Showing posts with label asri. Show all posts
Showing posts with label asri. Show all posts

Wednesday, August 10, 2016

BERSATU

Image result for muhyiddin+bersatu

MAKA sebuah lagi, parti Melayu dan serpihan Umno, diketuai oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin didaftarkan dengan ROS semalam.

Jika diambil kira jaminan Ahmad Zahid Hamidi, tiada masalah untuk ROS meluluskan pendaftaran parti baru yang dinamakan - BERSATU.

Hari ini Zahid berkata BERSATU tidak akan kekal lama.

Ramai pemimpin-pemimpin Umno menolak kehadiran parti itu sebagai satu cabaran kepada Umno kecuali Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang meminta agar ahli-ahli Umno tidak memperkecilkan BERSATU.

Dalam sejarah politik, jika parti itu terbit dari perpecahan di dalam Pas, parti serpihan tersebut sukar memberi kesan kepada parti induk iaitu Pas.

BERJASA ditubuhkan oleh Dato' Mohamed Nasir pada 1977 atas sokongan Umno untuk menjatuhkan kerajaan Pas di Kelantan selepas memerintah selama 17 tahun, mati begitu saja.

Begitu juga dengan Hamim yang ditubuhkan oleh bekas Presiden Pas Asri Muda, juga berkubur.

Tetapi lain kesannya jika parti serpihan tersebut dari Umno.

Semangat 46 ditubuhkan oleh Tengku Razaliegh Hamzah pada 1989 selepas pertelingkahan dengan Mahathir telah menghancurkan Umno di Kelantan.

Semasa pilihanraya umum pada 1990, Umno KALAH teruk di Kelantan. Tiada satu pun kerusi negeri dimenangi oleh Umno di Kelantan walaupun Semangat 46 gagal di peringkat persekutuan.

1999, Anwar Ibrahim menubuhkan Keadilan, juga serpihan Umno. Akibatnya, Umno kalah di Kedah, Perak, Pulau Pinang, Selangor dan Wilayah Persekutuan.

BERSATU bukan cabaran untuk UMNO?

Jika BERSATU memenuhi citarasa dan aspirasi orang Melayu, ia mungkin memberi kejutan besar kepada Umno.

Pimpinan BERSATU hanya perlu menyakinkan rakyat bahawa ia bukan Umno.

Pemimpinnya tidak rasuah dan bersungguh-sungguh membanteras rasuah.

Pemimpinnya bersedia mengisytiharkan harta mereka kepada rakyat setiap masa.

Menghadkan tempoh memegang jawatan tidak lebih dua penggal terutamanya untuk jawatan Perdana Menteri.

Tidak mengamalkan sistem Umno yang memberikan Ketua Bahagian kuasa mutlak menentukan kepimpinan negara.

Menumpukan usaha membangunkan rakyat dan negara, dan tidak menumpukan kepada memperkayakan ahli keluarga dan sanak saudara.

Satu undang-undang untuk semua tanpa mengira pangkat dan darjat.

Jika ini dilakukan oleh BERSATU, Umno perlu bimbang akan masa depannya.

Tidak mungkin rakyat akan terus menerima rasuah sebagai budaya pentadbiran sesebuah negara.

Mungkin kesabaran pengundi sudah sampai ke penghujungnya.

Friday, November 27, 2009

BEKAS MUFTI PERLIS MEMANG PATUT DITANGKAP!

SELAMAT HARI RAYA AIDIL ADHA.

Kita diberikan pendidikan mengenai Islam sejak kecil. Ada yang mempelajarinya di pondok-pondok dan madrasah. Ada yang mula mempelajarinya di bangku sekolah. Hari ini ramai anak-anak mempelajari di kelas-kelas agama khas yang diadakan di sekolah dan dikenakan yuran tertentu.

Dalam kita mempelajari agama, pernahkah kita mendengar pandangan berikut mengenai solat Hari Raya, Jumaat dan Zohor?

Bekas Mufti Perlis Asri Zainul Abidin memberi pandangan berikut:

Soalan: “Apakah benar jika hari raya berlaku pada Hari Jumaat maka sesiapa yang menunaikan Solat Hariraya tidak wajib lagi untuk dia menunaikan Solat Jumaat?

قَدِ اجْتَمَعَ فِى يَوْمِكُمْ هَذَا عِيدَانِ فَمَنْ شَاءَ أَجْزَأَهُ مِنَ الْجُمُعَةِ وَإِنَّا مُجَمِّعُونَ

“Telah berkumpul pada hari kamu ini dua hariraya, sesiapa yang mahu memadailah baginya solat hariraya bagi solat Jumaat (tidak wajib Jumaat), adapun kami (Nabi s.a.w) akan menunaikan Jumaat” (Riwayat Abu Daud, Ahmad, Ibn Majah. Dinilai sahih oleh al-Hakim dan dipersetujui oleh al-Zahabi. Al-Albani juga menyatakan sahih).

Berdasarkan hadis di atas, maka seseorang diberi pilihan sama ada hendak menunaikan solat Jumaat setelah menunaikan Solat Hariraya, atau berpada dengan solat berkenaan. Maka dengan itu dia wajib menunaikan Solat Zohor. Terdapat pendapat di kalangan ulama bahawa Zohor juga tidak wajib disebabkan Nabi s.a.w tidak pun menyebut hal ini dan Hari Jumaat yang diwajibkan adalah Solat Jumaat, maka apabila ia digugurkan tidak perlu mengganti apa-apa. Antara yang berpendapat tidak wajib diganti dengan Zohor ialah al-Imam Syed Sabiq dalam Fiqh al-Sunnah (1/267, Beirut: Dar al-Fikr).

Apapun, hadis di atas dan beberapa riwayat yang lain, termasuk amalan pada zaman Umar, Abdullah ibn al-Zubair dan Ibn ‘Abbas menyebut perbuatan meninggalkan Jumaat pada hariraya itu أصابت السنة “Betul dari segi sunnah” (lihat: Ibn Taimiyyah, al-Fatawa al-Kubra 2/366, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Cumanya, mereka kebanyakannya berpendapat wajib Zohor. Adapun imam hendaklah menunaikan Jumaat untuk mereka yang hendak menunaikan Jumaat, atau tidak menunaikan Solat Hariraya, maka wajib dia menunaikan Jumaat.

Dengan diakui ada perbezaan pendapat di kalangan sarjana hukum, namun saya cenderung kepada tidak wajib Jumaat bagi makmum yang sudah menunaikan solat Hariraya berdasarkan hadis di atas dan beberapa riwayat yang lain, juga sifat Islam itu sendiri yang meringankan apabila ada ruang kelonggaran. Apatahlagi, maksud perhimpunan kaum muslimin telah tertunai pada hari tersebut, maka perhimpunan solat hariraya sudah dapat memenuhi maksud perhimpunan solat Jumaat.

http://drmaza.com/home/?p=847

Jelapang bukanlah pandai sangat mengenai agama. Belajar pun hanya semasa di bangku sekolah dan bukan lulusan UIA mahupun Al-Azhar. Tetapi setelah merenungi pandangan Asri ini, rasa ada yang tak berapa kena dengan pandangan beliau ini.

Kepada yang jahil seperti Jelapang, pandangan seumpama ini seolah-olah satu pandangan yang boleh membawa kepada kesesatan dan bahaya kepada umat Islam. Tetapi Asri orang pandai dan pakar agama. Seharusnya orang-orang yang pandai agama di Malaysia seperti Mufti-Mufti bangkit menangkis pandangan Asri ini mengenai solat Jumaat, Hari Raya dan Zohor.

Apalah salahnya hari ini kita menunaikan kedua-duanya sekali, solat Hari Raya dan Zohor. Kalau kita boleh menghabiskan berjam-jam di Tesco dan Giant atau bagi sesetengah anak muda di panggung-panggung wayang, apalah salahnya pada hari ini kita ke masjid dua kali, sekali di waktu pagi dan sekali tengah hari nanti.

Ini pandangan Jelapang menggunakan logik. Asri seharusnya menggalak dan mengajak umat Islam lebih bertaqwa dan berhadapan dengan tuhan dan bukannya mengurangkan masa bersama tuhan.

Logiknya, kalau inilah pandangan Asri, tidak hairanlah beliau ditangkap oleh Jabatan Agama Islam Selangor.