Monday, January 20, 2014

KADIR JASIN: ZAMAN TUN MAHATHIR EKONOMI TERUK, RAKYAT SENANG. ZAMAN NAJIB EKONOMI BAGUS, RAKYAT SUSAH

Blogger Abdul Kadir Jasin yang kini mendapat tumpuan kerana artikel-artikel kritis beliau terhadap Najib Razak telah di temuramah oleh portal berita Malaysia Gazzette semalam.

Berikut ialah temuramah tersebut:

Saya tidak anti-Najib - Kadir Jasin

MEMANG susah untuk mendapat ruang menemuramah Tokoh Wartawan Negara, Datuk A. Kadir Jasin. Ketika permintaan untuk mendapat temujanji hampir dilupakan, tiba-tiba beliau menyatakan persetujuan, itu pun dengan syarat kami boleh sampai ke pejabatnya dalam masa sejam. Sebaik tiba, Kadir menjemput kami duduk. Beliau meneruskan kerja-kerja di hadapan komputer sambil bertanya beberapa soalan. Tokoh yang sarat dengan pengalaman itu menjawab soalan kami satu persatu.
Beliau memang seorang yang sangat teratur dan teliti selain selamba mengusik.

Sempat bekas Ketua Pengarang The New Straits Times Press itu bercerita tentang bapanya, salah seorang orang kuat UMNO namun perlahan-lahan `meninggalkan' UMNO kerana kecewa dengan apa yang berlaku. "Pada tahun 2004, bapa saya mengeluarkan `fatwa' mewajibkan anak-anaknya balik mengundi, kalau tak balik kami jadi anak yang engkar. Tetapi pada 2008, bapa saya berkata, nak balik ke, tak balik ke suka hati hangpa lah," kata Kadir sambil menunjukkan gambar bapanya yang telah meninggal dunia.

Berikut temu bual DATUK A. KADIR JASIN bersama wartawan MalaysiaGazette NORAINI ABD. RAZAK dan AINUL ASNIERA AHSAN
MALAYSIAGAZETTE:

Datuk dilihat begitu lantang mengkritik kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sejak akhir-akhir ini terutama dalam aspek ekonomi. Apakah sebabnya Datuk membandingkan zaman Tun Dr. Mahathir dan Najib?

DATUK A. KADIR JASIN: Jawapan saya kepada soalan itu ialah pertanyaan kepada anda iaitu pada era Perdana Menteri manakah Malaysia mencapai pertumbuhan ekonomi terbaik? Keadaan masyarakat sejahtera dan aman? Era manakah? Ini bukan emosi tetapi realiti. Tun Mahathir  memerintah negara selama 22 tahun dari tahun 1981. Kita kena faham fasa-fasa Dr. Mahathir. 
Pada tahun 1981 beliau menjadi Perdana Menteri, 1985-1986 Malaysia mengalami krisis ekonomi. Ini penting untuk faham era Tun M. Tengku Razaleigh digugurkan sebagai Menteri Kewangan digantikan oleh Daim Zainuddin (Tun).

Pada ketika itulah buat pertama kali ekonomi kita mengalami pertumbuhan negatif. Kemudian dari tahun 1987 hingga 1997 ekonomi kita berkembang paling rancak dalam sejarah, 10 tahun saja. Itu memberikan Dr. Mahathir idea (akibat pertumbuhan pesat) bahawa mungkin kalau kita mentadbir negara dengan baik, kita boleh menjadi maju. Itulah pada tahun 1991 beliau mengumumkan Wawasan 2020. 

Tetapi menjelang September 1997, ekonomi kita merosot akibat krisis kewangan Asia. Itupun Dr. Mahathir berjaya menanganinya. Kita merosot dua, tiga tahun, selepas itu ekonomi Malaysia naik balik. Kita tidak perlu menyerah kuasa ekonomi kepada sesiapa termasuk Dana Kewangan Antarabangsa (IMF). Sama ada waktu krisis atau waktu aman, Dr. Mahathir berjaya. Kita sukar untuk tidak kembali melihat kepada era pemerintahan beliau. Jadi minda rakyat, psiki rakyat Malaysia mengenai ekonomi dan kesejahteraan adalah pada zaman Dr. Mahathir.

Kita tidak boleh salahkan rakyat apatah lagi rakyat melihat Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai kelebihan tersendiri berbanding Dr. Mahathir. Abdullah dilihat seorang yang baik dan bersih. Persepsi itu sepatutnya mengukuhkan pemerintahan waktu itu kerana Dr. Mahathir telah membina negara. Imej Dr. Mahathir bukan baik, beliau keras, tidak pandai, bermuka-muka. 

Beliau telah membina landasan dan Abdullah sepatutnya membuat lebih baik kerana ekonomi bagus dan imej Abdullah yang bersih, tidak korup. Harapan orang jelas, sebab itu pada pilihan raya 2004, rakyat menyokong Barisan Nasional gila-gila. Tetapi terbukti Abdullah tidak seperti yang dianggap. Kesilapan beliau kerana cuba mematikan legasi Dr. Mahathir.

Secara sistematik beliau meruntuhkan legasi Dr. Mahathir namun gagal mewujudkan legasi beliau sendiri - Mr. Nice dan Mr. Clean. Nama beliau buruk dan rakyat berkata sesiapa pun kecuali Abdullah akan menjadi lebih baik. 
Rakyat melihat Najib dengan penuh harapan sebab semasa Dr. Mahathir hendak bersara jangkaan umum Najib akan menjadi Perdana Menteri bukan Abdullah kerana Abdullah pernah menentang Mahathir. Najib boleh dikatakan anak didik Dr. Mahathir. Dalam parti Najib lebih kuat daripada Abdullah. Jangkaan awal Dr. Mahathir akan melantik Najib tetapi beliau melantik Abdullah. 

Selepas Dr. Mahathir jatuhkan Abdullah, ramai yang menjangkakan Malaysia akan kembali ke era yang gemilang - menggabungkan legasi Dr. Mahathir dan Najib memandangkan Najib yang sepatutnya menjadi Perdana Menteri, bukan Abdullah. Jangkaan dan harapan rakyat terhadap  Najib tinggi, apatah lagi beliau dikaitkan dengan Tun Abdul Razak. Jadi Abdullah atau Najib memang tidak dapat lari daripada persepsi rakyat untuk membandingkan dengan Dr. Mahathir.

Tidakkah akibat terlalu membuat perbandingan menyebabkan wujud persepsi Datuk Seri Najib tidak bagus dan Tun Mahathir yang terbaik?

A. KADIR: Asas ekonomi yang ditinggalkan oleh Dr. Mahathir adalah cukup kuat tetapi mengapa dalam masa tidak sampai 10 tahun asas ekonomi kita jatuh dengan begitu buruk. Rakyat pasti akan membandingkan kerana krisis demi krisis semasa pemerintahan Dr. Mahathir rakyat tidak menderita seburuk sekarang. Sedangkan kalau mengikut media arus perdana ekonomi kita kuat. Pertumbuhan ekonomi dikatakan bagus. Tetapi mengapa rakyat menyatakan mereka susah? Itu ada kekangan dengan apa yang diuar-uarkan kepada pemerintah dengan apa yang dirasakan oleh rakyat. 

Tetapi pada zaman Dr. Mahathir dahulu mungkin berbeza. Dr. Mahathir berkata negara kita hampir-hampir ditakluki oleh Barat melalui IMF tetapi rakyat tidak merasa, tidak rasa miskin, harga ikan tidak melambung. Rakyat pada waktu itu lebih heboh memperkatakan tentang pemecatan Anwar berbanding kesan kemerosotan ekonomi. Bayangkan pada waktu itu ringgit kita jatuh dari 2.5 sampai 4.2 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS). Adakah kita kekurangan makanan, harga melambung? Sepatutnya harga melambung sebab kita import banyak tetapi senario itu tidak berlaku. Kita tidak dapat lari daripada pertanyaan rakyat mengapa pada zaman Dr. Mahathir ada krisis kita tidak susah, pada zaman Najib tiada krisis kononnya tetapi kita susah. 

Rakyat juga membandingkan Dr. Mahathir telah meninggalkan asas yang kuat tetapi mengapa boleh jadi begini? Memang sejak 20 tahun lalu belanjawan Kerajaan Pusat mengalami defisit, namun mengapa dalam tempoh lima, enam tahun defisit itu meningkat dengan banyak sehingga 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)? Itu pertanyaan ramai. Rakyat secara umum tidak faham, tetapi ada juga yang faham dan rakyat yang faham sudah mempunyai saluran untuk menyatakan pendapat. Dulu kalau kita ada pendapat yang negatif, kita tidak dapat meluahkannya tetapi hari ini sesiapa yang ada maklumat akan menyebarkannya.

Pada pandangan Datuk, adakah kerajaan berada dalam keadaan selesa atau menyembunyikan fakta sebenar?

A. KADIR: Kalau mereka selesa saya tidak dapat mengagak apa yang menyebabkan mereka begitu selesa atau leka. Atau darah mereka yang mengalir mengandungi daum ketum. Walaupun tanpa mengunyah daun ketum tetapi ada kimia yang macam daun ketum. Itu lagi bahaya. Tidak masuk akal kerajaan dan Perdana Menteri yang mempunyai begitu banyak penasihat, termasuk pakar ekonomi yang terhebat di dunia, pakar ekonomi yang mencetuskan idea pembangunan, pakar Blue Ocean, takkan mereka tidak tahu hidup rakyat susah. Tidak masuk akal bagi saya kalau mereka tidak tahu. 
Kenyataan jangan salahkan kerajaan bila harga naik menerima banyak kritikan, apa komen Datuk?

A. KADIR: Kalau harga input naik, harga produk akhir akan naik apatah lagi dalam situasi Malaysia banyak profiteering, keuntungan berlebihan, hisap darah pengguna. Kalau kerajaan tidak pantau, saya rasa kerajaan gagal. Saya sangat tidak seronok hujah-hujah saya merujuk kepada Perdana Menteri. Nanti orang kata saya anti beliau. Saya tidak anti beliau. Saya anti tindakan-tindakan yang tidak serasi dengan kedudukan Malaysia sebagai negara demokrasi dan tahap tamadun kita. Kita ambil contoh, jangan salahkan kerajaan disebabkan kenaikan harga barang-barang. Orang yang tidak cerdik pun tahu harga tidak naik sehingga kerajaan hapuskan subsidi. Harga roti tidak naik sehingga harga gula naik sebab kerajaan hapus subsidi gula. Jadi macam mana kita tidak salahkan kerajaan. Kemudian orang yang tahu ekonomi mengetahui kerajaan import gula dan mata wang ringgit jatuh. Bila mata wang jatuh, barang yang diimport menjadi lebih mahal.

Ramai yang tidak tahu pada tahun lalu nilai ringgit jatuh ke tahap 15 tahun terendah berbanding dolar Singapura dan sepanjang tujuh, lapan bulan tahun lalu, ringgit jatuh 88 peratus berbanding dolar Singapura. Jadi takkan kita hendak salahkan orang lain kerana pengurusan mata wang, pengurusan monetari adalah tanggungjawab kerajaan, tanggungjawab Menteri Kewangan dan Bank Negara Malaysia. Ini kita kena sebut. Nilai ringgit jatuh kerana persepsi dunia yang tidak yakin ekonomi kita kukuh sebab defisit belanjawan meningkat, bukan sekadar tidak turun tetapi bertambah. Hutang negara hakikatnya sejak pemerintahan Najib hutang meningkat dengan hebat sekali.

Tadi Datuk cakap dalam darah mereka mengandungi daum ketum, adakah maksudnya kerajaan sekarang berkhayal?

A. KADIR: Saya rasa kerajaan bukan berkhayal tetapi mungkin tidak mampu berhujah, berartikulasi (memberikan penyataan) dengan meyakinkan dan selari dengan kehendak semasa, di mana orang boleh menjawab hujah kerajaan dengan mudah. Yang berkuasa bercakap tetapi tidak memikirkan reaksi masyarakat, tidak fikir masyarakat boleh menjawab apa yang dihujahkannya itu. Sebenarnya pun, kerajaan masih bernasib baik sebab tidak cukup ramai rakyat Malaysia faham ekonomi khasnya orang Melayu. Kalau ramai yang tahu lebih teruk cabarannya. Kalaulah lebih ramai blogger, wartawan faham ekonomi, saya rasa imej kerajaan lebih buruk dari yang sekarang. Saya sebenarnya tidak mahu hendak mencari kesalahan orang tetapi macam mana pun saya cuba, saya tidak dapat untuk berbuat demikian kerana apa yang dihujah oleh kerajaan terlalu menyimpang daripada realiti dan seolah-olah memperbodohkan rakyat.

Benarkah ada dakwaan menyebut ekonomi negara menjadi lemah kerana kebergantungan keterlaluan kerajaan kepada konsultan (perunding) atau penasihat luar?

A. KADIR: Bukan setakat zaman Tun Mahathir tetapi sejak zaman Tunku Abdul Rahman, Tun Razak Hussain dan Tun Hussein Onn kita amat sedikit menggunakan perunding atau konsultan swasta. Kalau kita perlukan pertolongan kita minta daripada Bank Dunia. Hatta Dasar Ekonomi Baru dibuat bersama dengan Bank Dunia. Sukar hendak menyatakan kemelut ekonomi kita bergantung sangat kepada penasihat. Saya tidak menjangka penasihat berpengaruh sehingga dalam masa singkat mereka boleh menyebabkan ekonomi kita begini teruk. Yang saya faham mengenai sifat konsultan, defisit kita sudah sepatutnya turun sebab pakar ekonomi luar dan swasta mereka sangat tidak suka kepada defisit belanjawan dan begitu benci subsidi. Pengurangan subsidi bagi saya dan saya yakin mereka inilah yang menjadi pendesak utama.

Rakyat tidak memilih konsultan atau pegawai-pegawai khas. Rakyat memilih wakil rakyat dan salah seorang itu diangkat menjadi Perdana Menteri dan tanggungjawab mutakhirnya adalah tanggungjawab yang kita pilih dan bukan orang yang dilantik oleh orang yang kita pilih. Kita memilih pemimpin dan bukan memilih perunding yang memimpin pemimpin.

Kesimpulannya adakah kegagalan ekonomi bermakna kegagalan pemimpin?

A. KADIR: Bolehkah kita menghukum perunding? Tidak boleh bukan? Sebab perunding akan kata kami menasihat, tuan tidak perlu dengar. Kalau tuan dengar jangan salahkan kami. Siapa yang hendak kita salahkan atau pertanggungjawabkan? Sudah tentu kerajaan yang dipilih. Apa yang berlaku sekarang bukan persepsi tetapi realiti. Akhbar Berita Harian melaporkan ikan yang dimport dari Thailand naik 20 peratus. MalaysiaGazette pun buat ikan di Kuala Selangor tidak naik, ikan di Kuala Lumpur sahaja naik. Ini realiti.

Pada pandangan Datuk bilakah isu-isu rakyat ini akan berakhir?
A. KADIR: Pernahkah dan berapa kerapkah Perdana Menteri berunding dengan pakar-pakar ekonomi tempatan? Ahli-ahli perniagaan tempatan? Pesara-pesara politik tempatan yang berjaya menguruskan ekonomi sebelum ini? Kalau Najib berbincang sudah tentu Dr. Mahathir tidak bercakap yang beliau tidak bersetuju pengurangan subsidi tetapi setuju mengurangkan perbelanjaan untuk mengelakkan perbaziran. Kalau Perdana Menteri minta pandangan ramai, Dr. Mahathir sudah tentu dia tidak bercakap macam itu dalam blog. Najib sepatutnya berbincang dan meminta pandangan daripada Daim yang pernah dua kali menyelamatkan Malaysia daripada krisis, Tan Sri Ramon Navaratnam, Tan Sri Rama Iyer,  Tan Sri Thong Yaw Hong. Mereka yang melaksanakan pertumbuhan ekonomi. Panggil tak Prof. Diraja Ungku Aziz, Tan Sri Arsyad Ayub?

Secara peribadi, Datuk setuju mengenai pengurangan subsidi?
A. KADIR: Subsidi ni siapa yang tahu ekonomi faham ia akan membuat ekonomi tidak lestari. Anda patut bekerja untuk mendapatkan hasil dan bukan tidak bekerja pun dapat hasil. Di barat pun amalkan subsidi, orang tidak bekerja pun dapat elaun. Di Malaysia pun sama juga tetapi amalan subsidi sahaja lain. Subsidi kita memang teruk, sebab itu kita kena susun semula. Pelaksanaan subsidi tidak bantu golongan sasaran sebaliknya bantu semua. Penunggang motosikal menggunakan petrol 100 liter sebulan, dapat subsidi RM54 sebulan, tetapi tan sri-tan sri yang menggunakan kereta besar menggunakan 100 liter sehari, dapat subsidi RM54 sehari, sebulan berapa, setahun lagi? Kenapa kerajaan perlu memberi subsidi kepada golongan mewah ini.

Pengurangan subsidi betul, menghapuskan subsdisi juga betul kerana subsidi tidak lestari kepada ekonomi. Malaysia memperkenalkan subsidi minyak ketika simpanan minyak kita banyak, rakyat pula ketika itu tidak ramai, yang guna kereta tidak banyak. Yang guna kereta pun kebanyakannya enjin berkapasiti kecil. Tetapi sekarang kereta banyak, guna minyak pun banyak setiap minggu balik kampung, macam mana hendak tampung subsidi minyak. Subsidi minyak boleh dipertikaikan tetapi orang yang meminta menurunkan subsidi bukan komunikator yang baik tetapi memang seorang ahli ekonomi. Tetapi Najib bukan ahli ekonomi, beliau Perdana Menteri.

Kalau sebagai komunikator, ahli politik atau penyokong kerajaan ada caranya melaksanakan penghapusan subsidi. Kerajaan menghapuskan subsidi gula pada 25 Oktober. Bulan Oktober, November dan Disember adalah masa ibu bapa kumpul duit untuk berbelanja cuti sekolah dan perbelanjaan persekolahan. Janganlah tarik (subsidi) bulan-bulan ini. Bukan akhir tahun kerana akhir tahun kita perlu membuat rakyat gembira, mereka hendak bercuti, perlu duit untuk pergi Morib atau Port Dickson. Bulan Disember dan Januari hendak beli buku sekolah pula. Ini tidak, masa itulah kerajaan menaikkan macam-macam secara serentak, gula, tarif elektrik, tol. Dalam isu rasionalisasi subsidi, kenaikan tarif, kenaikan gula, tindakan kerajaan tidak sensitif, tidak peka terhadap rakyat kerana ia berlaku di saat-saat mereka memerlukan wang. Dan terbukti selepas sekolah dibuka, halal atau haram tambang bas naik.

Apakah nasib Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang?

A. KADIR: Ada dua faktor yang memihak kepada BN. Kita terlalu partisan, masuk UMNO sampai mati, dia maki, dia hamun tetapi apabila pilihan raya pilih BN.   Keahlian BN juga tinggi, kesetiaan tinggi. Pakatan pembangkang pula berdasarkan asas agenda. Memperjuangkan isu-isu ketelusan, anti rasuah. Antara dua pola ini, pola kesetiaan, terima kasih, syukur dan kepedulian terhadap isu yang menjadi penentu adalah media. Siapa yang lebih pandai menjaja dua pola dialah menang.

Kalau itu ukurannya, siapa yang akan menang?

A. KADIR: UMNO bergantung kepada siapa? Kalau tengok Utusan, berapa jumlah sekarang (jumlah edaran)?  Saya hendak bercerita satu lagi masalah UMNO. Blog-blog parti ini menyerang saya dalam blog pembangkang, tidak ke bodoh. Cybertrooper menyerang saya sebab kononnya saya serang Najib.  Pendekatan mereka menyerang saya di saluran pembangkang seolah-olah menunjukkan UMNO basuh seluar dalam di khalayak ramai. Sudahlah  tidak menggunakan saluran mereka dengan berkesan, pada masa sama bongkarkan masalah sendiri di 'rumah,' orang. Apa sudah jadi? Berbincang kepincangan UMNO dalam blog pembangkang, inilah pandainya bloger-bloger UMNO. Saya bini dua pun orang tulis, apa saya kisah.

Kalau pun marah saya kritik Perdana Menteri, jawablah apa yang saya kritik. Saya pernah beritahu blogger-blogger, mereka sebenarnya tidak pernah membantu kepimpinan UMNO, sebaliknya mereka inilah yang memburuk-burukkan bakal generasi baru UMNO. Jadi macam mana hendak berpolitik. Bagi saya blog sudah menjadi teruk dalam UMNO. 

Pernahkah Datuk menyuara isi hati atau pandangan secara terus dengan Perdana Menteri?

A. KADIR: Saya tidak pernah diberi peluang untuk bertemu Najib walaupun saya berkawan dengan dia pada tahun 1977. Saya pernah mewawancara beliau dua kali untuk isu Proton dan PEMANDU, setengah jam setiap satu. Sebelum itu pernah juga menemui beliau tiga minggu sebelum Najib dilantik Perdana Menteri. Baru-baru ini adalah satu perjumpaan dengan Perdana Menteri di Putrajaya, saya telah menghubungi pejabat Perdana Menteri untuk meminta kebenaran untuk turut serta dalam perjumpaan itu. Tetapi selepas sejam kemudian pejabat Perdana Menteri memaklumkan mereka akan mengaturkan pertemuan bersama saya pada hari lain, sampai sekarang pun tidak ada apa-apa panggilan pun.

Agaknya mengapakah kerajaan dilihat terdesak melaksanakan rasionalisasi subsidi?

A. KADIR: Saya rasa anda perlu juga melihat kemungkinan kenaikan-kenaikan ini berpunca daripada ketakutan kerajaan dengan agensi penarafan global selepas Fitch Ratings menurunkan penarafan terhadap negara. Kerajaan telah bertindak lebih untuk mententeramkan agensi penarafan berbanding rakyat jelata.

Ketakutan kepada rating tidak berlaku sebelum ini. Rating hanya relevan jika kita bergantung kepada hutang besar di luar negara. Sebenarnya negara tidak berhutang besar pun, malah ada masalah lebihan tunai dalam negara. Dari aspek sebenar  kerajaan terlalu peduli kepada agensi penarafan. Saya berpandangan kemungkinan pihak-pihak tertentu yang mengagung-agungkan penarafan ini berada dalam kerangka minda Perdana Menteri. - MalaysiaGazette


2 comments:

Anonymous said...

Yg kata zaman Najib susah itu pembangkang. bagi kita zaman Najib
kita lebih senang dlm pelbagai aspek
berbanding zaman Madey..

Unknown said...

Hahahaha.. corak lebih kurang sama je dua orang tu, tapi zaman najib aku berduit tapi zaman mahathir aku tak berduit. Sebab susah sangat nak dapat duit zaman tu. Memang taraf kemiskinan rakyat tinggi.