Wednesday, July 15, 2020

SAKSI: ROSMAH MINTA 15% DARI RM1.25 BILION



KITA harap pemimpin Pas, Muhyiddin Yassin dan ahli-ahli Umno tak "miss" cerita Rosmah Mansor di mahkamah sehari dua ini.

Cerita bagaimana kontraktor JUMPA Rosmah di rumah beliau.

Cerita nya begini (mengikut laporan Awani):


Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu, Datin Seri Rosmah Mansor meminta 15 peratus daripada nilai keseluruhan RM1.25 bilion bagi Projek Solar Hibrid untuk 369 sekolah luar bandar dan pedalaman di Sarawak yang dipohon syarikat Jepak Holdings Sdn Bhd. 

Kadar itu dinaikkan Rosmah daripada tawaran 10 peratus yang ditawarkan Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin. Rayyan Radzwill Abdullah, iaitu rakan perniagaan kepada Saidi , dalam keterangan beliau, berkata sumbangan 15 peratus bersamaan RM187.5 juta yang diminta Rosmah itu adalah muktamad.

Saksi pendakwaan ke-16 itu berkata, dalam pertemuan antara beliau dan Saidi serta Rosmah di rumah isteri bekas Perdana Menteri di Jalan Langgak Duta pada Januari atau Februari 2016, Rosmah berkata kepada mereka, "keadaan politik sekarang memang memerlukan banyak wang" dan "kita tengoklah nanti."

Rayyan berkata, pertemuan itu adalah bagi membincangkan sokongan Rosmah dalam projek solar hibrid dan sumbangan yang perlu diberikan Jepak kepadanya (Rosmah) atas bantuan yang diberikan.

Katanya dalam pertemuan yang berlangsung selama 10 minit, Saidi terlebih dahulu menawarkan sumbangan 10 peratus daripada nilai keseluruhan projek seperti diingatkan Pegawai Khas Rosmah, Datuk Rizal Mansor sebelum itu supaya membuat tawaran bermula daripada kadar 10 peratus.

"Sebelah petang pada hari sama, Rizal berjumpa saya dan Saidi di Lygon Bistro, Sunway Putra Mall, dalam pertemuan itu Rizal beritahu semuanya 'ok' cuma peratus sumbangan perlu dinaikkan kepada 15 peratus kerana Rosmah inginkan 15 peratus.

"Saidi berkata, jumlah itu tinggi dan ia perlu dikurangkan sedikit kerana beliau perlu jaga ramai orang lagi dan Rizal beritahu, beliau akan semak dan maklum kembali...Rizal juga minta bahagian dia sebanyak RM5 juta setahun selama lima tahun daripada Saidi. Saidi kata 'ok' tanda setuju.

"Keesokan hari, Rizal menghubungi saya melalui telefon dan menyatakan nilai 15 peratus iaitu RM187.5 juta itu adalah muktamad dan tidak boleh diubah... Rizal beritahu saya untuk maklumkan kepada Saidi," katanya.

Rayyan berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan kes rasuah dihadapi Rosmah berhubung projek tenaga solar di sekolah luar bandar Sarawak di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan.

No comments: