Showing posts with label idris jala. Show all posts
Showing posts with label idris jala. Show all posts

Wednesday, June 7, 2017

FELDA: BIAR SPRM SIASAT ISA & ZAKARIA BUKAN IDRIS JALA

Keputusan saya dalam pelaburan ‘tidak masuk akal’ FGV diketepikan, kata Zakaria

CEO Felda Global Ventures Zakaria Arshad: "Saya juga bersedia untuk disiasat dan mendesak SPRM untuk menyiasat FGV supaya apa sahaja salah laku dalam syarikat dapat dibongkar.”

Pengerusi FGV Isa Samad: "Terserah kepada SPRM. Dia nak masuk, masuklah, kita tiada masalah. Buat masa ini, hanya Internal Audit (IA) sahaja yang melakukan siasatan."

DUA orang besar FGV mahukan SPRM menyiasat mereka TETAPI kenapa Najib Razak melantik Idris Jala "sebagai pihak bebas untuk meneliti fakta kes dan mencadangkan jalan mengenai keputusan Lembaga FGV menggantung ketua pegawai eksekutif, ketua pegawai kewangan dan dua orang anggota kanan pasukan pengurusan selepas berunding dengan semua pihak berkaitan.?

Isa menuduh Zakaria melakukan kesalahan dan Zakaria memberi gambaran ada SALAH LAKU dalam FGV.

Apa perlunya Idris Jala lakukan siasatan. Serahkan sahaja kepada SPRM. 

Wednesday, September 10, 2014

KELUARGA GURU, PENOREH GETAH BERGAJI RM5,900 SEBULAN?

TARAF hidup rakyat meningkat. Purata pendapatan isi rumah melepasi RM5,900 sebulan. 

Itu kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Abdul Wahid Omar, tempoh hari.
http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/taraf-hidup-rakyat-meningkat-purata-pendapatan-isi-rumah-2014-rm5900-kata-w

Tahniah kepada guru-guru, pensyarah serta 1.42 juta kakitangan awam. Pendapatan mereka sudah pasti meningkat, taraf hidup mereka pun sudah pasti meningkat.

Sedap kedengaran di telinga bila kita disuapkan dengan kenyataan sebegini.

Ini masalahnya apabila Menteri-menteri seperti Wahid menilai masalah rakyat berdasarkan kepada kajian, data dan lab yang dibuat oleh Pemandu dibilik berhawa dingin di Putrajaya.

Kerana data-data inilah, cara syarikat GLC berniaga pun sudah berubah. 

Lihat lah PLUS yang mengendali lebuhraya. Kalau dulu sebelum PRU-13 kerajaan sibuk menurunkan tol dan menutup tol-tol plaza, hari ini nak bayar tol secara CASH pun dah tak nak diterima oleh PLUS.

Rakyat mahu dipaksa supaya serahkan WANG mereka kepada PLUS dulu sebelum menggunakan tol.

Senang buat bisnes sekarang ini. Ambil duit dari rakyat dulu, dan terpulanglah kepada rakyat samada hendak menggunakan servis atau tidak. Senang susah rakyat, itu masalah mereka.

Dan kerajaan pula tidak prihatin. Turut bersetuju dengan kehendak PLUS sehinggalah rakyat menegur, baru tersedar dari lena.

Kepada Wahid, turunlah ke akar umbi. 

Mentadbir negara tidak sama dengar mentadbir sebuah bank.

Data hanya data. Keperitan rakyat tidak boleh digambarkan oleh data.

Wakil Rakyat ramai. Najib Razak pun juga seorang wakil rakyat. Cuba bertanyakan kepada Najib, berapa ramai rakyat pekan isirumah berpendapatan purata RM5,900.

Kalau benar ramai rakyat berpendapatan purata RM5,900, kenapa jumlah penerima BR1M mencecah 7.9 juta keluarga sekarang ini? Tanyalah wakil-wakil rakyat, benarkah rakyat di bawah hari ini hidup mereka senang?

Tetapi sekirannya Wahid bertanyakan kepada Pemandu, mungkin Idris Jala akan berkata, di kampung beliau di Bario, ramai keluarga mempunyai pendapatan melebihi RM5,900 sebulan.

Wahid turun lah ke bawah berjumpa dengan warga penoreh getah. Tanya mereka berapa harga getah sekarang ini.

Kalau tahun lepas harga getah adalah antara RM2-2.30 sekilo, hari ini tinggal RM1.70 sekilo.

Begitu juga dengan harga kelapa sawit.

Dan buatlah kira-kira sendiri. Dengan harga getah RM1.70 sekilo, adakah pendapatan mereka mencecah RM5,900 sebulan?

Adalah lebih prihatin kalau para Menteri memahami masalah rakyat daripada menggunakan kemewahan mereka untuk mengukur taraf hidup rakyat.

Wednesday, August 14, 2013

100 HARI NAJIB: HANYA GURAUAN SENDA MENJADI INGATAN

 Semalam genaplah 100 HARI Najib Razak diberi mandat untuk mentadbir negara sehingga tahun 2018. Masih tergiang-giang di telinga kita akan pujuk dan rayu beliau untuk rakyat memberi mandat buat pertama kalinya kepada beliau untuk 5 tahun lagi.

Tergiang-giang di telinga kita akan kata-kata beliau bahawa "bayangkan" apa yang akan dapat dilakukan beliau untuk 5 tahun akan datang "selepas melakukan pelbagai perkara sejak 2009".

Setiap rakyat mahu melihat pemimpinnya bersemangat dalam tempoh 100 hari. Dan setiap pemimpin mahukan rakyat KAGUM dengan kesungguhan beliau mentadbir dalam tempoh 100 hari.

Tetapi malangnya, apa yang kita lihat adalah sebaliknya. Dalam tempoh 100 hari ini, kita dihidangkan dengan imej Perdana Menteri yang longlai, ketandusan idea dan hilang arah. Atau dengan kata lain, Perdana Menteri hanya pada nama dan hanya seorang "passenger" (penumpang).

Gambar di atas tersebar meluas di alam siber. Katanya inilah iklan hari raya Najib yang masih belum disiarkan oleh stesen-stesen TV. Ia menjadi senda gurauan di alam siber.
http://the-antics-of-husin-lempoyang.blogspot.com/2013/08/iklan-kompang-pulak.html  
Sebelum PRU-13, Najib, mungkin atas nasihat para penasihat beliau, memakai baju kaum India dan menjadi bahan ketawa rakyat apabila beliau menyarung pakaian kaum tionghua dan memalu gendang, untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada Tionghua yang kesudahannya kaum Cina sendiri naik muak dan membuat keputusan menyokong Pakatan Rakyat.

Sepanjang hari raya ini, Najib dipersendakan dengan iklan di atas. Apakah Najib masih tidak dapat membaca mesej dari akar umbi?

Iklan ini hanya menggambarkan betapa orang sudah hilang rasa hormat pada beliau, dihina begitu cara dan kredibiliti di tahap rendah dan kini Najib menjadi bahan gurau senda komuniti siber.

Apakah Najib dan penasihat-penasihat beliau serta pemimpin-pemimpin BN tidak menyedari perkara ini?

Tiada apa yang istimewanya 100 hari pertama dalam mandat pertama Najib sebagai Perdana Menteri.

Hanya yang menarik perhatian kita ialah betapa ramainya ditembak mati saban hari. Semalam peniaga nasi kukus yang berkain pelikat pun ditembak mati. 

Dan kalau mengikut Perdana Menteri, kita kena menunggu sidang Parlimen bulan September nanti untuk melihat satu usaha konkrit untuk menangani isu jenayah. 

Yang jelas sepanjang 100 hari ini, kita tidak lagi melihat Najib, Rosmah Mansor dan para menteri mengangkat jari telunjuk untuk mempromosikan 1MALAYSIA.

Hidup lagi kah semangat 1MALAYSIA?

Bagi kita, 4 tahun pertama Najib sebagai Perdana Menteri adalah 4 tahun yang terbaik yang mampu beliau usahakan. Tidak mungkin 5 tahun yang akan datang akan menjadi 5 tahun yang terbaik dalam karier beliau sebagai Perdana Menteri.

Tetapi malangnya, Perdana Menteri tidak dipilih rakyat. Sebaliknya rakyat diarah memilih beliau sebagai Perdana Menteri. Itulah sebabnya hampir setiap hari kita akan didendangkan dengan kenyataan pemimpin-pemimpin tertentu untuk memastikan jawatan No 1 dan No 2 tidak dipertandingkan.

Sepanjang 100 hari ini, bukan sahaja Najib longlai, Kabinetnya turut longlai.

Ada di antara Menteri-Menteri Kabinet beliau mem"BISU" dan rakyat sendiri tertanya-tanya apa yang sedang mereka rancangkan untuk negara.

Ada Menteri yang dicop sebagai MENTERI CAP AYAM.

Ada Menteri yang sehingga hari ini masih belum bercakap di Parlimen (Idris Jala mencipta rekod dengan tidak pernah bercakap di Parlimen).

Ini kah KABINET yang akan membawa negara menjadi maju 8 tahun dari sekarang?

100 hari ini, Najib hanya akan diingati dengan gurauan senda. Itu saja kesimpulannya.   

Sunday, August 4, 2013

TEGURAN BUAT KETUA POLIS NEGARA

 Setiap kali ada kejadian tembak mati di Amerika Syarikat, akhbar utama di negara kita menyiarkan berita tersebut besar-besaran dan tidak pula kita mendengar Setiausaha Luar Amerika Syarikat mengeluarkan kenyataan menyelar tindakan akhbar Malaysia menyiarkan berita tersebut.

Bagaimana pun kita masih boleh menerima tindakan Menteri Luar Anifah Aman memprotes tindakan sebuah akhbar di Singapura, New Paper, menyiarkan berita mengenai betapa murahnya nyawa di Malaysia dan betapa mahalnya untuk rakyat kita untuk memastikan umur mereka panjang. Mungkin niat Anifah ialah untuk mempertahankan imej negara dan menyakinkan pelabur asing dan pelancong bahawa Malaysia masih selamat walaupun hampir SETIAP HARI akan ada orang yang kena tembak.     
 Tetapi kita tidak faham apabila Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar turut serta membuat membuat kenyataan mengkritik New Paper.

Sepatutnya yang kena kritik ialah Khalid bukannya New Paper. Sejak dilantik sebagai Ketua Polis Negara Mei lalu, rakyat mahukan beliau memastikan keselamatan negara bertambah baik. Malangnya, sehingga hari ini, kita sendiri tidak tahu apa yang dilakukan Khalid untuk memastikan rakyat selamat ketika "berhenti di lampu isyarat". 
 Dua guru ditembak mati. Ahli perniagaan di tembak mati. Warga emas berusia 75 tahun pun ditembak mati di depan isteri beliau. Di Malaysia, tidak ada akhbar dan tidak akan ada Pengarang akhbar yang berani menulis sepertimana New Paper menulis.
Tindakan Khalid mengkritik New Paper dan tindakan Anifah memprotes laporan New Paper tidak membawa apa-apa makna kepada orangramai. Kritikan yang dibuat oleh Khalid dan Anifah tidak akan mengubah kebimbangan rakyat terhadap keselamatan negara.

Tidak perlu lah pihak Polis hendak menyalahkan akhbar atau memesong perhatian rakyat kononnya suasana keselamatan hari ini juga disebabkan tiada  lagi ISA dan tiada lagi EO.

Kita masih lagi menunggu apa hasil siasatan polis kepada kes pembunuhan Timbalan Pengarah Kastam yang ditembak di lampu isyarat yang lokasinya tidak sampai 1 km dari Pejabat Perdana Menteri.

Tidak kah Khalid sebagai Ketua Polis Negara merasa malu kepada rakyat bahawa sehingga hari ini seluruh  Jabatan Polis masih gagal menyelesaikan kes ini? Apakah begitu rendahnya kualiti siasatan Polis hari ini?

Di mana Menteri di Jabatan Perdana Menteri Idris Jala yang selama ini menyifatkan kes jenayah hanya persepsi?

Sekiranya kita sebagai Ketua Polis Negara dan Idris, kita akan merasa malu untuk menghadap Perdana Menteri apabila hampir setiap hari ada kes tembak.

Kita akan malu kepada rakyat kerana kita gagal memastikan keselamatan negara terjamin sehingga orang asing takut untuk melawat negara kita.

Apatah lagi rakyat biasa - sehinggakan kita sendiri sekarang ini takut untuk berhenti dilampu isyarat kerana bimbang penembak tersilap orang - tertembak pelanduk dua serupa.

Kita rakyat biasa - bukan nya VIP atau Menteri yang sentiasa dilindungi "bodyguard bersenjata".   Oleh itu kita berhak bertanya kepada Khalid, apa yang hendak dilakukan beliau untuk mengembalikan keyakinan rakyat bahawa negara kita selamat.