Wednesday, December 12, 2018

PUASHATI ZAHID & NAJIB MELIHAT UMNO BERKUBUR DI SABAH



SALAH satu kepantangan pemain bolasepak ialah apabila kawan menyepak bola masuk celah kangkang mereka.

Hari ini Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak kena "nutmeg" (bola masuk celah kangkang) dengan kawan-kawan Umno mereka sendiri di Sabah.

Umno hari ini berKUBUR di Sabah berikutan keputusan 38 pemimpin Umno Sabah keluar parti dan menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dua KESILAPAN besar dibuat oleh Umno sebelum ini.

1. Tidak MEMECAT Najib sebelum PRU-14.

2. Memilih Zahid sebagai Presiden Umno selepas PRU-14.

Akibatnya, selain Zahid dikenali sebagai pemimpin dan Presiden yang lembam, beliau tercemar dengan imej RASUAH sepertimana Najib dan Rosmah serta beberapa pemimpin Majlis Tertinggi Umno.

Khabar angin yang kononnya Zahid akan "BERCERAI" dari Umno sebenarnya khabar angin yang sengaja disebarkan dengan harapan ianya dapat "MENYEJUKKAN" hati ahli Umno dari kemarahan kepada Zahid dan Najib.

Sejak Mei, halatuju Umno cacamarba. Zahid tidak ada ide, tidak ada visi.

Semua tindakan beliau secara adhoc, berharapkan kepada isu termasuk isu yang diada-adakan iaitu ICERD.

Berkuburnya Umno di Sabah hari ini adalah penanda besar bahawa Zahid adalah presiden lembam.

Tidak mungkin seluruh Umno Sabah sanggup meninggalkan parti jika mereka mempunyai keyakinan kepada Zahid.

Lebih malang buat Zahid, hampir setiap hari Najib meruntuhkan Umno dengan komen-komen beliau diFacebook.

Zahid dan Najib pura-pura tidak faham bahawa rakyat meluat dengan Umno ditambahkan lagi dengan isu wang pendeposit Tabung Haji.

Selepas di Sabah, Umno di Semenanjung hanya menunggu masa berkubur.

Rasanya puaslah hati Najib dan Zahid melihat Umno berkubur.





UMNO Sabah 'berkubur'...?





UMNO Sabah lumpuh selepas lima Ahli Parlimen dan sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari parti itu diketuai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Hajiji Noor mengumumkan keluar parti berkuat kuasa, hari ini.

Ahli Parlimen terbabit ialah Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort), Datuk Abdul Rahim Bakri (Kudat), Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran), Datuk Zakaria Edris (Libaran) dan Yamani Hafez Musa (Sipitang).


Bagi ADUN, selain Hajiji yang juga ADUN Sulaman, lapan lagi ialah Datuk Seri Masidi Manjun (Karanaan), Datuk Isnin Alias (Klias), Datuk Ghulam Haidar Khan (Kawang), Matbali Musah (Lumadan), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (Apas), Datuk Ariffin Arif (Membakut), Datuk Musbah Jamli (Tempasuk), Datuk Japlin Akim (Usukan).


Setakat ini, hanya bekas Ketua Menteri yang juga ADUN Sungai Sibuga, Tan Sri Musa Aman dan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin belum menyatakan keputusan.

Hajiji berkata, mereka akan menjadi wakil rakyat bebas yang menyokong kepemimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di peringkat persekutuan dan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di peringkat negeri.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas beberapa perbincangan dengan pemimpin UMNO negeri dan Pusat serta mengambil kira situasi politik selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Katanya, walaupun mengakui UMNO memberi banyak manfaat kepada Sabah termasuk membawa kelebihan apabila pemimpinnya dilantik sebagai menteri dan jawatan penting lain sebelum ini, namun keadaan parti itu sudah berubah.

“Malangnya, UMNO bukan lagi macam dulu. Kepemimpinan semasa tiada arah politik yang jelas, kita tidak pasti ke mana arah UMNO.. berlaku konflik arah masa depan, bergantung kepada siapa pemimpin di atas yang kita tanya.

“Dalam analisis kita terhadap politik semasa di negara ini, kita juga mengambil kira lebih 100,000 ahli UMNO bukan Islam di Sabah. Sebarang perubahan arah politik dalam parti akan menjejaskan mereka untuk terus menyokong UMNO.

“Atas alasan itulah kita memutuskan untuk mengambil inisiatif ini bagi mencorak masa depan politik kita. Kita bermula dengan menjauhkan diri daripada UMNO supaya kita bebas apa saja pilihan yang ada bagi mencorak masa depan kita dalam Malaysia baharu,” katanya pada sidang media di Kota Kinabalu, hari ini.

Sidang media itu dihadiri semua Ahli Parlimen dan ADUN UMNO Sabah terbabit kecuali Yamani yang dimaklumkan berada di luar negara, selain Ketua Bahagian, Ketua Wanita, Puteri dan Pemuda UMNO negeri.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ahli Parlimen Pensiangan yang Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Arthur Joseph Kurup, turut mengumumkan keluar Barisan Nasional (BN).

UMNO Sabah adalah yang terbesar di seluruh negara berbanding negeri lain dengan keahlian lebih 500,000 orang sebelum ini.

Hajiji berkata, beliau yakin langkah diambil kepemimpinan UMNO Sabah itu turut disertai sebahagian besar ahlinya.

Katanya, langkah itu turut dimaklumkan kepada rakan dalam Gabungan Bersatu Sabah (GBS), namun Hajiji enggan mengulas maklum balas mereka.


Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Disember 2018 @ 3:07 PM

No comments: