SOALAN: Pada pandangan Datin Seri apakah tujuan mereka memfitnah Datin Seri sampai sebegitu?
ROSMAH: Siapa yang menuduh itu sangat kejam. Mereka tidak tahu tekanan saya, tekanan anak-anak dan tekanan satu keluarga. Saya serahkan kepada Allah. Kalau orang itu jahat, terimalah balasannya. Tak apalah mereka memfitnah saya, Tuhan akan beri zat yang baik kepada saya. Ingat zaman Nabi dulu, bila orang kutuk baginda, baginda beri pisang kepada orang itu.
Apabila saya difitnah dan media menyiarkannya, saya tidak diberikan kekebalan. Mungkin ramai orang yang tidak tahu bahawa saya disoal siasat di Bukit Aman selama enam jam gara-gara fitnah itu.
Datuk Seri Najib kata, sebenarnya mereka tidak mahu mengenakan beliau tetapi sasaran yang paling tepat adalah mengenakan saya dulu. Mereka tak dapat suami, mereka pergi kepada isteri sebab saya tak boleh nak mempertahankan diri.
Orang yang memfitnahkan saya dan Datuk Seri Najib ada agenda. Mereka mahu tempat Datuk Seri Najib. Bagi saya senang, tak salah setiap orang ada cita-cita. Tapi, caranya kena betul. Jangan sampai menganiaya dan memfitnah orang. Itu salah dan tidak ada etika. Agama juga membenci perbuatan itu.
Saya kena kuat untuk anak-anak saya, untuk suami saya. Sebenarnya, di mana-mana pun ada politik. Orang bisnes pun ada politiknya. Di pejabat pun ada politiknya. Begitu juga yang lain-lain. Tapi, dengan tahap masing-masing. Saya di tempat teratas, maka fitnah dan cabarannya sangat besar. Lebih besar daripada yang lain. Makanya, saya kena tangani dengan cermat.
Kena percaya kepada qada dan qadar daripada Tuhan. Saya sentiasa menerimannya sebagai positif. Mungkin Allah dah kata: "Rosmah, kalau kau nak duduk tempat tu, kau perlu lalui dugaan yang banyak. Kalau kau tak tahan, kau tak boleh duduk tempat tu." Mungkin Tuhan nak duga saya. Mungkin Tuhan nak naikkan darjat saya. maka diberikan dugaan dahulu.
Saya beritahu anak-anak saya: untuk mendapat yang terbaik pada penghujungnya, kita terpaksa mengharungi pelbagai dugaan, duri dan sebagainya sebelum sampai ke sana. Kena banyak bersabar. Tapi, jangan salahkan semua perjalanan itu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment