Wednesday, April 22, 2015

NUR JAZLAN: ADA KEMUNGKINAN RAMPASAN KUASA TERATUR DI DALAM UMNO

Image result for nur jazlan


Ketua Umno Bahagian Pulai Nur Jazlan Mohamed adalah di antara beberapa kerat pemimpin Umno yang masih mempunyai integriti di kalangan Ketua-Ketua Bahagian Umno.

Melalui tulisan terkini beliau, Nur Jazlan sekali berterus terang mengenai kedudukan Najib Razak. Kata Nur Jazlan:

1. Najib Razak kini berhadapan dengan satu situasi yang begitu MERUNCINGKAN.

2. Kemungkinan berlaku KUDETA (rampasan kuasa) secara teratur dalam kepimpinan tertinggi Umno seperti yang dilalui Pak Lah pada 2008.

3. Masalah peribadi seperti kekayaan keluarga Najib juga menjadi persepsi utama yang perlu diatasi beliau sebelum rakyat mengaitkan masalah kewangan 1MDB berpunca daripada persepsi berkenaan.

4. Dua projek utama Najib yang mulanya dicanang akan membawa Malaysia kepada tahap ekonomi yang lebih baik iaitu 1MDB dan penubuhan Felda Global Venture (FGV) Bhd  kini seakan menjadi api dalam sekam kepada pentadbiran beliau dan pasti akan bertukar menjadi isu politik kepada Umno.

5. Najib dikelilingi penasihat ‘pandai memandai’ yang sebenarnya lebih banyak mementingkan perut masing-masing untuk mendapatkan projek daripada bermatian mempertahankan beliau dengan apa cara sekalipun daripada serangan-serangan ini.


ARTIKEL PENUH TULISAN NUR JAZLAN


Bubar Parlimen Dalam Tempoh Terdekat Pilihan Terbaik Umno Terus Berkuasa?

SKRIP dalam Umno ketika ini, bukan sesuatu yang baru dan ia sudah diakui semua pimpinan tertinggi parti bahawa satu-satunya parti prakemerdekaan di negara ini pernah melalui segalanya.
Daripada memecat pemimpin nombor dua tertinggi iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga ke episod parti diharamkan pada 1998, Umno atau lebih tepat lagi Umno Baru kini mengharungi episod baru yang penuh duri dalam helaian sejarahnya.
Apa yang disaksikan kini dengan semua pihak atau lebih tepat lagi semua sayap dan sesetengah Badan Perhubungan Umno negeri menyatakan sumpah taat setia kepada Presiden parti, Datuk Seri Najib Razak, bukanlah sesuatu yang memelikkan, menghairankan atau mengejutkan.
Ahli parti tidak perlu menoleh jauh ke belakang untuk melihat sokongan seperti ini, pernah diterima Presidennya yang keenam, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2008 sebaik tamat Pilihanraya Umum (PRU) 12 apabila Pak Lah memimpin Barisan Nasional (BN) dan Umno hanya mampu mencatatkan kemenangan 140 kerusi dengan Umno mendapat 79 kerusi.
Bagaimanapun, Umno mencatatkan kenaikan dengan mendapat 88 kerusi pada PRU 13, dan ia pun hanya dapat dicapai ‘berkat’ mengambil semula kerusi majoriti Melayu daripada parti komponen BN.
Sebaik tamat PRU 12 sudah didengari wujudnya gerakan tersusun untuk menjatuhkan Pak Lah daripada kerusi Perdana Menteri dengan menggantikan Najib sebagai Presiden Umno ketujuh dan Perdana Menteri keenam.
Semua mengetahui Perdana Menteri Malaysia daripada BN adalah Presiden Umno dan hanya usaha menjatuhkan beliau daripada kerusi Presiden Umno lah yang akan membawa kepada pertukaran kuasa sebagai Perdana Menteri.
Buat masa ini, kedudukan Najib sebagai Presiden Umno secara lahiriah masih lagi kukuh namun kehilangan panglima perang politiknya yang paling kanan, arwah Tan Sri Jamaluddin Jarjis berkemungkinan menyebabkan beliau sendiri kehilangan arah.
Manakala daripada segi pentadbiran pula, Najib kehilangan Ketua Staff Sri Perdana, Datuk Azlin Alias serta Setiausaha Sulitnya, Datuk Po’ad Jelani, boleh diibaratkan seperti ‘sudah jatuh ditimpa tangga’.
Sudah dua minggu arwah Tan Sri Jamaluddin Jarjis meninggal dunia akibat nahas helikopter di Kajang, Selangor dan dalam tempoh dua minggu itu jugalah, rakyat Malaysia memerhatikan Datuk Seri Najib seakan berseorangan mempertahankan dirinya.
Terpalit dengan pelbagai isu daripada soal pentadbiran dan pengurusan kewangan negara hinggalah berkaitan keluarganya, Najib sebenarnya, kini berhadapan dengan satu situasi yang begitu meruncing.
Apa tidaknya, kritikan terbuka Tun Dr Mahathir Mohamad yang mempunyai rekod sejarah cukup baik menjatuhkan Perdana Menteri Malaysia bermula dengan Almarhum Tunku Abdul Rahman kemudian Pak Lah, Najib sewajibnya sedar dan perlu membuka mata serta hati bahawa kenyataan terbuka diterimanya kini, mungkin hanya bersifat retorik semata-mata.
Amat jarang sekali seorang Perdana Menteri terpaksa membuat tembual di televisyen secara terbuka bagi menjawab persoalan yang ditimbulkan bekas Perdana Menteri kerana kebiasaannya ia dilakukan di belakang tabir atas hubungan bapa dan anak.
Namun hasil temubual itu, nampaknya langsung tidak menyakinkan Tun Dr Mahathir dan juga menambahkan lagi kurang keyakinan di kalangan rakyat sehingga Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal terus menuntut Perdana Menteri menjawab persoalan berkenaan.
Selepas pengisytiharan solidariti Ketua Umno Bahagian di PWTC awal bulan ini, kenyataan Shafie itu membuka semula kemungkinan berlaku kudeta secara teratur dalam pimpinan tertinggi Umno seperti yang dialami Pak Lah sendiri pada 2008 walaupun ketika itu, daripada lahiriahnya semua menyatakan sokongan kepada Pak Lah.
Umno yang kini dicap sebagai sebuah parti feudal sudah pasti di kalangan bangsawannya bertindak mengelilingi pemimpin apabila beliau diancam dan tradisi ini sama seperti dipamerkan golongan bangsawan Inca yang mengelilingi raja mereka apabila diancam penjajah Sepanyol 500 tahun lalu.
Namun, nasib semua bangsawan Empayar Inca ini sama seperti dialami raja mereka apabila semua mereka dibunuh hingga menyebabkan rakyat mereka bertaburan melarikan diri dan runtuhlah Empayar Inca di Amerika Selatan.
Saya sendiri mengakui secara terbuka dalam Mesyuarat Perhubungan Umno Johor pada 2008 lalu kepada Pak Lah bahawa beliau perlu meletakkan jawatan akibat prestasi teruk BN dan Umno dalam PRU 12.
Pada zahirnya, Majlis Tertinggi Umno, Sayap serta semua badan perhubungan Umno negeri secara terbuka bersetuju untuk pelan peralihan 18 bulan tetapi apa yang berlaku di belakang adalah wujudnya usaha mempercepatkan pemergian Pak Lah terus berlaku dan akhirnya ia menjadi kenyataan apabila Najib mengambil alih dalam tempoh kira-kira setahun selepas PRU 12 dan jelas mengengkari pelan peralihan itu serta sumpah taat setia kepada Pak Lah.
Sifat bermuka-muka dalam Umno bukan satu perkara baru dan seorang ‘gentleman’ seperti Pak Lah pun boleh dimainkan apabila di depan menyatakan beliau mempunyai masa selama 18 bulan untuk berundur tetapi di belakang usaha gigih dilakukan untuk menyegerakan Pak Lah meletakkan jawatan.
Sedar atau tidak sedar tempoh menghadapi PRU 14 sudah semakin hampir dan jika Umno terus dilanda masalah, bagaimana ia mahu memimpin parti komponen BN terutamanya daripada Semenanjung Malaysia seperti MCA, MIC dan Gerakan memasuki gelanggang PRU.
Kelemahan parti-parti komponen ini bukan satu rahsia lagi dan mereka sememangnya bergantung kepada keperkasaan dan kekuatan Umno dalam memastikan kemenangan dalam PRU 14.
Umno kini sedar musuh utama mereka bukan lagi Pakatan Rakyat yang sendiri berterabur dan bertelingkah sesama mereka, sebaliknya unsur dalaman parti yang sendiri akan membawa kepada kemusnahan parti dalam PRU 14.
Disebabkan itu jugalah kesetiaan ahli Umno sama ada kepada pemimpinnya atau parti akan menjadi isu utama yang perlu diperhalusi dengan sebaiknya oleh kira-kira tiga juta ahli parti ini.
Pemimpin atau parti, yang mana perlu dipertahankan? Dan ketika ini, kedua-duanya tidak boleh datang bersama-sama dan pilihan perlu dibuat dengan segera memandangkan rakyat Malaysia terus memerhati dengan teliti.
Krisis yang dihadapi 1MDB yang mulanya adalah masalah kewangan kerajaan kini melarat menjadi masalah kepada Umno secara langsung dan terbukti apabila ahli perniagaan, Jho Low secara terbuka menuduh Umno menjadi dalang kepada isu berkenaan.
Walaupun, tiada pemimpin tertinggi Umno yang memberikan komen terhadap kenyataan anak kelahiran Pulau Pinang itu, tetapi kenyataan daripada Khairy Jamaluddin selaku Ketua Pemuda dan Timbalan Pengerusi Perhubungan Pulau Pinang, Datuk Seri Reezal Merican membuktikan ahli Umno tidak mahu parti dikaitkan dengan apa yang berlaku dalam 1MDB.
Sedar atau tidak sedar apa yang berlaku dalam 1MDB melingkari kepada Najib sendiri selaku Menteri Kewangan, Perdana Menteri serta Presiden Umno dan sudah pastilah, beliau perlu bertindak segera bagi menenangkan ahli Umno dengan menidakkan kenyataan Jho Low itu, dalam memastikan sokongan terhadapnya terus padu.
Di samping itu, masalah peribadi seperti kekayaan keluarga Najib juga menjadi persepsi utama yang perlu diatasi beliau sebelum rakyat mengaitkan masalah kewangan 1MDB berpunca daripada persepsi berkenaan.
Sikap berdiam diri akan terus membawa kepada malapetaka terhadap Umno dan ia adalah sesuatu yang langsung tidak diperlukan parti kerana sehingga kini terpaksa terus menerus berada dalam mod bertahan apabila diserang dengan isu pembaziran, salah guna kuasa dan penyelewengan yang berlaku dalam kerajaan.
Rakyat perlu ditenangkan dengan memberikan gambaran bahawa Umno dan BN masih pilihan terbaik untuk menjadi parti pemerintah di negara ini, namun ketiadaan ‘track record’ baru untuk disandarkan daripada pemerintahan Najib membuatkan kegelisahan rakyat terhadap pimpinannya semakin ketara.
Dua projek utama Najib yang mulanya dicanang akan membawa Malaysia kepada tahap ekonomi yang lebih baik iaitu 1MDB dan penubuhan Felda Global Venture (FGV) Bhd  kini seakan menjadi api dalam sekam kepada pentadbiran beliau dan pasti akan bertukar menjadi isu politik kepada Umno.
Ramai pihak sudah mula mempertikaikan kewibawaan dua projek ini terutama sekali 1MDB dan jika selama ini, pucuk pimpinan kerajaan dan parti menyatakan serangan itu bermotif politik daripada pembangkang tetapi kini ia datang daripada Tun Dr Mahathir sendiri selain Tun Daim Zainuddin.
Kedua-dua tokoh ini walaupun sudah bersara daripada kerajaan dan politik hampir 15 tahun lalu, tetapi masih berpengaruh besar memandangkan mereka mempunyai rekod sejarah yang dibanggakan rakyat Malaysia sehingga kini.
Di sinilah letaknya perbezaan utama Mahathir dan Najib sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri kerana pada zaman Najib, beliau tidak mempunyai barisan menteri Kabinet yang berpengaruh terhadap rakyat.
Najib dikelilingi penasihat ‘pandai memandai’ yang sebenarnya lebih banyak mementingkan perut masing-masing untuk mendapatkan projek daripada bermatian mempertahankan beliau dengan apa cara sekalipun daripada serangan-serangan ini.
Lebih menyeksakan Najib lagi, pemimpin yang lantang bersuara mempertahankan beliau tidak mempunyai kredibiliti dan pengalaman sehingga segala hujah mudah dipatahkan bukan sahaja di kalangan pemimpin pembangkang malahan di kalangan rakyat biasa sahaja.
Sama ada Najib masih boleh bertahan sehingga tempoh akhir Parlimen pada 2018 dengan segala serangan ini atau tidak, wallahhuallam…tetapi yang pasti lakon layar Umno ini bukan sesuatu yang memelikkan atau mustahil kerana tiada perkara yang pelik atau mustahil dalam parti ini.
Kesudahannya pasti akan tiba, cuma lambat atau cepat sahaja yang menjadi persoalannya dan butang ‘reset’ paling cepat bagi memastikan segala isu yang melanda pentadbiran Najib dapat diperlambatkan adalah apabila Perdana Menteri mengumumkan pembubaran kerajaan yang membawa kepada PRU 14.
Ataupun Perdana Menteri memilih jalan singkat untuk membubarkan Parlimen dan membuat ‘snap election’ bagi mencuci persepsi negatif terhadap diri beliau dan keluarga dengan mendapatkan mandat yang baru.
Persoalan timbul sama ada hayat pemerintahan BN dan Umno ini boleh dipastikan dengan ‘snap election’ ini bagi melanjutkan pemerintahan demi kepentingan parti terus terjamin.
http://www.nurjazlan.net/?p=1123

4 comments:

GABAI said...

TERBAIKKKKKKKKKKKKKKK

Anonymous said...

tak payahlah pm nak cakap dia tak keseorangan.

yg kita nak tau mana pi duit 1mdb.

sapa sapu?

jawablah

Anonymous said...

Biar dorang audit dulu..brapa kali nak ckp..alahai ramai sgt nak komen premature bajet pakar..tun M pun komen bg figure lain2..maknanye dia pun main tembak je..yg mamat ni just nak perhatian je.klu bkn pasal anak tok mat,dia ni takda apa pun yg spesel..dr zaman paklah dia kepingin nak jadi menteri,ni cuba nak nonjolkan diri la ni bg muyidin nampak..

Unknown said...

Tersepit sudah