50,000 penyokong BN membanjiri Kulim Sabtu lalu untuk program Janji DiTepati yang dihadiri oleh Najib Razak.
Ketua Perhubungan Umno Kedah Bashah Mad Hanipah berucap penuh bersemangat pada majlis tersebut malah ada di kalangan hadirin berkata inilah ucapan paling baik yang dilakukan oleh Bashah dan ada juga yang beranggapan mungkin Najib telah berbisik kepada Bashah "hang akan jadi MB".
Selepas perhimpunan tersebut, Najib bertemu dengan pemimpin-pemimpin Umno Kedah. Pertemuan tersebut penting kerana selama ini, Najib dihidangkan dengan laporan-laporan indah dari Umno Kedah bahawa Umno akan merampas kembali Kedah dari tangan Pas dan Pas berada dalam keadaan amat tenat disebabkan oleh perebutan kuasa dalam Pas dan kegagalan Pas mentadbir Kedah dengan kemas.
Pertemuan dengan Najib begitu dinanti-nantikan oleh hampir keseluruhan pimpinan Kedah. Hampir kesemua pimpinan Kedah mahu dilihat berada di sisi Najib kerana ketidakhadiran akan membawa padah digugurkan sebagai calon.
Maka bilik mesyuarat padat dengan kehadiran. Kalau boleh, masing-masing mahu duduk di sebelah Najib. Masing-masing menjenguk ke hadapan ketika mesyuarat kerana tidak mahu muka mereka terlepas dari ekor mata Najib.
Mungkin ada yang mengharapkan puji-pujian dari Najib dan kata-kata manis dari presiden parti.
Tetapi sebaliknya, Najib mengejutkan pimpinan Kedah bahawa beliau tidak yakin Umno dapat merampas semula Kedah kalau gelagat dan perangai buruk pemimpin-pemimpin Umno di Kedah ketika ini berterusan.
Najib mengambil keputusan mencurah perasaan kecewa beliau terhadap sesetengah pimpinan BN Kedah.
MCA Kedah berpecah dua. Pemimpin-pemimpin Umno Kedah lebih berminat untuk berlumba-lumba untuk menjadi Menteri Besar dari menumpukan usaha untuk menjatuhkan Pas.
Ada pemimpin sudah pun melantik pengurus kempen (campaign manager) untuk memudahkan peluang mereka menjadi MB.
Ada yang kerjanya hanya menjatuhkan orang lain bagi memastikan "kalau aku tak dapat, hang pun terlepas".
Bermacam-macam cerita kita dengar mengenai Umno Kedah kalau kita rajin pasang telinga di Holiday Villa Alor Star.
Kita dengar cerita Adun pakai kereta mewah. Kita dengar Adun repair rumah sampai ribuan ringgit. Kita juga dengar cerita Adun menghabiskan masa di Danork. Ada juga Adun yang jadi bermacam Pengerusi. Kita juga dengar ada Ketua Bahagian dapat tiga empat projek sekali gus.
Untuk berlaku adil, bukan semua cerita negatif yang kita dengar. Ada juga yang positif. Kita dengar seorang bakal calon Parlimen, tanpa kita sangka-sangka, menyampaikan khutbah di masjid-masjid di bahagian beliau. Ada seorang Adun yang cukup kuat bekerja tetapi tak dipandang pun oleh pucuk pimpinan.
Begitulah hikayat Umno Kedah. Kalau ikut cerita Umno Kedah, kalau esok pilihanraya, esoklah juga Umno memerintah Kedah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment