(Tengku Razaleigh menandatangi "kertas kehadiran" semasa bertemu Najib Razak)
Berikut disiarkan semula ucapan Tengku Razaleigh di Parlimen pada 31 Oktober 2014 untuk tatapan semua.
Dengan penuh takzim kepada Yang Berhormat sebagai ahli Parlimen yang bertanggung jawab ke atas kepentingan rakyat yang kita sayangi, saya mengutus surat ini mengenai beberapa isu ekonomi yang kritikal dan sedang melanda negara kita sekarang.
Isu-isu ini meninggalkan kesan dan padahnya terhadap rakyat masakini serta generasi akan datang. Saya sengaja mengelak cara yang lazim digunakan dalam memperkata perkara sebegini rupa melalui debat Belanjawan 2015 yang dikemukakan Kerajaan di Dewan Rakyat.
Di sebaliknya, saya memilih cara ini demi menekankan betapa tenatnya masalah yang kita hadapi.
Saya percaya kesan buruk akibat cadangan Belanjawan ini akan dirasai kelas menengah, para graduan dan pekerja baru serta kumpulan berpendapatan daif.
Walaupun Belanjawan 2015 menyokong “ekonomi rakyat”, ia seolah-olah tidak diberi keutamaan berbanding dengan “ekonomi kapital”.
Perspektif ekonomi kini menunjukkan negara kita menuju ke arah yang salah.
Hala pergerakan ekonomi masakini mungkin tidak dapat dipertahankan. Sekiranya ia tidak dibendung dan diatasi, kita mungkin terjerumus ke kancah krisis yang kita tidak perlu dan amat susah diatasi. Ia juga akan membebankan rakyat jelata serta mengancam keamanan, kemakmuran dan keselamatan negara kita.
Belanjawan 2015 mengunjurkan kadar pertumbuhan KDNK tahun depan sebanyak lebih kurang lima hingga enam peratus, seperti yang dijangkakan Program Transformasi Ekonomi. Ini dianggap mencukupi demi melonjakkan kita ke tahap negara maju pada tahun 2020.
Bagaimanapun ramalan ini mungkin terlalu optimistik memandangkan terdapatnya ancaman terhadap ekonomi dunia, dan pertumbuhan ekonomi kita yang bergantung kepada pasaran luaran dan keyakinan serta minat asing terhadap ekonomi kita. Seperti tercatat dalam Laporan Ekonomi 2015, ada wujudnya downside risk yang mungkin berlaku yang boleh mendorongkan kejutan ekonomi terhadap sistem politik kita.
Lebih daripada itu, angka-angka ini melindungi beberapa peringatan tersembunyi. Saya rasa selama ini Kerajaan mengenepikan isyarat mengenai perubahan ekonomi dunia yang bermula dengan krisis subprime 2008 mengenai pinjaman rumahan di Amerika Syarikat dan masalah hutang negara di Eurozone yang kemudiannya beralih ke Asia disebabkan kelembapan ekonomi China dan pengukuhan semula ekonomi India Kerajaan Modi.
Krisis yang dijangka ini akan menyentuh semua pihak kecuali negara yang bersedia daripada segi ekonomi untuk mempertahankan diri.
Berkenaan dengan pengurusan fiskal negara, kemungkinan saat genting dicetuskan kejatuhan ekonomi luaran seperti jatuhnya nilai Dolar AS atau kemungkiran pembayaran hutang badan-badan peminjam yang dijamin kerajaan akan mengakibatkan ketahanan kewangan kita terjejas.
Secara kasarnya, ketahanan untuk sesuatu tahun (samada ia boleh dibiayai keluaran semasa serta dengan aliran masuk kewangan asing bersih) ialah jumlah hutang kerajaan (pada 2014 lebih kurang RM41 bilion) serta pinjaman perniagaan dan pinjaman isirumah tertunggak (sekarang berjumlah RM1,273 bilion) – yang berjumlah RM1,314 bilion – hendaklah tidak melebihi lima kali ganda jumlah hasil kerajaan (iaitu 5 X RM225 bilion = RM1,125 bilion). Jelas di sini garis panduan ini dilanggar!
Sebahagian besar defisit kerajaan dan jumlah hutang negara terlalu banyak yang menyusahkan pinjaman seterusnya (debt overhang) timbul melalui belanjawan pengendalian serta perbelanjaan cukai untuk menyokong penggunaan bagi mencapai pertumbuhan; umpamanya melalui pemberian BR1M dan juga untuk membiayai gaji sektor awam, subsidi dan pencen.
Peruntukan berdasarkan penggunaan ini bersama dengan subsidi makanan dan tenaga tinggi kepada industri dan kepada umum demi menanggung permintaan terkumpul dengan sendirinya tidak dapat dipertahankan. Perbelanjaan sebegini rupa untuk menggalakkan ekonomi tidak menambah peningkatan kapasiti melalui pelaburan yang perlu untuk mengukuhkan pertumbuhan ekonomi masa depan.
Tetapi dalam masa lima tahun lepas Kerajaan masih lagi menyuntik wang untuk memacu ekonomi pump priming bagi menampung pertumbuhan hasil yang lemah yang merangkumi eksport.
Saya rasa adalah lebih baik peruntukan ditujukan untuk mengembang sektor pertanian untuk tujuan menampung keselamatan makanan (food security) dan membendung pengaliran keluar tukaran asing melalui import makanan. Ini lebih bermanfaat bagi mendokong sarahidup rakyat sewaktu kecemasan ekonomi.
Masalah yang dihadapi kewangan awam kita lebih melibatkan peruntukan perbelanjaan dan bukanlah mengenai hasil. Umpamanya, kenaikan kos perbelanjaan tetap sektor awam tidak seharusnya menjejaskan peruntukan pembangunan. Ini penting terutamanya kerana masih banyak lagi diperlukan untuk membangun kedudukan ekonomi Sabah dan Sarawak dari segi penyediaan prasarana sosial dan kemudahan asas berbanding dengan negeri-negeri di Semenanjung.
Bahagian peruntukan kemudahan asas ini kian merosot dengan bertambahnya belanjawan pengendalian. Peruntukan pembangunan yang melebihi 30 peratus satu dekad dulu sekarang merosot menjadi hanya lebih kurang 15 peratus daripada jumlah cadangan belanjawan 2015.
Dengan pendedahan Ketua Audit Negara mengenai pembaziran, perbelanjaan boros, kerugian tidak bertanggung jawab, ketidakcekapan mutlak serta amalan rasuah tegar kecilan dan besar-besaran, kita sebagai rakyat biasa dan pembayar cukai harusnya dimaafkan sekiranya menunjukkan kemarahan tanpa had terhadap keadaan ini.
Kita seharusnya berjaya meningkatkan kecekapan selama ini dan dengan itu mengurangkan belanjawan pengendalian yang tinggi mendadak selama ini. Saya cadangkan setiap kementerian dan agensi kerajaan dilengkapi dengan cabang pejabat Ketua Audit Negara demi mempastikan perbelanjaan awam dilaksanakan mengikut tatacara urusan dengan teratur dan bertanggung jawab.
Selain daripada jawatankuasa Akaun Awam [PAC], Parlimen juga perlu mewujudkan Ombudsman yang bertindak bebas dan bertanggung jawab terus kepadanya. Di samping itu kita perlu mengawal dan membanteras rasuah melalui pengukuhan Akta Acara Kewangan melalui kajian semula dan pengukuhannya.
Kenaikan kos sara hidup merupakan isu ekonomi paling mendesak sekarang. Kenaikan harga berkaitan pengangkutan, kuasa elektrik, bahan makanan dan lain-lain akibat kesan tali temali (knock-on effect) menyebabkan kenaikan tekanan terhadap kos sara hidup yang dihadapi rakyat. Walau masalah ini dirasai semua orang tetapi kesannya lebih terasa kumpulan pendapatan kelas menengah dan rendah berbanding kelas sosial yang lain.
Sebab utama berlakunya kenaikan harga adalah kerana bekalan tidak mencukupi. Di samping itu permintaan naik mendadak. Maka itu kita harus berusaha terus untuk meliberalkan ekonomi. Kita harus pantau kos tenaga elektrik dan pastikan rakyat biasa mampu menggunanya.
Begitu juga dengan kos tol jalanraya. Ia perlu dikaji semula bagi maksud mempastikan kenaikan kos, sekiranya tidak dapat dielakkan, mestilah berpada. Jikalau kos tidak dapat dielak, umpamanya berkaitan harga tol, kerajaan hendaklah mencari jalan supaya rakyat tidak terbeban.
Dari segi lain, kita perlu timbang kembali pengeluaran lebih banyak lesen, lebih sedikit kuota dan menjalani serta melaksana perniagaan dengan lebih mudah khususnya bagi perniagaan serta perdagangan kecil dan sederhana.
Kos perumahan semakin meningkat di pusat perbandaran utama dan harga rumah kian mahal disebabkan permintaan pelabur luar dan tempatan. Ini bukan hanya untuk hartanah mahal tetapi juga daripada kumpulan kos rendah.
Walaupun terdapat Rancangan Perumahan Prima 1Malaysia, rumah termampu kini luar daripada kemampuan graduan baru dan kelas menengah rendah yang menghadapi kemungkinan menganggur ataupun pekerjaan bergaji rendah dengan hutang sekeliling pinggang.
Maka itu saya ingin melihat kerajaan, melalui Bank Negara, mengkaji semula rancangan pinjaman perumahan swasta bank perdagangan bagi rumah berharga di bawah RM250,000 didasarkan kepada pembayaran perkhidmatan (service fee) sebanyak empat peratus dan tidak berdasarkan faedah atau bunga (compound interest) terkumpul.
Kaedah ini selari dengan pembayaran yang dikenakan ke atas pinjaman perumahan kerajaan.
Besar kemungkinan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (Goods and Services Tax – GST) pada tahun depan akan menambahkan lagi tekanan terhadap kos sara hidup walaupun kesannya sekali sahaja dan ia diserap oleh keseluruhan sistem ekonomi.
Demi melegakan beban kewangan rakyat yang semakin meningkat, mungkin GST ini boleh ditangguhkan sehingga keadaan ekonomi meningkat ke tahap yang lebih kukuh dan kuat.
Adalah diharapkan perkembangan ekonomi pada waktu itu akan tumbuh pesat dengan kadar jangka panjang. Dan sekiranya cukai ini perlu juga dilaksanakan, adalah diharap kadarnya dicongak semula.
Selain itu, saya amat bimbang akan hutang peribadi dan hutang kekeluargaan yang kini menjangkau paras mencemaskan pada tahap 87 peratus KDNK.
Keadaan ini disebabkan pinjaman-pinjaman perumahan, kereta dan pelajaran selain daripada hutang kad kredit dan bayaran balik penggunaan peribadi (melalui Ar-Rahnu atau Ah-Long) yang melonjakkan nisbah pembayaran balik hutang hampir 30 – 40 peratus daripada pendapatan isirumah. Keadaan ini mempercepatkan kadar kemuflisan peribadi dan menyebabkan tekanan mental di kalangan keluarga.
Ia tidak dapat dipertahankan dalam keadaan terbaik, malahan pasti lebih teruk semasa krisis ekonomi.
Sayangnya kerajaan lembab dalam meminda undang-undang kemuflisan dan peruntukan-peruntukan berkaitan serta peningkatan rangkaian keselamatan (safety net) seperti pembiayaan perubatan,walaupun pemindaan ini bersama dengan insurans pemberhentian kerja amat diperlukan sekarang.
Berkaitan dengan kemuflisan, ada baiknya jikalau kerajaan menghadkan tempoh tersebut kepada 12 bulan, umpamanya. Cara ini melegakan tekanan terhadap si muflis di samping menjaminnya daripada keaiban.
Demi menegakkan kesaksamaan, badan yang mengeluarkan pinjaman harus memberi penangguhan terhadap pelaksanaan peruntukan undang-undang kemuflisan sementara si peminjam berusaha untuk membayar balik pinjamannya.
Keadaan ini pasti dapat membantu kebanyakan keluarga yang rata-rata kekurangan simpanan lebihan untuk membantu semasa menghadapi kecemasan luar dugaan.
Barang diingat kebanyakan pesara kerajaan dan sektor swasta sentiasa bergelut dengan serba kekurangan dalam usaha mereka menghadapi kos sara hidup yang semakin meninggi dengan wang pencen dan simpanan KWSP terhad.
Rasuah juga menambah kos sara hidup dan merupakan beban kepada semua. Apabila projek pembangunan, samada kecil atau besar, dinaikkan harga yang lebih daripada berpatutan, margin keuntungan kontraktor akan dilindung dari terjejas dengan memindahkan kos itu kepada pengguna dan pembayar cukai. Seorang kolumnis akhbar terkemuka berpendapat sistem ekonomi kita terus dihantui kekurangan timbal balas antara badan-badan kerajaan. Ini menyebabkan kuasa terus terkumpul di tangan badan Eksekutif.
Dan ini menyebabkan berterusannya amalan pelaksanaan projek “untung atas angin” pihak ketiga (rent seeking), politik naungan, amalan pemerintahan tidak telus dan rasuah yang meluas. Maka itu tidaklah hairan sekiranya Malaysia dilihat sebagai salah sebuah negara terburuk mengenai kejujuran dan integriti.
Selain daripada rasuah, kita juga perlu berwaspada terhadap apa jua jenis pengkhianatan ekonomi yang boleh merosakkan sumber dan kekayaan negara untuk manfaat generasi akan datang. Kita perlu sistem timbal balas dan ini dapat diwujud dengan berkesan melalui penyemakan Akta Rahsia Rasmi, Akta Universiti dan Kolej Universiti, akhbar dan media masa yang lebih bebas dan perundangan kebebasan penerangan.
Begitu juga kita perlu pulihkan sepenuhnya nama baik mahkamah dan agensi-agensi penguatkuasaan, termasuklah kebebasan penguatkuasa seperti SPRM, agensi anti-rasuah sekiranya kita benar-benar mahu membasmi penyakit kanser rasuah yang menular di dalam sistem politik and birokrasi kita serta masyarakat kita secara amnya.
Standing Orders Parlimen dan struktur Dewan Negara mungkin perlu menjalani proses pembaharuan demi membenarkan rang undang-undang peribadi daripada ahli dan perwakilan lebih mantap daripada negeri-negeri dalam menegakkan sistem fiskal dan belanjawan di bawah konsep federalisma.
Lebih buruk lagi, samada akibat dasar kerajaan atau tidak, taburan kekayaan negara, seperti dijangka, amat condong sekali. Kekayaan 10 peratus isirumah terkaya di Malaysia melampaui jumlah nilai 70 peratus isirumah terkebawah.
Di samping itu, lebihkurang 12 peratus daripada isirumah Malaysia tidak mempunyai kekayaan langsung. Hakikatnya ialah kekayaan satu peratus teratas mengatasi jumlah nilai 40 peratus isirumah terkebawah dalam tahun 2012.
Pendirian kerajaan seperti tercermin di dalam ucapan Belanjawan 2015 ialah membahagikan negara kepada dua bentuk ekonomi – ekonomi kapital dan ekonomi rakyat. Ekonomi kapital merujuk kepada dunia kapital dan modal korporat, usahawanan and pelaburan besar. Ekonomi rakyat pula sama dengan Model Ekonomi Baru yang merujuk kepada 40 peratus keluarga isirumah terkebawah dari segi pengagihan pendapatan. Pengkelasan ini malang sekali dan berbahaya.
Untuk menyelesai isu ketidaksamaan dan mencapai keadilan sosial dalam negara seperti kita yang kaya lagi beruntung, kita perlu mengambil kira kesemua kelas pemegang kepentingan. Pertumbuhan ekonomi haruslah melibat dan menguntung semua orang, bukan hanya melalui perbezaan antara kapital dan pekerjaan.
Ketidaksamarataan dan ketidakseimbangan serta masalah kesaksamaan dalam pengagihan manfaat politik terus merupakan isu terbesar di negara kita. Ia menimbulkan ketidakpuasan di dalam masyarakat dan merosakkan perpaduan yang kita bina berpuluh tahun hinggalah matangnya negara kita sekarang. Ini menimbulkan nada sumbang beremosi dan melampau.
Ia juga menimbulkan hasad dengki dan cemburu antara kaum serta prasangka yang melemahkan nilai tersirat berpotensi untuk menyatupadukan kepelbagaian etnik kita.
Memandangkan isu ini ada hubungkait dengan aktiviti ekonomi, saya ingin syorkan supaya kerajaan serta agensi-agensi berkenaan hendaklah secara langsung menggubal dasar yang memberi keutamaan kepada kontraktor dan pembekal tempatan dalam pengagihan kontrak, besar atau kecil, termasuk pemaju-pemaju tempatan di Sabah dan Sarawak.
Cabaran untuk mencapai ekonomi berpendapatan tinggi ialah kemampuan ekonomi tersebut mewujudkan pekerjaan berkualiti dengan pembayaran gaji tinggi, terutamanya bagi mereka berkerja buat pertama kali dan berkelulusan post-menengah dan tertiary, bukannya bergantung hanya kepada pekerjaan bergaji rendah yang kini dipenuhi pekerja asing di ladang-ladang, bidang pembinaan dan pembuatan berlandaskan pemasangan.
Perpindahan kepada ekonomi berlandaskan perkhidmatan mungkin merupakan sebahagian daripada jawapan kepada penstrukturan semula ekonomi. Tetapi kita tidak seharusnya meninggalkan langsung aktiviti pembuatan bernilai tinggi, dengan mengimport tenaga kerja asing, dalam usaha kita hendak merendahkan kos tenaga manusia. Pengekalan pertumbuhan ekonomi jangka panjang memerlukan penambahan nilai pengisian pengetahuan sektor pembuatan dan industri perkhidmatan kita. Kesemuanya ini memerlukan inovasi, teknologi dan keusahawanan baru.
Dengan cara ini sahajalah dapat kita meningkatkan upah dan gaji, melalui penambahan daya pengeluaran. Ini bukan hanya melibatkan peningkatan kemahiran pekerja tetapi juga memperuntukkan insentif serta institusi yang betul untuk menyokong pertumbuhan penambahan nilai. Soalnya apakah Model Ekonomi Baru mampu bergerak untuk mencapai matlamat seperti di atas.
Pencapaian keadilan sosial dan kesaksamaan merupakan tugas reformasi ekonomi terpenting dan perlu dilaksanakan sesegera mungkin. Ia melibatkan reformasi sistem percukaian mengenai tanggapannya terhadap modal dan pekerja, penanganan diskriminasi terhadap pekerja di sektor awam dan swasta, dasar-dasar yang meningkatkan bahagian upahgaji pendapatan negara kasar dan amalan untuk mencapai kesamaan peluang dan kesan (outcome). Mencapai struktur gaji tinggi dan meninggal dasar pengajian rendah yang melibatkan pekerja asing demi mempertahankan dayasaing ekonomi negara bukanlah tugas mustahil.
Angka statistik menunjukkan daya pengeluaran terutamanya di bidang pembuatan beransur meningkat dari tahun ke tahun, tetapi jurang antara penggajian dan daya pengeluaran juga semakin meluas. Sebagai pemulihan sertamerta, selain daripada undang-undang penggajian minimum, saya ingin cadangkan pelaksanaan sistem bonus berpetunjuk daya pengeluaran (productivity-indexed bonus system) kedua-dua sektor awam dan swasta. Ini merupakan satu-satunya isu kritikal sekiranya kita hendak capai matlamat pembangunan melibatkan semua (inclusive growth) di Malaysia.
Walaupun terdapat kritikan di dalam Dewan serta kritikan masyarakat umum dan media terutamanya media sosial, pemimpin Kerajaan langsung tidak hirau akan keretakan di dalam ekonomi kita dengan sikap endah tak endah di mana setiap tahun belanjawan meremeh remehkan masalah yang memerlukan penyelesaian.
Di sebaliknya ia ditunda ke tahun berikutnya dan kemudian daripada itu, ke rancangan lima tahun seterusnya. Isu-isu kritikal yang terlibat ini lazimnya mengenai masalah “akar umbi” atau struktural yang tidak mampu diselesai melalui peruntukan tahunan biasa.
Pada hemat saya tugas kita untuk mengatasi masalah ekonomi yang diperkatakan itu memerlukan ide baru yang berani. Ide-ide ini hendaklah di laksanakan dalam masa lima hingga 10 tahun akan datang dengan sokongan reformasi institusi demi membantu negara ke arah yang dijanjikan pemimpin-pemimpin pengasas negara kita ini. Reformasi ini memerlukan tekad politik untuk dilaksanakan secara menyeluruh, bukan hanya dilaksanakan satu persatu.
Saya amat takut akan keadaan ekonomi kita ini. Kita sebenarnya memerlukan reformasi ekonomi bersungguh-sungguh dan penyesuaian institusi menyeluruh dalam usaha kita mengaturkan sistem ekonomi supaya rakyat selamat daripada ancaman dan tekanan ekonomi dalaman dan ancaman krisis ekonomi global.
Rakyat memerlukan perubahan yang berani yang semestinya dibawa kepemimpinan handalan sensitif kepada tuntutan dan perasaan rakyat akar umbi. Kita seharusnya mengambil berat akan kebimbangan dan aspirasi mereka. Hakikatnya mereka perlu perubahan sekarang, jikalau tidak negara kita akan di anggap gagal. Ingatlah, kita bertanggung jawab perihal ini terhadap generasi akan datang.Mungkin Yang Berhormat fikir saya ini seorang pesimis. Tidak, sebenarnya saya amat percaya akan kebolehan dan kemampuan rakyat kita terutama sekali generasi muda sekarang, yang akan mewarisi negara tercinta ini dan memimpinnya ke peringkat antarabangsa untuk berganding bahu bersama sama negara-negara dunia pertama. Inilah cabaran yang perlu kita atasi dan saya percaya ia akan terlaksana sekiranya kita mendekatinya dengan kebijaksanaan bersama.
Sekian, terima kasih. – 31 Oktober, 2014.
2 comments:
ku li anak raja haprak. peminta sedekah lebih mulia dari peminta dedak
Perlu fikir lebih mendalam. Menentang kepimpinan dan meminta perubahan tidak bertentangan dengan prinsip mendukung hierarki parti dan memberi sokongan kepada pucuk pimpinan.
Post a Comment