"Saya kecewa. Saya telah menyerahkan jiwa dan raga saya kepada Negeri Selangor. Saya mencintai Selangor. Saya berkerja kuat, 18 jam sehari sepanjang 8 tahun yang lalu untuk Negeri ini. Saya tidak dihargai. Sebaliknya, saya dihina di khalayak ramai."
Itulah kata-kata yang dilafazkan oleh bekas Menteri Besar Selangor Khir Toyo berikutan kenyataan SPRM bahawa siasatan ke atas beliau berkaitan dua lawatan ke Disneyland sudah selesai.
Rupa-rupanya Khir Toyo, seperti juga insan yang lain, juga mempunyai perasaan malu. Kepada Khir Toyo, ingatkah saudara kepada gambar di atas? Tidakkah insan yang dihadiahkan penyapu oleh saudara juga mempunyai perasaan malu? Tidakkah insan yang dihadiahkan penyapu itu juga berjasa, mencintai dan berkerja kuat untuk Negeri Selangor?
Kenapa Khir Toyo melahirkan kekecewaan dan merasakan terhina dengan tindakan SPRM? http://www.mmail.com.my/content/26104-khir-toyo-im-innocent
Tiada apa yang menarik dengan kenyataan SPRM. Ia hanya mengatakan bahawa siasatan ke atas beliau telah pun selesai. Tiada apa yang memalukan Khir Toyo. Malahan Khir Toyo harus bersyukur beliau dilayan dengan mesra oleh SPRM semasa soal siasat tidak seperti mana dengan kes-kes lain yang terpaksa bergelut untuk mengelakkan diri dari ditangkap atau terjun dari tingkap.
Khir Toyo mesti ingat bahawa beliau menyandang jawatan Menteri Besar kerana kehendak rakyat. Ia adalah amanah yang diletakkan oleh rakyat kepada beliau. Apa yang dilakukan oleh Khir Toyo adalah amanah yang rakyat mahu beliau laksanakan.
Oleh itu tak payahlah Khir Toyo masuk bakul, angkat sendiri. Hasil dari beliau dilantik oleh rakyat menjadi Menteri Besar, Khir Toyo mampu memiliki mahligai yang besar dan mampu melancung ke Disneyland ke serata dunia.
Tanpa rakyat, mungkin Khir Toyo hanya kekal sebagai doktor gigi desa. Oleh itu berterima kasihlah kepada rakyat kerana mengubah corak hidup beliau menjadi orang besar dan berharta.
Dan amanah yang diberikan perlu dipikul dengan penuh amanah. Jika sebaliknya dilakukan, Khir Toyo perlu terima hakikatnya. Rakyat tiada simpati untuk mereka yang menderhaka kepada rakyat.
No comments:
Post a Comment