Saturday, April 30, 2011

MCA SUDAH TIDAK RELEVAN

MCA hari ini membuat keputusan sebulat suara tidak akan menerima sebarang jawatan di peringkat Pusat dan negeri jika parti itu gagal meraih sokongan masyarakat Cina pada pilihan raya umum akan datang.
Penolakan jawatan tersebut turut melibatkan jawatan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk Ketua Kampung serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Keputusan sebulat suara itu diputuskan pada Majlis Mesyuarat Presiden yang diadakan hari ini dengan alasan adalah tidak wajar calon MCA memegang sebarang jawatan di peringkat Pusat dan negeri jika masih gagal mencapai keputusan terbaik pada pilihan raya umum nanti.

Keputusan pilihanraya negeri Sarawak di mana DAP hampir menyapu bersih kerusi majoriti pengundi Cina menyebabkan MCA kecut perut.

Chua Soi Lek, Presiden MCA, tahu nasib parti beliau kini di hujung tanduk. Gerakan sudah dihapuskan oleh pengundi Cina di Pulau Pinang, dan dua minggu lalu, giliran SUPP di Sarawak.

Oleh itu, keputusan MCA semalam bukanlah sesuatu yang memeranjatkan. Ia memang sudah diduga kerana MCA amat berharap agar "ugutan" seumpama ini kepada pengundi Cina mungkin dapat menyelamatkan parti itu dari kepupusan.

Apa lagi pilihan MCA untuk menyelamatkan diri? Pemimpin-pemimpin veteran seperti Tun Dr Mahathir Mohamad mungkin akan berasa sentimental dengan semangat yang wujud ketika Perikatan dilahirkan.

Semangat di mana Melayu, Cina, India, Benggali, Mamak, Kadazan, Murut, Penan dapat berkerjasama dan berteduh di bawah satu payung.

Kita tak boleh bandingkan MCA zaman Tunku Abdul Rahman dengan MCA hari ini.

Pemimpin dahulu ikhlas. Orang Melayu tidak ada masalah Tun Tan Siew Sin menjadi Menteri Kewangan kerana beliau ikhlas untuk membangunkan negara.

Chua Soi ek dan pemimpin-pemimpin MCA lain perlu mencerminkan dan membandingkan diri mereka dengan pemimpin-pemimpin MCA terdahulu. Jangan salahkan pengundi Cina.

Mudah cakap, pemimpin MCA hari ini, moralnya tidak dijaga. Chua Soi Lek sendiri ada isunya. Ng Yen Yen dan Liow Tiong Lay pernah disiasat oleh SPRM.

Bekas Presiden MCA Ling Liong Sik kini di mahkamah. Chan Kong Choy juga didakwa berkaitan isu PKFZ.

Memang mudah untuk MCA menyalahkan Umno dan BN bila rakyat keturunan Cina sudah hilang kepercayaan kepada MCA.

Kita tidak percaya ini isu perkauman. Pemimpin MCA hari ini tidak ubah seperti pemimpin Umno dan PBB.

Pemimpin Umno dihukum semasa PRU-12 pada 2008 kerana keangkuhan mereka.

Chua Soi Lek perlu diingatkan bahawa pemimpin MCA juga angkuh dan bongkak. Chua Soi Lek perlu diingatkan bahawa hanya satu pertiga atau 901 perwakilan MCA sahaja yang menyokong beliau sebagai Presiden MCA.

Ugutlah macam mana sekalipun, pengundi Cina sudah membuat keputusan bahawa MCA tidak lagi pilihan mereka. Parti Cina yang relevan pada hari ini ialah DAP.

Keputusan MCA semalam tidak akan mengubah apa-apa. MCA akan dihapuskan oleh pengundi Cina dalam PRU-13 nanti. Persoalan samada MCA perlu diberi jawatan Kabinet atau tidak, tidak timbul kerana parti yang tumbang tidak harus diberi tempat kecuali pemimpinnya tidak bermaruah dan tebal muka seperti Presiden Gerakan Koh Tsu Koon.

Kita juga menghadapi masalah. Masalah dengan Najib Razak yang mengambil sikap membisu apabila MCA mengugut orang Melayu.

Mungkin Najib takut imej beliau tercemar. Apa ada pada imej kalau parti diugut. Najib harus dimaklumkan bahawa sudah ada sosek-sosek di bawah bahawa Najib lebih pentingkan diri beliau dari imej Umno.

Sehingga hari ini, semua inisiatif Najib hanya untuk menaikkan imej beliau dan imej Umno masih di takuk lama. Mana yang lebih penting? Najib atau Umno?

Nasib Chua Soi Lek dan MCA sudah ditentukan. MCA akan menerima nasib yang sama sepertimana Gerakan dan SUPP.

Yang menjadi persoalannya, apa nasib Umno di kawasan-kawasan yang peratusan pengundi Cinanya tinggi.

Itu yang perlu difikirkan.

Tuesday, April 26, 2011

DATIN PADUKA SERI ROSMAH LECTURE SERIES

Pada 12 Disember 2005, Uniten memulakan siri pertama "Tun Dr Mahathir Lecture Series" di mana bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir menjadi personaliti pertama yang menyampaikan ucaptama di sidang kuliah tersebut.

Pada ketika itu, Dr Mahathir bercakap mengenai "kepimpinan di dalam pengurusan krisis".
http://www.tnb.com.my/highlights/2005/11/uniten-tun-dr.-mahathir-mohamad-lecture-series-on-12th-december-2005-leadership-in-crisis-management.html

Tujuan Uniten menganjurkan sesi ucaptama akademik seumpama ini adalah untuk mendedahkan kita kepada perubahan lanskap dunia baik dari segi politik mahupun ekonomi.

Menurut Pengerusi Tenaga Nasional Leo Moggie, siri ucaptama ini dinamakan sempena nama Tun Dr Mahathir sebagai satu penghormatan kepada beliau sebagai seorang pemimpin dan pemikir yang berwawasan. http://www.uniten.edu.my/newhome/content_list.asp?contentid=3463

Sebenarnya, jarang sekali sesuatu "lecture series" dinamakan sempena nama seorang pemimpin. Syarikat besar seperti Sime Darby dan Khazanah Nasional juga turut mengadakan "lecture series" mereka tetapi ianya tidak dinamakan sempena nama seorang pemimpin.

Sime Darby menamakannya "Sime Darby Lecture Series" sementara Khazanah Nasional menamakannya "Khazanah Global Lectures".

Dr Mahathir mungkin pemimpin pertama yang diberi penghormatan sedemikian, tetapi Tun Abdul Razak juga turut menerima penghormatan yang serupa.

Razak School of Government, Universiti Tun Abdul Razak, juga mengadakan "lecture series"nya dan ianya dikenali sebagai "Razak Lecture Series". Tidak perlulah Jelapang menghurai akan jasa Tun Abdul Razak kepada negara.

Jumaat ini, satu PENGUMUMAN BERSEJARAH akan dibuat di Dewan Persatuan Murid-Murid Tua Kolej Tunku Kurshiah yang juga dikenali sebagai Old Girls Association (OGA).

Di situlah akan diumumkan satu "lecture series" yang baru yang akan dinamakan "DATIN PADUKA SERI ROSMAH LECTURE SERIES," sempena nama wanita terulung kita, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak. Lihat link berikut: http://www.tkcoga.org/

Tahniah Datin Paduka Seri!

Saturday, April 23, 2011

KUNTA KINTE: KAUM CINA MAHU KUASAI EKONOMI & POLITIK?

"Mereka tolak tiga parti bangsa mereka sebab pada pandangan mereka, kerajaan BN yang mereka sokong dengan cukup kuat pada Pilihan Raya Umum 2004 telah tidak penuhi aspirasi mereka. Tapi bukan orang Cina dan India saja rasa macam tu. Orang Melayu pun ramai juga yang berasa macam tu juga. Mereka tarik balik undi yang mereka bagi kepada BN pada tahun 2004."

"Orang Melayu dan kaum-kaum Bumiputera kena faham dan kena terima hakikat yang orang Cina sangat pandai bermain politik. Mereka pandai buat congak macam mana dan kepada siapa nak bagi undi mereka. Mereka tidak mahu menang jadi arang, kalah jadi abu. Mereka sanggup kalah bersorak asalkan kampung tak tergadai. Sebaliknya, kita tengok setiap kali ada bertaruhan, kampung orang Cina jadi lebih besar."


"Setelah berjaya kukuhkan ekonomi mereka hasil dasar dan projek perkembangan kerajaan BN, mereka sekarang berasa cukup yakin yang kepentingan dan monopoli ekonomi mereka tidak akan terjejas walaupun mereka tak lagi sokong BN. Malahan mereka yakin cara baru yang gabungan kuasa ekonomi dan politik ini akan tambah kukuhkan lagi kuasa dan pengaruh masyarakat Cina dalam ekonomi dan politik."

Ini adalah pandangan penulis samaran, Kunta Kinte, di dalam Berita Harian hari ini: Ikuti artikel penuh Kunta Kinta di link ini: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/KuntaKinteoriginal_Trendpolitikdanekonomiperkauman/Article

Tuesday, April 19, 2011

NG YEN YEN MAHU SUPP TOLAK JAWATAN DI SARAWAK

“SUPP mesti akur kepada kemahuan masyarakat Cina. Tiada pilihan lain kecuali tidak menyertai kabinet kerajaan negeri Sarawak. SUPP perlu tanya diri mereka... adakah menyandang jawatan dalam kabinet membolehkan mereka menjalankan kerja dan tanggungjawab dengan efektif.” - Naib Presiden MCA Ng Yen Yen.
http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2011/4/19/nation/8505034&sec=nation

Kita jangan lupa akan kenyataan yang dibuat oleh Ng Yen Yen ini kerana mungkin kita perlu mengingatkan pemimpin MCA terutamanya Ng Yen Yen akan pendirian beliau ini selepas keputusan PRU-13 di ketahui nanti.

Janganlah pula Ng Yen Yen hanya pandai menasihati orang lain.

Sudah menjadi perangai orang politik, kalau boleh hendak menongkat langit. Ada Menteri yang sudah mencecah usia 70 tahun masih bertungkus-lumus melobi Najib Razak dan Rosmah Mansor agar dapat dikekalkan di dalam Kabinet selepas PRU-13.


Begitu sukarnya orang politik mahu meninggalkan jawatan. Lihat sajalah apa yang terjadi kepada Presiden SUPP George Chan. Selagi tidak dijatuhkan, jangan harap hendak melepaskan jawatan.

Presiden Gerakan Koh Tsu Koon tanpa segan-silu memegang jawatan Menteri walaupun beliau dimalukan di Pulau Pinang.

Nasihat Ng Yen Yen kepada SUPP ada kebenarannya. Apalah gunanya pemimpin SUPP memegang jawatan di dalam Kabinet Ketua Menteri yang penuh kontroversi.

Pemimpin perlu ada maruah. Pengundi Cina Sarawak jelas menolak kerajaan. Oleh itu tak perlulah SUPP berada dalam Kabinet Kerajaan Taib Mahmud.

Tetapi bukan senang nak jadi Menteri Kabinet. Gaji besar, elaun tinggi dan dilayan sebagai Menteri.

Itulah sebab kita terbaca akan berlakunya pergeseran di kalangan pemimpin SUPP. Pemimpin yang menang mahu menjadi Menteri, yang kalah mahukan beliau menolak jawatan tersebut.
http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2011/4/19/nation/8505034&sec=nation

Seharusnya yang menang mencontohi sikap Ng Yen Yen dengan menolak jawatan yang ditawarkan oleh Taib Mahmud.

Kita juga berharap selepas PRU-13 nanti, apabila pengundi Cina menolak MCA, Ng Yen Yen menolak jawatan kabinet yang bakal ditawarkan oleh Najib.

Pada masa itu, Ng Yen Yen amat diperlukan oleh MCA untuk menghidupkan semula semangat parti. Tidak perlulah Ng Yen Yen terbang ke New Zealand, London, China, Paris, New York, Amsterdam dan seluruh pelusok dunia seperti yang dilakukannya hari ini atas perbelanjaan kerajaan.

Apabila MCA ditolak pengundi Cina nanti, Ng Yen Yen pasti sedar, adalah lebih efektif berada di luar kabinet.

Seharusnya setiap pemimpin MCA akur dengan pendirian Ng Yen Yen menolak tawaran jawatan Kabinet oleh Najib nanti.

Kita sudah dapat meneka akan keputusan PRU-13 nanti.

MCA akan turut berkubur seperti mana Gerakan dan SUPP kerana parti-parti ini tidak lagi relevan kepada masyarakat Cina.

Saturday, April 16, 2011

SARAWAK BUKAN LAGI FIXED DEPOSIT BN

Tahniah kepada Taib Mahmud di atas kemenangan BN di Sarawak.

Sebentar tadi Taib mengangkat sumpah untuk penggal ke 7 selepas 30 tahun memegang jawatan Ketua Menteri.


PBB, parti yang dipimpin oleh Taib, menang kesemua 35 kerusi yang ditandinginya.


Malang menimpa SUPP yang tewas di tangan DAP di 13 kerusi. Presidennya, George Chan, dihukum rakyat sepertimana Presiden MIC S.Samy Vellu dan Presiden Gerakan Koh Tsu Koon dihukum.


Suasana begitu gamat di rumah Taib sebentar tadi apabila pemimpin dan penyokong meraikan kemenangan BN di pilihanraya negeri yang ke-10 ini seolah-olah ianya satu kemenangan yang cukup besar padahal pembangkang mencipta sejarah dengan meningkatkan jumlah kerusi melebihi 100 peratus.


Yang jelas dari pilihanraya ini ialah BN bakal kalah beberapa kerusi Parlimen dalam pilihanraya umum nanti di Sarawak sekiranya suasana politik di bumi kenyalang ini masih tidak berubah.
Janji perlu ditepati. Taib Mahmud mesti berundur walaupun parti beliau menang 100 peratus kerusi yang ditandingi.

Itu janji Najib Razak dan Taib semasa kempen pilihanraya kepada rakyat Sarawak.


Tiada apa yang perlu diraikan dengan kemenangan di Sarawak. Keputusan ini tidak lebih dari petanda bahawa pengundi Cina tidak akan menyokong BN mahupun di Sabah/Sarawak ataupun di Semenanjung.


Kesimpulannya, hanya satu parti Cina yang akan diundi oleh pengundi Cina - DAP.


Apakah caranya untuk BN memenangi hati kaum Cina? Biarlah pemimpin yang ada mencari penyelesaian.
Keputusan malam ini memberi satu kesimpulan bahawa BN tidak akan selesa di PRU-13.

Kalau dulu Sarawak merupakan benteng kuat BN dan merupakan penyelamat serta fixed deposit BN semasa PRU-12, kali ini, ia tidak lagi.


BN tidak akan selamat dengan hanya bergantung kepada pengundi Melayu. Najib perlukan undi Cina untuk pastikan BN kekal menguasai Parlimen.


Jika senario politik ini berterusan, tidak pelik sekirannya apa yang berlaku di Perak berlaku di peringkat pusat.


Hanya kita tidak dapat meneka siapa yang akan mengadakan sesi Parlimen di bawah pokok. Ia mungkin BN dan mungkin juga Pakatan Rakyat!

BN MENANG 2/3?

BN menang 2/3? Itulah khabarnya dari Sarawak.

TIMBALAN KSU KENA TANGKAP KHALWAT?

KHALWAT WANITA 28 TAHUN DI HOTEL MEWAH

SEORANG pegawai kanan di sebuah kementerian, ditahan kerana disyaki berkhalwat dengan seorang wanita muda yang berusia 28 tahun di salah sebuah bilik hotel mewah di Pulau Pinang, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 4 pagi itu, pegawai terbabit yang bergelar Datuk diberkas sepasukan penguatkuasa agama selepas menerima maklumat sedang bersama dengan wanita berkenaan di bilik hotel berkenaan.

Pasangan Datuk berusia 50-an itu dikatakan bekerja di agensi yang sama. Mereka dibawa ke balai polis untuk diambil keterangan dan siasatan.

Datuk berkenaan menjawat jawatan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian pada Ogos tahun lalu. Sebelum itu dia adalah Timbalan Ketua Pengarah di sebuah agensi kerajaan.

Siapa Timbalan KSU tersebut? Sumber:
http://singalautmetro.blogspot.com/2011/04/timbalan-ketua-setiausaha-kementerian.html

Friday, April 15, 2011

BN HILANG 2/3 MAJORITI DI SARAWAK?

"MUSIBAH bakal menimpa SUPP. BN akan tumpas di kesemua 5 kerusi (BN) di Kuching. Dua kerusi di Sibu akan jatuh. (Wong) Soon Koh (bertanding di Bawang Assan) hampir tenggelam hari demi hari. Hanya Thai King (Tiong Thai King - Dudong) nampak selamat. Di Miri, hanya Lee Kim Shin (bertanding di kerusi Senadin) boleh selamat, Andy (Chia Chu Fatt - kerusi Pujut) dan George (Chan - Piasau) akan ke tali gantung. Repok (David Teng) akan turut jatuh. Meradong BN akan menang. Ngemah BN akan tewas."

Itulah SMS yang Jelapang terima hari ini dari orang kuat PBB di Sarawak. Hayat SUPP akan berakhir di Sarawak sepertimana berakhirnya hayat Gerakan di Pulau Pinang.

Kalau mengikut firasat BN Sarawak, BN akan tewas di 15 kerusi (Padungan, Ngemah, Pending, Batu Kawa, Bawang Assan, Kota Sentosa, Batu Lintang, Telang Usan, Kidurong, Ba'kelalan, Repok, Meradong, Bukit Assek, Pelawan dan Dudong).

Sementara BN dan Pakatan Rakyat mempunyai peluang 50-50 di 15 kerusi lain (Engkili, Beting Maru, Saribas, Piasau, Pujut, Batang Ai, Pelagus, Semariang, Belaga, Batu Danau, Bengoh, Kedup, Sadong Jaya, Jemoreng dan Nangka).

BN yakin menang di 41 kerusi selebih. Seperti kata Najib Razak, pilihanraya negeri kali ini paling sengit dalam sejarah politik Sarawak.

Malah Najib tidak merasa segan untuk menyatakan sasaran BN sekadar untuk mendapat majoriti mudah dan sekiranya BN mendapat majoriti 2/3, ianya satu bonus buat BN. Mustahil Pakatan Rakyat boleh merampas Sarawak. Tetapi tidak mustahil, BN hilang 2/3 majoriti dalam pilihanraya kali ini.

Liabiliti paling besar ialah Taib Mahmud yang menjangkau 30 tahun sebagai Ketua Menteri. Isu pembangunan cukup sensitif di Sarawak.

BN menghadapi masalah menyakinkan pengundi dengan modal pembangunan. Mudah buat pembangkang untuk mematah modal pembangunan.

Yang selama ini tinggal di rumah panjang, taraf kehidupan masih tidak berubah, mereka masih lagi tinggal di rumah panjang. Kalau pun ada pembangunan, kontrak menjadi rebutan hak pembesar negeri tertentu.

Pertama kali dalam sejarah, kalau kita ke pekan-pekan, pengundi tidak segan silu mengherdik Ketua Menteri dan pemimpin-pemimpin parti pemerintah.

Suasana yang sama berlaku di Kelantan dan Terengganu dulu dan akhirnya kedua-dua negeri jatuh ke tangan pembangkang. Begitu juga di Pulau Pinang dan Selangor.

Tetapi keputusan Sarawak kali ini akan lebih getir buat Najib. Selama ini Najib dihidangkan dengan berita-berita indah oleh orang-orang di sekeliling beliau. Keputusan Sarawak pasti akan menjadi igauan Najib dan Umno.

Tanda-tanda sudah kelihatan bahawa Pakatan Rakyat akan menang lebih dari 15 kerusi - satu jumlah yang satu ketika dulu tidak mungkin menjadi satu kenyataan. Ia akan menjadi igauan Najib kerana sekiranya diadakan pilihanraya umum sekarang, BN tidak boleh lagi menaruh harapan dari kerusi Parlimen di Sarawak sebagai fixed deposit untuk terus berkuasa di Parlimen.

Salah siapa? Salah Taib Mahmud? Tidak.

Najib? Ya, salah Najib.

Seharusnya Najib lebih bertegas dalam menangani isu Ketua Menteri Sarawak. Tun Dr Mahathir semalam menyatakan kebimbangan takut-takut apa yang berlaku di Terengganu akan berlaku di Sarawak disebabkan oleh keengganan Menteri Besar Terengganu Wan Mokhtar Ahmad pada masa itu untuk mengundurkan diri.

Masalah dengan Mahathir ialah, sepertimana beliau menulis di dalam memoir beliau, beliau hanya menulis separuh benar sementara yang separuh disembunyikan beliau.

Di kalangan pemimpin Umno, ramai mengetahui bahawa keputusan mengekalkan Wan Mokhtar di Terengganu adalah keputusan Mahathir selepas Wan Mokhtar merayu kepada beliau. Hatta, kekalahan Umno di Terengganu bukan hanya berpunca dari Wan Mokhtar, malah Mahathir perlu juga bertanggungjawab dengan kekalahan Terengganu di bawah pentadbiran beliau.

Bagi negeri Sarawak, kita tak perlu menangis sekiranya BN kehilangan banyak kerusi esok. Kalau dulu Umno di bawah Pak Lah dikatakan angkuh dan bongkak, Taib Mahmud berkali ganda lebih pada itu.

Kita masih lupa bahawa hak menentukan siapa Kerajaan kini milik rakyat. Untuk mereka yang mudah lupa, kita ingin ingatkan bahawa hari ini bukan lagi sama seperti di tahun 70an. Hari ini, kuasa adalah di tangan rakyat.

Kalau rakyat mahukan BN, BN akan memegang kuasa. Kalau rakyat mahukan orang lain, orang lain akan memerintah. Sesiapa yang memenuhi kehendak rakyat, maka dia lah akan terpilih.

Saturday, April 9, 2011

TAIB MAHMUD PUNCA BN KECUNDANG

Apakah isu paling kritikal buat Barisan Nasional di Sarawak? Adakah ianya isu Buku Jingga pembangkang?

Adakah isu video Anwar Ibrahim? Atau adakah isu balak dan tanah NCR?

Sebenarnya yang paling kritikal di Sarawak ialah keputusan Taib Mahmud untuk terus bertanding di dalam pilihanraya negeri Sarawak walaupun beliau dibelenggu pelbagai isu.

Adakah isu Taib ditangani dengan baik oleh BN atau pimpinan BN termasuk Najib? Jawabnya tidak.

Tidak seorang pun pimpinan BN, termasuk Najib, berani berhadapan dengan Taib dan menyatakan bahawa beliau lah liabiti besar BN dalam pilihanraya negeri kali ini.

Jelapang kebetulan singgah di sebuah bilik gerakan BN di Sarawak dan terpampang di dinding akan hasil risik Jabatan Penerangan yang mengisytiharkan 15 kerusi sebagai kawasan hitam dan 6 lagi kelabu.

Dalam diam-diam, pimpinan BN mengakui sekiranya BN tewas 15 kerusi kali ini, puncanya ialah Taib Mahmud. Sebentar tadi di TV3 Naib Presiden SUPP Lily Yong secara tidak langsung menyalahkan Taib Mahmud sebagai punca parti beliau tidak popular.

Sebenarnya Lily perlu sedar. Bukan Taib Mahmud sahaja yang akan merosakkan BN, malah bos beliau George Chan juga merupakan liabiliti besar kepada BN.

Agak pelik sikap Taib. Pemimpin seangkatan dengan beliau termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad sudah lama meninggalkan pentas politik.

Tetapi nampaknya hidup Taib hanya untuk politik dan beliau sudah hilang pertimbangan akan waktu terbaik untuk beliau mengundur diri. Mungkin keputusan Taib merupakan sesuatu yang baik kepada BN.

Kita berharap BN kalah 15 kerusi di Sarawak dan ianya menjadi pengajaran kepada BN dan Najib bahawa ada hadnya seseorang pemimpin itu disayangi oleh rakyatnya.

Tun Mahathir di saat-saat terakhir pemerintahan beliau hampir dibenci oleh rakyat.

Tetapi Tun Mahathir lebih bijaksana dan beliau tahu sudah tiba masanya untuk mengundur diri sebelum dibenci. Malangnya Taib memilih untuk diingati sebagai pemimpin yang dibenci rakyat Sarawak di akhir pemerintahan beliau.

Sunday, April 3, 2011

PANDANGAN TENGKU RAZALEIGH MENGENAI VIDEO SEKS

"Ini orang panggil gutter politics, politik longkang (dan digunakan) bila sudah tidak ada modal lagi. Ia timbul sebab polisi dan dasar yang diperjuangkan sudah tidak laku dan rakyat nampak tidak menerimanya. Oleh kerana itu (mereka) main politik kotor menyerang seseorang dengan harapan rakyat ketepikan hal seumpama itu. Ini bukan politik." - TENGKU RAZALEIGH HAMZAH.

Baca artikel penuh pandangan Tengku Razaleigh Hamzah mengenai video seks yang dikatakan melibatkan Anwar Ibrahim di link berikut:
http://www.malaysiakini.com/news/160415

Friday, April 1, 2011

TAIB MAHMUD MENTADBIR & BERNIAGA UNTUK KAYA

"Kekayaan kami adalah hasil dari urusan perniagaan biasa dan bukan disebabkan oleh eksploitasi atau merampas apa-apa dari Sarawak. Saya terpaksa menjalankan perniagaan di luarnegara selama 30 tahun atas satu sebab - saya tidak mahu dihantui konflik kepentingan diri setiap masa. Sesiapa saja boleh kaya selepas 30 tahun sekiranya beliau mengunakan kepandaiannya berfikir." - Ketua Menteri Sarawak Taib Mahmud. http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2011/4/1/nation/8395141&sec=nation Rupa-rupanya Ketua Menteri boleh berniaga sampai kaya raya.

Kalau itulah alasannya, maka Menteri-Menteri Besar, Menteri-Menteri Kabinet, Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri juga boleh berniaga.


Kalau Menteri-Menteri Besar, Menteri-Menteri Kabinet, Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri menggunakan kepandaian mereka dalam berniaga, mereka juga akan kaya, walaupun tidak sekaya Taib Mahmud selepas 30 tahun.


Eloklah mereka-mereka ini mula berniaga sambil memegang jawatan tertinggi dalam negara. Bukan mudah untuk mendapat peluang sebegini.


Sambil mentadbir, sambil berniaga.

PEGAWAI SPRM TENGOK BLUE FILEM?

"Tahukah awak bahawa Ashraf telah memuat turun bahan pornografi sekitar jam 1.20 pagi (16 Julai 2009). Apabila operasi dijalankan, dia menonton pornografi di internet." - Pengerusi Suruhanjaya Diraja yang menyiasat kematian Teoh, Tan Sri James Foong. http://www.malaysiakini.com/news/160230