Tuesday, December 31, 2013

PERUTUSAN 2014 NAJIB KEPADA RAKYAT

Kerajaan tak laksana kenaikan kos tanpa beri bantuan kepada rakyat memerlukan - PM


Kerajaan tak laksana kenaikan kos tanpa beri bantuan kepada rakyat memerlukan - PM
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menegaskan kerajaan tidak akan melaksanakan kenaikan kos tanpa memberi bantuan kepada rakyat yang benar-benar memerlukan.

Dalam perutusan Tahun Baru 2014 menerusi laman blog 1Malaysia petang ini, Perdana Menteri berkata sejak minggu lalu seramai 7.9 juta isi rumah berpendapatan di bawah RM4,000 sebulan layak memohon Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). 
“Kita juga akan membuka Kedai 1Malaysia dan Klinik 1Malaysia yang baru demi menyediakan perkhidmatan kesihatan dengan kos berpatutan kepada rakyat,” katanya menerusi blog www.1malaysia.com.my. 


Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan akan membelanjakan sejumlah RM42 bilion untuk menampung subsidi iaitu jumlah yang sama dibelanjakan untuk pembangunan.

Katanya, dalam usaha kerajaan merasionalkan subsidi, kos perbelanjaan sektor awam juga dikurangkan. 

“Kita sudah mengumumkan 11 langkah mengurangkan perbelanjaan awam, termasuk mengurangkan kos elektrik di setiap jabatan sebanyak lima peratus, memperketatkan syarat dalam melantik juru runding, serta mengurangkan elaun tol dan keraian untuk menteri dan penjawat awam. 

“Kita juga turut mengulangi komitmen untuk menangani rasuah, mengurangkan pembaziran kerajaan dan meningkatkan perolehan; meletakkan semua tender kerajaan di atas talian, supaya ia jadi lebih telus, dan berusaha untuk lebih merealisasi nilai aset kerajaan,” katanya. 


Katanya, dengan merasionalisasikan subsidi, kerajaan akan dapat mengukuhkan kedudukan fiskal, membolehkan pentadbiran kerajaan memberi fokus terhadap perbelanjaan kepada projek pembangunan termasuk kesihatan dan pendidikan, sekali gus bergerak ke arah belanjawan seimbang menjelang 2020.

“Dengan mengadaptasi langkah-langkah yang diperlukan untuk menjadikan ekonomi Malaysia lebih kukuh, kita bukan saja melindungi negara daripada krisis kewangan, kita turut membuka peluang dan mewujudkan pekerjaan baru. 

“Banyak pihak akan lebih cenderung untuk melabur dalam syarikat Malaysia, membina kilang di Malaysia dan memulakan perniagaan baru. Ini seterusnya akan memacu pembangunan ekonomi, membantu untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat dan meletakkan Malaysia pada kedudukan yang lebih kukuh dalam jangka masa panjang,” katanya.

Katanya, kerajaan juga akan berusaha sedaya upaya untuk meminimakan kesan kepada rakyat. 

“Berdasarkan maklum balas awam, kita akan menambahbaik program-program kerajaan di mana perlu, supaya kesan ke atas pendapatan isi rumah tidak terlalu ketara. Kita akan melaksanakan beberapa mekanisma untuk mengurangkan beban rakyat akibat kenaikan tarif elektrik dan tol. PEMANDU akan turut mengemukakan idea-idea baru untuk mengurangkan tekanan kos sara hidup.

“Kita juga akan memastikan kadar kenaikan adalah adil. Sebagai contoh, kenaikan harga petrol dan tarif elektrik akan memberi kesan kepada kuasa membeli rakyat. Namun, walaupun ada peningkatan, kerajaan masih memberi subsidi petrol dan bil elektrik. 

“Untuk kenaikan cukai taksiran di Kuala Lumpur baru-baru ini pula, selepas mendengar keluhan rakyat, kadar cukai dikurangkan sehingga dua peratus dan rebat tambahan diberikan kepada pemilik hartanah yang tidak berkeupayaan, pesara serta pemilik-penghuni,”
katanya. 

No comments: