Thursday, January 12, 2012

SHAHRIZAT BERCUTI

Minggu ini, cerita Anwar Ibrahim terlepas hukuman penjara menegelami segala-galanya.

Penyokong Anwar bersorak gembira. Ramai penyokong kerajaan kecewa. Majoriti meramalkan Anwar akan dipenjarakan dan peluang BN akan cerah sekiranya Anwar dikurung.

Sebaliknya, Anwar dibebaskan. Keputusan mahkamah memberi nafas baru kepada sistem perundangan negara yang selama ini dicemuh.

Tun Dr Mahathir Mohamad yang semasa pentadbiran beliau melihat Tun Saleh Abas dilucutkan jawatan pun memuji sistem perundangan negara. Alangkah baiknya sekiranya Tun Mahathir semasa pentadbiran beliau turut memastikan sistem perundangan negara bebas.

Sebenarnya samada Anwar dipenjarakan atau dibebaskan tidak begitu penting kepada politik negara. Hanya advantage yang ada ialah pembangkang kehilangan seorang pemimpin.

Tetapi mengenali Anwar, walaupun dipenjarakan, beliau tetap akan menimbulkan masalah kepada BN dan Umno.

Anwar relevan pada pilihanraya 1999 sejurus selepas beliau disingkirkan oleh Tun Dr Mahathir.

Tetapi tidak pada 2008. BN tumpas di 5 negeri bukan kerana Anwar. BN tumpas kerana imej dan keangkuhan Umno dan orang-orang di sekeliling Abdullah Ahmad Badawi.

Keputusan pilihanraya akan datang juga tidak bergantung kepada faktor Anwar. Anwar bukan penentu PRU-13.

Yang akan menentukan samada rakyat menyokong BN dan Umno ialah ketelusan dalam pentadbiran negara.

Sehingga hari ini, BN dan Umno masih belum mahu berubah. Di Sarawak, Taib Mahmud masih kekal Ketua Menteri walaupun diselubungi pelbagai kontroversi.

Di Semenanjung, isu Shahrizat Jalil dan penglibatan ahli keluarga beliau dalam isu lembu feedlot masih belum diselesaikan.

Hari ini, Shahrizat membuat keputusan mengambil cuti bagi membolehkan SPRM menyiasat kes tersebut.

Isu ini bukan isu undang-undang. Ianya isu moral. Memang benar di atas kertas Shahrizat tidak terlibat dengan projek tersebut. Memang benar yang terlibat ialah suami dan anak-anak beliau.

Tetapi persepsinya ialah Shahrizat terlibat. Persoalannya jika si polan yang memperolehi pinjaman mudah kerajaan sebanyak RM250 juta bukan dari kalangan ahli keluarga Shahrizat, adakah permohonan mereka akan diluluskan kerajaan?

Seperti kata Ketua Bahagian Cheras Syed Ali Al-Habshee, Shahrizat kini biawak hidup Umno.

Siasat lah macam mana pun. Ambil lah cuti lama mana pun, Shahrizat akan kekal sebagai biawak hidup Umno selagi Najib Razak tidak merombak Kabinet dan mengugurkan Menteri-Menteri yang bermasalah termasuk Shahrizat.

Najib boleh teruskan dengan Kabinet yang ada kerana beliau yang akan mengepalai batalion untuk PRU-13 nanti.

Yang akan menanggung kesannya ialah Najib, bukan Muhyiddin, bukan Zahid Hamidi, bukan Shafie Apdal dan bukan Hishammuddin Hussien.

Sekiranya Najib gagal mendapat 2/3 majoriti di dalam PRU-13 nanti, Najib perlu berundur sepertimana yang dilakukan oleh Pak Lah dahulu.

Pak Lah telah menetapkan piawaian dalam Umno bahawa sekiranya seseorang Presiden Umno gagal memastikan BN mendapat 2/3 majoriti di dalam sesuatu PRU, maka beliau mesti berundur sebagai Perdana Menteri.

Oleh itu, keputusan PRU-13 nanti akan menentukan nasib Najib di dalam Umno nanti.

1 comment:

Anonymous said...

Analisis yg baik dan tepat. Anwar adalah bukan pengukur kejayaan Umno/BN. Najib perlu berani buat perubahan yang kini melanda politik dunia. Seperkara penting adalah peranan Mahathir yg boleh hancur atau bantu Najib menang besar dalam PRU13. Jika ada pihak cuba cabar kepimpinan Najib kearah kejayaan, mereka perlu diketepikan segera!