Monday, January 20, 2014

KADIR JASIN: ZAMAN TUN MAHATHIR EKONOMI TERUK, RAKYAT SENANG. ZAMAN NAJIB EKONOMI BAGUS, RAKYAT SUSAH

Blogger Abdul Kadir Jasin yang kini mendapat tumpuan kerana artikel-artikel kritis beliau terhadap Najib Razak telah di temuramah oleh portal berita Malaysia Gazzette semalam.

Berikut ialah temuramah tersebut:

Saya tidak anti-Najib - Kadir Jasin

MEMANG susah untuk mendapat ruang menemuramah Tokoh Wartawan Negara, Datuk A. Kadir Jasin. Ketika permintaan untuk mendapat temujanji hampir dilupakan, tiba-tiba beliau menyatakan persetujuan, itu pun dengan syarat kami boleh sampai ke pejabatnya dalam masa sejam. Sebaik tiba, Kadir menjemput kami duduk. Beliau meneruskan kerja-kerja di hadapan komputer sambil bertanya beberapa soalan. Tokoh yang sarat dengan pengalaman itu menjawab soalan kami satu persatu.
Beliau memang seorang yang sangat teratur dan teliti selain selamba mengusik.

Sempat bekas Ketua Pengarang The New Straits Times Press itu bercerita tentang bapanya, salah seorang orang kuat UMNO namun perlahan-lahan `meninggalkan' UMNO kerana kecewa dengan apa yang berlaku. "Pada tahun 2004, bapa saya mengeluarkan `fatwa' mewajibkan anak-anaknya balik mengundi, kalau tak balik kami jadi anak yang engkar. Tetapi pada 2008, bapa saya berkata, nak balik ke, tak balik ke suka hati hangpa lah," kata Kadir sambil menunjukkan gambar bapanya yang telah meninggal dunia.

Berikut temu bual DATUK A. KADIR JASIN bersama wartawan MalaysiaGazette NORAINI ABD. RAZAK dan AINUL ASNIERA AHSAN
MALAYSIAGAZETTE:

Datuk dilihat begitu lantang mengkritik kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sejak akhir-akhir ini terutama dalam aspek ekonomi. Apakah sebabnya Datuk membandingkan zaman Tun Dr. Mahathir dan Najib?

DATUK A. KADIR JASIN: Jawapan saya kepada soalan itu ialah pertanyaan kepada anda iaitu pada era Perdana Menteri manakah Malaysia mencapai pertumbuhan ekonomi terbaik? Keadaan masyarakat sejahtera dan aman? Era manakah? Ini bukan emosi tetapi realiti. Tun Mahathir  memerintah negara selama 22 tahun dari tahun 1981. Kita kena faham fasa-fasa Dr. Mahathir. 
Pada tahun 1981 beliau menjadi Perdana Menteri, 1985-1986 Malaysia mengalami krisis ekonomi. Ini penting untuk faham era Tun M. Tengku Razaleigh digugurkan sebagai Menteri Kewangan digantikan oleh Daim Zainuddin (Tun).

Pada ketika itulah buat pertama kali ekonomi kita mengalami pertumbuhan negatif. Kemudian dari tahun 1987 hingga 1997 ekonomi kita berkembang paling rancak dalam sejarah, 10 tahun saja. Itu memberikan Dr. Mahathir idea (akibat pertumbuhan pesat) bahawa mungkin kalau kita mentadbir negara dengan baik, kita boleh menjadi maju. Itulah pada tahun 1991 beliau mengumumkan Wawasan 2020. 

Tetapi menjelang September 1997, ekonomi kita merosot akibat krisis kewangan Asia. Itupun Dr. Mahathir berjaya menanganinya. Kita merosot dua, tiga tahun, selepas itu ekonomi Malaysia naik balik. Kita tidak perlu menyerah kuasa ekonomi kepada sesiapa termasuk Dana Kewangan Antarabangsa (IMF). Sama ada waktu krisis atau waktu aman, Dr. Mahathir berjaya. Kita sukar untuk tidak kembali melihat kepada era pemerintahan beliau. Jadi minda rakyat, psiki rakyat Malaysia mengenai ekonomi dan kesejahteraan adalah pada zaman Dr. Mahathir.

Kita tidak boleh salahkan rakyat apatah lagi rakyat melihat Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai kelebihan tersendiri berbanding Dr. Mahathir. Abdullah dilihat seorang yang baik dan bersih. Persepsi itu sepatutnya mengukuhkan pemerintahan waktu itu kerana Dr. Mahathir telah membina negara. Imej Dr. Mahathir bukan baik, beliau keras, tidak pandai, bermuka-muka. 

Beliau telah membina landasan dan Abdullah sepatutnya membuat lebih baik kerana ekonomi bagus dan imej Abdullah yang bersih, tidak korup. Harapan orang jelas, sebab itu pada pilihan raya 2004, rakyat menyokong Barisan Nasional gila-gila. Tetapi terbukti Abdullah tidak seperti yang dianggap. Kesilapan beliau kerana cuba mematikan legasi Dr. Mahathir.

Secara sistematik beliau meruntuhkan legasi Dr. Mahathir namun gagal mewujudkan legasi beliau sendiri - Mr. Nice dan Mr. Clean. Nama beliau buruk dan rakyat berkata sesiapa pun kecuali Abdullah akan menjadi lebih baik. 
Rakyat melihat Najib dengan penuh harapan sebab semasa Dr. Mahathir hendak bersara jangkaan umum Najib akan menjadi Perdana Menteri bukan Abdullah kerana Abdullah pernah menentang Mahathir. Najib boleh dikatakan anak didik Dr. Mahathir. Dalam parti Najib lebih kuat daripada Abdullah. Jangkaan awal Dr. Mahathir akan melantik Najib tetapi beliau melantik Abdullah. 

Selepas Dr. Mahathir jatuhkan Abdullah, ramai yang menjangkakan Malaysia akan kembali ke era yang gemilang - menggabungkan legasi Dr. Mahathir dan Najib memandangkan Najib yang sepatutnya menjadi Perdana Menteri, bukan Abdullah. Jangkaan dan harapan rakyat terhadap  Najib tinggi, apatah lagi beliau dikaitkan dengan Tun Abdul Razak. Jadi Abdullah atau Najib memang tidak dapat lari daripada persepsi rakyat untuk membandingkan dengan Dr. Mahathir.

Tidakkah akibat terlalu membuat perbandingan menyebabkan wujud persepsi Datuk Seri Najib tidak bagus dan Tun Mahathir yang terbaik?

A. KADIR: Asas ekonomi yang ditinggalkan oleh Dr. Mahathir adalah cukup kuat tetapi mengapa dalam masa tidak sampai 10 tahun asas ekonomi kita jatuh dengan begitu buruk. Rakyat pasti akan membandingkan kerana krisis demi krisis semasa pemerintahan Dr. Mahathir rakyat tidak menderita seburuk sekarang. Sedangkan kalau mengikut media arus perdana ekonomi kita kuat. Pertumbuhan ekonomi dikatakan bagus. Tetapi mengapa rakyat menyatakan mereka susah? Itu ada kekangan dengan apa yang diuar-uarkan kepada pemerintah dengan apa yang dirasakan oleh rakyat. 

Tetapi pada zaman Dr. Mahathir dahulu mungkin berbeza. Dr. Mahathir berkata negara kita hampir-hampir ditakluki oleh Barat melalui IMF tetapi rakyat tidak merasa, tidak rasa miskin, harga ikan tidak melambung. Rakyat pada waktu itu lebih heboh memperkatakan tentang pemecatan Anwar berbanding kesan kemerosotan ekonomi. Bayangkan pada waktu itu ringgit kita jatuh dari 2.5 sampai 4.2 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS). Adakah kita kekurangan makanan, harga melambung? Sepatutnya harga melambung sebab kita import banyak tetapi senario itu tidak berlaku. Kita tidak dapat lari daripada pertanyaan rakyat mengapa pada zaman Dr. Mahathir ada krisis kita tidak susah, pada zaman Najib tiada krisis kononnya tetapi kita susah. 

Rakyat juga membandingkan Dr. Mahathir telah meninggalkan asas yang kuat tetapi mengapa boleh jadi begini? Memang sejak 20 tahun lalu belanjawan Kerajaan Pusat mengalami defisit, namun mengapa dalam tempoh lima, enam tahun defisit itu meningkat dengan banyak sehingga 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)? Itu pertanyaan ramai. Rakyat secara umum tidak faham, tetapi ada juga yang faham dan rakyat yang faham sudah mempunyai saluran untuk menyatakan pendapat. Dulu kalau kita ada pendapat yang negatif, kita tidak dapat meluahkannya tetapi hari ini sesiapa yang ada maklumat akan menyebarkannya.

Pada pandangan Datuk, adakah kerajaan berada dalam keadaan selesa atau menyembunyikan fakta sebenar?

A. KADIR: Kalau mereka selesa saya tidak dapat mengagak apa yang menyebabkan mereka begitu selesa atau leka. Atau darah mereka yang mengalir mengandungi daum ketum. Walaupun tanpa mengunyah daun ketum tetapi ada kimia yang macam daun ketum. Itu lagi bahaya. Tidak masuk akal kerajaan dan Perdana Menteri yang mempunyai begitu banyak penasihat, termasuk pakar ekonomi yang terhebat di dunia, pakar ekonomi yang mencetuskan idea pembangunan, pakar Blue Ocean, takkan mereka tidak tahu hidup rakyat susah. Tidak masuk akal bagi saya kalau mereka tidak tahu. 
Kenyataan jangan salahkan kerajaan bila harga naik menerima banyak kritikan, apa komen Datuk?

A. KADIR: Kalau harga input naik, harga produk akhir akan naik apatah lagi dalam situasi Malaysia banyak profiteering, keuntungan berlebihan, hisap darah pengguna. Kalau kerajaan tidak pantau, saya rasa kerajaan gagal. Saya sangat tidak seronok hujah-hujah saya merujuk kepada Perdana Menteri. Nanti orang kata saya anti beliau. Saya tidak anti beliau. Saya anti tindakan-tindakan yang tidak serasi dengan kedudukan Malaysia sebagai negara demokrasi dan tahap tamadun kita. Kita ambil contoh, jangan salahkan kerajaan disebabkan kenaikan harga barang-barang. Orang yang tidak cerdik pun tahu harga tidak naik sehingga kerajaan hapuskan subsidi. Harga roti tidak naik sehingga harga gula naik sebab kerajaan hapus subsidi gula. Jadi macam mana kita tidak salahkan kerajaan. Kemudian orang yang tahu ekonomi mengetahui kerajaan import gula dan mata wang ringgit jatuh. Bila mata wang jatuh, barang yang diimport menjadi lebih mahal.

Ramai yang tidak tahu pada tahun lalu nilai ringgit jatuh ke tahap 15 tahun terendah berbanding dolar Singapura dan sepanjang tujuh, lapan bulan tahun lalu, ringgit jatuh 88 peratus berbanding dolar Singapura. Jadi takkan kita hendak salahkan orang lain kerana pengurusan mata wang, pengurusan monetari adalah tanggungjawab kerajaan, tanggungjawab Menteri Kewangan dan Bank Negara Malaysia. Ini kita kena sebut. Nilai ringgit jatuh kerana persepsi dunia yang tidak yakin ekonomi kita kukuh sebab defisit belanjawan meningkat, bukan sekadar tidak turun tetapi bertambah. Hutang negara hakikatnya sejak pemerintahan Najib hutang meningkat dengan hebat sekali.

Tadi Datuk cakap dalam darah mereka mengandungi daum ketum, adakah maksudnya kerajaan sekarang berkhayal?

A. KADIR: Saya rasa kerajaan bukan berkhayal tetapi mungkin tidak mampu berhujah, berartikulasi (memberikan penyataan) dengan meyakinkan dan selari dengan kehendak semasa, di mana orang boleh menjawab hujah kerajaan dengan mudah. Yang berkuasa bercakap tetapi tidak memikirkan reaksi masyarakat, tidak fikir masyarakat boleh menjawab apa yang dihujahkannya itu. Sebenarnya pun, kerajaan masih bernasib baik sebab tidak cukup ramai rakyat Malaysia faham ekonomi khasnya orang Melayu. Kalau ramai yang tahu lebih teruk cabarannya. Kalaulah lebih ramai blogger, wartawan faham ekonomi, saya rasa imej kerajaan lebih buruk dari yang sekarang. Saya sebenarnya tidak mahu hendak mencari kesalahan orang tetapi macam mana pun saya cuba, saya tidak dapat untuk berbuat demikian kerana apa yang dihujah oleh kerajaan terlalu menyimpang daripada realiti dan seolah-olah memperbodohkan rakyat.

Benarkah ada dakwaan menyebut ekonomi negara menjadi lemah kerana kebergantungan keterlaluan kerajaan kepada konsultan (perunding) atau penasihat luar?

A. KADIR: Bukan setakat zaman Tun Mahathir tetapi sejak zaman Tunku Abdul Rahman, Tun Razak Hussain dan Tun Hussein Onn kita amat sedikit menggunakan perunding atau konsultan swasta. Kalau kita perlukan pertolongan kita minta daripada Bank Dunia. Hatta Dasar Ekonomi Baru dibuat bersama dengan Bank Dunia. Sukar hendak menyatakan kemelut ekonomi kita bergantung sangat kepada penasihat. Saya tidak menjangka penasihat berpengaruh sehingga dalam masa singkat mereka boleh menyebabkan ekonomi kita begini teruk. Yang saya faham mengenai sifat konsultan, defisit kita sudah sepatutnya turun sebab pakar ekonomi luar dan swasta mereka sangat tidak suka kepada defisit belanjawan dan begitu benci subsidi. Pengurangan subsidi bagi saya dan saya yakin mereka inilah yang menjadi pendesak utama.

Rakyat tidak memilih konsultan atau pegawai-pegawai khas. Rakyat memilih wakil rakyat dan salah seorang itu diangkat menjadi Perdana Menteri dan tanggungjawab mutakhirnya adalah tanggungjawab yang kita pilih dan bukan orang yang dilantik oleh orang yang kita pilih. Kita memilih pemimpin dan bukan memilih perunding yang memimpin pemimpin.

Kesimpulannya adakah kegagalan ekonomi bermakna kegagalan pemimpin?

A. KADIR: Bolehkah kita menghukum perunding? Tidak boleh bukan? Sebab perunding akan kata kami menasihat, tuan tidak perlu dengar. Kalau tuan dengar jangan salahkan kami. Siapa yang hendak kita salahkan atau pertanggungjawabkan? Sudah tentu kerajaan yang dipilih. Apa yang berlaku sekarang bukan persepsi tetapi realiti. Akhbar Berita Harian melaporkan ikan yang dimport dari Thailand naik 20 peratus. MalaysiaGazette pun buat ikan di Kuala Selangor tidak naik, ikan di Kuala Lumpur sahaja naik. Ini realiti.

Pada pandangan Datuk bilakah isu-isu rakyat ini akan berakhir?
A. KADIR: Pernahkah dan berapa kerapkah Perdana Menteri berunding dengan pakar-pakar ekonomi tempatan? Ahli-ahli perniagaan tempatan? Pesara-pesara politik tempatan yang berjaya menguruskan ekonomi sebelum ini? Kalau Najib berbincang sudah tentu Dr. Mahathir tidak bercakap yang beliau tidak bersetuju pengurangan subsidi tetapi setuju mengurangkan perbelanjaan untuk mengelakkan perbaziran. Kalau Perdana Menteri minta pandangan ramai, Dr. Mahathir sudah tentu dia tidak bercakap macam itu dalam blog. Najib sepatutnya berbincang dan meminta pandangan daripada Daim yang pernah dua kali menyelamatkan Malaysia daripada krisis, Tan Sri Ramon Navaratnam, Tan Sri Rama Iyer,  Tan Sri Thong Yaw Hong. Mereka yang melaksanakan pertumbuhan ekonomi. Panggil tak Prof. Diraja Ungku Aziz, Tan Sri Arsyad Ayub?

Secara peribadi, Datuk setuju mengenai pengurangan subsidi?
A. KADIR: Subsidi ni siapa yang tahu ekonomi faham ia akan membuat ekonomi tidak lestari. Anda patut bekerja untuk mendapatkan hasil dan bukan tidak bekerja pun dapat hasil. Di barat pun amalkan subsidi, orang tidak bekerja pun dapat elaun. Di Malaysia pun sama juga tetapi amalan subsidi sahaja lain. Subsidi kita memang teruk, sebab itu kita kena susun semula. Pelaksanaan subsidi tidak bantu golongan sasaran sebaliknya bantu semua. Penunggang motosikal menggunakan petrol 100 liter sebulan, dapat subsidi RM54 sebulan, tetapi tan sri-tan sri yang menggunakan kereta besar menggunakan 100 liter sehari, dapat subsidi RM54 sehari, sebulan berapa, setahun lagi? Kenapa kerajaan perlu memberi subsidi kepada golongan mewah ini.

Pengurangan subsidi betul, menghapuskan subsdisi juga betul kerana subsidi tidak lestari kepada ekonomi. Malaysia memperkenalkan subsidi minyak ketika simpanan minyak kita banyak, rakyat pula ketika itu tidak ramai, yang guna kereta tidak banyak. Yang guna kereta pun kebanyakannya enjin berkapasiti kecil. Tetapi sekarang kereta banyak, guna minyak pun banyak setiap minggu balik kampung, macam mana hendak tampung subsidi minyak. Subsidi minyak boleh dipertikaikan tetapi orang yang meminta menurunkan subsidi bukan komunikator yang baik tetapi memang seorang ahli ekonomi. Tetapi Najib bukan ahli ekonomi, beliau Perdana Menteri.

Kalau sebagai komunikator, ahli politik atau penyokong kerajaan ada caranya melaksanakan penghapusan subsidi. Kerajaan menghapuskan subsidi gula pada 25 Oktober. Bulan Oktober, November dan Disember adalah masa ibu bapa kumpul duit untuk berbelanja cuti sekolah dan perbelanjaan persekolahan. Janganlah tarik (subsidi) bulan-bulan ini. Bukan akhir tahun kerana akhir tahun kita perlu membuat rakyat gembira, mereka hendak bercuti, perlu duit untuk pergi Morib atau Port Dickson. Bulan Disember dan Januari hendak beli buku sekolah pula. Ini tidak, masa itulah kerajaan menaikkan macam-macam secara serentak, gula, tarif elektrik, tol. Dalam isu rasionalisasi subsidi, kenaikan tarif, kenaikan gula, tindakan kerajaan tidak sensitif, tidak peka terhadap rakyat kerana ia berlaku di saat-saat mereka memerlukan wang. Dan terbukti selepas sekolah dibuka, halal atau haram tambang bas naik.

Apakah nasib Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang?

A. KADIR: Ada dua faktor yang memihak kepada BN. Kita terlalu partisan, masuk UMNO sampai mati, dia maki, dia hamun tetapi apabila pilihan raya pilih BN.   Keahlian BN juga tinggi, kesetiaan tinggi. Pakatan pembangkang pula berdasarkan asas agenda. Memperjuangkan isu-isu ketelusan, anti rasuah. Antara dua pola ini, pola kesetiaan, terima kasih, syukur dan kepedulian terhadap isu yang menjadi penentu adalah media. Siapa yang lebih pandai menjaja dua pola dialah menang.

Kalau itu ukurannya, siapa yang akan menang?

A. KADIR: UMNO bergantung kepada siapa? Kalau tengok Utusan, berapa jumlah sekarang (jumlah edaran)?  Saya hendak bercerita satu lagi masalah UMNO. Blog-blog parti ini menyerang saya dalam blog pembangkang, tidak ke bodoh. Cybertrooper menyerang saya sebab kononnya saya serang Najib.  Pendekatan mereka menyerang saya di saluran pembangkang seolah-olah menunjukkan UMNO basuh seluar dalam di khalayak ramai. Sudahlah  tidak menggunakan saluran mereka dengan berkesan, pada masa sama bongkarkan masalah sendiri di 'rumah,' orang. Apa sudah jadi? Berbincang kepincangan UMNO dalam blog pembangkang, inilah pandainya bloger-bloger UMNO. Saya bini dua pun orang tulis, apa saya kisah.

Kalau pun marah saya kritik Perdana Menteri, jawablah apa yang saya kritik. Saya pernah beritahu blogger-blogger, mereka sebenarnya tidak pernah membantu kepimpinan UMNO, sebaliknya mereka inilah yang memburuk-burukkan bakal generasi baru UMNO. Jadi macam mana hendak berpolitik. Bagi saya blog sudah menjadi teruk dalam UMNO. 

Pernahkah Datuk menyuara isi hati atau pandangan secara terus dengan Perdana Menteri?

A. KADIR: Saya tidak pernah diberi peluang untuk bertemu Najib walaupun saya berkawan dengan dia pada tahun 1977. Saya pernah mewawancara beliau dua kali untuk isu Proton dan PEMANDU, setengah jam setiap satu. Sebelum itu pernah juga menemui beliau tiga minggu sebelum Najib dilantik Perdana Menteri. Baru-baru ini adalah satu perjumpaan dengan Perdana Menteri di Putrajaya, saya telah menghubungi pejabat Perdana Menteri untuk meminta kebenaran untuk turut serta dalam perjumpaan itu. Tetapi selepas sejam kemudian pejabat Perdana Menteri memaklumkan mereka akan mengaturkan pertemuan bersama saya pada hari lain, sampai sekarang pun tidak ada apa-apa panggilan pun.

Agaknya mengapakah kerajaan dilihat terdesak melaksanakan rasionalisasi subsidi?

A. KADIR: Saya rasa anda perlu juga melihat kemungkinan kenaikan-kenaikan ini berpunca daripada ketakutan kerajaan dengan agensi penarafan global selepas Fitch Ratings menurunkan penarafan terhadap negara. Kerajaan telah bertindak lebih untuk mententeramkan agensi penarafan berbanding rakyat jelata.

Ketakutan kepada rating tidak berlaku sebelum ini. Rating hanya relevan jika kita bergantung kepada hutang besar di luar negara. Sebenarnya negara tidak berhutang besar pun, malah ada masalah lebihan tunai dalam negara. Dari aspek sebenar  kerajaan terlalu peduli kepada agensi penarafan. Saya berpandangan kemungkinan pihak-pihak tertentu yang mengagung-agungkan penarafan ini berada dalam kerangka minda Perdana Menteri. - MalaysiaGazette


Sunday, January 19, 2014

RAKYAT DIPERBODOHKAN


Rakyat Malaysia bodoh! 

Itulah tanggapan Kerajaan dan Kabinet kita hari ini.

Selepas Kabinet yang dipengerusikan oleh Najib Razak membuat keputusan menaikkan harga kadar elektrik, menaikkan harga Petrol, menaikkan harga gula dan tidak lama lagi tol, kerajaan cuba "melepaskan diri" dengan menyalahkan peniaga.

Tiba-tiba kerajaan perihatin dengan masalah rakyat. Peniaga diberi amaran.

Maka diarahkan Menteri turun ke bawah untuk meninjau dan memastikan harga barang tidak dinaikkan.

Maka bapak-bapak Menteri turunlah ke pasar-pasar. Ada yang memakai t-shirt, ada yang membawa bini bersama - pegang ikan, pegang sayur, pegang daging dan macam-macam lagi sambil membawa gerombolan jurukamera media massa dengan harapan gambar mereka akan keluar keesokan harinya.

Kalau tidak keluar suratkhabar, letak dalam twitter dan facebook gambar sendiri. 

Bila terjumpa satu barang yang harga nya turun, riuh sekampung harga telah turun. Maka dengan gahnya melaung, "harga kangkung dah turun".

Ada Menteri setiap hari keluarkan statistik.

1000 kedai diperiksa. 900 kedai kena ambil tindakan.

Maka pada pandangan Najib, dengan publisiti yang kerajaan dapat pada hari ini, maka selesailah masalah rakyat.

Kenapa jadi begini? Kerana kerajaan beranggapan rakyat Malaysia bodoh.

Dan hari ini kita diperbodohkan.


Tuesday, January 14, 2014

NAJIB MENJIWAI TUN RAZAK?

"Saya imbau kembali ketika abang saya dan saya mendekatinya pada suatu petang dan meminta kolam renang dibina di Seri Taman,  kediaman rasmi Perdana Menteri yang kami tinggal.
Berlatarbelakangkan seorang peguam, bapa menyuruh kami memberi hujah secara logik dan rasional. Dan kami lakukannya,  walaupun hujah kami amat baik, tiba-tiba wajahnya berubah dan matanya merenung kami dengan keadaan menjengkelkan.
Bapa menjelaskan Seri Taman mungkin adalah rumah kami, tapi rumah tersebut adalah milik kerajaan maka ia juga milik rakyat.
Sebarang kos perbelanjaan rumah tersebut datang daripada dana awam, mustahil untuk beliau membenarkan kutipan hasil negara dibelanjakan pada sesuatu perkara remeh seperti kolam renang. "Apa yang rakyat akan kata?" soal bapa."
Ini adalah tulisan Nazir Razak mengenai bapa beliau, Allahyarham Tun Abdul Razak.
Kita tertarik dengan cerita Nazir bahawa beliau dan abangnya pada usia yang masih kecil sudah mempunyai keinginan untuk mempunyai kolam renang di rumah.
Tidak mengapalah. Itu cerita Nazir.
Hanya satu soalan buat Nazir. 
"Apakah perkara yang dilakukan abangnya hari ini menjiwai sikap kesederhanaan Allahyarham bapanya?
Itu saja soalan kita.

Friday, January 10, 2014

HASSAN MALEK NAFI LETAK JAWATAN



KATEGORI BERITA UTAMA

Pejabat Menteri nafi Hasan Malek akan 

umum letak jawatan

10 DIS : Desas desus Datuk Seri Hasan 
Malek akan melepaskan jawatan dalam 
Kabinet dinafikan Pejabat Menteri 
Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi 
dan Kepenggunaan.
Kenyataan ringkas pejabat menteri itu, 
menyatakan perkara digembar-gemburkan 
dalam blog dan Facebook sejak malam 
tadi tidak benar sama sekali.
Beberapa laman sosial melaporkan ada 
menteri akan melepaskan jawatan dalam 
Kabinet dan pengumumannya akan 
dibuat Isnin ini.
hasanmalek












Berikutan itu, ada yang menjangkakan 
menteri tersebut adalah Hasan dan ada 
pula meramalkan Menteri di Jabatan 
Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala 
yang juga CEO Pemandu.
Kedua-dua mereka jadi kritikan ramai 
ekoran isu kenaikan harga barang.
Ada laman sosial mendakwa sumber 
terdekat keluarga Hasan memaklumkan 
peletakan jawatan itu secara sukarela 
bagi mengelak jadi liabiliti kepada 
pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri 
Najib Tun Razak.
Ketika dihubungi sendiri bnbbc.my,
 Hasan memaklumkan beliau sedang 
berada di luar negara dan minta 
merujuk perkara itu kepada Setiausaha 
Akhbarnya Mohad Kamel Othman 
yang kemudian mengeluarkan 
kenyataan penafian berkenaan. –bnbbc.my

Berita Bertarikh Pada 12:37 PM

HASSAN MALEK LETAK JAWATAN?

Itu lah khabar angin yang tersebar hari ini.

Hassan Malek akan meletakkan jawatan sebagai Menteri sehari dua ini.

Katanya Hassan dilihat sebagai liabiliti kepada Kabinet Najib.

Itulah masalahnya jika kita meletak seseorang di tempat yang salah.

Thursday, January 9, 2014

PEGAWAI KHAS MENTERI KENA SERKAP SPRM

Pegawai khas menteri 

direman bantu kes rasuah

9 JAN : Mahkamah Majistret pada Khamis mengeluarkan perintah tahanan 
reman terhadap tiga individu termasuk pegawai khas seorang menteri bagi 
membantu siasatan kes rasuah melibatkan permintaan dan penerimaan 
wang sogokan berkaitan pemberian tender.
Majistret Nur Dahlia Azmi membenarkan 
permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 
Malaysia (SPRM) untuk menahan reman pegawai 
khas tersebut dan seorang ahli perniagaan 
selama empat hari bermula hari ini.
Pegawai khas itu dikatakan ditahan di sebuah 
restoran sekitar Selangor malam tadi.
Seorang lagi yang berjawatan setiausaha 
direman tiga hari. Ketiga-tiganya direman 
mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Jelapang: Seorang rakan bertanya: Kenapa 
setiap kali SPRM tahan serkap, yang mengena 
hanyalah pegawai-pegawai Menteri? 
Adakah ini bermakna hanya pegawai yang 
rasuah dan bos mereka bersih?
Saya jawab: "Begitu lah kira-kiranya."

Tuesday, January 7, 2014

"JOM KENALI SIAPA SETPOL DS NAJIB YANG BARU INI"

Ini pengumuman yang dibuat semalam.

Empat Setiausaha Politik Angkat Sumpah Simpan Rahsia
PUTRAJAYA: Empat setiausaha politik mengangkat sumpah simpan rahsia di hadapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin.
Majlis itu diadakan di Pejabat Perdana Menteri di sini.
Mereka ialah Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datin Paduka Norhayati Onn, Setiausaha Politik kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Dr Zuraidi Ishak, Setiausaha Politik kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Khairolnezam Shaari dan Setiausaha Politik kepada Menteri Belia dan Sukan Datuk Megat Firdouz Megat Junid.
Majlis itu disaksikan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa. - BERNAMA
Sebenarnya, sukar untuk kita memahami keputusan Najib Razak sejak akhir-akhir ini.
Kita tertanya, kenapa begitu bercelarunya pemikiran Najib ketika beliau memasuki fasa kedua pentadbiran beliau.
Tanyalah kepada mereka yang cetek ilmu politik, mereka akan berkata Norhayati Onn tidak layak menjadi Setiausaha Politik Perdana Menteri kerana kisah lamanya.
Siapa Norhayati Onn?
Blog berikut merungkai kisah lama Norhayati Onn dalam artikel bertajuk "JOM KITA KENALI SIAPA SETPOL NAJIB YANG BARU INI".

Monday, January 6, 2014

SELAMAT HARI JADI KAK ANI & PAK ZAHID

Bagi pihak penerima-penerima BR1M, kami ucapkan Selamat Hari Jadi kepada Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, majlis Happy Birthday ini diadakan di hotel mewah. Tahun hadapan kalau Dato' Seri mampu, jemput lah kami untuk bersama-sama meraikan hari istimewa ini. Tidak pernah kami merasai keindahan meraikan hari jadi di hotel mewah.

Kita mendapat tahu mengenai hari jadi Pak Zahid hanya selepas membaca artikel-artikel berikut:

http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/ketika-rakyat-diminta-berjimat-menteri-buat-parti-hari-jadi-mewah

http://amenoworld.blogspot.com/search?updated-max=2014-01-05T18:25:00%2B08:00&max-results=1

Sementara itu, seorang lagi Menteri juga dikatakan menyambut Harijadi di sebuah hotel mewah.



HAPPY BIRTHDAY, KAK ANI.

Sebelum ini kita terbaca mengenai kebahagiaan ahli Parlimen Kinabatangan Bung Mokhtar Radin yang menyambut ulangtahun ke-IV perkahwinan beliau.

TAHNIAH PAK BUNG. Semuga kebahagiaan kekal sampai ke anak cucu.

Kepada yang berminat hendak melihat gambar-gambar saat manis Pak Bung semasa majlis tersebut, sila ke link berikut: http://beautifulnara.com/17-gambar-sambutan-ulangtahun-perkahwinan-ke-4-bung-mokhtar-zizie-ezette/

Sementara itu, seorang blogger Umno, Sang Kelembai, merungut mengenai Menteri tua meraikan hari jadi di hotel 5 bintang.

Baca di sini: http://zaharinmy.blogspot.com/2014/01/bila-menteri-dah-tua-raikan-hari-jadi.html

Sunday, January 5, 2014

DUTA KHAS MALAYSIA: INILAH KUALITI TIONG



Inilah bakal Duta Khas Malaysia ke Asia Timur - Ahli Parlimen Bintulu Tiong King Sin.

Tuan-tuan nilailah sendiri samada beliau layak mewakili Malaysia sebagai Duta Khas?

Kalau Bahasa Melayu pun lintang pukang, apatah lagi Bahasa Inggeris beliau.

Persoalannya: Inikah kualiti Duta Malaysia? 

Saturday, January 4, 2014

TIONG BINTULU JADI DUTA?

TIONG KING SIN, Ahli Parlimen Bintulu, Duta Khas Malaysia BERTARAF MENTERI ke Asia Timur?

Ini dakwaan pembangkang. Pembangkang juga mendakwa Tiong akan menerima gaji sebanyak RM27,227.20 sebulan - iaitu lebih tinggi dari gaji seorang Menteri.

Mungkin benar dan mungkin tidak. Kita tunggu penjelasan dari Pejabat Perdana Menteri.

Atau mungkin tidak akan ada penjelasan seperti mana apabila Shahrizat Jalil dilantik sebagai Penasihat Perdana Menteri dalam Hal Ehwal Wanita.

http://www.theedgemalaysia.com/political-news/269870-viewpoint-pm-must-stop-appointing-expensive-special-ambassadors.html

Friday, January 3, 2014

PESAWAT KHAS DISEWA UNTUK 11 BULAN

Penjelasan Pejabat Perdana Menteri mengenai pesawat khas yang digunakan oleh Najib Razak.

Pejabat Perdana Menteri ingin menarik perhatian berhubung laporan blog mengenai penggunaan pesawat khas untuk Perdana Menteri.
Laporan tersebut mengandungi beberapa fakta yang salah dan tidak tepat yang boleh menimbulkan persepsi yang tidak tepat kepada penggunaan pesawat khas tersebut.
Kerajaan sebelum ini memiliki 5 buah pesawat khas iaitu ACJ A319, BBJ, Fokker F28, Global Express dan Falcon 900 yang diperuntukkan untuk kegunaan YDP Agong, YAB Perdana Menteri, dan YAB Timbalan Perdana Menteri.
Tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh Kerajaan, pesawat-pesawat ini juga boleh diluluskan untuk kegunaan oleh DYMM Sultan-sultan dan TYT Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri, YB Menteri-Menteri dan Timbalan-Timbalan Menteri, tetamu-tetamu Kerajaan Persekutuan dari negara asing, Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan serta orang-orang kenamaan.
Pada Ogos 2012, pesawat Fokker F28 telah dilupuskan kerana telah berusia lebih 30 tahun dan tiada pesawat gantian dicadangkan.
Pada tahun lepas, pesawat BBJ dan ACJ A319 telah dijadualkan untuk menjalani proses penyelenggaraan wajib. Pesawat BBJ menjalani urusan penyelenggaraan di antara Januari-Julai 2013 sementara ACJ319 di antara 15 Jun-8 Oktober.
Sejajar dengan itu, Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab atas urusan pesawat khas Kerajaan telah mengambil keputusan menyewa sebuah pesawat lain ACJ A320 bagi menampung kekurangan pesawat.
Pesawat ACJ A320 ini disewa di antara 1 Februari - 31 Disember 2013 setelah mendapati pesawat BBJ memerlukan lebih masa bagi urusan penyelenggaraan.
Penggunaan pesawat khas membolehkan Ketua Negara dan Ketua Kerajaan bergerak di dalam dan luar negara dengan keadaan keselamatan yang lebih terjamin. Selain itu, Anggota Pentadbiran yang sibuk dengan pelbagai urusan tidak terikat kepada jadual perjalanan komersil di samping kepentingan menjaga imej negara.-3/1/2014

NAJIB SEWA JET?

Perdana Two?

We know of Perdana One, the government
jet that takes the Prime Minister on official trips to
Melbourne
(maybe) and Mekah (just last month). But a leased
aircraft dubbed 
Perdana Two aka NR2 registered to a
Malta-based VIP jet charter Comlux Aviation? 
The blogger Big Dog wants to know if the aircraft
might have indeed been leased by the Malaysian
government for NR (Najib Razak?) because if
that is the case,the timing and PR, as in the
case with Lim Guan Eng's Merc, sucks big
time. The difference is, it would cost the
taxpayers a lot,
lot more.  Read the blogger's Penny Wise,
Pound Foolish Part 2. If they ask me,
this one is something the PMO should not wait
two weeks to respond officially to.   
http://www.rockybru.com.my/2014/01/perdana-two.html


Penny Wise, Pound Foolish (part II)

Malaysian Government VVIP jet ACJ319 with tail number 9M-NAA
Malaysian Government VVIP jet ACJ319 with tail number 9M-NAA
The austerity drive announced by Prime Minister
Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Razak the morning 
before New Year’s eve probably driven a start
of bigger spending cuts. Especially the
excessive and luxury bit, which is more 
likely many times over as compared to the
savings to the cost saving exercise, which
saw meagre salary and entertainment 
allowances cut.
The excessive expenditure particularly in
question is the ‘Travels in Luxury’.
The ACj319 with the tail number 9M-NAA in a more recent livery
The ACJ319 with the tail number
 9M-NAA in a more recent livery
On 3 October 2013 Minister in PM’s
Department Dato’ Seri Shahidan Kassim
disclosed that the cost of PM Najib’s
annual rental and maintenance of VVIP
jet utilised to ferry him around
RM34.3 million. That is without the fuel
and food and beverages bill and
other operational charges.
Another interesting story by The Malay
Mail is that RM180 million was
the bigger tab, encompassing all the
cost related to Prime Minister’s travel.
JELAPANG: INI ADALAH TULISAN YANG 
DI AMBIL DARI BLOG ROCKY BRU 
DAN BIG DOG

Wednesday, January 1, 2014

RIWAYAT MAK TAM

SELAMAT Tahun Baru 2014. 

Ada yang sugul, ada yang ceria menyambut tahun baru. Ada sedang bergembira menyambut tahun baru di luar negara.

Malam tadi, Jelapang tidaklah seperti warga Kuala Lumpur. Ada yang menyambut tahun baru dengan menonton keindahan KLCC dimandikan pancaran bunga api. Ramai juga, katanya, ke Dataran Merdeka untuk merayakan kedatangan 2014 dengan berdemo.

Malam tadi, Jelapang "menyambut" tahun baru dengan berbual dengan mak cik Mak Tam.

Sebak mendengar kisah kehidupannya.

Di zaman mudanya, Mak Tam akan ke tanah pusaka peninggalan bapanya mengutip nyior (kelapa) bersama anak lelakinya.

Kulit nyior ditetasnya sedikit, dan tali itu digunakan untuk mengikat nyior-nyior lain.

Walaupun berpuluh biji nyior jatuh ke tanah, Mak Tam hanya mampu mengutip 12 biji nyior.

Tiga biji diikat serangkai. Anak lelakinya bawa dua rangkai, dia membawa dua rangkai.

Maka Mak Tam dan anaknya membawa nyoir ini ke pelusuk kampung untuk dijual. Sebiji pada masa itu - hanya 15 dit (15 duit @ 15 sen).

Kata Mak Tam, sampai luka-luka jari dia dan anaknya, menjinjing nyior semata-mata hendak mencari sesuap nasi untuk anak-anak di rumah.

Si suami pula bekerja di kedai runcit. Si anak dengan taatnya akan menaiki bas untuk menghantar "bekai" (bekal - nasi) kepada bapa untuk makan tengahari.

2 kupang (20 sen), kata Mak Tam, terlalu besar buat keluarganya.

Sebak mendengar kesempitan dan ketabahan Mak Tam hanya semata-mata mahu hidup - kais pagi, makan pagi, kais petang, makan petang.

Kalau boleh, sekupang dua dimasukkan Mak Tam ke dalam tin susu Dumex yang ditebuk tudungnya, untuk dijadikan tabung.

Itulah kesengsaraan yang dilalui hampir keseluruhan daripada kita. 

Tetapi bukan semua antara kita pernah mengharungi cabaran seperti ini. Antaranya keluarga Tun Abdul Razak Hussein serta anak-anaknya termasuk Najib.

Buat Mak Tam, 2 kupang terlalu besar nilainya, mungkin bagi Najib, 2 kupang tiada nilai baginya.

Tidak mungkin Najib tahu erti peritnya mengendung tiga biji nyior di tangan kanan, tiga biji di tangan kiri, menjerit satu kampung, sambil menjual nyior dan pulangannya 15 dit (duit) untuk sebiji nyior.

Najib tidak akan faham dan tidak akan dapat menghayati akan nilai 2 kupang seperti mana Mak Tam menghargai syiling 2 kupang.

Itulah sebabnya, kenaikan harga barang, hanya dilihat dari sudut penarafan agensi penarafan antarabangsa, dari sudut defisit negara dan dari sudut perbendaharaan negara.

Ini disebabkan Najib tak kenal apa itu erti kemiskinan dan apa yang dimaksudkan sebagai kesengsaraan rakyat.

Kita akan hanya faham apa itu kemiskinan dan apa itu kesengsaraan apabila kita sendiri miskin dan kita sendiri sengsara.

Orang Melayu memang hebat bangsanya. Di zaman Malaya, orang Melayu bangun menentang Inggeris.

Malaya pada masa itu ditadbir oleh penasihat-penasihat Inggeris.

Disebabkan keangkuhan Inggeris, orang Melayu menolak penasihat-penasihat Inggeris ini.

Dan antara insiden bersejarah penentangan orang Melayu kepada penasihat-penasihat Inggeris ialah pembunuhan Residen British di Perak, JWW Birch, oleh Dato' Maharaja Lela dan rakan-rakannya termasuk Dato Sagor di Pasir Salak pada tahun 1875.

Pendek cerita, British meninggalkan Malaya dan kita merdeka tanpa di belenggu oleh Inggeris dan penasihat-penasihatnya.

Orang Melayu bertuah kerana dipimpin oleh pemimpin-pemimpin Melayu yang hebat seperti Dato Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Tun Razak.

Jasa Tun Razak, tiada tolok bandingnya.

DEB dilahirkan. Tun Razak tubuhkan Felda. Kita gubal Dasar Pendidikan kita sendiri.

Pada masa tidak ada orang puteh pun diambil oleh Tun Razak untuk membantu mengubal DEB dan menubuhkan Felda.

Kita tidak pun meminta nasihat "Mat Salleh" membantu membentuk Dasar Pendidikan Negara.

Hari ini, anaknya sendiri, Najib Razak, seolah-olah menidakkan keupayaan Allahyarham Tun Razak, ayahandanya.

Najib meminta Mat Salleh berkulit putih mengubal Blueprint Pendidikan Negara.

Kalau Felda ditubuhkan hasil cetusan idea bangsa berkulit sawo matang, Najib memilih melantik penasihat berkulit putih untuk membantu beliau dalam membuat dasar-dasar negara.

Dan bukan sedikit yang kita bayar - RM7.2 bilion kita bayar kepada bekas penjajah ini yang dalam bahasa hari ini dikenali sebagai konsultan.

Inilah transformasi yang mungkin mahu dibawa oleh Najib - iaitu kembali ke zaman Malaya di mana Residen British menentukan masadepan bangsa.

Tidak mengapalah. Tun Razak dengan caranya. Anaknya pula, dengan caranya tersendiri.

Tahun ini, tahun mencabar buat kita. Tidak mengapa. Kita ikut cara Mak Tam.

Kalau zaman Mak Tam, beliau hidup dengan menjual nyior serata kampung, zaman kita sudah berubah.

Bagi warga kota di Kuala Lumpur, kurangkanlah menggunakan jalan bertol. Kurangkanlah menggunakan elektrik dengan banyak, kalau perlu pasang lilin, pasang lilin.

Tidak perlulah kita minum teh bergula kerana nanti kencing manis menghinggapi diri kita.

Kepada yang berkereta, ikut lah nasihat Shell bagaimana hendak menjimat petrol. Antaranya pandu perlahan, kurangkan penggunaan air cond semasa memandu.

Menyesal sekarang, tidak berguna. Kita sudah terlanjur. Belajarlah dari kesilapan ini. Cukuplah kita memilih golongan bangsawan menjadi Perdana Menteri. Cukuplah kita melantik anak Perdana Menteri menentukan masa depan kita.

Selamat Tahun Baru kepada semua.

Buat Mak Tam, terima kasih kerana sudi berkongsi cerita dan terima kasih juga kerana sudi menghidangkan pulut ikan kering malam-malam buta.