Wednesday, February 22, 2012

SBPA: KSN SIDEK HASSAN PERLU DIPERSALAHKAN

"..kerajaan juga akan memperkenalkan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) dan melalui sistem baru itu, penjawat awam akan menerima kenaikan gaji tahunan yang ditingkatkan antara RM80 hingga RM320 mengikut gred mulai tahun 2012." - Najib Razak, Perdana Menteri, ketika membentangkan Belanjawan 2012 tahun lepas. http://mynewshub.my/2011/10/07/tiga-berita-gembira-untuk-penjawat-awam/

"Isu penting SBPA ialah ketidakadilan yang amat ketara dari segi kenaikan gaji. Contohnya kumpulan JUSA C sahaja mendapat kenaikan gaji melebihi RM5,000 dengan peratus kenaikan di antara 57 peratus dan 81 peratus! Sementara kumpulan pelaksana N22 hanya mendapat kenaikan gaji di antara RM100 dan RM200 (ada yang lebih rendah) dengan peratus kenaikan di antara 3.7 peratus dan 7.5 peratus sahaja. Difahamkan di bawah skim baru ini, Premier 1 akan menerima gaji sebanyak RM60,000 sebulan tanpa elaun; Premier 2 RM40,000 tanpa elaun dan Premier 3 RM40,000 tanpa elaun dan Premier 4 RM35,000 tanpa elaun. Tunggakan pampasan adalah antara RM800,000 dan RM1 juta." - Kandungan sepucuk surat yang disiarkan di dalam ruangan komen Cuit Sikit hari ini.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0222&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_06.htm&arc=hive

Niat kerajaan murni, menaikkan pendapatan kakitangan awam dan sekaligus meningkatkan kualiti hidup mereka.

Sebaliknya niat murni ini bertukar menjadi masalah politik besar kepada kerajaan. Salah siapa?

Sehingga hari ini, tiada seorang pun dari Perkhidmatan Awam yang sanggup tampil mengaku bertanggungjawab dan memohon maaf atas segala kesulitan yang ditimbulkan dari Skim Baru Perkhidmataan Awam ini.

Di mana Ketua Setiausaha Negara Sidek Hassan? Kenapa membisu?

Timbalan Ketua Perhubungan Umno Pulau Pinang Musa Sheikh Fadzir hari ini menghentam Menteri-Menteri dan Timbalan-Timbalan Menteri kerana membisu dalam mempertahankan kerajaan.

Mungkin Musa juga haruskan memasukkan nama Sidek di dalam senarai Menteri-Menteri ini kerana KSN juga merupakan ahli Kabinet Najib Razak.

Tak perlulah kita mengulas panjang isu ini. Cuit Sikit telah menghurai panjang mengenainya. Berikut ialah tulisan penuh Cuit Sikit.

Jika isu ini tak selesai, jangan harap PRU-13 BOLEH diadakan...

Oleh Zaini Hassan

ISU ini amat sensitif. Ia lebih sensitif daripada isu ladang lembu dan lain-lain. Jika isu ini tidak selesai, jangan diharap pilihan raya boleh diadakan.

Ia membabitkan isu gaji kira-kira 1.3 juta kakitangan awam, yang kesemuanya, termasuk keluarga mereka layak mengundi. Ingat lagi kisah ‘penyapu’ di Selangor? Negeri itu jatuh antara sebabnya kerana penjawat-penjawat awam termasuk DO, ADO sehinggalah ke peringkat peon, begitu marah kerana dihina.

Jangan cari pasal dengan golongan ini. Mereka ialah kumpulan pelaksana dan tulang belakang kepada dasar-dasar kerajaan. Jika mereka marah mereka boleh bertukar warna menjadi Mr. Blue atau Mr. Green seperti dalam watak filem Incredible Hulk. Dan itu amat bahaya.

Dalam hal ini Perdana Menteri sememangnya cukup sedar. Satu tindakan cepat sedang diambilnya. Memang PM sendiri tahu jika isu ini tidak selesai maka Pilihan Raya Umum Ke-13 ini tidak boleh dilaksanakan. Maka itu, YAB PM telah mengarahkan sebuah jawatankuasa petugas khas (task force) semakan semula gaji duduk berbincang dengan Cuepacs mengenai hal ini, setelah Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman sendiri mengamuk.

Setakat ini sudah tiga kali task force ini berbincang. Hari ini sekali lagi rundingan akan dilangsungkan. Kali ini ia akan membabitkan cadangan lima perkara daripada Cuepacs sendiri. Omar akan mengetuai perbincangan itu bagi pihak kesatuan tersebut dengan wakil-wakil dari JPA, Pejabat Peguam Negara, Perbendaharaan dan agensi-agensi lain.

‘‘Kita mahu rundingan ini diselesaikan sebelum 30 Mac ini,” kata Omar kepada saya semalam.

Omar seperti biasa cukup bertenaga. Cakapnya juga cukup tegas. Dalam rundingan itu, beliau diberi tanggungjawab dan kepercayaan oleh kumpulan 54 (pengurusan dan profesional) ke bawah untuk membawa suara dan nasib mereka ke atas.

Kumpulan-kumpulan itu termasuklah: Jawatankuasa khas Gred 54 ke bawah PTD dan Pegawai Tadbir; Persatuan Pensyarah Universiti Profesor Madya Ke Bawah; Persatuan Jurutera Kebangsaan; Kumpulan Doktor-doktor Pakar Gred 54; Kumpulan Anggota Keselamatan Polis; Kumpulan Gred 54 Teknikal selain gabungan Cuepacs sendiri terdiri daripada Kumpulan Pelaksana 1 dan 2.

Hari ini saya mahu menyiarkan sepucuk surat yang dihantar kepada saya oleh seorang penjawat awam. Bunyinya agak keras. Tapi ditulis secara profesional, bernas, ada logik mengenai gaji baru mereka di bawah skim baru SBPA (Skim Baru Perkhidmatan Awam).

Begini bunyi surat itu. Semoga ia menjadi iktibar kepada kita semua.

Struktur perkhidmatan di bawah SBPA terbahagi kepada empat:

* Kumpulan Premier (Strategic and key positions (Turus): KSN, KSU)

* Kumpulan Pengurusan Tertinggi (Jawatan Utama dan Gred Khas: JUSA C, B dan A)

* Kumpulan Pengurusan dan Profesional (Pegawai Gred 41 hingga Gred 54)

* Kumpulan Pelaksana (Pegawai dengan kelayakan masuk PMR hingga Diploma)

Kumpulan pegawai yang mendapat kenaikan gaji paling banyak ialah kumpulan Premier dan JUSA. Difahamkan semua KSU diberikan opsyen bersara dan seterusnya berkhidmat secara kontrak. Persaraan pula dikira sehingga umur 60 tahun. Ini bermakna semua KSU akan mendapat pencen dan gaji selain daripada faedah persaraan lain seperti gratuiti. Pencen sahaja, mengikut jadual gaji SBPA untuk kumpulan ini akan menjangkau puluhan ribu ringgit. Apakah rasionalnya keputusan ini memandangkan kebanyakan KSU telah pun berada di akhir tempoh perkhidmatan? Gaji kumpulan Premier ini difahamkan sama besar atau lebih besar daripada CEO di GLC atau di perbadanan-perbadanan swasta.

Isu penting SBPA ialah ketidakadilan yang amat ketara dari segi kenaikan gaji. Contohnya kumpulan JUSA C sahaja mendapat kenaikan gaji melebihi RM5,000 dengan peratus kenaikan di antara 57 peratus dan 81 peratus! Sementara kumpulan pelaksana N22 hanya mendapat kenaikan gaji di antara RM100 dan RM200 (ada yang lebih rendah) dengan peratus kenaikan di antara 3.7 peratus dan 7.5 peratus sahaja.

Difahamkan di bawah skim baru ini, Premier 1 akan menerima gaji sebanyak RM60,000 sebulan tanpa elaun; Premier 2 RM40,000 tanpa elaun dan Premier 3 RM40,000 tanpa elaun dan Premier 4 RM35,000 tanpa elaun. Tunggakan pampasan adalah antara RM800,000 dan RM1 juta.

Secara logiknya peratus kenaikan di antara kumpulan tidak boleh terlalu berbeza kerana ia akan meningkatkan jurang perbezaan pendapatan serta mengundang rasa tidak puas hati penjawat awam yang 80 peratus terdiri daripada kumpulan pelaksana.

Ketidakpuasan hati kumpulan pelaksana ini, ditambah dengan keluarga masing-masing, mampu menumbangkan kerajaan.

Sebagai rumusan SBPA telah menidakkan semua usaha kerajaan untuk menonjolkan kerajaan sedia ada sebagai a caring government. SBPA dibuat secara tergesa-gesa, tidak telus dan merupakan the biggest blunder Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam sejarah Malaysia.

Pihak JPA tidak perlu lagi memberi taklimat di sana sini mengenai SBPA tetapi mengakui bahawa SBPA sebenarnya tidak adil, tidak telus dan JPA perlu mengambil langkah positif untuk memperbaikinya.

Adalah menjadi satu tindakan yang bodoh, sia-sia dan akan menjadi bahan ketawa umum dan dunia untuk masih lagi mempertahankan bahawa SBPA merupakan satu sistem saraan yang baik dan mampu membawa negara kepada negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Kerajaan juga perlu mengambil tindakan tegas kepada mereka yang bertanggungjawab (merangka dan meluluskan tangga gaji itu) bagi menunjukkan kerajaan bertegas serta prihatin kepada kesejahteraan semua kumpulan penjawat awam dan rakyat.

Dengan kepincangan SBPA yang tidak masuk akal dan tidak terfikir oleh kebanyakan penjawat awam ini patutkah Kumpulan Premier, di antaranya terlibat secara langsung dalam penggubalan SBPA, dibayar pencen beserta gaji yang sebegitu tinggi?

Sekiranya dikatakan bahawa SBPA disediakan oleh pihak konsultan, maka apakah peranan kumpulan JUSA dan Premier yang merupakan pemegang strategic dan key positions dalam perkhidmatan awam?

Begitu bunyi surat itu. Benar juga apa yang dijelaskan itu. Ia umpama langit dengan bumi atau antara atap rumbia dan atap genting. Ia juga umpama strata rakyat di India, yang terlalu daif dan yang terlalu kaya.

Yang mendapat imbuhan maha-besar itu hanyalah kira-kira 4,000 kakitangan berbanding 1.3 juta lain yang sedang marah. Dan difahamkan peruntukan untuk membayar kos kepada 4,000 itu merupakan 2/3 daripada keseluruhan peruntukan untuk kesemua kakitangan kerajaan.

Kita berharap rundingan itu akan mencapai satu kata-putus yang menang-menang. Jika tidak, menurut Omar: ‘‘Ia akan menjadi satu isu yang amat kritikal. Dalam road show kami, kakitangan telah memberi kata dua…''

Kita berharap kata dua itu tidak seperti kata-kata Dr. David Banner sebelum dia bertukar warna menjadi Incredible Hulk: ‘‘...don‘t make me angry. You wouldn‘t like me when I’m angry. (Jangan buat saya marah. Saya tidak akan sukakan saya jika saya marah.)

Saya berharap satu formula yang lebih bertamadun dapat dirangka demi kesejahteraan semua pihak, terutamanya kepada kerajaan semasa.

Ingatlah YAB PM telah bekerja amat keras, janganlah kerana skim yang tidak masuk akal ini akan menyebabkan apa yang beliau usahakan rosak sebelanga.

5 comments:

Anonymous said...

Kita kini mempunyai KSN yang paling bodoh, amat mementing diri sendiri, banyak mengutip pingat-pingat/ darjah-darjah sahaja, anak dapat biasiswa walaupun keputusan tak berapa baik (ramai orang lain ynag berpendapat rendah baik pegawai kerajaan atau orang bukan dalam perkhidmatan awam - anak mereka tidak mendapat biasiswa. Begitu juga TS A Bakar KPPA juga seorang yang bongkak, bodoh, pendek fikiran juga patut di hentikan. Kedua-dua jawatan ini sepatutnya di sandang oleh orang yang bijaksana - tetapi kedua-duanya adalah orang-orang yang haprak.... Kerajaan BN jatuh kedudukannya kerana TS Sidek yang bodoh tersebut. Buang kedua-duanya kerana mereka berdua tidak berguna langsung kepada Kerajaan.

Anonymous said...

KSN TS Sidek adalah seorang KSN yang paling buruk (worst)yang pernah menduduki jawatan itu dari segi prestasi kerjanya, berbanding KSN-KSN sebelum ini. Prestasi kerja beliau selama menduduki jawatan itu menunjukkan kelihatan amat TIDAK layak untuk kerusi tersebut. Beliau sepatutnya telah lama di berhentikan kerana merosakkan Negara, Melayu, Ekonomi. Begitu juga KPPA sekarang TS A Bakar Abdullah juga banyak kelemahan dan juga tidak layak untuk jawatan tersebut. Sepatutnya bagi kedua jawatan tersebut di duduki oleh orang yang bijaksana. Kedua-dua nya amat kelihatan bodoh, berfikiran pendik, dan tidak mempunyai wisdom. Kedua-duanya kena belah dan di berhentikan......

Anonymous said...

Ya...saya setuju dengan penulis blog ini bahwa KSN Sidek Hassan mesti bertanggungjawab keatas kesulitan dan kekeliruan SBPA yang menyebabkan banyak pegawai2 kerajaan jump ship menukar bendera kapal yang baru. Dengar2 gossip liar di merata kedai kopi hampir 50% pegawai2 kerajaan menyokong pembangkang sekarang kerana marah kepada KSN yang pura2 tidak tahu apa2 mengenai SBPA dan tidak ambil sikap tanggung jawab untuk menerima kesalahan SBPA. Malah Sidek Hassan lepas tangan lantas menyalahkan pegawai2 yang duduk dibawahnya terutama sekali KSU ~ JPA Bakar, yang disalahkan kerana kepincangan SBPA. Sedangkan banyak lagi pegawai2 lain terlibat termasuk KSU Kewangan dan Menteri Kewangan yang meluluskan SBPA dahulu. Tapi semua nya menyepi dan hanya menunding jari kepada KSU, JPA sorang. Jadi kenapa Sidek Hassan tidak dikenakan tindakan dipecat dari jawatannya kerana cuai....memanglah BN kalah jika PRU13 diadakan dengan mood pegawai2 kerajaan yang peringkat bawah begitu hot dan sangat marah pada kerajaan Najib!

Anonymous said...

mmg betul,dalam perguruan tertinggi perkhidmatan awam terdapat 'kumpulan anai-anai' yg cuba sabotaj usaha murni kerajaan menjaga kebajikan seluruh penjawat awam.skim ini direka tanpa kajian menyeluruh selain cuba disalahguna oleh pihak tertentu mengadakan skim tidak masuk akal supaya menjadi isu.akibatnya gred54 ke bawah dijadikan tukang sorak agar skim ini diluluskan.hasilnya tetap menyebabkan timbul tidakpuas 1.3 juta penjawat awam.akhirnya kesalahan diletakkan pada kerajaan walaupun berpunca dr mslh skim 4000 kakitangan tersebut.ibarat harga barang naikkan oleh peniaga,kerajaan tetap dituduh menjadi punca.

Anonymous said...

Pasukan petugas SBPA yg dikendalikan oleh JPA tidak memahami hasrat PM. Hinggakan apa yg dibentangkan dalam budget 2012 tidak dimasukkan pengiraan gaji k/tangan atas alasan kekangan kewangan tapi k/tangan atasan mendapat kenaikan hampir 80%. Semoleknya KSN dan KPPA letak jawatan, bagi PM pilih org yg lebih berwibawa dlm memastikan hasrat kerajaan dlm membela k/tangannya tercapai.