Bagi Rais Yatim, blogger tidak penting.Itulah sebabnya beliau sanggup membakar jambatan dengan para blogger dengan membuat laporan polis terhadap blogger Rockybru, BigDog dan Taikors and Taikuns.
Bagi Rais, orang yang bertanggungjawab kepada jentera Penerangan dan Komunikasi Kerajaan, blogger tidak ada guna sesen pun.
Blogger harus dipenjarakan. Mungkin pada Rais, blogger sering menghidangkan cerita (cereka) separuh benar tanpa bukti, sepertimana tuduhan yang beliau lemparkan terhadap Rockybru, BigDog dan Taikors and Taikuns.
Ada ketikanya, memang benar ada blogger yang menyiarkan cerita separuh benar (half truth). Tetapi apalah yang ada pada seorang blogger.
Sesetengah blogger, kerja pun tiada. Ada blogger yang papa kedana. Duduk di bawah pokok, sambil menghirup secawan teh tarik, menjamah sekeping roti canai dan berbekal sebuah laptop, mereka menulis. Ada cerita benar, ada cereka.
Walaupun mereka bercerita separuh benar, mereka ada budi bahasa dan berjiwa murni. Mereka tidak merompak hak negara, mereka tiada kuasa untuk membahagi-bahagikan khazanah negara. .
Seorang blogger mencadangkan agar satu usaha untuk mendamaikan Rais dengan Rockybru diadakan.
Siapa perlukan siapa? Rais perlukan blogger atau blogger perlukan Rais?
Terus-terang kita katakan, pada blogger, Rais tak penting. Pada kita Rais patut sudah lama ditendang keluar dari Kabinet oleh Najib Razak.
Rais seorang Menteri yang tidak ada budi bahasa, bongkak dan lupa daratan. Lihatlah video-video beliau di mana beliau bertutur penuh dengan keangkuhan.
Rais lupa bahawa beliau menjadi Menteri kerana rakyat memilih beliau. Orang-orang kampung di Jelebu yang hidupnya tidak sesempurna Rais yang memilih beliau. Rais manusia yang tiada budi bahasa. Orang berbudi, kita berbahasa.
11 pilihanraya kecil telah berlalu. Apa jasa Rais kepada Barisan Nasional dan Umno semasa pilihanraya-pilihanraya kecil ini? Jawapan, sekelumit pun tidak ada.
Sampailah masanya, para blogger membiarkan Rais dan Kementerian beliau pula membuat kerja di Batu Sapi dan Galas. Tidak perlu para blogger membantu BN dan Umno di kedua-kedua pilihanraya kecil ini.
Kementerian Rais mempunyai Jabatan Penerangan, mempunyai Jabatan Penyiaran, mempunyai Radio dan Televisyen Malaysia dan mempunyai pakar-pakar IT dalam Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.
Perdana Menteri seharusnya mengarahkan Rais turun padang, mengharung lumpur, membantu BN dan Umno menyakinkan rakyat untuk mengundi Kerajaan.
Tidak mungkin Rais tidak dapat melakukannya. Beliau ada Jabatan Penerangan. Apa peranan Jabatan Penerangan sekarang?
Di bawah Rais, Jabatan Penerangan hanya tidur. Tidur dengan penuh nyenyak. Apa peranan Jabatan Penerangan semasa 11 pilihanraya kecil selama ini?
Kalau dalam tahun 70an dan 80an, kerja Jabatan Penerangan ialah memasuki setiap pelusuk kampung dan menghiburkan penonton dengan tayangan wayang percuma dan menyediakan speaker dan mikrofon untuk pemimpin berucap. Hari ini hanya Rais sahaja yang tahu apa Jabatan Penerangan buat setiap hari.
Setiap negeri ada Pengarah Penerangan. Di Kuala Lumpur pula, ada Ketua Pengarah Penerangan. Begitu hebatnya Jabatan Penerangan. Malangnya Jabatan Penerangan hanya tinggal nama sahaja.
Begitu juga dengan RTM. Kekadang tertanya-tanya kita berapa ramai yang menonton berita di RTM. Rais sudah pasti menonton Berita di RTM kerana hanya RTM yang sanggup menyiarkan wajah beliau yang penuh dengan kesombongan itu.
RTM hari ini, di bawah kepimpinan Rais, hidup segan, mati tidak mahu.
Sudah tiba masanya untuk Najib meletakkan tanggungjawab memenangkan Galas dan Batu Sapi di bahu Rais.
Inilah masanya Najib menilai samada beliau perlu mengekalkan seseorang pemimpin yang sudah menghampiri usia 70 tahun di dalam Kabinet beliau.
Galas dan Batu Sapi kayu pengukurnya. Kita mahu melihat muka Rais, siang-malam, 24 jam sehari, bertungkus lumus mulai sekarang mengerakkan jentera Penerangan dan Komunikasi di Galas dan Batu Sapi untuk memastikan kemenangan BN.
Kepada Rais, jangan harapkan blogger melakukan kerja untuk kamu.






















