Thursday, August 9, 2018

UMNO HUMBAN NAJIB RAZAK KE LAUT


AKHIRnya pengikut Najib Razak meng"humban Najib ke laut."

Selepas bekas timbalan beliau, mantan Menteri Kewangan Kedua Johari Ghani, mendesak supaya Umno MEREHATKAN Najib, Annuar Musa yang dilantik oleh Najib sebagai Ketua Penerangan Umno meminta Umno tidak "membuang masa" dengan Najib dan menganggap Najib sebagai "BEBAN" kepada Umno.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, yang disifatkan sebagai "PRESIDEN SLOW" oleh bekas Ketua Pengarah JASA Poad Zarkashi, BIMBANG dilihat "ketinggalan kapal", melompat masuk kapal dengan nada rayuan agar "Najib tidak terasa hati" dengan komen-komen pedas konco-konco lama Najib ini.

Rupa-rupanya kepimpinan Umno hari ini MENYALAHKAN Najib di atas kekalahan di Pilihanraya Kecil Sungai Kandis baru-baru ini.

Hari ini mereka secara terang-terangan meng"HARAM"kan Najib dari menyertai mana-mana kempen PRK selepas ini.

Tak perlulah kita memuji kritikan Annuar Musa dan Johari Ghani.

Puak-puak inilah juga yang menyanjung Najib sebelum 9 Mei 2018 yang lalu.

Johari Ghani lah yang bermati-matian mempertahankan Najib di Parlimen.

Annuar Musa lah yang bermati-matian mempertahankan Najib dalam siri-siri kempen PRU14 yang lalu.

Teringat akan Jelapang pre-council Perhimpunan Agung Umno sebelum PRU14.

Bukan main sakan VIDEO yang ditayangkan oleh Annuar Musa kepada perwakilan Umno.

Ucapan beliau mempertahankan Najib berapi-api. 

Hari ini beliau anggap Najib sebagai BEBAN kepada Umno, padahal mereka sama-sama bertanggungjawab di atas "BUNGKUS" nya Umno hari ini.

Bukan setakat Najib yang menjadi beban dan perlu direhatkan, Zahid, Johari dan Annuar patut dibungkus dan direhatkan oleh Umno.

Kepada Dato' Sri Najib, duduklah diam-diam di Jalan Duta tu, tak akan ada dah kawan-kawan yang akan melawat you. You adalah BEBAN kepada Umno. Itu kawan-kawan you yang cakap.

Berehatlah di rumah dengan Rosmah Mansor.

Bila keluar makan-makan, jangan lah tunjuk muka "moyog" macam gambar di atas tu.

Kata orang putih: Chill bro!!! Chin up!!!  


'Umno tak boleh buang masa pertahan Najib'

Diterbitkan 9 Ogs 2018, 12:13 tengah hari | Dikemaskini 9 Ogs 2018, 12:22 tengah hari


A+ A-

Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa berkata parti itu tidak boleh lagi membuang masa mempertahankan bekas presiden Datuk Seri Najib Razak.

Beliau juga menyifatkan Najib - yang kini berdepan tujuh pertuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram - sebagai "beban" yang tidak lagi boleh dipikul Umno.

“Kami perlu teruskan perjalanan ini. Kami tidak akan tunggu. Kami tidak akan bazirkan masa mempertahankan Najib.

“Kami dalam Umno tidak boleh bawa beban ini selamanya. Perlu diputuskan. Jika ini semua tanggungjawab beliau (Najib)," katanya (gambar) seperti dipetik The Malaysian Insight.



Kenyataan itu sehari selepas Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata Najib tetap perlu dihormati.

Zahid mengulas kenyataan bekas menteri Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang berkata Najib tidak seharusnya berkempen untuk BN di PRK Sungai Kandis minggu lalu.

'Takkan kerana seorang'

Sementara itu, Annuar berkata Umno perlu menumpukan usaha membina semula parti itu kerana ia lebih penting daripada mana-mana individu.

“Najib hanya satu orang, tidak ada orang yang amat diperlukan. Najib bukan lagi presiden parti, bagi saya beliau hanya ahli parti. Sama ada orang sokong dia atau tidak, ia tidak penting.

"Parti lebih penting berbanding mana-mana individu. Najib sudah melepaskan semua jawatannya dan kini parti di bawah pentadbiran baru. Kami akan buat dengan cara baru.

"Kami tidak akan tunggu Najib selesaikan kesnya di mahkamah,” kata anggota parlimen Ketereh itu lagi.



Annuar merupakan pembela Najib paling lantang dalam berhubung skandal 1MDB sebelum kekalahan BN pada PRU ke-14.

Namun beliau kini nampaknya menjarakkan diri daripada isu itu kini.

Dulu pemimpin Umno bertanggungjawab mempertahankan Najib kerana beliau adalah perdana menteri dan presiden parti, katanya lagi.

"Saya fikir ia sangat mudah. Najib dulu perdana menteri dan presiden parti. Bila ada kontroversi, kami ada etika asas tertentu, amalan dan juga tradisi.

"Ada prinsip tanggungjawab kolektif dan kecenderungan untuk meragui kepimpinan tertinggi berkenaan perkara tertentu," katanya.

Bukan Umno undang Najib
Berhubung penglibatan Najib di Sungai Kandis, Annuar menyuarakan perkara sama seperti Zahid iaitu kehadirannya atas jemputan calon BN Datuk Lokman Noor Adam.

"Apabila kita semak, calon kita Lokman yang jemput dia. Kita tidak halang (Najib) kerana dia ahli parti.

"Hendak kata strategi utama kita ialah menjadikan Najib sebagai jurukempen utama adalah salah. Itu saya boleh jamin, bukan strategi kita. Keputusan kita ialah kempen di Sungai Kandis tanpa Najib," katanya.

Lokman tewas di tangan calon PKR Mohd Zawawi Ahmad Mughni dengan hanya mendapat 38 peratus daripada jumlah undi.

https://www.malaysiakini.com/news/438107




‘Najib kini sejarah, Umno perlu rehatkannya dari kempen PRK’
Johari Abdul Ghani | Diterbitkan 8 Ogs 2018, 2:04 petang | Dikemaskini 8 Ogs 2018, 2:17 petang


ULASAN l Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Kandis sangat penting kerana merupakan PRK pertama selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang menyaksikan Umno berkolaborasi dengan PAS.

PRK ini menyaksikan isu-isu yang kita bangkitkan mengenai kegagalan Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk memenuhi janji-janji mereka, antaranya seperti memansuhkan tol, menetapkan harga minyak RM1.50 seliter dan penangguhan pembayaran hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan lain-lain janji lagi.

Cuma, apa yang menjadi tanda tanya kepada kita adalah sejauh mana isu-isu yang kita bangkitkan ini menjadi daya tarikan kepada pengundi di Sungai Kandis terutama pengundi-pengundi Melayu yang majoritinya mewakili lebih 70 peratus di situ.

Keputusan PRK ini yang menyaksikan majoriti 5,764 undi diperoleh calon PKR boleh diinterpretasikan dalam pelbagai sudut. Adakah masyarakat Melayu sudah tidak ambil peduli sama ada sesuatu kerajaan itu menepati janji-janji pilihanraya atau tidak?

Ataupun pengundi-pengundi lebih berminat untuk melihat kerajaan yang mempunyai kredibiliti dan bebas dari isu-isu yang melibatkan korupsi dan salah guna kuasa?

Mungkin juga berita-berita rampasan wang tunai dan barang barang kemas di kediaman bekas Perdana Menteri menguatkan lagi persepsi korupsi dan salah guna kuasa yang telah ditanam di dalam minda dan jiwa rakyat selama ini?



Meskipun ada penjelasan diberi, persepsi korupsi dan salah guna kuasa ini mungkin masih tebal dan penjelasan yang di beri masih tidak cukup untuk meyakinkan pengundi-pengundi untuk memberikan undi mereka kepada Umno.

Pecah amanah

Di PRK Sungai Kandis baru-baru ini kita juga dapat melihat bekas perdana menteri dan bekas presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak telah berkempen dengan begitu aktif.

Memandangkan kes mahkamah Najib masih belum lagi dibicarakan dan mengambil kira persepsi korupsi dan pecah amanah yang masih lagi membelengungi beliau, apakah strategi Umno dalam mengketengahkan Najib sebagai salah seorang tokoh yang aktif berkempen bagi PRK Sungai Kandis baru-baru ini suatu strategi yang bijak?

Perlukah Umno merehatkan Najib dari menyertai kempen-kempen pilihanraya akan datang? Kita perlu ingat bahawa Umno bukan berkempen untuk ahli-ahlinya sahaja tetapi kepada pengundi Sungai Kandis yang mana soal persepsi boleh menentukan kalah menang seseorang calon.

Barangkali akan ada yang mengatakan mengapa Najib perlu direhatkan sedangkan Menteri Kewangan Pakatan Harapan DAP, Lim Guan Eng yang sedang didakwa di mahkamah pun tidak ambil peduli perkara ini.

Pendirian saya kita tidak perlu mencontohi DAP. Umno mempunyai benchmark yang tersendiri dan kita perlu menjadikan ini sebagai suatu titik mula untuk mencipta suatubenchmark baharu yang mana Umno mengutamakan integriti dan kredibiliti pemimpinnya sebagai agenda yang penting dalam perjuangan.



Kita perlu letakkan benchmark ini kepada setiap pemimpin bagi memulangkan keyakinan pengundi bahawa Umno adalah sebuah parti yang mempunyai benchmark yang tinggi mengatasi DAP.

Umno perlu mengatasi masaalah persepsi integriti dan kredibiliti ini jika mahu terus relevan. Kita perlu lupakan era terdahulu sebelum PRU14.

Umno kini sudah pun ada presiden dan kepimpinan baru. Era presiden terdahulu sudahpun berlalu menjadi sejarah. Jika Umno tidak berubah dan masih berterusan mempertahankannya legasi dan isu-isu yang membawa kepada penolakannya di PRU14, maka tidak mustahil jika Umno juga akan menjadi sejarah.

Contohnya, ramai kalangan kita tidak faham isu 1MDB dan SRC dan sebahagian dari kita tidak faham isu ini secara total. Oleh itu, apabila kita berbahas isu-isu ini di dalam Parlimen, ia dibuat tanpa mengetahui maklumat yang lengkap dan tepat.

Ia hanya akan menyebabkan pemimpin-pemimpin kita hilang kredibiliti.


PAS sememangnya suka Umno lemah
Dari segi gabungan Umno-PAS pula, PRK Sungai Kandis ini menggambarkan bahawa pakatan Umno-PAS tidak langsung memberi sebarang kesan terhadap kebolehan meraih undi melebihi apa yang Umno peroleh pada PRU-14.

Sewaktu Umno, PKR dan PAS bertanding mengikut haluan masing-masing pada PRU14, Umno mampu mendapat 11,518 undi, tetapi hari ini selepas pakatan Umno-PAS berlaku di PRK Sungai Kandis, kita cuma dapat 9,583 undi.

Walau apa sahaja yang kita spin untuk ‘menyedapkan’ hati kita, pokok pangkalnya kita telah kalah. Kita kalah dengan jumlah undi yang jauh lebih rendah selepas kita berpakat dengan PAS.

Apakah pakatan Umno-PAS ini adalah terlalu awal atau pakatan ini merupakan pakatan yang agak sukar untuk diterima sebahagian besar ahli-ahli PAS?

Kempen PAS kepada ahli-ahlinya adalah PAS mesti memilih parti yang lebih kecil kemudaratannya daripada parti yang memudaratkan lebih besar. Kalau inilah landasan prinsip PAS untuk berpakat dengan Umno, adakah pakatan ini praktikal?

Adakah kita bersedia untuk menolak pemimpin-pemimpin Umno yang dari segi persepsinya telah kelihatan tidak amanah, korup dan hanya mementingkan sesuatu kaum sahaja dalam perjuangan?

Ada maklumat yang disampaikan kepada saya bahawa PAS sememangnya suka Umno lemah. Dalam erti kata lain, di mana sahaja Umno lemah, PAS akan mendapat keuntungan.

Bila Umno lemah di Kelantan, PAS terus berkuasa selama 6 penggal; bila Umno lemah di Terengganu, PAS berjaya menguasai kerajaan negeri dan bila Umno lemah di Kedah, PAS mendapat lebih banyak kerusi pada PRU-14.

Mengguris bukan Melayu

Di kawasan-kawasan bandar pula, apabila Umno lemah, parti-parti PKR dan DAP mendapat keuntungan. Jadi, Umno dan BN tidak boleh lemah.

Umno pernah bersama-sama PAS mempertahankan Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 untuk memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah, membela nasib etnik Rohingya, pernah bersama PAS dalam isu-isu persoalan agama tetapi ini sahaja belum dapat meyakinkan orang PAS di Sungai Kandis untuk melihat ia sebagai faktor utama untuk mereka memberi undi kepada Umno/BN.

PAS tidak pernah menunjukkan bahawa mereka sanggup duduk di atas pentas yang sama dengan Umno untuk berkempen seperti mana dilakukan oleh HARAPAN - parti DAP, BERSATU, PKR dan AMANAH yang bersama-sama di atas pentas semasa berkempen.

Ini secara tidak langsung memperlihatkan belum ada lagi persefahaman atau penerimaan kedua-dua parti dari segi mempraktikkan Pakatan Umno-PAS ini secara jujur dan ikhlas.

Sehubungan itu, saya berpandangan Umno sepatutnya mengekalkan kedudukannya sebagai sebuah parti nasional dengan tidak sepatutnya bergantung atau terikut dengan rentak parti yang lebih kecil dari Umno.

Sebagai sebuah parti nasional kita mestilah mengambil kira bukan sahaja kepentingan orang-orang Melayu sahaja tetapi juga kepentingan kaum-kaum lain dinegara ini.

Kalau diperhatikan, ada di kalangan pemimpin Umno kita berucap sehingga mengguris hati perasaan orang-orang bukan Melayu.

Mereka ini barangkali boleh berbangga dengan menang di kawasan masing-masing tetapi apa gunanya kita menang dikawasan kita sahaja sedangkan ucapan-ucapan sensitif ini yang menyentuh perasaan orang bukan Melayu menyebabkan ramai rakan-rakan seperjuangan Umno/BN “terkorban” di kawasan bandar dalam pilihan raya yang lalu.

Ada juga di kalangan Umno yang menggunakan isu keagamaan bagi meraih sokongan. Apakah benar orang Melayu yang menyokong PKR, orang Melayu yang menyokong BERSATU atau orang Melayu yang menyokong AMANAH akan membiarkan sahaja Islam diperkotak-katikkan atau Umno hanya takut pada bayang bayang sendiri?

Perkara-perkara inilah yang perlu dilihat semula oleh pemimpin-pemimpin Umno dan fokus semula kepada asas penubuhan Umno itu iaitu disamping menjaga kepentingan Melayu yang sememangnya termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, kita tidak mengecilkan kepentingan dan hak kaum-kaum lain.

Inilah hakikat yang perlu di terima oleh Umno dan ini juga lah resipi yang digunapakai oleh pejuang-pejuang Umno terdahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan negara ini dan ia merupakan resipi yang terbukti berjaya selama 61 tahun.

Rahsia kejayaan BN

Kejayaan BN selama 61 tahun ini adalah kerana orang Cina, India dan kaum-kaum lain merasakan bahawa mereka boleh meletakkan kepercayaan dan kepentingan mereka kepada BN.

Sebab itu PAS selama berpuluh-puluh tahun tidak dapat membentuk kerajaan persekutuan kerana mereka tidak dapat meyakinkan masyarakat Cina, India dan kaum-kaum lain untuk bersetuju dengan ideologi PAS yang tidak bersifat nasional.

Kalau kita menurunkan taraf kita sebagai parti nasional kepada tahap PAS, maka kita telah mengecilkan perjuangan Umno ini.

Kalau boleh saya ungkapkan kata-kata seorang ketua bahagian Umno iaitu “Syarat kalah bukan semestinya lemah dan syarat menang, bukan semestinya kuat”. Walau apapun, yang pasti untuk menang, kita mestilah kelihatan sebagai parti yang sentiasa menjadi harapan kepada setiap pengundi, tidak kiralah sama ada orang Melayu, Cina, India dan lain-lain.

Kalau ada di kalangan parti-parti komponen dalam BN yang lemah, maka Umno perlu mencari strategi baru untuk menguatkan mereka kembali.

Saya memohon maaf sekiranya ada rakan-rakan seperjuangan, ketua-ketua bahagian, ahli-ahli Majlis Tertinggi atau para pejuang Umno yang merasakan bahawa pandangan saya ini mengguris hati dan perasaan mana-mana pihak.

Saya hanya mahu Umno bangkit semula menjadi sebuah parti nasional yang kuat, inklusif, penuh kredibiliti dan berwibawa. Saya yakin, apabila parti kita kuat, orang akan mencari kita. Proses memperbaiki parti perlu diteruskan, yang lainnya kita berserah kepada Allah.

DATUK SERI JOHARI ABDUL GHANI adalah ketua Umno bahagian Titiwangsa merangkap pengerusi perhubungan Umno Wilayah Persekutuan.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi redaksi Malaysiakini.

https://www.malaysiakini.com/news/437965





Saya cuma membantu di Sg Kandis, kata Najib
Diterbitkan 9 Ogs 2018, 9:36 malam | Dikemaskini 9 Ogs 2018, 9:40 malam


A+ A-


Datuk Seri Najib Razak berkata kemunculannya di Sungai Kandis semasa pilihan raya kecil (PRK) baru-baru ini dibuat dengan niat yang baik, iaitu memenangkan calon BN.

Kata bekas perdana menteri itu, Datuk Lokman Noor Adam meminta bantuannya untuk berkempen di kawasan tersebut ketika BN berdepan dengan cabaran getir merampas kerusi dewan undangan negeri itu daripada Pakatan Harapan (HARAPAN).

"Saya tidak mempunyai sebarang hasrat untuk menjadi presiden Umno lagi.

"Kepimpinan baru Umno perlu diberikan kepercayaan dan ruang untuk membuktikan kepimpinan mereka bagi mendapatkan kepercayaan rakyat," katanya dalam satu hantaran di media sosial malam ini.

Kenyataan itu dibuat sehari selepas bekas menteri yang juga calon naib presiden Umno Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang tidak bersetuju Najib dibawa berkempen di PRK Sungai Kandis.

Kata Johari Umno kini berdepan dengan persepsi masyarakat yang menolak parti itu pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

"Di PRK Sungai Kandis baru-baru ini kita juga dapat melihat bekas perdana menteri dan bekas presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak telah berkempen dengan begitu aktif.

"Memandangkan kes mahkamah Najib masih belum lagi dibicarakan dan mengambil kira persepsi korupsi dan pecah amanah yang masih lagi membelengungi beliau, apakahstrategi Umno mengetengahkan Najib sebagai salah seorang tokoh yang aktif berkempen bagi PRK Sungai Kandis baru-baru ini suatu strategi yang bijak?" katanya.

Yakin tak bersalah

Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pula berkata mustahil Umno dapat bangkit daripada kekalahannya jika parti itu terus mengimbau masa lalu dan membenarkan Najib terlibat dalam hal ehwal pertubuhan berkenaan.

Dalam satu kenyataan, Khaled berkata sudah tiba masanya Umno menyedari bahawa Najib sebenarnya sedang dibicarakan dan bukannya Umno.

"Kita bukan lagi kerajaan dan kita tidak lagi mempunyai keistimewaan untuk berkata dengan yakin bahawa masih ada orang Melayu di belakang kita," katanya.



Untuk rekod Khaled dan Johari adalah segelintir pemimpin Umno yang bersikap lebih kritikal membicarakan tentang kepimpinan Umno.

Kata Najib Lokman dan pasukannya telah melakukan yang terbaik bagi memenangi PRK Sungai Kandis.

Najib yang kini dibicarakan atas tujuh tuduhan jenayah berkata Umno tidak perlu mempertahankannya.

Melalui perbicaraan yang adil, kata Najib, beliau yakin dapat mempertahankan diri di mahkamah.

"Saya juga yakin tidak bersalah terhadap segala pertuduhan yang dibuat. Kesalahan saya hanyalah kerana melakukan yang terbaik demi rakyat, negara dan parti saya," katanya.

Seakan mahu mengingatkan orang ramai, Najib berkata beliau kini masih memegang jawatan ketua bahagian serta anggota parlimen mewakili Umno.

"Saya juga mempunyai pengalaman dan pengetahuan dengan apa yang berlaku dalam kerajaan lalu.

"Oleh itu, saya akan terus bersuara terhadap apa-apa isu yang menjejaskan rakyat dan negara ini.

"Saya berhak menggunakan kebebasan bersuara saya dan berhak mempertahankan diri saya jika timbul lagi sebarang tuduhan dibuat terhadap saya atau kerajaan BN lalu," katanya.


https://www.malaysiakini.com/news/438217

2 comments:

Anonymous said...

Pukimak Babi Cilaka Blogger bonggok minom air kencing Mu Keris..

Umno bukan boddoh macam kau lahanat

Anonymous said...

kesudahanya .... masa orang cakap sebelum hilang kuasa dikatanya ini semua pegkhianat umno melayu. ada hikmah kalah mata dah boleh celik.. telinga dah boleh dengar .. mulut dah boleh cakap.

ada hidung dah boleh bernafas

semua dah tak tersumbat .. skang ni. lupakan terus najib punca segala masalah.. pejuangkan masalah sebenar orang melayu dan islam

InsyaAllah.. sokongan akan kembali.