24 JAM sebelum Presiden Amerika Syarikat Barack Obama tiba, kegembiraan kita bukan calang-calang.
Riuh rendah kita mencanang akan kehadiran Presiden kuasa besar ini kerana kali terakhir Presiden Amerika Syarikat sudi melawat negara ialah pada 1966 dan lawatan tersebut kita peringati dengan menamakan sebuah perkampungan Felda di Negeri Sembilan sebagai Felda LB Johnson sempena lawatan Presiden Lyndon Baines Johnson.
48 tahun dari sekarang (tahun 2062), generasi ketika itu akan tertanya-tanya bagaimana satu tempat di Cyberjaya diberi nama "Obama Oval" dan generasi ketika itu akan mengenang tarikh 26-28 April 2014 sebagai detik di mana Presiden Amerika Syarikat Barack Obama telah melawat Malaysia seperti mana yang dilakukan oleh Presiden Johnson.
Obama diberi sambutan cukup hebat. Memang sesuai sambutan diberi begitu meriah kepada Presiden negara demokrasi paling berkuasa di dunia.
Malangnya di zaman Tun Dr Mahathir Mohamad, tiada seorang Presiden Amerika Syarikat pun sudi melawat Malaysia kerana sikap dan keberanian Dr Mahathir menyanggah Amerika Syarikat sehingga negara-negara membangun di Timur Tengah dan Afrika amat menyanjung Malaysia kerana keberanian bersuara dan mengkritik pentadbiran Washington.
Dr Mahathir tidak pernah tunduk dan sanggup mengkritik Amerika Syarikat walaupun ketika berdepan dengan Presiden mereka.
Itulah sebabnya, bagi Dr Mahathir, lawatan Obama "tiada beza dengan pemimpin dunia yang lain".
Kata Dr Mahathir: "Manfaatnya macam pemimpin-pemimpin lain juga. Baru-baru ini Presiden China... Kita seronoklah orang datang. Tak ada beza. Saya harap tak ada paksaan. Nak datang, datanglah. Kita negara kecil. Kalau orang besar datang, kita rasa kecil. Jadi, apabila kita takut dengan orang, kita tandatangan. Kitalah yang akan mengalami kerugian."
Itu pandangan peribadi Dr Mahathir.
Obama datang di zaman Najib Razak. Pandangan Najib terhadap Amerika Syarikat tidak semestinya sama dengan pandangan Dr Mahathir. Lain pemimpin, lain caranya.
Kita begitu teruja dengan kedatangan Obama sehinggakan dia makan gulai ikan patin pun kita dah rasa syok.
Rupa-rupanya kita syok 24 jam saja.
Apabila Obama memberi sedikit pandangan mengenai tahap demokrasi negara kita, tak berapa jam Obama terbang ke Manila, kita dah melenting.
Naib Presiden Umno 1, Ahmad Zahid Hamidi, menyelar Obama kerana kenyataan beliau bahawa "Malaysia perlu memastikan masyarakat bukan Islam di negara ini mendapat peluang yang sama seperti majoriti penduduk beragama Islam jika negara ini mahu terus makmur."
Sebenarnya apa yang peliknya dengan kenyataan Obama. Sebelum kita menjemput beliau ke sini pun, kita sudah dapat meneka apa kenyataan yang akan beliau buat di Malaysia.
Seperti kata Tun Dr Mahathir. Kalau negara besar datang, kita akan rasa kecil.
Kalau kita sanggup menghampar permaidani merah menyambut Obama, kita kenalah sanggup mendengar teguran seperti itu walau pun memedihkan telinga.
Kerana kita yang ghairah mahukan Presiden Amerika Syarikat memijak bumi kita ini.