Sunday, January 31, 2010

TIADA CUTI TAMBAHAN UNTUK AIDILFITRI?

Cuti tambahan sekolah untuk Tahun Baru Cina, BOLEH.

Cuti tambahan sekolah untuk Deepavali, BOLEH.

Cuti tambahan sekolah untuk Hari Gawai, BOLEH.

TETAPI, cuti tambahan untuk Aidilfitri, TAK BOLEH?

Menurut laporan akhbar hari ini Pejabat Pendidikan Daerah di Terengganu menolak permohonan cuti tambahan untuk merayakan Aidilfitri kerana Kementerian Pendidikan mengeluarkan satu Pekeliling yang hanya membenarkan sekolah mengambil cuti tambahan untuk Tahun Baru Cina, Deepavali dan Gawai.
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Nasional/20100130225950/Article/index_html

Mungkin Muhyiddin Yassin boleh memperjelaskan takut orang kata ini sebahagian dari semangat 1Malaysia.

Saturday, January 30, 2010

KADIR JASIN: HAK ORANG MELAYU DIHAKIS

Sekiranya Umno beranggapan bahawa apa yang dilakukan oleh pucuk pimpinan selama ini akan berjaya menambat hari pengundi bukan Melayu, maka Umno silap besar.

Apa yang dilakukan selama ini hanya meminggirkan orang Melayu lebih jauh lagi dari Umno. Sudah ada orang Melayu meluat dan jauh hati dengan cara dan kaedah pimpinan Umno mendekati bangsa lain seolah-olah Umno bukan lagi tunjang memperjuangkan hak dan kepentingan orang Melayu.

Terus terang kita katakan budi yang dilakukan oleh Najib Razak dan pimpinan Umno terhadap bukan Melayu - membuka sektor ekonomi penting kepada kaum lain, lawatan ke tempat ibadat kaum lain, memberi lebih peluang kepada kaum lain dalam bidang pendidikan, ekonomi dan pentadbiran kerajaan - belum tentu akan dibalas dengan undi untuk Barisan Nasional.

Akhirnya yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Yang rugi ialah bangsa sendiri dan Umno menjadi bahan sejarah.

Blogger Abdul Kadir Jasin menulis mengenai kesilapan yang bakal dilakukan oleh Najib dan pimpinan. Kita harap orang Melayu terutamanya pemimpin Umno melapangkan masa membaca tulisan Kadir ini.

Thursday, January 28, 2010

Saya Mahu Terus Jadi Orang Melayu
A Kadir Jasin


MAAF cakap, saya bangga jadi orang Melayu. Walaupun kadangkala saya malu dengan sikap, tabiat dan pencapaian sesetengah orang Melayu apatah lagi apabila orang Melayu dikaitkan dengan rasuah dan kemalasan, namun saya tetap bangga jadi orang Melayu di Malaysia.

Saya yakin orang Cina pun bangga jadi orang Cina dan orang India pun bangga jadi orang India. Tidak mengapalah kalau ramai generasi muda India dan Cina meminjam nama orang putih walaupun mereka bukan Kristian dan tidak boleh berbahas Inggeris dengan baik. Dalam suasana tiru meniru cara Malaysia ini, orang muda Melayu pun terikut-ikut guna nama Inggeris.

Justeru itu saya tetap akan mempertahankan identiti Melayu dalam Kad Pengenalan dan dokumen-dokumen rasmi lain. Lagipun, identiti Melayu itu mengesahkan saya sebagai seorang Muslim, Bumiputera dan tidak makan daging babi atau minum arak.

(Baru-baru ini saya makan di sebuah restoran canggih di Bangsar. Saya minta spageti dengan kepah. Tapi ada chardonnay. Jadi saya tanya, chardornnay betul atau ala Malaysia. Dia kata betul. Jadi haramlah. Tapi spageti dengan kepah boleh dimasak tanpa arak. Ajaibnya di Malaysia ni, benda haram pun boleh jadi halal dengan menukar bahan. Maka bacon yang asalnya daripada daging babi, tapi di Malaysia dihalalkan dengan menggunakan daging lembu atau ayam Belanda.)

Oleh sebab itu saya tidak setuju sama sekali dengan cadangan kerajaan supaya penyataan bangsa dalam borang kerajaan dihapuskan kecuali untuk tujuan bancian dan perangkaan.

Bernama memetik Pelan Hala Tuju (PHT) Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Mohd Najib Abdul Razak hari ini sebagai berkata:

“Dalam memupuk kerajaan 1Malaysia, adalah dicadangkan supaya penyataan bangsa dalam borang kerajaan dihapuskan kecuali untuk tujuan bancian dan perangkaan.”

Am I Malaysian just because I am proud being a Malay. Adakah cinta saya kepada Malaysia hambar dan kosong kerana saya mahu kekal sebagai seorang Melayu dan mahu identiti Melayu saya itu direkodkan?

Saya tidak peduli kalau orang Cina, India, Iban, Kadazan yang semua yang lain tidak mahu menyatakan afiliasi kaum mereka dalam Kad Pengenalan, Sijil Lahir, Sijil Mati, Sijil Nikah, geran tanah dan segala macam lagi dokumen rasmi Kerajaan 1Malaysia. Itu hak mereka.

Mana tahu orang Cina dan India Malaysia tidak lagi bangga dengan asal usul etnik mereka dan mahu jadi bangsa 1Malaysia.

Saya mahu identiti Melayu saya diketahui dan diakui kerana saya adalah anak peribumi Tanah Melayu, satu bangsa dari Kepulauan Melayu (the Malay Archipelago) dan dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Melayu dan Islam tidak dapat dipisahkan.

Takdirnya saya mati di tepi jalan dan sesiapa pun menemui jasad saya yang kaku itu mereka akan tahu saya seorang penganut Islam apabila mereka melihat bangsa saya tercatat sebagai Melayu.

Sesungguhnya saya cukup sedih dan gusar apabila satu demi satu, sedikit demi sedikit apa sahaja yang mengaitkan orang Melayu dengan bangsa, negara dan hak asasinya semakin hari semakin dihakis.

Membuang pengenalan bangsa dalam borang dan dokumen rasmi seperti dicadangkan itu adalah satu lagi contoh ke arah penghapusan identiti Melayu sebagai bangsa induk, bangsa peribumi dan bangsa majoriti di bumi Malaysia ini.

Adakah semata-mata kerana orang bukan Bumiputera “rasa kehilangan hak, diskriminasi dan malah rasa geram” terhadap Dasar Ekonomi Baru maka saya, sebagai orang Melayu, tidak lagi berhak menyatakan identiti bangsa saya?

Kalau orang bukan Bumiputera rasa kehilangan hak, diskriminasi dan rasa geram kerana mereka beranggapan DEB tidak menguntungkan mereka, apakah semua orang Melayu dan Bumiputera puas hati dengan dasar itu?

Adalah satu kesilapan yang sangat besar menganggap Melayu dan Bumiputera tidak tahu bahawa yang lebih ramai menjadi kaya raya dan senang lenang akibat DEB adalah orang bukan Bumiputera.

Jadi, tolonglah jangan kacau saya kalau saya bangga jadi Melayu dan mahu kebangsaan saya direkodkan secara rasmi. Terima kasih. http://kadirjasin.blogspot.com/

Friday, January 29, 2010

AKHIRNYA KHIR TOYO TAHU MALU!

"I am disappointed. I have given my heart to Selangor. I love Selangor. I have worked hard, 18 hours a day for the past eight years for the State. I am not appreciated. Instead, I am being publicly humiliated. "

"Saya kecewa. Saya telah menyerahkan jiwa dan raga saya kepada Negeri Selangor. Saya mencintai Selangor. Saya berkerja kuat, 18 jam sehari sepanjang 8 tahun yang lalu untuk Negeri ini. Saya tidak dihargai. Sebaliknya, saya dihina di khalayak ramai."

Itulah kata-kata yang dilafazkan oleh bekas Menteri Besar Selangor Khir Toyo berikutan kenyataan SPRM bahawa siasatan ke atas beliau berkaitan dua lawatan ke Disneyland sudah selesai.

Rupa-rupanya Khir Toyo, seperti juga insan yang lain, juga mempunyai perasaan malu. Kepada Khir Toyo, ingatkah saudara kepada gambar di atas? Tidakkah insan yang dihadiahkan penyapu oleh saudara juga mempunyai perasaan malu? Tidakkah insan yang dihadiahkan penyapu itu juga berjasa, mencintai dan berkerja kuat untuk Negeri Selangor?

Kenapa Khir Toyo melahirkan kekecewaan dan merasakan terhina dengan tindakan SPRM? http://www.mmail.com.my/content/26104-khir-toyo-im-innocent

Tiada apa yang menarik dengan kenyataan SPRM. Ia hanya mengatakan bahawa siasatan ke atas beliau telah pun selesai. Tiada apa yang memalukan Khir Toyo. Malahan Khir Toyo harus bersyukur beliau dilayan dengan mesra oleh SPRM semasa soal siasat tidak seperti mana dengan kes-kes lain yang terpaksa bergelut untuk mengelakkan diri dari ditangkap atau terjun dari tingkap.

Khir Toyo mesti ingat bahawa beliau menyandang jawatan Menteri Besar kerana kehendak rakyat. Ia adalah amanah yang diletakkan oleh rakyat kepada beliau. Apa yang dilakukan oleh Khir Toyo adalah amanah yang rakyat mahu beliau laksanakan.

Oleh itu tak payahlah Khir Toyo masuk bakul, angkat sendiri. Hasil dari beliau dilantik oleh rakyat menjadi Menteri Besar, Khir Toyo mampu memiliki mahligai yang besar dan mampu melancung ke Disneyland ke serata dunia.

Tanpa rakyat, mungkin Khir Toyo hanya kekal sebagai doktor gigi desa. Oleh itu berterima kasihlah kepada rakyat kerana mengubah corak hidup beliau menjadi orang besar dan berharta.

Dan amanah yang diberikan perlu dipikul dengan penuh amanah. Jika sebaliknya dilakukan, Khir Toyo perlu terima hakikatnya. Rakyat tiada simpati untuk mereka yang menderhaka kepada rakyat.

Tuesday, January 26, 2010

DISNEYLAND: KHIR TOYO BERSALAH @ TIDAK?

Rasuah yang berleluasa dan keangkuhan pemimpin-pemimpin Umno adalah punca Barisan Nasional kehilangan mandat 2/3 dalam Pilihanraya Umum ke 12 pada Mac 2008.

Apabila keputusan rakyat diketahui, para pembesar Umno membuat kenyataan-kenyataan bahawa sudah sampai masanya untuk Umno berubah demi masa depan Umno dan orang-orang Melayu.

Mac 2010 akan menjelang tiba. Adakah impian Umno ingin berubah ini sudah menjadi kenyataan selepas dua tahun dikejutkan rakyat?

Jawapannya, TIDAK. Umno masuk ditakuk lama dan masih angkuh dan bongkak. Lihatlah program yang diperkenalkan di Hulu Selangor beberapa minggu lepas - Program Juara Rakyat. Namanya sudah cukup menggambarkan betapa sukarnya Umno untuk mengikis sifat bongkak dan angkuh di dalam diri mereka.

Pelbagai cerita kita dengar mengenai bekas Menteri Besar Selangor Khir Toyo. Tidak mungkin kita lupa akan insiden menghadiahkan penyapu kepada seorang Pegawai Daerah. Kita juga dihidangkan dengan hikayat mahligai Khir Toyo.

Kita semua tahu gaji seorang Menteri Besar tak lah seberapa tetapi pemimpin seperti Khir Toyo mampu mempunyai mahligai yang tersergam indah. http://kedahku.blogspot.com/2009/07/khir-toyo-bayar-rm15000-sebulan-untuk.html

Dan kita mengharapkan rakyat mempercayai setiap alasan yang dihidangkan untuk menghalalkan bagaimana seseorang itu menjadi kaya raya.

Hari ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengeluarkan kenyataan bahawa SPRM telah menyiapkan siasatan dakwaan penyalahgunaan dana awam untuk lawatan kerja bekas menteri besar Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo ke taman tema Disneyland di Perancis dan Amerika Syarikat. http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsgeneral.php?id=471186

Khir Toyo didakwa membelanjakan RM1.7 juta untuk dua lawatan ke Disneyland di Peranchis dan Amerika Syarikat pada 2007 dan 2004. http://www.sun2surf.com/articlePrint.cfm?id=31783

Kita tidaklah mahu menuduh Khir Toyo telah menyalahgunakan kuasa tanpa sebarang bukti. Kita serahkan kepada SPRM untuk menyelesaikan masalah ini.

Memandangkan SPRM sudah mengesahkan bahawa siasatan sudah selesai, eloklah sekiranya SPRM mendedahkan apakah hasil siasatannya terhadap Khir Toyo.

Kita perlu berlaku adil kepada bekas Menteri Besar ini. Kalau beliau tidak bersalah, rakyat perlu diberitahu kenapa beliau tidak perlu didakwa di mahkamah.

Mungkin agak ganjil untuk SPRM memberi sebab musabab Khir Toyo tidak perlu didakwa. Tetapi SPRM mesti ingat, Khir Toyo bukan calang-calang orangnya. Beliau seorang pemimpin Umno.

Imej beliau sudah tercalar dan imej Umno juga rosak kerana dakwaan-dakwaan seumpama ini. Demi masa depan Umno dan bagi membersihkan nama Khir Toyo, ada lebih baik SPRM jelaskan kenapa Khir Toyo terlepas dari dakwaan sekiranya itulah keputusan SPRM.

Kalau ada kes, eloklah Khir Toyo didakwa agar beliau mendapat peluang untuk membersihkan diri di mahkamah.

Kita mesti ingat. Rakyat akan menghukum kita lima tahun sekali sekiranya kita masih bersikap acuh tidak acuh terhadap rasuah. Kita tidak mahu suatu hari ini Umno menyesal tanpa kesudahannya.

Wednesday, January 20, 2010

FACEBOOK/TWITTER: YAB PM, DENGARLAH NASIHAT RAIS!

15 Januari 2009
Najib Razak Alhamdulillah I completed my Umrah. Now going to Friday prayers at Masjidil Haram before heading back to Jeddah.

Inilah yang ditulis oleh Perdana Menteri di dalam FACEBOOK beliau selepas menunaikan ibadah Umrah di Mekah dan 1,679 peminat facebook dan peminat Perdana Menteri memberi respons kepada catatan Perdana Menteri ini.

Dan pada hari yang sama, Menteri Kabinet yang dilantik oleh Najib, Rais Yatim, membuat kenyataan berikut seperti yang dilaporkan Bernama:

"Apabila memakai dan menggunakan alat-alat ini (Facebook dan Twitter), sifat keMalaysiaan, sifat keIslaman, sifat buddhisme, sifat kristian yang ada pada seseorang itu perlu dijadikan benteng."
http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php?id=468837

Kita harap Perdana Menteri mendengar nasihat Rais ini bahawa apabila memakai dan menggunakan Facebook dan Twitter, beliau harus mempunyai sifat keMalaysiaan dan sifat keIslaman untuk dijadikan benteng.

Sekali lagi rayuan Jelapang kepada YAB Perdana Menteri, tolonglah dengar nasihat Rais, Menteri Komunikasi Negara.

Tuesday, January 19, 2010

NAZRI: BUKAN ISLAM BOLEH GUNA KALIMAH ALLAH?


Kata Nazri Aziz: Bukan Islam di Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak boleh menggunakan kalimah Allah.
Bukankah kerajaan telah membuat keputusan untuk menunggu proses mahkamah berjalan?

Friday, January 15, 2010

BERSATU MEMPERTAHANKAN KALIMAH ALLAH

Hari ini, khutbah di kesemua masjid di seluruh negeri Selangor menyeru seluruh umat untuk bersatu mempertahankan kalimah Allah. Berikut disiarkan sebahagian dari teks khutbah tersebut.

BERSATU MEMPERTAHANKAN KALIMAH ALLAH”
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Marilah kita meningkatkan ketaqwaan kita dan menghadapkan seluruh jiwa raga kita kehadrat Allah S.W.T., dengan merenung, berfikir secara mendalam, tentang kebesaran Allah dan segala rahmat kurniaan-Nya.

Mereka yang sering mengingati Allah jiwanya akan tenang, hatinya akan tenteram, sehingga halus budi pekerti dan tutur katanya. Firman Allah S.W.T. dalam Surah ar-Ra’du: ayat 28:-
Bermaksud: “Orang yang beriman menjadi tenang hatinya dengan mengingati Allah, ketahuilah bahawa dengan mengingati Allah hati akan tenang”.

Muslimin yang berbahagia,

Dalam Al-Quran yang mengandungi lebih daripada 600 halaman, kalimah Allah diulang-ulang setiap halaman. Mereka yang membaca seluruh Al-Quran akan menyebut lebih 20 ribu kali. Dalam solat pula, kalimah Allah disebut sebanyak 425 kali bagi 17 rakaat sehari semalam. Begitulah intimnya umat Islam dengan kalimah Allah.

Perkataan Allah menurut Ensiklopedia Islam adalah merujuk kepada sebutan atau nama Tuhan yang tiada Tuhan selain Allah atau Tuhan Yang Maha Esa.
Menurut ensiklopedia Katholik, ianya telah dicatat bahawa “perkataan Allah adalah kalimah dalam bahasa arab, ianya hanya digunakan di kalangan orang Islam bagi nama tuhan mereka”.
Umum mengetahui perkataan Allah tidak pernah terdapat dalam bahasa asal perjanjian lama yang dikenali sebagai Taurat dan perjanjian baru yang dikenali sebagai Bible. Ini adalah kerana Kitab Taurat ditulis dalam bahasa Hebrew, manakala Bible dalam bahasa Greek.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada hari Khamis, 31 Disember 2009, yang membenarkan akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah “Allah” amat memeranjatkan bagi semua umat Islam di seluruh negara. Berbagai reaksi telah timbul baik daripada individu, termasuk di kalangan ulama’, ahli politik dan cendekiawan Islam, ataupun jawatankuasa masjid serta persatuan dan pertubuhan Islam.
Penggunaan nama Allah oleh pihak Kristian khususnya dalam penulisan mereka, amat wajar dilarang oleh pihak kerajaan. Di dalam hukum Islam, kerajaan berhak memutuskan hukuman di dalam konteks menghalang mudharat yang dijangkakan.

Dalam konteks Malaysia, penggunaan kalimah Allah bagi penganut agama Kristian amat dibimbangi boleh mencetuskan ketegangan antara agama seterusnya boleh membawa
perpecahan yang serius jika gagal dikawal.
Lebih-lebih lagi, apabila mengenangkan kelalaian umat Islam yang ada pada hari ini, telah memberi ruang kepada missionary bukan Islam mengambil kesempatan untuk tujuan-tujuan tertentu.
Di samping itu, kemunculan beberapa kumpulan bukan Islam, yang diyakini akan menyalahgunakan nama Allah dalam tulisan mereka secara berleluasa, sehingga membawa kekeliruan bagi penganut Islam.

Satu lagi fakta yang perlu difikirkan adalah, mengapa gereja-gereja di Eropah seperti Vatican City di Itali TIDAK MENGGUNAKAN kalimah Allah untuk God, malah negara-negara majoriti Kristian juga tidak pernah sibuk ingin menggunakan nama Allah ini. Malah dalam filem-filem bercorak agama terbitan Hollywood, pihak Kristian tidak pernah menggunakan kalimah Allah bila menyeru tuhan mereka. Mereka hanya gunakan God atau Lord sahaja. Itulah yang terpakai di sisi Kristian seluruh dunia sebenarnya.

Umat Islam perlu sedar mengapa kumpulan tersebut memperjuangkan penggunaan kalimah ini di negara-negara majoriti umat Islam seperti Mesir, Indonesia, beberapa negara Arab dan kini di negara kita, Malaysia.

Tahukah kita, apa sebabnya berlaku sedemikian?. Kesannya nanti, kita bimbang bahawa semua gereja akan ditukar kepada nama Baitullah (rumah Allah), bible juga akan dinamakan Kitabullah dan lebih keliru lagi apabila setiap agama yang ada di negara ini menggunakan nama tuhan mereka dengan nama Allah. Niat mereka adalah untuk menyamaratakan semua agama di negara ini. Sedangkan Islam itu adalah agama yang diredhai Allah SWT., tiada agama lain yang sebenarnya melainkan Islam. Kerana Islam datangnya daripada Allah sedangkan agama yang lain semuanya rekaan manusia semata-mata. Fikirkanlah!.

Sidang Jumaat sekalian,

Larangan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam bukan perkara baru. Larangan terhadap penggunaan kalimah Allah ini telah diputuskan oleh Jemaah Menteri pada 16 Mei 1986 yang memutuskan empat (4) perkataan khusus iaitu; Allah, solat, Kaabah dan Baitullah tidak dibenarkan penggunaannya oleh bukan Islam. Pada masa ini terdapat sepuluh (10) buah negeri telah memperuntukkan larangan penggunaan kalimah Allah dalam jadual kepada Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam kecuali Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan yang masih dalam proses menggubal Enakmen ini.

Demikian juga, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke – 82 yang bersidang pada 5 - 7 Mei 2008, telah memutuskan bahawa:-

1. Lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau dimasukkan dengan agama-agama bukan Islam yang lain.

2. Oleh itu, wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat
mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor telah memutuskan bahwa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau dimasukkan dengan agama-agama bukan Islam yang lain.

Oleh itu, wajib bagi umat Islam menjaga dengan cara yang terbaik sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Majlis Agama Islam Selangor juga telah melaksanakan beberapa tindakan, antaranya pada 13 Mac 2009 yang lalu, mengadakan satu sidang akhbar bagi menyatakan pendirian MAIS berhubung isu ini di mana MAIS berpendirian bahawa penggunaan kalimah Allah hanya eksklusif untuk orang Islam sahaja. Larangan penggunaan kalimah Allah oleh agama selain Islam adalah untuk mengelakkan kekeliruan di kalangan penganut agama Islam terhadap konsep
Keesaan Allah SWT.

Selain itu, MAIS turut menulis surat bertarikh 19 Mac 2009 bagi menyatakan pendirian ini kepada Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Penerangan Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan semua Majlis Agama Islam Negeri-Negeri Seluruh Negara.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita menghadapi perkara ini dengan penuh bijaksana. Tindakan pertama kita ialah bersatu memperkukuhkan perpaduan. Kita padamkan segala permusuhan dan perbalahan di kalangan kita. Walaupun sebahagian kita berbeza ideologi, namun ianya tidak sampai menggadai maruah agama yang maha suci, semata-mata mempertahankan pangkat dan kuasa.
Ingatlah firman Allah S.W.T. dalam Surah ali-‘Imran: ayat 26:-

Maksudnya:
“Katakanlah (wahai Muhammad), “Wahai Tuhan yang mempunyai pemerintahan!, Engkaulah yang memberi pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang mencabut pemerintahan daripada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu”.

Adalah diharapkan agar kita bertindak dengan penuh hikmah dan tidak mengambil tindakan yang melulu akibat keputusan mahkamah itu. Sebagai warga negara yang menghormati kedaulatan undang-undang, hendaklah kita bertindak dengan bijaksana di dalam lunas Undang-undang Negara. Pihak yang berkuasa sedang mengambil tindakan yang perlu mengikut proses undang undang negara kita. Kita berdoa semoga tindakan yang mereka ambil diperkenankan dan diredhai oleh Allah S.W.T. :

Bermaksud:
“Orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepada engkau (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut millah (agama) mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka), “Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar”. Sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepada engkau (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh daripada Allah (sesuatu pun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada engkau”. (Surah Al-Baqarah: ayat 120)

Wednesday, January 13, 2010

AKHBAR CINA MENGHASUT

Jika sesiapa terbaca akan terjemahan berita yang disiarkan oleh akhbar-akhbar Cina yang disiarkan oleh Utusan Malaysia, maka mudahlah untuk kita memahami kenapa kaum Cina menyimpan tanggapan negatif terhadap orang Melayu.

Puncanya ialah HASUTAN yang dibuat oleh akhbar-akhbar Cina

Semalam Utusan Malaysia menyiarkan isu-isu yang dibangkitkan oleh akhbar Cina yang bertumpu kepada bahasa di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina, lepasan UiTM dan NGO Cina.

Ambil contoh isu lepasan UiTM. Berikut ialah terjemahan yang di buat oleh Utusan Malaysia semalam.

Isu mencari pekerjaan di kalangan sisawazah dalam laporan Nanyang Siangpao pada 7 Januari 2010 yang ditulis oleh Phang Seng Choi bertajuk "Pemohon dari lepasan Mara paling tinggi?," cukup menarik.

Penulis itu mengupas mengenai laporan akhir tahun Dewan Rakyat berkaitan bantuan kerajaan terhadap graduan dan lepasan sekolah mencari kerja di Jobs Malaysia sehingga 12 November 2009, mencatat seramai 69,760 orang pemohon.

Dalam permohonan tersebut, siswa lulusan Mara paling ramai menjadi pemohon iaitu 12,768 orang (18.30 peratus), diikuti Universiti Utara Malaysia (UUM) 4,151 orang (5.05 peratus) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) 2,943 orang (4.22 peratus).

Selain daripada UiTM yang melaksanakan pengambilan pelajar di kalangan bangsa sendiri sahaja, lain-lain universiti awam juga memainkan peranan menggunakan sistem kuota untuk pengambilan pelajar bagi memberi ruang kepada bumiputera mendapat tempat di IPTA.

Bagi memberi peluang kepada bumiputera dapat masuk IPTA, mereka cuba rendahkan markah merit kelulusan sebenar dan mengabaikan kebolehan persaingan para pelajar tersebut selepas garduate di alam pekerjaan.

Oleh kerana pasaran pekerjaan mereka adalah bekerja dengan kerajaan, ramai dari kalangan mereka akan ditempatkan di badan-badan kerajaan.

Namun, mereka tidak dapat bersaing atau menandingi pelajar-pelajar lulusan luar negara dalam pasaran terbuka. Dengan mudah nampak kecacatan yang ada pada mereka.

Penulis itu berpendapat sekatan pihak kerajaan terhadap kemasukan ke universiti awam kerana mahu mempertahankan sesuatu kaum adalah konsep melawan arus kepada pembangunan pasaran terbuka.

Ia bukan sahaja tidak dapat menggalakkan pelajar keluaran universiti tempatan dapat bersaing, sebaliknya memdapat kesan negatif apabila mereka mahukan lebih banyak dibelai dan dimanjakan. Itulah menyebabkan mahasiswa UiTM berani melakukan tunjuk perasaan membantah "tidak mahu buka kepada bukan bumiputera masuk belajar". Sebab itu juga, mahasiswa UiTM sangat ramai memohon pekerjaan di Jobs Malaysia.

Persoalannya tidakkah artikel seumpama ini berunsur hasutan? Adakah para pemimpin Melayu bersetuju dengan pandangan yang dipaparkan oleh Nanyang Siangpao ini? Bilakah pihak yang bertanggungjawab memantau unsur-unsur hasutan ini mahu bertindak?

Ini bukan kali pertama akhbar-akhbar Cina memainkan isu perkauman dan menghasut. Antara kesilapan besar para pemimpin terdahulu ialah membiarkan akhbar Cina bermaharajalela sebegini rupa.

Hari ini pemimpin kita hanya banyak bercakap dan mengutamakan populariti dari mengambil tindakan sewajarnya. Bila sahaja ada masalah, peringkat bawahan disalahkan. Alangkah baiknya para pemimpin benar-benar memimpin dan mengetepikan kepentingan diri demi orang Melayu dan Islam.

Tuesday, January 12, 2010

KATA RPK: AKHBAR THE STAR ANTI-ISLAM

Jelapang bukanlah peminat tulisan Raja Petra Kamaruddin aka RPK.

Tetapi Jelapang turut berkongsi sentimen yang diketengahkan oleh RPK melalui artikel beliau "What the f*** is Wong Chun Wai trying to prove".
http://malaysia-today.net/index.php?option=com_content&view=article&id=29525:what-the-fuck-is-wong-chun-wai-trying-to-prove&catid=20:no-holds-barred&Itemid=100087

Mengenai artikel Wong Chun Wai, RPK menulis: "The Star has been playing up the Islamic State issue to the hilt. In its very subtle way it has attempted to paint Islam as ‘the enemy’ and a pariah religion to boot. The Star embarked on its anti-Islamic State campaign and, therefore, in the same breath, spun its anti-Islam propaganda in its effort to not only run down PAS but also to place DAP in a dilemma if it does not come out openly and strongly in opposition to the Islamic State."

Terjemahan: "Akhbar the Star telah mengeksploitkan isu negara Islam sepenuhnya. Dengan secara halus, akhbar itu cuba menggambarkan Islam sebagai musuh dan pariah agama. Akhbar The Star telah mengenengahkan kempen anti negara Islam ..."

Nampaknya tuduhan RPK terhadap akhbar The Star bukan sesuatu yang tidak berasas. Semalam dimuka hadapannya, akhbar tersebut meletakkan berita mengenai keputusan Kabinet meluluskan peruntukan sebanyak RM15 juta untuk digunakan sebagai bayaran pendahuluan kepada mereka yang memperoleh perintah nafkah daripada Mahkamah Syariah. Peruntukan itu bertujuan membantu isteri-isteri yang dalam proses perceraian dan tidak mendapat nafkah daripada suami, meneruskan hidup supaya kebajikan mereka dan anak tidak terabai.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0112&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_15.htm

Niat kerajaan murni sekali. Tetapi apakah tujuan akhbar tersebut memaparkan berita tersebut?

Alimony aid for Muslim women caught in divorce wrangles. (Bantuan nafkah untuk WANITA ISLAM terperangkap dalam masalah perceraian) sebagai tajuk muka depannya.

Dan dalam beritanya dimuatkan perenggan berikut: "Non-governmental organisations have cautiously welcomed the move, saying they wanted it to be implemented efficiently and fairly. (Organisasi-organisasi bukan kerajaan (NGOs) berhati-hati dalam reaksi mereka, sebaliknya mahukan ianya dilaksanakan secara cekap dan adil). http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2010/1/12/nation/5454333&sec=nation

Hanya pengarang-pengarang akhbar The Star yang mengetahui hasrat yang tersirat kenapa berita tersebut menjadi bahan muka hadapan akhbar mereka.

Jelapang tercari-cari akan artikel mengenai titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kepada semua pihak di Selangor agar berpegang teguh kepada pendirian mengharamkan pengunaan kalimah Allah oleh agama selain Islam di dalam akhbar The Star online tetapi tidak pula terjumpa sepatah ayat pun mengenai titah DYMM itu. http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0112&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm

Mungkin akhbar The Star lebih mengetahui akan nilai keharmonian bangsa lebih dari orang lain.

Monday, January 11, 2010

HERALD -THE CATHOLIC WEEKLY PERLU IKHLAS

‘‘Sudah tiba masanya kita, masyarakat Kristian khususnya Katholik membuat penilaian kepada keadaan sekarang demi keselamatan dan ketenteraman awam supaya dengan senang hati menggugurkan perkataan Allah untuk menenangkan saudara Islam kita.

‘‘Daripada terus mendesak hak untuk menggunakan perkataan Allah adalah lebih baik jika Katholik hanya menggunakan perkataan ‘Tuhan’ atau ‘Tuhan Yang Maha Kuasa’.

‘‘Biarlah saudara Islam kita sahaja yang menggunakan perkataan Allah untuk kebajikan supaya kita dapat hidup aman damai dan harmoni di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini." - Presiden Majlis Jaksa Pendamai Malaysia Datuk Clarence Bongkos Malakun.

Terima kasih dan tahniah Datuk Clarence. Sejak insiden gereja dibakar, pemimpin-pemimpin politik Melayu Islam berpusu-pusu menghulurkan tangan tanda persahabatan dengan pemimpin Kristian demi mengekalkan keharmonian negara.

Pemimpin-pemimpin politik tanpa mengira perbezaan fahaman politik menunjukkan tanda simpati demi meredakan keadaan. Oleh itu kenyataan yang dibuat oleh Datuk Clarence kena dan tepat pada masanya. http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0111&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm

Sesama kita tidak pernah memusuhi rakan-rakan kita dari agama lain. Tetapi malangnya apabila kes kalimah Allah dibawa ke mahkamah dan mahkamah merestui permohonan Akhbar Herald-The Catholic Weekly (http://www.heraldmalaysia.com/index.php), umat Islam tersinggung dan terluka dengan keputusan tersebut.

Berkurun lamanya kita hidup bersama dan tidak pernah kalimah Allah ini dijadikan bahan perbicaraan di mahkamah. Umat Islam sedar Kalimah Allah ini digunakan di Sabah dan Sarawak.

Seperti yang dinyatakan oleh satu komen yang di buat oleh "YB Raz" semalam: "kalau dikira segala pertimbangan memang tak mengapa asalkan ianya digunapakai di sabah/sarawak sahaja. ini bertepatan dengan kehendak penduduk pribumi disana yang telah menggunakannya sejak dulu lagi.tetapi yang dikhuatiri ianya turut digunakan di semenanjung. suasana agama di semenanjung tidak sama dengan sabah/sarawak.sebab itulah ianya ditentang. mencegah adalah lebih baik dari mengubati. sebelum ianya digunakan meluas di semenanjung, adalah lebih baik ianya dihalang."

Menurut Tan Sri Bernard Dompok: "Dalam upacara ibadat yang menggunakan bahasa Inggeris, istilah yang digunakan ialah God, manakala upacara ibadat dalam bahasa Melayu menggunakan istilah Allah dan upacara ibadat dalam bahasa ibunda, misalnya dalam bahasa Kadazandusun, menggunakan istilah 'Kinoingan'. Kebanyakan gereja di kawasan bandar menggunakan bahasa Inggeris, manakala bahasa Melayu dan bahasa ibunda digunakan dengan meluas di gereja-gereja di kawasan luar bandar di Sabah. " http://kedahku.blogspot.com/2010/01/dompok-kenapa-allah-popular-kepada.html

Seperti kata TS Bernard hanya gereja diluarbandar yang menggunakan bahasa Melayu dalam upacara ibadatnya yang banyak menggunakan kalimah Allah di Sabah dan Sarawak.

Berapa banyakkah gereja di Semenanjung yang menggunakan bahasa Melayu dalam upacara agamanya? Rasanya tiada.

Oleh itu apa perlunya menguris perasaan umat Islam di Semenanjung dengan permohonan akhbar Catholic tersebut sehinggakan mengambil tindakan mahkamah untuk menghalalkan penggunaan kalimah Allah di gereja di Semenanjung.

Perkembangan sehari dua ini jelas bahawa setiap rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa sayangkan keharmonian negara.

Demi kemakmuran dan keharmonian dan masa depan negara, adalah baik sekiranya Akhbar Herald-The Catholic Weekly menghormati pandangan Datuk Clarence dengan menggugurkan tuntutan keatas kalimah Allah.

Inilah satu-satunya pilihan dan tindakan dari akhbar ini untuk membuktikan ia juga cintakan kedamaian dan inilah satu-satunya cara untuk mengubat kembali perasaan sesetengah umat Islam yang terguris dengan tindakan akhbar tersebut dan mahkamah baru-baru ini.

Kita semua cintakan kedamaian tetapi kedamaian lahir dari keikhlasan dan sikap saling hormat menghormati antara satu sama lain.

Sunday, January 10, 2010

DOMPOK: KENAPA ALLAH POPULAR KEPADA PENGANUT KRISTIAN

Berikut ialah pandangan Tan Sri Bernard Dompok mengenai penggunaan kalimah Allah di kalangan pengikut Kristian. Surat ini telah disiarkan oleh Malaysiakini.


Kenapa 'Allah' popular kepada penganut Kristian
Bernard Giluk Dompok Jan 6, 10 12:42pm


Keputusan hakim Mahkamah Tinggi pada 31 Disember 2009 bahawa penerbitan Herald boleh terus menggunakan istilah Allah dalam penerbitan edisi Bahasa Malaysia telah mencetuskan pelbagai reaksi daripada beberapa pihak di seluruh negara.

Sesetengah daripada komen dan reaksi tersebut tidak membantu usaha pengukuhan perpaduan dan hubungan antara kaum di negara ini.

Sejurus selepas perkara ini dibawa ke mahkamah, saya telah menggesa semua pihak supaya menghormati dan memberikan sepenuhnya kebebasan kepada mahkamah untuk menjalankan tanggungjawabnya.

Saya percaya bahawa hakim Datuk Lau Bee Lian telah melihat segala aspek sejarah dan hak perlembagaan sebelum membuat keputusan tersebut.

Dari aspek sejarah, istilah Allah telah digunakan sejak sekian lama, yakni sebelum rakyat Sabah memutuskan untuk menubuhkan Malaysia bersama-sama dengan Tanah Melayu, Singapura dan Sarawak pada 1963.

Masyarakat Sabah telah menggunakan bahasa Melayu sesuai dengan statusnya sebagai lingua franca di rantau ini. Agama Kristian mulai bertapak di Sabah sejak 1881 dan terus berkembang selepas itu.

Bagi masyarakat bumiputera Kristian di Sabah seperti Kadazandusun dan Murut, upacara ibadat diadakan dalam tiga bahasa iaitu bahasa Inggeris, Melayu dan bahasa ibunda mereka.

Dalam upacara ibadat yang menggunakan bahasa Inggeris, istilah yang digunakan ialah God, manakala upacara ibadat dalam bahasa Melayu menggunakan istilah Allah dan upacara ibadat dalam bahasa ibunda, misalnya dalam bahasa Kadazandusun, menggunakan istilah 'Kinoingan'.

Kebanyakan gereja di kawasan bandar menggunakan bahasa Inggeris, manakala bahasa Melayu dan bahasa ibunda digunakan dengan meluas di gereja-gereja di kawasan luar bandar di Sabah.

Pengiktirafan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perantara dalam sistem pendidikan negara telah memperluaskan lagi pengaruh bahasa ini di kalangan masyarakat Sabah.

Generasi yang lahir selepas dasar ini dibuat lebih selesa menggunakan bahasa Melayu. Mereka juga lebih selesa menghadiri upacara-upacara ibadat yang diadakan dalam bahasa kebangsaan ini.

Generasi muda masyarakat bumiputera Kristian dari Sabah yang berhijrah ke Semenanjung sama ada untuk bekerja atau melanjutkan pelajaran turut meminta pihak gereja di sini supaya upacara ibadat dalam bahasa Melayu turut diadakan kerana mereka sudah serasi dengan penggunaan bahasa ini.

UPKO merasakan bahawa setiap anggota masyarakat diberikan kebebasan untuk terus menunaikan ibadat keagamaan mereka dalam keadaan yang tenang serta dapat menggunakan bahasa serta istilah-istilah yang mereka berasa selesa untuk menggunakannya sepanjang upacara ibadat tersebut.

Kenyataan media Tan Sri Bernard Giluk Dompok, presiden UPKO dan menteri perusahaan perladangan dan komoditi. http://www.malaysiakini.com/letters/121251

Friday, January 8, 2010

HORMATILAH AGAMA KAMI!

"Bagi menjamin suasana aman dan harmoni di antara penganut yang berlainan agama, maksud dan rujukan kalimah Allah dalam konteks umum hendaklah menepati sifat yang ditetapkan oleh Islam kerana amalan ini sekian lama telah diterima baik oleh semua penganut agama lain di Malaysia." - Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin. http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php?id=467099

Titah Baginda lagi: Beta (Tuanku Mizan) memandang serius terhadap isu penggunaan kalimah Allah dalam majalah Herald-The Catholic Weekly oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini.

Apa yang berlaku akhir-akhir ini adalah akibat hilang rasa hormat sesetengah pihak terhadap pihak yang lain. Sensitiviti kaum diketepikan bukan kerana keadilan tetapi lebih kepada keangkuhan merasakan diri mereka semakin kuat dan orang lain semakin lemah.

Kenapa lebih 60 tahun perkara ini tidak berbangkit? Kenapa sebelum ini perkara-perkara sesensitif ini tidak memerlukan campurtangan mahkamah untuk menyelesaikannya?

Kenapa perkara ini dibiarkan berlarutan sehingga ke tahap ini? Apa yang berlaku hari ini bukan perkara luarbiasa dan bukan pertama kali berlaku di negara kita.

Perkara seumpama ini akan terus berulang sekiranya pihak yang bertanggungjawab mengabaikan tanggungjawab mereka dan apabila pihak lain sudah hilang hormat kepada orang lain yang selama ini menghormati mereka.

Manakala orang politik pula melebihkan kepentingan politik dan masa depan mereka dari kepentingan agama dan bangsa.

Friday, January 1, 2010

AL-FATIHAH: TOK MAT KEMBALI KE RAHMATULLAH

AL-FATIHAH: Tan Sri Mohamed Rahmat, bekas Setiausaha Agung Umno dan bekas Menteri Penerangan, kembali ke rahmatullah sebentar tadi. Semuga Allah swt mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham.
http://ms.wikipedia.org/wiki/Mohamed_bin_Rahmat
http://themalaysianinsider.com/index.php/bahasa/48180-mohamed-rahmat-meninggal-dunia