Thursday, October 9, 2014

NAJIB DAH BERANI SENTUH ISU 1MDB TAPI BUKAN ISU SEBENAR

SELEPAS beberapa kali didesak oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad supaya Perdana Menteri Najib Razak tampil menjelaskan isu 1MDB, akhirnya semalam Najib membuat penjelasan melalui jawapan bertulis di Parlimen.

Maka dengan jawapan itu, Dr Mahathir tidak lagi boleh mengatakan Najib membisu mengenai isu 1MDB.

Penjelasan Najib semalam:

KUALA LUMPUR, 8 Okt - Nilai aset terkumpul 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang ditubuhkan kerajaan pada 2009, berjumlah RM44.67 bilion pada 31 Mac tahun lepas.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata agensi itu yang ditubuhkan bagi mengumpul dana dengan membawa masuk pelaburan langsung asing untuk projek negara dan menerbitkan bon, turut menerima pinjaman daripada institusi kewangan domestik dan antarabangsa.
"1MDB mempunyai pinjaman sebanyak RM5.8 juta yang dijamin kerajaan, namun tidak menerima jaminan kerajaan bagi bon atau pinjaman lain.
"RM5 bilion ialah jaminan yang diberikan untuk bon-bon Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) 30 tahun yang diterbitkan oleh 1MDB dan RM800 juta bagi pinjaman 1MDB," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Najib yang juga Menteri Kewangan menjawab soalan Liew Chin Tong (DAP-Kluang) mengenai kaedah 1MDB mengumpul dana, jumlah dana terkini serta pencapaian 1MDB sejak ditubuhkan.
Sementara itu, Najib berkata 1MDB menerajui projek jangka panjang untuk memanfaatkan pelaburan dan kepakaran antarabangsa bagi pelaburan yang mempunyai nilai pengganda yang tinggi dan inovasi.
Beliau berkata antara projek yang sedang dijalankan ialah Projek Bandar Malaysia, yang sebahagiannya membabitkan pembangunan rumah mampu milik, khusus untuk golongan eksekutif muda.
Perdana Menteri berkata projek Bandar Malaysia, projek pembangunan bersepadu memajukan semula Lapangan Terbang Sungai Besi, akan menjadi ikon kepada kelestarian kehidupan di bandar Kuala Lumpur.
Selain itu, Najib berkata 1MDB juga memberi tumpuan ke atas sektor tenaga dengan membeli aset-aset tenaga Tanjong Energy Holdings, Genting Sanyen dan Jimah Energy Ventures Sdn Bhd. Ini bagi memenuhi aspirasi kerajaan untuk memastikan jaminan tenaga mampan dalam jangka panjang, katanya.
"Konsortium 1MDB-Mitsui juga memenangi Projek 3Boleh Suruhanjaya Tenaga yang akan melibatkan pembinaan dan operasi 2000 megawatt loji arang batu bersebelahan loji jana kuasa Jimah di Negeri Sembilan," katanya.
Justeru, 1MDB kini merupakan pengeluar tenaga bebas (IPP) kedua terbesar di Malaysia dari segi kapasiti pengeluaran tenaga.
Selain itu projek Tun Razak Exchange yang dibangunkan khusus untuk memenuhi keperluan masa depan, mempunyai matlamat untuk membangunkan Kuala Lumpur sebagai hab kewangan antarabangsa selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan ibu kota ini sebagai bandar raya global.
Projek berkenaan yang dijangka memakan masa pembinaan selama 15 tahun, dikenal pasti oleh kerajaan sebagai projek permulaan dalam Program Transformasi Ekonomi untuk mencapai pendapatan per kapita lebih dua kali ganda menjelang 2020, kata Najib.
"Perjanjian yang ditandatangani 1MDB Real Estate Sdn Bhd dan Lend Lease ini dijangka menarik sehingga US$1 bilion (RM3.2 bilion) dalam bentuk pelaburan langsung asing ke Malaysia," kata Perdana Menteri.
Sementara itu, Najib berkata penubuhan 1MDB mengikut Akta Syarikat 1965 bertujuan menerajui inisiatif strategik pembangunan ekonomi jangka panjang yang mampan dan menggalakkan pengaliran masuk pelaburan asing ke dalam negara.
"1MDB ditubuhkan untuk memacu pembangunan ekonomi mampan jangka masa panjang yang berimpak tinggi bagi Malaysia dan untuk menjalin perkongsian strategik global dalam menarik pelaburan langsung asing ke Malaysia yang memberi fokus utama kepada sektor tenaga, hartanah dan hospitaliti," katanya.
 http://www.rakyatnews.my/index.php/dari-parlimen/pm-jumlah-aset-terkumpul-1mdb-rm4467-bilion

TAHNIAH kepada Perdana Menteri kerana memberanikan diri untuk menjawab persoalan mengenai 1MDB.

Tetapi malangnya Najib tidak menjelaskan mengenai hutang 1MDB yang berjumlah RM36 bilion.

Seperkara lagi, bila agaknya Perdana Menteri mahu menjelaskan pembelian yang dikatakan "pembelian strategik" IPP lama, Genting Sanyen dan beberapa IPP lain.

Kita masih tidak faham bagaimana pembelian tersebut dianggap pembelian strategik apabila nilai sebenar IPP tersebut hanya RM450 juta tetapi dibeli oleh 1MDB dengan harga RM2.55 bilion.

Tak mungkin kerajaan kena tipu dengan Genting atau mungkinkah kerajaan sengaja mahu ditipu?

Sebab itulah kita, orang yang tak berapa faham mengenai bisnes ini, mengharapkan Najib tampil perjelaskan bagaimana barangan yang berharga RM450 juta dibeli dengan harga RM2.55 bilion.

Kita yakin Najib ada jawapannya.