schools except in Malaysia.

NO other multiracial country in the world would give equal privilege, rights or acknowledgement on the importance of other culture and language to be taught and nurtured among youngsters.

ONLY in Malaysia, we see minority own 81% of the economic cake and it is still ain't enough.

ONLY Malaysian Chinese would ask Namewee to be forgiven and look upon the person and and even set up a fan club.

AND only in Malaysia, would forgive someone like Namewee." http://www.pribumiperkasa.com/perkasa/?p=3058


Petikan di atas diambil dari surat pembaca yang didakwa ditulis oleh Angelia Sinyang dan disiarkan di laman web Perkasa.

Itulah sentimen sesetengah dari kita mengenai suasana politik negara pada ketika ini.

Dan dua hari lepas, satu lagi isu dicetuskan oleh kerajaan - pendakwaan terhadap Hassan Skodeng, seorang blogger berjawatan tinggi di akhbar Malay Mail.

Kerajaan sekarang disindir - Kerajaan sudah tidak lagi dapat membezakan antara Satira dan Jenaka. Kerajaan sedang gelabah dan takut pada bayang-bayang.

Yang menjadi mangsa ialah Najib Razak.

Diakar umbi, Najib disalahkan di atas kesilapan mendakwa Hassan Skodeng.

Yang menghairankan kenapa Najib nampak tidak bermaya dalam menjalankan tanggungjawab mentadbir negara?

Dalam kes liwat Anwar Ibrahim, tidak semena-mena kita dihidangkan sketsa percintaan antara saksi utama Saiful Bukhary Azlan, mangsa liwat, dengan salah seorang pegawai pendakwaan kes Anwar Ibrahim.

Tanpa kita sedari, selepas berbulan-bulan perbicaraan kes Teo Beng Hock, tiba-tiba timbul satu nota kononnya Teo Beng Hock meninggalkan nota bunuh diri di dalam beg duit beliau.

Tiba-tiba Hassan Skodeng didakwa kerana berjenaka mengenai Ketua Eksekutif Tenaga Nasional Che Khalib tetapi apabila Namewee membuat satu video untuk "Fuck TNB", tiada tindakan terhadap beliau. Betul kata blogger Another Brick in the Wall, kalau nama Hassan itu Ah San, tak mungkin Ah San akan didakwa.

Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi sehingga hari ini masih belum menjelaskan apa rasionalnya mendakwa Hassan Skodeng.

Kalau Suruhanjaya tidak mahu jelaskan, Menterinya Rais Yatim kena jelaskan.

Rais kena bertanggungjawab kerana tidak mendakwa Hassan Skodeng memburukkan lagi pentadbiran Perdana Menteri.

Ini bukan pertama kali Rais membawa masalah kepada Najib. Satu ketika dulu isu "Green Dam" yang dibawa oleh Rais menyebabkan pentadbiran dipandang seorang oleh masyarakat dunia.

Rais kena perjelaskan kepada Najib kenapa Hassan Skodeng dikenakan tindakan dan yang paling penting jelaskan kenapa hari ini Rais dan Kerajaan sudah tidak dapat membezakan antara jenaka dan bukan.

Kepada Najib, biarlah kita nyatakan, rakyat hairan dan rasa ganjil cara Dato' Seri mentadbir negara.