Saturday, October 2, 2010

SAMY VELLU & MELAYU ARISTOKRAT

AKHIRNYA, Samy Vellu akan bersara sebagai Presiden MIC Januari tahun hadapan.

Semoga Samy Vellu bercakap benar kali ini. Kebanyakan orang politik lidah bercabang. Kesetiaan, kepada kebanyakan mereka, hanya modal bersandiwara untuk berkuasa dan mengekalkan kepentingan diri.

Sudah pasti Samy Vellu termasuk di dalam golongan ini. Dahulu apabila Samy diura-urakan akan berhenti, khabar angin bertiup kencang beliau akan dilantik Duta Khas bertaraf Menteri ke India dan Pakistan.

Duta bertaraf Menteri bermaksud kehidupan beliau akan kembali selesa sepertimana semasa beliau menjawat jawatan Menteri Kerjaraya dan portfolio yang lain.

Ia bermaksud Samy Vellu akan mendapat keistimewaan yang sama sepertimana Jamaluddin Jarjis yang kini Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat yang juga bertaraf Menteri. Terbang ke sana-sini menaiki penerbangan kelas pertama, disambut bagaikan Menteri oleh kakitangan kedutaan serta menikmati elaun-elaun yang memberi cukup keselesaan kepada beliau dan keluarga.

Ini masalah negara kita. Orang yang sama mendapat keistimewaan walaupun pencen sudah beribu ringgit, tetapi orang biasa terus dengan kehidupan sediakala.

Ada sesuatu yang tidak kena dengan sistem politik kita. Lihatlah senarai-senarai Pengerusi Syarikat-Syarikat milik kerajaan. Sebahagian daripada mereka Ahli Parlimen yang bergaji dan mereka juga Pengerusi Syarikat.

Musa Hitam, kini berumur 76 tahun, yang bersara sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1986, iaitu 24 tahun yang lalu, adalah Pengerusi Sime Darby Berhad. Dapat pencen Timbalan Perdana Menteri, dapat gaji beribu ringgit sebagai Pengerusi Sime Darby dan terbang ke sana sini naik kapalterbang kelas pertama dan ada kuasa untuk menyewa jet peribadi menggunakan wang syarikat.

Shahrir Samad, ahli Parlimen dan sekarang Pengerusi MPOB. Anak Mohamed Rahmat, Nurjazlan, Ahli Parlimen dan Pengerusi Uda. Tajuddin Abdul Rahman, Ahli Parlimen Pasir Salak, adalah Pengerusi Felcra. Bekas Menteri Perusahaan Utama Yusof Noor (1990-1995), ada pencen Menteri dan dah bertahun-tahun jadi Pengerusi Felda. Tidak tersenarai ramainya mereka-mereka ini.

Ahli-ahli Umno yang lain dirayu, dipinta teruskan perjuangan Melayu. Bangkitlah Melayu. Melayu akan hilang kuasa. Yang hidup senang lenang Ahli Parlimen, bekas Menteri dan Ketua-Ketua Umno berjawatan. Tiada noktah kepada kesenangan.

Tidak payahlah sensitif kepada kenyataan Jelapang ini. Ianya realiti. Lebih teruk lagi bila adanya Melayu yang memegang jawatan tinggi dalam syarikat-syarikat milik kerajaan mengubah cara hidup mereka menjadi Melayu aristokrat.

Kita tidak lupa suatu ketika dahulu bagaimana seorang Pengerusi syarikat milik kerajaan terbang ke London kelas pertama dua kali seminggu secara percuma dan mengangkut botol-botol arak yang kandungannya tinggal separuh kerana hendak minum percuma.

Pengerusi-Pengerusi ini diberi gelaran Tun, Tan Sri, Dato' Seri, Dato' dan JP. Orang Melayu yang berkehidupan sederhana dipaksa menunjukkan rasa hormat kepada mereka kerana mereka Tun, Tan Sri, Dato' Seri, Dato dan JP. Jawatan tidak cukup. Mereka perlu diberi gelaran untuk membeza kelas mereka di dalam masyarakat. Cukup menyedihkan dan memualkan.

Mereka-mereka ini menjadi Pengerusi kerana mereka Melayu, kerana Melayu dan kerana Melayu berkuasa. Tetapi malangnya nama Melayu hanya tunggangan untuk menikmati kesenangan.

Melayu yang rendah diri hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Itu realiti negara kita hari ini.

Harapan kita Najib Razak mengubah sistem politik ini. Kalau tidak sanggup mengubah, tidak perlulah kita cakap tentang Melayu hilang kuasa.

Perlu ingat, Melayu akan hilang kuasa bukan kerana Bukan Melayu. Orang Melayu sendiri yang buang kuasa pemimpin Melayu yang lupa asal-usulnya.

Balik kepada persaraan Samy Vellu. Lihatlah kenyataan Najib. Beliau sendiri amat berharap Samy Vellu bercakap benar kali ini.

Terima Kasih atas apa yang anda lakukan, kata Najib kepada Samy Vellu semalam.
Amat jelas ianya kenyataan politik yang mahu memadam terus niat Samy Vellu untuk membuat pusingan U jika Samy Vellu mempunyai niat sedemikian.
http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2010/10/2/nation/7144436&sec=nation

1 comment:

MUMMY ROKIAH said...

Blogger Jelapang,
Aetikel menarik.Mohon kebenaran untuk posting ke blog MR.