Seminggu dua ini dan beberapa minggu akan datang, kita akan dihidangkan dengan kenyataan-kenyataan menghentam Ahli Parlimen Pulai Nur Jazlan Mohamed oleh media-media utama kerana penulisan beliau di sebuah portal yang dilihat mengkritik pemimpin Umno.
Seperti biasa, Nur Jazlan akan didesak meminta maaf dan diambil tindakan disiplin.
Seperti mana yang berlaku sebelum ini, pengkritiknya bukan dari kalangan Menteri, Ahli Majlis Tertinggi Umno atau pemimpin atasan Umno, ianya akan dibuat oleh orang yang tak pernah kita kenal dan ada antaranya pernah menjadi penjual burger, bekas ahli politik parti pembangkang serta mereka yang sudah lanjut usianya.
Mereka akan diberi skrip untuk dibaca dan ada kalanya akan membuat interbiu telefon dengan stesen TV terpilih.
Itulah pendekatan pemimpin atasan sekarang ini dalam menangkis kritikan dari dalam parti.
Kali ini giliran Nur Jazlan dihentam kerana penulisan berikut:
Umno perlu inspirasi dan strategi baru tarik hati pengundi - Nur Jazlan Mohamed
Dua Pilihan Raya Kecil (PRK) berlaku dalam tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) diadakan pada Mei lalu, dan dalam kedua-dua PRK itu menyaksikan pertembungan dua parti terbesar orang Melayu di negara ini, iaitu Umno dan PAS.
Keputusan kedua-dua PRK ini, menyaksikan status quo sebelum ini, dikekalkan pengundi iaitu untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut untuk Umno dan Sungai Limau bagi PAS.
Berbanding Kuala Besut, PRK Sungai Limau amat menarik kerana ia adalah kerusi yang dikosongkan bekas Menteri Besar Kedah, allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak yang meninggal dunia pada 26 September lalu, selepas menjadi Adun kawasan berkenaan sejak 1995.
Umno sudah pasti mahu meneruskan momentum kemenangan di Kuala Besut dan Umno Kedah sudah pasti mahu menang di bawah pimpinan Menteri Besar yang baru, Datuk Mukhiriz Mahathir.
Dengan majoriti pengundi di Sungai Limau, yang 90% Melayu, Umno yang segar dengan sokongan orang Melayu yang memberikan kemenangan 88 kerusi Parlimen dalam PRU13 meningkat 9 kerusi berbanding Pillihan Raya Umum 2008, sudah pasti mengharapkan kemenangan di kubu kuat PAS.
Tambahan pula, PAS Kedah yang diketahui bergolak sejak zaman pemerintahan allahyarham Azizan, mempunyai pesuruhajaya baru yang dikatakan tidak mendapat sokongan penuh daripada ahli-ahli parti di negeri Jelapang Padi berkenaan.
Selain itu, faktor DUN Sungai Limau yang terletak dalam Umno Bahagian Jerai, yang dipimpin Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, juga meningkatkan keyakinan Umno Kedah untuk merampas kerusi milik PAS berkenaan.
Strategi diatur Umno yang masih segar dengan pemilihan parti pada 19 Oktober lalu, bagi memasuki ‘gelanggang’ PRK dengan semangat untuk membuktikan bahawa sokongan orang Melayu terhadap parti itu khususnya, di Kedah berpihak kepada Umno.
Sepanjang kempen PRK Sungai Limau, kita menyaksikan bahawa pemimpin besar Umno termasuk daripada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang berhaluan kanan meminta pengundi Sungai Limau khususnya, orang Melayu memberikan sokongan kepada parti.
Namun apabila keputusan diumumkan pada 4 November lalu, PAS terus mengekalkan kerusi DUN Sungai Limau dengan majoriti yang merosot berbanding yang diperoleh allahyarham Azizan.
Perlu diingatkan bahawa dalam PRU13, allahyarham Azizan berhadapan dengan saingan empat penjuru berbanding dalam PRK yang menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Umno dan PAS.
Sememangnya, ramai pemimpin Umno memberikan ulasan selepas kemenangan PAS itu, bahawa Umno tetap memperoleh kemenangan moral kerana berjaya menurunkan majoriti yang diperoleh PAS.
Dan pelbagai analisa kemudian dibuat termasuk kembalinya sokongan masyarakat Cina kepada Barisan Nasional (BN) selain pengundi luar yang tidak pulang mengundi sehingga menggagalkan misi Umno untuk menawan DUN Sungai Limau.
Saya tidak mahu memberikan analisa yang rumit dengan pelbagai perangkaan serta statistik lengkap dengan angka dan sebagainya.
Apa yang hendak saya perkatakan adalah bagaimana pengundi Sungai Limau memberikan isyarat jelas bahawa mereka tidak termakan lagi dengan strategi janji pelbagai projek pembangunan jika Umno memenangi kerusi berkenaan.
Strategi ini, yang selalu digunakan Umno sebagai parti yang menjadi tulang belakang kepada kerajaan memerintah dan ia sebenarnya, adalah satu kelebihan yang turut digunakan pembangkang yang memerintah Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan.
Tidak ada salahnya dengan menawarkan janji projek pembangunan, tetapi pemimpin BN perlu merangka strategi baru kerana pengundi tidak lagi membuat keputusan kerana terpengaruh dengan janji berkenaan.
Lebih tepat lagi, Umno dan BN perlu berfikir di luar kotak atau ‘think out of the box’ untuk menawan hati pengundi dan tidak hanya bersandarkan strategi janji projek pembangunan kepada mereka.
Saya dimaklumkan beberapa rakan yang mengikuti kempen PRK Sungai Limau, bahawa ceramah BN hanya dihadiri ahli-ahli BN itu pun jentera parti yang datang daripada luar.
Pada masa sama kegagalan pemimpin-pemimpin Umno Pusat yang berkampung di Sungai Limau untuk menerangkan mengenai Bajet 2014 menyebabkan pembangkang mudah memanipulasikan isu seperti GST dan kenaikan harga minyak.
Sebenarnya, rakyat menunggu pemimpin Umno yang mempunyai pendirian tegas dalam mempertahankan dasar-dasar kerajaan berbanding pendekatan memberitahu mereka apa yang diperlukan oleh rakyat.
Tidak ramai menteri dalam Kabinet yang mempunyai aura untuk menarik hati serta sokongan rakyat dan seharusnya, 30 ahli Kabinet ini, sepatutnya, menjadi ‘role model’ kepada rakyat.
Pengundi Sungai Limau sebenarnya, mahu melihat pemimpin Umno yang ‘gagah’ dan lantang mempertahankan polisi serta dasar kerajaan selain mempertahankan agenda Melayu, bukan sekadar bersuka ria dalam majlis yang dianjurkan.
Pada masa sama, ada juga rakan-rakan yang bertanyakan mengenai persiapan jentera Umno Bahagian Jerai yang seharusnya, sudah bersedia untuk menghadapi PRK memandangkan allahyarham Azizan sudah lama jatuh sakit.
Jangkaan untuk menghadapi PRK seharusnya, sudah dipersiapkan dengan pelbagai strategi baru.
Bukanlah, saya mahu mengecilkan hati keluarga allahyarham Azizan tetapi saya yakin PAS juga sudah lama bersedia untuk menghadapi PRK Sungai Limau.
Walaupun, Umno kalah di Sungai Limau, saya tetap mahu mengucapkan tahniah kepada Mukhriz yang tenang memimpin jentera parti sepanjang kempen Sungai Limau walaupun beliau kalah dalam pemilihan Naib Presiden Umno.
Strategi Umno yang kelihatan cuba menggunakan NGO berhaluan kanan orang Melayu bagi meraih sokongan pengundi Melayu ketika PRK Sungai Limau juga dilihat tidak menjadi.
Masyarakat Melayu di Sungai Limau yang dikategorikan sebagai kawasan luar bandar tidak lagi termakan dengan isu ketuanan Melayu yang dimainkan NGO-NGO ini.
Jika strategi ini, terus digunakan Umno dalam pilihan raya, ia akan memberikan kesan kepada kawasan yang bukan majoriti Melayu seperti di kawasan saya, Parlimen Pulai yang mempunyai 52% bukan Melayu dan 48 peratus Melayu.
Malah, dalam PRU13 lalu, satu kawasan DUN dalam Parlimen Pulai iaitu di DUN Pengkalan Rinting kalah kepada DAP, apabila masyarakat bukan Melayu terutamanya kaum Cina ‘tersinggung’ dengan isu ketuanan Melayu yang dibawa NGO-NGO ini.
Sebenarnya, kewibawaan Mukhriz teruji dalam PRK ini, dan saya yakin beliau akan cuba merangka strategi baru dalam usaha mengekalkan negeri Jelapang Padi dalam tangan BN pada PRU ke-14 nanti.
Rakyat sedang menunggu inspirasi baru daripada Umno yang boleh menarik semula sokongan tidak berbelah bagi kepada parti.
Mukhriz adalah inspirasi itu seperti yang ditonjolkan beliau dalam pemilihan Naib Presiden Umno. Namun, beliau seorang sememangnya tidak mencukupi untuk Umno. – 8 November, 2013.
* Datuk Nur Jazlan Mohamed adalah Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Ahli Parlimen Pulai dan Akauntan Bertauliah.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
JELAPANG: Demokrasi menyemarak di dalam Umno?
Kenyataannya, Umno tidak boleh dikritik. Jika dikritik, pengkritiknya akan dihentam oleh bekas penjual burger, bekas pemimpin pembangkang dan mereka yang sudah berusia.
Jika rakyat mengharapkan pemimpin dapat ditegur, ianya satu mimpi di siang hari. Itulah sebabnya orang muda beralih angin kepada pembangkang dan lebih mempercayai kandungan portal berita bebas, blog, Twitter dan Facebook.
Kita hendak mengharapkan anggota Kabinet menegur Najib Razak? 70 peratus anggota Kabinet hari ini dilihat sebagai "kayu reput".
Kita hendak mengharapkan Ahli Majlis Tertinggi Umno menegur Najib? Hampir keseluruhan Ahli Majlis Tertinggi hanya mementingkan diri dan berminat hanya untuk mempertahankan kedudukan di dalam Kabinet dan kelebihan menikmati projek kerajaan.
Pemimpin yang berani mengkritik kerajaan tiada tempat dalam Kabinet. Pemimpin yang muak dengan kerakusan pemimpin telah meninggalkan Kabinet dan Majlis Tertinggi.
Kalau dipanjangkan umur, mungkin Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri suatu hari nanti adalah di kalangan Ahmad Maslan, Azeez Rahim yang kini menerajui Tabung Haji, Hassan Malik, Shahidan Kassim, Annuar Musa dan Suhaimi Shahadan.
Kalau dulu, Timbalan Menteri adalah golongan muda, pelapis negara, hari ini pelapis negara ialah antaranya Wan Junaidi Tunku Jaafar, Hamim Samuri, Tajuddin Abdul Rahman, Hilmi Yahya, Ahmad Bashah Mad Hanipah dan Mahdzir Khalid.
Dan inilah yang dikatakan Transformasi oleh Najib.
Nur Jazlan akan terus dihentam dalam masa terdekat ini kerana itulah cara Najib selama ini dalam menangkis pengkritik beliau.
Bagi kita rakyat biasa, jika ditakdirkan Azeez Rahim menjadi Perdana Menteri suatu hari nanti, terimalah kerana mempertahankan KETUANAN MELAYU lebih penting dari mengkritik seorang penjual kereta terpakai.
1 comment:
Memang tepat kena pada muka najib dan UMNO itu sendiri .....UMNO umpama dahan besar yang sudah reput tapi disaluti oleh dedalu yang menumpang hidup segar .Nur jazlan sudah sedia untuk disembelih dan dibakar hangus oleh gurka Gurka belaan .
Siapa nak menegur Najib?ini menjadi persoalan didalam UMNO itu sendiri......dilihat sekarang ini tiada lagi pemimpin yang berwibawa untuk menegur atau memberi nasihat kepada ketua.....Adakah Ahmad mazlan.Ismail sabri.Hisham<boleh diharap?Ternyata pemimpin yang menduduki MT UMNO semuanya penakut tak ada telurmaka selama itulah UMNO akan berjalan laju menuju lubang kubur.Sedarlah wahai pemimpin UMNO najib sudah tersasar jauh dari perjuangan ......UMNO perlukan pemulihan dgn segera kerana PRU14 semakin hampir setiap hari.
Disungai limau BN telah mengunakan cara yang salah semasa berkempen,Lupakan PRK sg Limau kita masuk soal GST....kenapa kerajaan masih gagal untuk menerangkan apa itu GST kepada Rayaat kebanyakan .Tiada seorang menteri pun yang benar benar faham tentang GST najib ni .Aku tak hairan jika ada tunjuk perasaan berkaitan dengan GST ini .Aku sokong GST ....tapi apakah pulangan yang rayaat akan dapat dari hasil GST tersebut .Najib terlalu banyak bergantong kepada alam maya dan bloger upahan.Bloger bloger ini yang sebenarnya merosakan kerajaan dan UMNO itu sendiri.Sama ada orang perasan tau tidak ...najib sejak kebelakangan ini bila bercakap macam orang baru hishap ganja matanya kosong .....seolah olah merapu ikut skrip.
Post a Comment