SEDAP baca kenyataan seorang HAKIM di Kuala Terengganu hari ini ketika menjatuhkan HUKUMAN terhadap beberapa staf Risda kerana "claim" palsu.
“HASIL YANG HARAM walau satu sen sekalipun, ia akan menjadi ‘darah daging’ hingga mampu memberi kesan kepada keperibadian anak-anak, hingga ada yang menjadi nakal serta menjejaskan integriti jabatan dan diri sendiri”.
Kita harap Najib Razak, Rosmah Mansor, Teuku Adnan Mansor, Azeez Rahim, Zahid Hamid, Isa Samad, Mahdzir Khalid dan beberapa pemimpin lagi dapat hadham kenyataan ini. Kalau kita jadi hakim, ayat ini lah akan kita baca depan muka Najib dan Rosmah nanti.
Kes tuntutan palsu: Hakim tegur akibat 'makan hasil haram'
“Hasil yang haram walau satu sen sekalipun, ia akan menjadi ‘darah daging’ hingga mampu memberi kesan kepada keperibadian anak-anak, hingga ada yang menjadi nakal serta menjejaskan integriti jabatan dan diri sendiri”.
Teguran itu diberikan Hakim Jamaludin Mat, ketika menjatuhkan hukuman ke atas salah seorang daripada 14 tertuduh yang mengaku bersalah membabitkan kes tuntutan palsu kakitangan sebuah agensi kerajaan, di Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu hari ini.
Teguran itu bukan sahaja menyebabkan mereka yang berada di galeri awam mengalirkan air mata, tetapi juga tertuduh terbabit hingga menangis teresak-esak, kerana gagal menahan sebak.
Hakim Jamaludin turut mengingatkan kesemua tertuduh, meskipun jumlah yang terlibat dalam pertuduhan mereka adalah kecil, tetapi hasil perbuatan itu mungkin digunakan untuk perbelanjaan anak-anak dan ibu bapa, yang memungkinkan ia disoal di akhirat kelak.
“Saya sendiri dahulunya adalah anak peneroka yang hanya ada pendapatan RM600 sebulan dan perlu besarkan lapan orang anak. Alhamdulillah...dengan keberkatan, semua berjaya. Saya juga berharap kamu semua berubah, tetapi jika sekali lagi muncul di hadapan saya, tidak mustahil saya akan beri hukuman lebih berat.
“Saya juga berharap kamu berusaha menjadi lebih baik dan memberitahu adik-adik di jabatan kamu, supaya tidak melakukan kesalahan yang sama. Kamu masih ada banyak ruang masa untuk berkhidmat, jadi buatlah yang terbaik,” katanya.
Seramai 13 kakitangan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) Kemaman mengaku bersalah atas pertuduhan alternatif membuat tuntutan palsu membabitkan penginapan dan elaun perjalanan dalam negeri, manakala seorang lagi mengaku tidak bersalah atas kesalahan sama, pada April 2018.
Selain itu, seorang pemilik resort turut mengaku bersalah bersubahat dengan salah seorang kakitangan Risda terbabit, hingga menyerahkan resit palsu meskipun mengetahui tertuduh tidak menginap di situ.
Bagi kesalahan tersebut, Hakim Jamaludin memerintahkan masing-masing membayar denda antara RM1,000 hingga RM6,000 atau penjara lima atau enam bulan.
Manakala bagi seorang kakitangan yang tidak mengaku bersalah atas pertuduhan itu telah dibenarkan ikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin, serta ditetapkan 19 Julai untuk sebutan.
Sementara itu ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, pihaknya mengakui bahawa jumlah tuntutan dan perbuatan kesemua tertuduh bukanlah dalam kategori jenayah berat, tetapi ia mampu menjatuhkan nilai integriti penjawat awam.
“SPRM tidak memandang nilai kecil atau besar tetapi ia tentang integriti. Jika kakitangan kerajaan tidak amanah lambat laun jabatan ini boleh ‘collapsed’. Saya memohon mahkamah memberikan hukuman yang berbentuk pengajaran kepada tertuduh.
“Saya yakin pendakwaan kes ini akan menjadi pengajaran kepada tertuduh kerana mereka akan lama lagi berkhidmat...mereka juga boleh beri pengajaran kepada kakitangan lain di Risda, supaya tidak melakukan perbuatan yang sama kerana ia tidak berbaloi.
Kesemua tertuduh diwakili peguam Mohd Hayyatuddin Muhamad, manakala Wan Shaharuddin dibantu TPR Farah Yasmin Salleh
No comments:
Post a Comment