Tuesday, March 17, 2015

KU LI TEGUR NAJIB: GST BEBANKAN RAKYAT & HUTANG NEGARA BOLEH CETUS KRISIS EKONOMI



Bekas Menteri Kewangan dan bekas Naib Presiden Umno Tengku Razaleigh Hamzah jarang berhujah di Parlimen.

Tetapi, mungkin disebabkan suasana ekonomi dan politik yang begitu terumbang ambing, beliau membuat keputusan untuk berucap di Parlimen untuk menyatakan KEBIMBANGAN beliau dengan keadaan negara sekarang ini.

Berikut teks ucapan beliau.



HUTANG NEGARA, DEWAN RAKYAT & TANGGUNGJAWAB KITA

1. Pada 30hb Oktober 2014, saya mengutus surat kepada setiap Ahli Dewan Rakyat tanpa pengecualian, suatu tindakan yang tidak pernah berlaku sebelumnya. Ia menitikberatkan kebimbangan saya yang amat sangat terhadap kesejahteraan negara kita yang tercinta serta kedudukan Dewan yang mulia ini.

2. Saya mengambil tindakan tersebut memandangkan bahawa di dalam sesebuah demokrasi berperlembagaan, Dewan Rakyatlah merupakan institusi terakhir yang bertanggungjawab ke atas keadaan negara dan rakyat jelata. Di samping itu, sebagai Ahli Dewan Rakyat kita telah bersumpah untuk berkhidmat kepada negara serta menegakkan Perlembagaan demi kepentingan rakyat Malaysia. Sayugia diingat bahawa sumpah setia itu bukanlah kepada parti ataupun pemimpinnya.

3. Sejak penulisan surat tersebut, keadaan ekonomi dan politik dunia telah pun berubah secara mendadak. Barang diingat bahawa setiap negara saling bergantung antara satu sama lain. Ini bermakna Malaysia tidak terlepas daripada merasai kesan perubahan ekonomi dan politik yang dialami dunia. Keadaan baru ini memerlukan kita mengambil kira dan menimbang perubahan yang perlu kita buat. Sekiranya kita hendak menyelamatkan rakyat, apa-apa cadangan kita untuk perubahan mestilah mampu menimbulkan kesan positif untuk mengatasi masalah berat yang melanda negara. Dalam menimbang apa jua perubahan, kita seharusnya memahami keadaan yang sedang melanda negara. Yang demikian saya ingin nyatakan kerisauan saya terhadap keadaan negara sekarang ini.

4. Tidak dapat dinafikan bahawa kedudukan hutang negara akan tentukan keadaan dan kestabilan ekonomi kita. Mutu dan gaya hidup rakyat bergantung kepada dua perkara ini.

5. Yang saya maksudkan dengan hutang negara ialah hutang kerajaan, hutang sektor korporat dan hutang isi rumah.

6. Kerisauan saya mengenai hutang negara ialah ia telah mencecah paras yang boleh menyebabkan tercetusnya krisis ekonomi dan politik di hari muka. Kita tidak mungkin dapat menelah akan akibat dan kesan daripada krisis sebegini. Tetapi apa yang nyata ialah ia berbahaya terhadap Demokrasi Berperlembagaan yang mencorakkan kenegaraan Malaysia.

7. Sekaligus ini mengarahkan perhatian umum kepada persoalan asas lagi penting sama ada Dewan Rakyat mampu bertindak untuk menangani permasalahan semasa demi menegakkan ikrar kita ketika mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Rakyat.

8. Berpandukan ikrar tersebut, saya berpendapat bahawa kita berkewajipan untuk mengetahui sebanyak manakah hutang negara itu dan apakah kemungkinan bebanannya terhadap rakyat kelak. Sila maklum bahawa kita dianggap gagal dalam memenuhi ikrar keperlembagaan tersebut sekiranya kita tidak ajukan soalan terpenting dalam menentukan sebanyak manakah hutang tersebut. Dalam hal ini kerajaan haruslah bertindak secara telus serta memberitahu kepada Dewan Rakyat akan keadaan sebenarnya berkaitan dengan hutang negara.

9. Oleh kerana kita mengambil berat akan hutang negara, sekiranya rakyat dibebankan lagi dengan hutang, kita berkewajipan untuk memastikan bahawa pendapatan negara digunakan untuk kepentingan rakyat dan bukannya untuk pembayaran faedah kepada sipiutang dan pemegang bon. Sekiranya terdapat hutang sah dan kita bertanggungjawab ke atasnya maka kita berhak mendapat maklumat mengenai hutang tersebut. Yang demikian, sebagai Ahli Dewan Rakyat adalah menjadi tugas kita dan kita berhak untuk mendapat segala maklumat berkaitan dengan hutang tersebut. Sebagai Ahli Dewan Rakyat kita juga bertanggungjawab untuk memastikan segala jaminan, dengan izin Tan Sri Yang Dipertua, instrument kewangan dan letters of comfort yang membebankan rakyat jelata dengan hutang dibentangkan di Dewan yang mulia ini. Cara ini membolehkan kita menilai dengan penuh tanggungjawab sama ada wajar atau tidak rakyat terus dibebankan.

10. Di atas perkiraan inilah saya telah cadangkan di dalam surat bertarikh 30hb Oktober, 2014 supaya Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) ditangguhkan memandangkan ekonomi dan kewangan awam berada di tahap yang tenat. Rakyat juga menanggung beban hutang isi rumah yang tinggi. Oleh itu kita perlu tahu sebab musabab GST dikenakan kerana punca pendapatan ini akan menambah beban kewangan rakyat. Rakyat berhak tahu sama ada GST yang akan dilaksanakan pada bulan April hadapan ini akan menguntungkan negara atau ia hanya untuk membayar faedah kepada sipiutang dan pemegang bon. Tujuan GST dilaksanakan tidak seharusnya dirahsiakan.

11. Jikalau beban tambahan ini dihalakan kepada rakyat tanpa alasan munasabah kita sebenarnya berlaku tidak adil. Oleh itu suara hati kita semestinya jelas dan terang ketika memberi keterangan kepada rakyat kenapa GST perlu pada ketika ini.

12. Sekiranya sebab musabab perlunya berhutang dibentang di Dewan Rakyat dan ia didapati munasabah tentu sekali kita dapat bertindak secara wajar terhadap niat Kerajaan. Bagaimanapun, kita perlu berhati-hati mengenai sama ada Kerajaan berhak mengenakan beban tambahan ini.

13. Sayugia diingatkan bahawa hutang isi rumah secara rasminya adalah pada tahap 87.4 peratus dan ini diakui satu-satunya yang tertinggi di Asia. Kita juga dibebani hutang korporat dan kita seharusnya mengambil berat akan perkara ini. Malangnya kita tidak dapat tanggapan sebenarnya mengenai masalah ini oleh kerana ketidaktelusan berkaitan dengannya. Apa pun, jumlah hutang isi rumah, hutang negara dan hutang korporat seharusnya merunsingkan kita apabila soal masa depan diperkatakan.

14. Juga merunsingkan ialah penggunaan dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) untuk membantu institusi-institusi kewangan yang terlibat dalam pemberian pinjaman kepada perbadanan-perbadanan tertentu. Dalam hal ini, kita perlu penjelasan daripada Menteri Kewangan mengenai kedudukan KWSP dan KWAP serta jumlah pelaburan dana di dalam institusi kewangan yang dibebankan dengan pemberian pinjaman.

15.. Dengan sendirinya ini membawa kita kepada persoalan tatacara pemerintahan atau, dengan izin, good governance yang penting dan perlu dalam pentadbiran kewangan negara kita. Perdana Menteri dan Menteri Kewangan sekali-kali tidak harus berada dalam keadaan di mana terdapatnya pertelingkahan kepentingan. Barang diingat bahawa pertelingkahan kepentingan ini merupakan suatu masalah serius. Bahawa perkara ini mungkin telah diterima oleh Dewan Rakyat selama ini merupakan sesuatu yang tidak baik kepadanya.

16. Satu perkara yang ada hubungkait dengan pertelingkahan kepentingan dan sedikit sebanyak boleh membantu mengatasinya ialah pengisytiharan harta dan liabiliti. Pengisytiharan ini hendaklah merangkumi Ahli Kabinet dan Ahli Parlimen dahulu dan sekarang serta juga mereka dari sektor awam dan swasta di peringkat mempunyai kuasa membuat keputusan, dahulu dan sekarang. Pengisytiharan ini hendaklah dibuat secara berkala dan disimpan oleh sebuah badan bebas yang diwujudkan melalui Akta Parlimen.

17. Kini kita sedang menghadapi keadaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Kemerosotan ekonomi serta institusi yang dipertanggungjawabkan dengan mendaulat dan menegakkan Pemerintahan melalui Undang-Undang dan Perlembagaan demokratik, dan penghakisan perpaduan nasional mendadak sekali dan bertembung antara satu sama lain. Keadaan ini telah mencetus suatu krisis yang meresap ke akar umbi dan kita kini berada di dalam keadaan kesesakan politik dan ekonomi.

18. Keadaan ini memberi kesempatan kepada Dewan Rakyat untuk memainkan peranan penting dalam perkembangan negara kita. Tidak ada mana-mana institusi baik politik mahu pun bukan politik yang dapat mengatasi kesesakan ini kecuali Ahli-Ahli Yang Berhormat sekelian.

19. Kita sedang mengalami cabaran yang tidak pernah berlaku dalam usaha kita memenuhi ikrar untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara. Ini ialah kerana kuasa Dewan Rakyat telah beranjak kepada kepimpinan parti politik. Ia merupakan perkembangan di luar perlembagaan. Anjakan kuasa kepada orang perseorangan ini bertentangan dengan peruntukan perlembagaan. Dan pastilah ia bukannya demokrasi berperlembagaan.

20. Yang demikian, Ahli-Ahli Yang Berhormat sekelian seharusnya membuat keputusan sama ada hendak memenuhi ikrar yang dibuat ketika mula-mula menjadi ahli Dewan yang mulia ini atau pun melepaskan sahaja hak sebagai Ahli Yang Berhormat kepada kuasa di luar Dewan Rakyat. Keputusan yang harus dibuat merupakan keputusan asasi untuk rakyat jelata. Ia merupakan detik bersejarah kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat sekelian dan perlu membuat pilihan sama ada hendak berkhidmat serta tunduk kepada kehendak rakyat ataupun hendak bersama kepimpinan parti.

21. Tan Sri Yang Dipertua, di kesempatan ini izinkan saya nyatakan bahawa di dalam usaha kita membuat keputusan yang saya sebutkan itu kita haruslah berpandukan kepada suara hati atau pun, dengan izin, conscience. Ini bermakna kita mesti berani menerima atau menolak sesuatu cadangan demi kepentingan rakyat yang kita wakili walaupun mungkin bertentangan dengan kehendak parti kita. Dalam pada itu kita juga bertindak secara berkumpulan dan sebagai satu pasukan demi menghambakan diri untuk menegakkan kedaulatan rakyat dan pengundi.

Y.B.M. Tengku Razaleigh Hamzah
Ahli Parlimen Gua Musang
Di Sidang Dewan Rakyat pada hari Selasa, 
17.3.15.



5 comments:

Anonymous said...



Salam

PM jangan peduli apa veteran Umno ni cakap. selagi 154 ketua bahagian sokong you, you buatlah apa saja. nak beli kapalterbang ke. nak simpan duit kat cayman island ke. nak bagi pinjaman kat jho low ke. nak bagi petrosaudi pinjam ke... buat saja

ketua bhg 154 org ada sokong you.

you jgn peduli rakyat 30 juta ni. di msia you hanya perlu jaga ketua bhg saja.

tu pun tak perlu semua. 154 dah cukup.

selamat bertugas DS Najib

Anonymous said...

Rombak semula PMO & kabinet..

Gbanyak manusia yg tak boleh pakai & menhabiskan duit tanpa ROI..

Lantik Ku Li jadi Senior Minister setaraf TPM/ PM

Anonymous said...

Perli masak cili asam pedas Anon 8:15 PM. Tapi kan the 'Naked Emperor' with all its hierarchy 'power-that-be' 154 divisional heads are 'above' us all the layman! These bunch are too intelligent to comprehend that the ground-swelling could bring down the throne!

Jangan sampai UMNO-BN tersungkur tanpa perlu DAP-PKR pahat untuk jatuh kan tiang-seri tampuk kerajaan yang diterajui melayu-muslim baru nak menangis-meratap, dimasa tuh, kena sumpah seranah lagi adalah.

Semoga sedar lah (UMNO) dari mimpi indah semua!

Anonymous said...

kadang kadang aku pelik gak. memang lah najib menteri kewangan. tetapi sesiapa pun jadi pm keputusan ekonomi bukan dia yang buat sorang sorang. lihat setiap kali ada mesyuarat sal ekonomi berapa ramai yang duduk belakang puan zeti. semua pakar pakar ekonomi negara yang memberi pandangan dan tindakan perlu diambil kepada najib. kalau masa mahathir lain lah ada pakar ekonomi bergaji RM 1. kita lebih mempercayai yb yb yang memburuk burukkan negara dari pn zeti. tak kan lah pn. zeti dan wahid makan gaji buta je. sebenarnya saya rasa kerajaan dah tak larat nak jawab. mcm diri kita kita susah menguruskan keluarga ada yang tahu. suka tak suka kena tanggung je. anak bini nak makan. orang lain tau ckp je. sama je. bila orang orang cina yang kaya kaya tonggang beer hari hari kita tak bising lak. kita kata lantak duit dia. tapi bila orang kita berbelanja lebih skit kutuk kata rasuah lah seolah olah orang melayu ni kena pakai barang barang lama dan buruk. sebenarnya kalau umur kita panjang kita tengok lah nasib orang melayu bila masa cina dapat memerintah contoh dah ade. aku tak kesah aku rasa masa tu pun aku dah tak ade.

Anonymous said...

Assalamuallaikum semua....

Saya cukup bersetuju dengan cadangan YB Tengku.

GST masih dalam kesamaran tentang tujuan sebenar. Oleh itu mesti ditangguhkan atau dimansuhkan.

Buat masa ini kita sentiasa dimomok-momokkan dengan GST itu membantu rakyat yg kononnya akan mengurangkan pembelanjaan dan memfocuskan kepada needs. Tapi setakat dlm bulan ini, surat2 pemberitahuan dari syarikat berbentuk service sudah diterima mengatakan pembayaran BERTAMBAH sebanyak 6%. Antaranya IWK, health insurance, motor vehical insurance dan sebagainya.

PERSOALANNYA:
1) Adakah selama ini syarikat tersebut TIDAK membayar tax kepada kerajaan?
2) Adakah ini merupakan 'loop hole' untuk Syarikat mengaut keuntungan atau 'instant profit'?
3) Dimana yg dikatakan 'membantu rakyat'?
4) Sebab GST pon masih samar... takkan disebabkan negara lain gunakan GST, kita pon nak ikut tanpa usul periksa?
5) Adakah ini cara yg halus untuk MEROMPAK rakyat?

Sesungguhnya Allah Maha berkuasa dan doa orang yang disakiti itu makbul.