Showing posts with label tengku razaleigh hamzah. Show all posts
Showing posts with label tengku razaleigh hamzah. Show all posts

Monday, October 22, 2018

ZAHID HAMIDI MEMALUKAN MELAYU, PERLU DIPECAT SEBAGAI PRESIDEN UMNO




TOPIK perbualan paling popular di kalangan pemimpin Umno ialah, "perlukah Ahmad Zahid Hamidi kekal sebagai Presiden Umno berikutan dakwaan rasuah dan pecah amanah melibat RM114 juta".

Pengerusi Jemaah Penasihat  Umno Tengku Razaleigh Hamzah akan memanggil mesyuarat untuk membincangkan kedudukan Zahid.

Dan Tengku Razaleigh berkata Umno perlu mengadakan pemilihan semula jika Zahid terpaksa meletakkan jawatan.

http://www.astroawani.com/berita-politik/jemaah-penasihat-umno-akan-bincang-isu-ahmad-zahid-tengku-razaleigh-188814


Zahid didakwa dengan 45 pertuduhan.

Bagi kita tuduhan terhadap Zahid amat memalukan.

Antaranya menerima sogokan berbentuk wang tunai seolah-olah kutipan bulanan.

RM3.8 juta pada bulan Mei 2016, RM10.6 juta pada bulan Jun 2016, RM12.35 juta pada bulan Julai 2016, RM600,000 pada bulan Ogos 2016, RM600,000 pada bulan Sept 2016, RM1.2 juta pada bulan Nov 2016, RM4.81 pada bulan Januari 2017, RM600,000 pada bulan Feb 2017, RM7.2 juta pada bulan April 2017, RM8.3 juta pada bulan Mei 2017, RM1.8 juta pada bulan Ogos 2017, RM600,000 pada bulan Oktober 2017, RM600,000 pada bulan Nov 2017, RM600,000 pada bulan Disember 2017, RM600,000 pada bulan Januari 2018, RM600,000 pada bulan Februari 2018, RM1.3 juta pada bulan Mac 2018, RM600,000 pada bulan April 2018.

Tuduhan-tuduhan ini sudah cukup untuk Zahid hilang kelayakan sebagai Presiden Umno.

Jika Zahid enggan melepaskan jawatan, Majlis Tertinggi harus memecat beliau kerana tuduhan-tuduhan ini walaupun belum dibuktikan di mahkamah amat memalukan orang Melayu.

Zahid perlu menghentikan menggunakan agama untuk mempertahankan diri.

Apa yang menimpa Umno sekarang ini memerlukan pendekatan yang rasional untuk mengembalikan kepercayaan rakyat.

Tidakan paling rasional sekarang ialah memecat Zahid sebagai Presiden Umno. 



Thursday, June 28, 2018

PEMILIHAN UMNO UNTUK PILIH KAWAN & WANG

Image result for zahid+khairy

SABTU ini, 191 bahagian dan 150,000 perwakilan Umno akan memilih siapa yang akan menggantikan Najib Razak sebagai Presiden Umno.

Inilah pertama kali selepas 31 tahun (pembetulan), jawatan Presiden menjadi rebutan.

Suasananya amat berbeza jika dibandingkan dengan suasana ketika kali terakhir pemilihan jawatan presiden dilakukan pada 1987.

Kali ini Najib Razak meninggalkan sebuah parti yang TENAT - hilang kuasa dan maruah dan imej yang cukup KOTOR.

Ketika Zahid Hamidi, Khairy Jamaluddin dan Tengku Razaleigh Hamzah sibuk berkempan, negara dikejutkan dengan betapa teruknya kepimpinan Umno apabila POLIS mendedahkan mereka merampas lebih dari RM1 bilion wang dan barang kemas dari rumah-rumah Najib. RM116 juta adalah WANG TUNAI.

Dan mereka-mereka yang memimpin Umno sekarang ini, termasuk Zahidi Hamidi dan Khairy Jamaluddin, ada antara mereka yang turut menyokong kerakusan Najib dan Rosmah manakala Tengku Razaleigh hanya membisu melihat negara dirogol oleh Najib.

Sabtu ini perwakilan akan memilih.

Apakah mereka memilih demi parti atau masih dipengaruhi oleh WANG.

Ini bukan pemilihan untuk pilih KAWAN.

Ini pemilihan untuk menghidupkan semula Umno. 

Oleh itu kita tunggu keputusan nanti  kerana kita tahu, ada yang bersungguh-sungguh mahu memilih KAWAN sebagai presiden dan ada yang akan memilih kerana WANG.




Friday, June 22, 2018

PEMILIHAN UMNO: SENARAI CALON MEMIMPIN UMNO MENYEDIHKAN



TANPA disedari ramai, kali terakhir jawatan Presiden Umno dipertandingkan adalah 41 TAHUN yang lalu.

24 APRIL 1987 adalah kali terakhir jawatan Presiden Umno dicabar dan keputusannya Tengku Razaleigh Hamzah TEWAS 43 undi kepada Dr Mahathir Mohamad dan Musa Hitam tewas 40 undi menentang Allahyarham Ghafar Baba untuk jawatan Timbalan Presiden Umno.

Oleh itu, mana-mana ahli dan pemimpin Umno yang usia mereka 41 tahun hari ini, hanya mampu Google untuk mempelajari sejarah pertandingan dalam Umno.

Sebenarnya KESIAN tengok senarai calon-calon yang bertanding jawatan-jawatan di dalam Umno sekarang ini. Maklumlah sudah lama tidak ada pertandingan untuk jawatan No 1 dan 2 dalam Umno.

Bila tengok calon, ada yang terlibat dengan rasuah Mara dan pernah disiasat kes wang PPRT, ada yang jumpa Tok Arab yang bagi derma pada Najib, ada yang pukul boyfriend anak, ada yang cuba rasuah pegawai tinggi kerajaan, ada yang guna perkhidmatan money changer hantar RM10 juta ke London dan macam-macam lagi ada.

Bila disuruh isytihar HARTA, macam-macam alasan digunakan. Kononnya di dalam perlembagaan Umno tidak disebut.

Bila disuruh berdebat, ada anak kepada calon kata debat tak dapat pahala. Macam-macam alasan diberi untuk mengelak dari berdebat.

Bukan kah tiap-tiap tahun di perhimpunan agong Umno ada sesi perdebatan usul-usul.

Kalau begitu, elok lah Zahid Hamid HARAMKAN debat dalam Perhimpunan Agung Umno apabila beliau berkuasa sebagai Presiden Umno nanti.

Sekarang rakyat tengah teruja dengan Malaysia Baru. Malangnya Zahid sebagai pemangku Presiden Umno masih ditakuk lama.

Kalau Jelapang boleh mengundi semasa pemilihan nanti, sesiapa cuba mengelak kita berDEBAT, kita jangan undi.

Sehingga hari ini, Zahid awal-awal kecut perut untuk berdebat. Macam-macam alasan diberikan. Apa hendak takutkan? Berdebat dalam bahasa Melayu BUKAN dalam bahasa Inggeris.

Di negara maju, berdebat adalah perkara biasa. Ianya forum untuk rakyat menilai layakkah seseorang pemimpin itu menjadi peneraju negara dengan visi dan nilai kepimpinannya.

Di Amerika Syarikat, sebelum dipilih menjadi menjadi Presiden Amerika Syarikat, Abraham Lincoln berdebat dengan Senator Stephen Douglas pada tahun 1868.

Tetapi di Malaysia ini lain. Berdebat ikut selera pemimpin. Di sekolah digalakkan pelajar berdebat. Perwakilan Umno dibenarkan berdebat. Tetapi bila hendak pilih pemimpin, ada pemimpin enggan berdebat.

Apa pun Jelapang ramalkan Zahid akan menang besar di dalam pemilihan kali ini.

Maklumlah, setakat ini tiada tanda-tanda Umno telah berubah. Amalan di dalam Umno masih sama. Walaupun Umno tiada kuasa, pemimpin masih ada duit. 


http://www.umno-online.my/wp-content/uploads/2018/06/mtbaru3.pdf

Monday, June 18, 2018

PEMILIHAN UMNO: GENG I LOVE PM (NAJIB)

Image result for tengku razaleigh khairy jamaluddin
Image result for zahid i love pm

KHAIRY Jamaluddin, Tengku Razaleigh Hamzah dan Ahmad Zahid Hamidi. Salah seorang daripada mereka adalah bakal Presiden baru Umno menjelang 30 Jun ini.

Sekarang ahli-ahli Umno kena buat keputusan, siapa mereka mahu sebagai pemimpin mereka.

Tengku Razaleigh, yang sudah berusia 81 tahun dan dilihat sebagai sebahagian dari sistem fuedal, ATAU geng-geng "I love PM" yang menyokong kuat Najib iaitu KJ dan Zahid.

Jadi pilihlah. Pilih yang banyak kudis atau hendak pilih yang kurang kudis. Hendak pilih yang ada sejarah gengster atau tidak ada sejarah gengster. Pilihlah sesuka hati tuan-tuan dan puan-puan.



Kalau ikut hati, kesemua Majlis Tertinggi di bawah Najib tak layak memimpin parti yang mereka khianati.

Ketika Najib berbohong dan menipu bangsa dan negara, mereka-mereka inilah yang bersekongkol melindungi Najib. Lebih teruk lagi mereka turut sama menikmati hasil mahsul dari penipuan Najib.

Kini mereka menonjolkan diri sebagai mahu menyelamatkan Umno.

1. Tengku Razaleigh Hamzah: Ketika veteran-veteran Umno berjuang untuk menyelamatkan negara dari kerakusan Najib dan isteri beliau Rosmah Mansor serta anak tiri Najib, Riza Aziz, dan partner-in-crime atau rakan jenayah mereka, Jho Low, Ku Li membisu. Tak ada sepatah pun keluar dari Ku Li menegur Najib bagi menyelamatkan negara.

Beliau hanya melihat Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Shafie Apdal dipecat oleh Najib kerana menegur beliau. 

Akhir-akhir ini, apabila melihat peluang untuk mendapat gelaran "Presiden Umno", Ku Li mula bercakap dan meraih publisiti. 

Beliau menyelar Zahid kerana "merangkak"mengadap Tun Dr Mahathir Mohamad - maka dapatlah publisiti. Itulah cara Ku Li berpolitik. 

Bagi kita Ku Li hanya sekadar boleh menyerikan pertandingan. Berkurun lamanya, tiada usaha Ku Li untuk mendekati ahli-ahli Umno. Agak berapa orang Ketua Bahagian yang beliau kenali sekarang ini. 

Kawan-kawan yang beliau kenal, kebanyakan di luar Umno. Bagaimanapun, tiada banyak kudis di badan beliau. Jika ada pun hanyalah parut-parut lama.


2. Ahmad Zahid Hamidi: Tidak ada kualiti kepimpinan tetapi pandai berpolitik. Visi tiada. Idea tidak ada. Sekadar jadi Pak turut Najib dan mendapat hasil dari sokongan ini apabila diletakkan di Kementerian Lubuk Emas - KDN. 

Dengar khabarnya, banyak benda berlaku semasa menerajui KDN dan dengar khabarnya sedang disiasat segala perlakuannya oleh SPRM di bawah kerajaan Pakatan.

Tetapi satu sejarah lama yang tidak akan dapat dipadamkan oleh Zahid Hamidi - PARUT DI TEMPURUNG KEPALA AMIR BAZLI.

Baca di link ini: http://anti-zahid.blogspot.com/2009/03/pendedahan-jenayah-ahmad-zahid-hamidi.html



Image result for amir bazli nurul hidayah

Zahid mendapat faedah dari pemecatan Muhyiddin Yassin dan Shafie Apdal. Zahid turut mempertahankan kerakusan Najib. Zahid adalah antara geng "I love PM (Najib)."

Apakah ahli Umno akan memilih Zahid yang pernah didakwa mencederakan anak muda yang pernah dicintai oleh anak beliau dan sedang disiasat oleh kerajaan Pakatan?

Tepuk dada, tanya selera.

3. Khairy Jamaluddin: Pernah meletakkan jawatan kerana isu 1MDB tetapi hanya meletakkan jawatan dalam senyap-senyap. Apabila dipujuk, Khairy pun turut sertai band Ï Love PM."

Apabila Mukhriz Mahathir membangkitkan mengenai perletakan jawatan beliau, budak-budak Khairy mengherdik kononnya Mukhriz berbohong. Apabila orang tertentu berjumpa beliau, Khairy menunjukkan surat perletakan jawatan tersebut.

Tak ubah macam Tengku Razaleigh. Belakang tabir, bantai Najib, di khalayak ramai membisu. 

Pernahkah KJ menegur Najib sepertimana yang dilakukan oleh Muhyiddin dan Shafie?

Hanya selepas Umno kalah dan hanyut, barulah KJ bersuara. Barulah KJ hendak jadi juara. Barulah KJ rasa dirinya paling sesuai menjadi Presiden Umno.

Image result for zahid ku li kj

Tuan-tuan pilihlah mereka-mereka ini sebagai Presiden Umno. Walaupun diri mereka penuh kudis, mungkin ini sajalah pemimpin yang ada di dalam Umno.

Jika Jelapang diberi peluang memilih, Jelapang akan pilih antara Ku Li dan KJ. 

Jika diberi pilihan lain, Jelapang akan pastikanTIADA siapa yang pernah menjadi Menteri Kebinet Najib sebelum PRU14 dan ahli MKT sekarang dipilih menganggotai Majlis Kerja Tertinggi Umno yang baru.










Saturday, September 10, 2016

BERSATU DILULUSKAN. AHLI PARLIMEN & ADUN UMNO PALING GEMBIRA

Image result for bersatu+mahathir+ros

RUPA-rupanya yang paling GEMBIRA lahirnya BERSATU adalah Ahli-Ahli Parlimen dan ADUN dari Umno.

Tersenyum riang Ahli-Ahli Parlimen dan ADUN-ADUN Umno ini apabila Ahmad Zahid Zahidi mengumumkan permohonan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menubuhkan parti BERSATU diLULUSkan.

Walaupun Ahli Parlimen dan ADUN UMNO ini belum menyatakan hasrat secara TERBUKA menyokong BERSATU, sudah pasti BERSATU sudah dekat di hati mereka.

Yang pasti, Ahli-Ahli Parlimen dan Adun Umno ini akan KEKAL bertanding PRU-14 nanti. Kalau bukan Umno, mereka BOLEH menggunakan simbol BERSATU.

Semasa PRU nanti, jika diGUGURkan oleh Presiden Umno Najib Razak, Ahli-Ahli Parlimen dan ADUN Umno boleh mencium tangan Najib dan berkata: "Tak apa Dato' Seri Presiden. Umno ini parti YOU. You letaklah siapa pun bertanding di kerusi saya. Saya pun akan bertanding juga. Parti mana jangan tanyalah."

Bukan itu saja. Yang kalah semasa pemilihan bahagian pada 2013 dulu pun turut GEMBIRA.

Yang dah pencen atau yang diTENDANG keluar pun boleh tersenyum lebar.

Dato' Seri Rais Yatim pun boleh mula buat strategi bertanding semula di Jelebu. Jika Najib letak semula sebagai calon Umno di Jelebu, Alhamdullilah.

Kalau tidak, Dato' Seri Rais boleh tertanding atas TIKET BERSATU. Lagipun, Rais tidak ada masalah apa-apa dengan Tun Mahathir dan Muhyiddin.

Pemimpin yang berpengalaman dan berintegriti seperi Abang Rais amat diperlukan negara sekarang ini.

Negara sekarang ketandusan pemimpin yang berkualiti. Lihat sajalah Kabinet. Menteri-Menterinya "standard" negara Africa.

Sama juga dengan Tengku Razaleigh. Kalau Umno buang, bertanding atas tiket BERSATU.

Lagipun bagi Ku Li bertanding atas tiket parti bukan Umno adalah satu kebiasaan. Dulu Ku Li bertanding atas tiket Semangat 46,  menang juga.

Oleh itu, bergembiralah semua dengan kelahiran BERSATU. 

Kepada Muhyiddin, Tan Sri sedang mengemudi satu parti yang bersih putih bak kapas.

Tidak seperti Umno, yang bergelumang dengan lumpur dan dilabel rasuah.

Tan Sri ada peluang untuk menerajui negara cuma Tan Sri kenalah bawa wadah perjuangan yang didahagakan rakyat.

Jadikan BERSATU parti yang "seksi".

Tak susah untuk menjadikan BERSATU parti yang "seksi". Mudah saja.

1. Tumpukan perjuangan untuk peneroka Felda. Kembalikan Felda kepada peneroka Felda. Jadikan peneroka RAJA semula. Keputusan Felda dibuat oleh Felda bukannya pemimpin politik.

2. GST. Tan Sri tengok-tengoklah kadar yang SESUAI untuk GST. Kalau 5 persen sesuai, turunkan ke 5 persen. Kalau 4 persen, turunkan ke 4 persen. Rakyat sedang merana, Tan Sri.

3. Kakitangan Awam. Tolonglah Tan Sri tengok-tengokkan kakitangan awam. Kasihan mereka. Bekerja bertungkus lumus, Audit akaun 1MDB. Bila dah siap, kena OSA. Tan Sri perlu naikkan semangat mereka semula.

4. Kakitangan GLC. Kesian mereka Tan Sri. Tengoklah MAS. Pekerja kena buang. Yang masih bekerja, gaji pula rendah. Petronas pula dah jadi macam syarikat kerdil, sama macam syarikat-syarikat lain.

5. Bila Tan Sri jadi PM nanti, Tan Sri jaga hati rakyat. Tengok-tengoklah rakyat. Di Kelantan, pelajar sekolah makan nasi goreng Cina dengan sosej. Duit negara pun dah kurang. Tapi ada pula duit untuk buat Taman Tugu Negara sampai RM650juta. Untuk pengetahuan Tan Sri, ramai di kampung pernah pergi Tugu Negara zaman sekolah rendah. Itu pun rombongan sekolah. 

Tan Sri, Selamat Berjuang.

Sementara itu, benarkanlah Ahli-Ahli Parlimen dan Adun Umno meRAIkan penubuhan BERSATU.






Sunday, August 14, 2016

MALANGNYA TENGKU RAZALEIGH HAMZAH

Image result for tengku razaleigh kelantan

MALANG nasib Tengku Razaleigh Hamzah.

Hasrat untuk menjadi Perdana Menteri tidak kesampaian.

Hasrat mahu diberi kedudukan oleh Najib Razak juga tidak kesampaian.

Terkini hasrat mahu melihat Najib Razak hadir meRASMIkan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Gua Musang, nampaknya, terkubur.

Malang betul Tengku Razaleigh.

Jelapang singgah di Gua Musang petang tadi dan dimaklumkan bahawa Najib membuat keputusan untuk tidak menerima jemputan Tengku Razaleigh.

Itu kata orang Gua Musang. Betul atau tidak, walahuallam.

Pelbagai andaian dibuat kenapa Najib menolak lamaran Tengku Razaliegh.

Tetapi yang paling popular ialah Najib kecewa dengan Tengku Razaleigh kerana mendesak supaya Kerajaan mendedahkan siapa "Malaysia Officer 1" yang dinamakan oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat baru-baru ini.

  

Najib juga kecewa Tengku Razaleigh juga masih mendesak Najib memenuhi JANJI beliau mahu laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara didedahkan kepada umum.

Apakah ini balasan Najib kepada Tengku Razaleigh yang selama ini menyokong dan mempertahankan beliau? 

Tengku Razaleigh sanggup mengorbankan maruah beliau dengan melangkah ke pejabat Najib semata-mata untuk menandatangani deklarasi Kelantan pada Mac tahun ini.

Lagipun desakan Tengku Razaleigh supaya laporan PAC didedahkan bukan perkara baru.

Laporan PAC tidak pernah pun selama ini dijadikan dokumen rahsia. Hanya kali ini apabila siasatan audit dibuat ke atas 1MDB di mana Najib dikaitkan, laporan audit ini dirahsiakan.




Kita ingin menyarankan kepada Tengku Razaleigh agar menonton video Ahli Parlimen Raub ini.

Lihat apa pandangan seorang Ahli Parlimen terhadap Tengku Razaliegh.

Kata Ahli Parlimen ini, beliau tidak tahu apa Tengku Razaleigh hendak. 


Wednesday, August 10, 2016

BERSATU

Image result for muhyiddin+bersatu

MAKA sebuah lagi, parti Melayu dan serpihan Umno, diketuai oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin didaftarkan dengan ROS semalam.

Jika diambil kira jaminan Ahmad Zahid Hamidi, tiada masalah untuk ROS meluluskan pendaftaran parti baru yang dinamakan - BERSATU.

Hari ini Zahid berkata BERSATU tidak akan kekal lama.

Ramai pemimpin-pemimpin Umno menolak kehadiran parti itu sebagai satu cabaran kepada Umno kecuali Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang meminta agar ahli-ahli Umno tidak memperkecilkan BERSATU.

Dalam sejarah politik, jika parti itu terbit dari perpecahan di dalam Pas, parti serpihan tersebut sukar memberi kesan kepada parti induk iaitu Pas.

BERJASA ditubuhkan oleh Dato' Mohamed Nasir pada 1977 atas sokongan Umno untuk menjatuhkan kerajaan Pas di Kelantan selepas memerintah selama 17 tahun, mati begitu saja.

Begitu juga dengan Hamim yang ditubuhkan oleh bekas Presiden Pas Asri Muda, juga berkubur.

Tetapi lain kesannya jika parti serpihan tersebut dari Umno.

Semangat 46 ditubuhkan oleh Tengku Razaliegh Hamzah pada 1989 selepas pertelingkahan dengan Mahathir telah menghancurkan Umno di Kelantan.

Semasa pilihanraya umum pada 1990, Umno KALAH teruk di Kelantan. Tiada satu pun kerusi negeri dimenangi oleh Umno di Kelantan walaupun Semangat 46 gagal di peringkat persekutuan.

1999, Anwar Ibrahim menubuhkan Keadilan, juga serpihan Umno. Akibatnya, Umno kalah di Kedah, Perak, Pulau Pinang, Selangor dan Wilayah Persekutuan.

BERSATU bukan cabaran untuk UMNO?

Jika BERSATU memenuhi citarasa dan aspirasi orang Melayu, ia mungkin memberi kejutan besar kepada Umno.

Pimpinan BERSATU hanya perlu menyakinkan rakyat bahawa ia bukan Umno.

Pemimpinnya tidak rasuah dan bersungguh-sungguh membanteras rasuah.

Pemimpinnya bersedia mengisytiharkan harta mereka kepada rakyat setiap masa.

Menghadkan tempoh memegang jawatan tidak lebih dua penggal terutamanya untuk jawatan Perdana Menteri.

Tidak mengamalkan sistem Umno yang memberikan Ketua Bahagian kuasa mutlak menentukan kepimpinan negara.

Menumpukan usaha membangunkan rakyat dan negara, dan tidak menumpukan kepada memperkayakan ahli keluarga dan sanak saudara.

Satu undang-undang untuk semua tanpa mengira pangkat dan darjat.

Jika ini dilakukan oleh BERSATU, Umno perlu bimbang akan masa depannya.

Tidak mungkin rakyat akan terus menerima rasuah sebagai budaya pentadbiran sesebuah negara.

Mungkin kesabaran pengundi sudah sampai ke penghujungnya.

Saturday, April 23, 2016

TENGKU RAZALEIGH BAKAL DILANTIK TPM?



SEBUAH gambar yang membawa penuh makna untuk Tengku Razaleigh Hamzah.

Bukan rahsia lagi bahawa Ku Li kini dikatakan bakal dilantik oleh Najib Razak sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Tahniah Ku Li.

Di dalam politik, jawatan itu penting. 

Tuesday, April 5, 2016

IMBAS KEMBALI UCAPAN TENGKU RAZALEIGH HAMZAH DI PARLIMEN PADA 31 OKTOBER 2014

Image result for tengku razalieigh+najib
(Tengku Razaleigh menandatangi "kertas kehadiran" semasa bertemu Najib Razak)


Berikut disiarkan semula ucapan Tengku Razaleigh di Parlimen pada 31 Oktober 2014 untuk tatapan semua.


Dengan penuh takzim kepada Yang Berhormat sebagai ahli Parlimen yang bertanggung jawab ke atas kepentingan rakyat yang kita sayangi, saya mengutus surat ini mengenai beberapa isu ekonomi yang kritikal dan sedang melanda negara kita sekarang.

Isu-isu ini meninggalkan kesan dan padahnya terhadap rakyat masakini serta generasi akan datang. Saya sengaja mengelak cara yang lazim digunakan dalam memperkata perkara sebegini rupa melalui debat Belanjawan 2015 yang dikemukakan Kerajaan di Dewan Rakyat.

Di sebaliknya, saya memilih cara ini demi menekankan betapa tenatnya masalah yang kita hadapi.
Saya percaya kesan buruk akibat cadangan Belanjawan ini akan dirasai kelas menengah, para graduan dan pekerja baru serta kumpulan berpendapatan daif.

Walaupun Belanjawan 2015 menyokong “ekonomi rakyat”, ia seolah-olah tidak diberi keutamaan berbanding dengan “ekonomi kapital”.

Perspektif ekonomi kini menunjukkan negara kita menuju ke arah yang salah. 
Hala pergerakan ekonomi masakini mungkin tidak dapat dipertahankan. Sekiranya ia tidak dibendung dan diatasi, kita mungkin terjerumus ke kancah krisis yang kita tidak perlu dan amat susah diatasi. Ia juga akan membebankan rakyat jelata serta mengancam keamanan, kemakmuran dan keselamatan negara kita.

Belanjawan 2015 mengunjurkan kadar pertumbuhan KDNK tahun depan sebanyak lebih kurang lima hingga enam peratus, seperti yang dijangkakan Program Transformasi Ekonomi. Ini dianggap mencukupi demi melonjakkan kita ke tahap negara maju pada tahun 2020. 


Bagaimanapun ramalan ini mungkin terlalu optimistik memandangkan terdapatnya ancaman terhadap ekonomi dunia, dan pertumbuhan ekonomi kita yang bergantung kepada pasaran luaran dan keyakinan serta minat asing terhadap ekonomi kita. Seperti tercatat dalam Laporan Ekonomi 2015, ada wujudnya downside risk yang mungkin berlaku yang boleh mendorongkan kejutan ekonomi terhadap sistem politik kita.

Lebih daripada itu, angka-angka ini melindungi beberapa peringatan tersembunyi. Saya rasa selama ini Kerajaan mengenepikan isyarat mengenai perubahan ekonomi dunia yang bermula dengan krisis subprime 2008 mengenai pinjaman rumahan di Amerika Syarikat dan masalah hutang negara di Eurozone yang kemudiannya beralih ke Asia disebabkan kelembapan ekonomi China dan pengukuhan semula ekonomi India Kerajaan Modi. 

Krisis yang dijangka ini akan menyentuh semua pihak kecuali negara yang bersedia daripada segi ekonomi untuk mempertahankan diri.


Berkenaan dengan pengurusan fiskal negara, kemungkinan saat genting dicetuskan kejatuhan ekonomi luaran seperti jatuhnya nilai Dolar AS atau kemungkiran pembayaran hutang badan-badan peminjam yang dijamin kerajaan akan mengakibatkan ketahanan kewangan kita terjejas. 

Secara kasarnya, ketahanan untuk sesuatu tahun (samada ia boleh dibiayai keluaran semasa serta dengan aliran masuk kewangan asing bersih) ialah jumlah hutang kerajaan (pada 2014 lebih kurang RM41 bilion) serta pinjaman perniagaan dan pinjaman isirumah tertunggak (sekarang berjumlah RM1,273 bilion) – yang berjumlah RM1,314 bilion – hendaklah tidak melebihi lima kali ganda jumlah hasil kerajaan (iaitu 5 X RM225 bilion = RM1,125 bilion). Jelas di sini garis panduan ini dilanggar!

Sebahagian besar defisit kerajaan dan jumlah hutang negara terlalu banyak yang menyusahkan pinjaman seterusnya (debt overhang) timbul melalui belanjawan pengendalian serta perbelanjaan cukai untuk menyokong penggunaan bagi mencapai pertumbuhan; umpamanya melalui pemberian BR1M dan juga untuk membiayai gaji sektor awam, subsidi dan pencen. 

Peruntukan berdasarkan penggunaan ini bersama dengan subsidi makanan dan tenaga tinggi kepada industri dan kepada umum demi menanggung permintaan terkumpul dengan sendirinya tidak dapat dipertahankan. Perbelanjaan sebegini rupa untuk menggalakkan ekonomi tidak menambah peningkatan kapasiti melalui pelaburan yang perlu untuk mengukuhkan pertumbuhan ekonomi masa depan.

Tetapi dalam masa lima tahun lepas Kerajaan masih lagi menyuntik wang untuk memacu ekonomi pump priming bagi menampung pertumbuhan hasil yang lemah yang merangkumi eksport. 

Saya rasa adalah lebih baik peruntukan ditujukan untuk mengembang sektor pertanian untuk tujuan menampung keselamatan makanan (food security) dan membendung pengaliran keluar tukaran asing melalui import makanan. Ini lebih bermanfaat bagi mendokong sarahidup rakyat sewaktu kecemasan ekonomi.

Masalah yang dihadapi kewangan awam kita lebih melibatkan peruntukan perbelanjaan dan bukanlah mengenai hasil. Umpamanya, kenaikan kos perbelanjaan tetap sektor awam tidak seharusnya menjejaskan peruntukan pembangunan. Ini penting terutamanya kerana masih banyak lagi diperlukan untuk membangun kedudukan ekonomi Sabah dan Sarawak dari segi penyediaan prasarana sosial dan kemudahan asas berbanding dengan negeri-negeri di Semenanjung.


Bahagian peruntukan kemudahan asas ini kian merosot dengan bertambahnya belanjawan pengendalian. Peruntukan pembangunan yang melebihi 30 peratus satu dekad dulu sekarang merosot menjadi hanya lebih kurang 15 peratus daripada jumlah cadangan belanjawan 2015. 


Dengan pendedahan  Ketua Audit Negara mengenai pembaziran, perbelanjaan boros, kerugian tidak bertanggung jawab, ketidakcekapan mutlak serta amalan rasuah tegar kecilan dan besar-besaran, kita sebagai rakyat biasa dan pembayar cukai harusnya dimaafkan sekiranya menunjukkan kemarahan tanpa had terhadap keadaan ini. 

Kita seharusnya berjaya meningkatkan kecekapan selama ini dan dengan itu mengurangkan belanjawan pengendalian yang tinggi mendadak selama ini. Saya cadangkan setiap kementerian dan agensi kerajaan dilengkapi dengan cabang pejabat Ketua Audit Negara demi mempastikan perbelanjaan awam dilaksanakan mengikut tatacara urusan dengan teratur dan bertanggung jawab. 


Selain daripada jawatankuasa Akaun Awam [PAC], Parlimen juga perlu mewujudkan Ombudsman yang bertindak bebas dan bertanggung jawab terus kepadanya. Di samping itu kita perlu mengawal dan membanteras rasuah melalui pengukuhan Akta Acara Kewangan melalui kajian semula dan pengukuhannya.

Kenaikan kos sara hidup merupakan isu ekonomi paling mendesak sekarang. Kenaikan harga berkaitan pengangkutan, kuasa elektrik, bahan makanan dan lain-lain akibat kesan tali temali (knock-on effect) menyebabkan kenaikan tekanan terhadap kos sara hidup yang dihadapi rakyat. Walau masalah ini dirasai semua orang tetapi kesannya lebih terasa kumpulan pendapatan kelas menengah dan rendah berbanding kelas sosial yang lain.

Sebab utama berlakunya kenaikan harga adalah kerana bekalan tidak mencukupi. Di samping itu permintaan naik mendadak. Maka itu kita harus berusaha terus untuk meliberalkan ekonomi. Kita harus pantau kos tenaga elektrik dan pastikan rakyat biasa mampu menggunanya.


Begitu juga dengan kos tol jalanraya. Ia perlu dikaji semula bagi maksud mempastikan kenaikan kos, sekiranya tidak dapat dielakkan, mestilah berpada. Jikalau kos tidak dapat dielak, umpamanya berkaitan harga tol, kerajaan hendaklah mencari jalan supaya rakyat tidak terbeban. 

Dari segi lain, kita perlu timbang kembali pengeluaran lebih banyak lesen, lebih sedikit kuota dan menjalani serta melaksana perniagaan dengan lebih mudah khususnya bagi perniagaan serta perdagangan kecil dan sederhana.


Kos perumahan semakin meningkat di pusat perbandaran utama dan harga rumah kian mahal disebabkan permintaan pelabur luar dan tempatan. Ini bukan hanya untuk hartanah mahal tetapi juga daripada kumpulan kos rendah. 
Walaupun terdapat Rancangan Perumahan Prima 1Malaysia, rumah termampu kini luar daripada kemampuan graduan baru dan kelas menengah rendah yang menghadapi kemungkinan menganggur ataupun pekerjaan bergaji rendah dengan hutang sekeliling pinggang.

Maka itu saya ingin melihat kerajaan, melalui Bank Negara, mengkaji semula rancangan pinjaman perumahan swasta bank perdagangan bagi rumah berharga di bawah RM250,000 didasarkan kepada pembayaran perkhidmatan (service fee) sebanyak empat peratus dan tidak berdasarkan faedah atau bunga (compound interest) terkumpul.

Kaedah ini selari dengan pembayaran yang dikenakan ke atas pinjaman perumahan kerajaan.


Besar kemungkinan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (Goods and Services Tax – GST) pada tahun depan akan menambahkan lagi tekanan terhadap kos sara hidup walaupun kesannya sekali sahaja dan ia diserap oleh keseluruhan sistem ekonomi.

Demi melegakan beban kewangan rakyat yang semakin meningkat, mungkin GST ini boleh ditangguhkan sehingga keadaan ekonomi meningkat ke tahap yang lebih kukuh dan kuat. 

Adalah diharapkan perkembangan ekonomi pada waktu itu akan tumbuh pesat dengan kadar jangka panjang. Dan sekiranya cukai ini perlu juga dilaksanakan, adalah diharap kadarnya dicongak semula.
Selain itu, saya amat bimbang akan hutang peribadi dan hutang kekeluargaan yang kini menjangkau paras mencemaskan pada tahap 87 peratus KDNK.
Keadaan ini disebabkan pinjaman-pinjaman perumahan, kereta dan pelajaran selain daripada hutang kad kredit dan bayaran balik penggunaan peribadi (melalui Ar-Rahnu atau Ah-Long) yang melonjakkan nisbah pembayaran balik hutang hampir 30 – 40 peratus daripada pendapatan isirumah. Keadaan ini mempercepatkan kadar kemuflisan peribadi dan menyebabkan tekanan mental di kalangan keluarga. 

Ia tidak dapat dipertahankan dalam keadaan terbaik, malahan pasti lebih teruk semasa krisis ekonomi. 

Sayangnya kerajaan lembab dalam meminda undang-undang kemuflisan dan peruntukan-peruntukan berkaitan serta peningkatan rangkaian keselamatan (safety net) seperti pembiayaan perubatan,walaupun pemindaan ini bersama dengan insurans pemberhentian kerja amat diperlukan sekarang.


Berkaitan dengan kemuflisan, ada baiknya jikalau kerajaan menghadkan tempoh tersebut kepada 12 bulan, umpamanya. Cara ini melegakan tekanan terhadap si muflis di samping menjaminnya daripada keaiban. 

Demi menegakkan kesaksamaan, badan yang mengeluarkan pinjaman harus memberi penangguhan terhadap pelaksanaan peruntukan undang-undang kemuflisan sementara si peminjam berusaha untuk membayar balik pinjamannya.


Keadaan ini pasti dapat membantu kebanyakan keluarga yang rata-rata kekurangan simpanan lebihan untuk membantu semasa menghadapi kecemasan luar dugaan.
Barang diingat kebanyakan pesara kerajaan dan sektor swasta sentiasa bergelut dengan serba kekurangan dalam usaha mereka menghadapi kos sara hidup yang semakin meninggi dengan wang pencen dan simpanan KWSP terhad.

Rasuah juga menambah kos sara hidup dan merupakan beban kepada semua. Apabila projek pembangunan, samada kecil atau besar, dinaikkan harga yang lebih daripada berpatutan, margin keuntungan kontraktor akan dilindung dari terjejas dengan memindahkan kos itu kepada pengguna dan pembayar cukai. Seorang kolumnis akhbar terkemuka berpendapat sistem ekonomi kita terus dihantui kekurangan timbal balas antara badan-badan kerajaan. Ini menyebabkan kuasa terus terkumpul di tangan badan Eksekutif. 

Dan ini menyebabkan berterusannya amalan pelaksanaan projek “untung atas angin” pihak ketiga (rent seeking), politik naungan, amalan pemerintahan tidak telus dan rasuah yang meluas. Maka itu tidaklah hairan sekiranya Malaysia dilihat sebagai salah sebuah negara terburuk mengenai kejujuran dan integriti.

Selain daripada rasuah, kita juga perlu berwaspada terhadap apa jua jenis pengkhianatan ekonomi yang boleh merosakkan sumber dan kekayaan negara untuk manfaat generasi akan datang. Kita perlu sistem timbal balas dan ini dapat diwujud dengan berkesan melalui penyemakan Akta Rahsia Rasmi, Akta Universiti dan Kolej Universiti, akhbar dan media masa yang lebih bebas dan perundangan kebebasan penerangan.

Begitu juga kita perlu pulihkan sepenuhnya nama baik mahkamah dan agensi-agensi penguatkuasaan, termasuklah kebebasan penguatkuasa seperti SPRM, agensi anti-rasuah sekiranya kita benar-benar mahu membasmi penyakit kanser rasuah yang menular di dalam sistem politik and birokrasi kita serta masyarakat kita secara amnya. 

Standing Orders Parlimen dan struktur Dewan Negara mungkin perlu menjalani proses pembaharuan demi membenarkan rang undang-undang peribadi daripada ahli dan perwakilan lebih mantap daripada negeri-negeri dalam menegakkan sistem fiskal dan belanjawan di bawah konsep federalisma.

Lebih buruk lagi, samada akibat dasar kerajaan atau tidak, taburan kekayaan negara, seperti dijangka, amat condong sekali. Kekayaan 10 peratus isirumah terkaya di Malaysia melampaui jumlah nilai 70 peratus isirumah terkebawah.
Di samping itu, lebihkurang 12 peratus daripada isirumah Malaysia tidak mempunyai kekayaan langsung. Hakikatnya ialah kekayaan satu peratus teratas mengatasi jumlah nilai 40 peratus isirumah terkebawah dalam tahun 2012.

Pendirian kerajaan seperti tercermin di dalam ucapan Belanjawan 2015 ialah membahagikan negara kepada dua bentuk ekonomi – ekonomi kapital dan ekonomi rakyat. Ekonomi kapital merujuk kepada dunia kapital dan modal korporat, usahawanan and pelaburan besar. Ekonomi rakyat pula sama dengan Model Ekonomi Baru yang merujuk kepada 40 peratus keluarga isirumah terkebawah dari segi pengagihan pendapatan. Pengkelasan ini malang sekali dan berbahaya. 

Untuk menyelesai isu ketidaksamaan dan mencapai keadilan sosial dalam negara seperti kita yang kaya lagi beruntung, kita perlu mengambil kira kesemua kelas pemegang kepentingan. Pertumbuhan ekonomi haruslah melibat dan menguntung semua orang, bukan hanya melalui perbezaan antara kapital dan pekerjaan.

Ketidaksamarataan dan ketidakseimbangan serta masalah kesaksamaan dalam pengagihan manfaat politik terus merupakan isu terbesar di negara kita. Ia menimbulkan ketidakpuasan di dalam masyarakat dan merosakkan perpaduan yang kita bina berpuluh tahun hinggalah matangnya negara kita sekarang. Ini menimbulkan nada sumbang beremosi dan melampau.

Ia juga menimbulkan hasad dengki dan cemburu antara kaum serta prasangka yang melemahkan nilai tersirat berpotensi untuk menyatupadukan kepelbagaian etnik kita. 

Memandangkan isu ini ada hubungkait dengan aktiviti ekonomi, saya ingin syorkan supaya kerajaan serta agensi-agensi berkenaan hendaklah secara langsung menggubal dasar yang memberi keutamaan kepada kontraktor dan pembekal tempatan dalam pengagihan kontrak, besar atau kecil, termasuk pemaju-pemaju tempatan di Sabah dan Sarawak.


Cabaran untuk mencapai ekonomi berpendapatan tinggi ialah kemampuan ekonomi tersebut mewujudkan pekerjaan berkualiti dengan pembayaran gaji tinggi, terutamanya bagi mereka berkerja buat pertama kali dan berkelulusan post-menengah dan tertiary, bukannya bergantung hanya kepada pekerjaan bergaji rendah yang kini dipenuhi pekerja asing di ladang-ladang, bidang pembinaan dan pembuatan berlandaskan pemasangan. 

Perpindahan kepada ekonomi berlandaskan perkhidmatan mungkin merupakan sebahagian daripada jawapan kepada penstrukturan semula ekonomi. Tetapi kita tidak seharusnya meninggalkan langsung aktiviti pembuatan bernilai tinggi, dengan mengimport tenaga kerja asing, dalam usaha kita hendak merendahkan kos tenaga manusia. Pengekalan pertumbuhan ekonomi jangka panjang memerlukan penambahan nilai pengisian pengetahuan sektor pembuatan dan industri perkhidmatan kita. Kesemuanya ini memerlukan inovasi, teknologi dan keusahawanan baru. 


Dengan cara ini sahajalah dapat kita meningkatkan upah dan gaji, melalui penambahan daya pengeluaran. Ini bukan hanya melibatkan peningkatan kemahiran pekerja tetapi juga memperuntukkan insentif serta institusi yang betul untuk menyokong pertumbuhan penambahan nilai. Soalnya apakah Model Ekonomi Baru mampu bergerak untuk mencapai matlamat seperti di atas.


Pencapaian keadilan sosial dan kesaksamaan merupakan tugas reformasi ekonomi terpenting dan perlu dilaksanakan sesegera mungkin. Ia melibatkan reformasi sistem percukaian mengenai tanggapannya terhadap modal dan pekerja, penanganan diskriminasi terhadap pekerja di sektor awam dan swasta, dasar-dasar yang meningkatkan bahagian upahgaji pendapatan negara kasar dan amalan untuk mencapai kesamaan peluang dan kesan (outcome). Mencapai struktur gaji tinggi dan meninggal  dasar pengajian rendah yang melibatkan pekerja asing demi mempertahankan dayasaing ekonomi negara bukanlah tugas mustahil.

Angka statistik menunjukkan daya pengeluaran terutamanya di bidang pembuatan beransur meningkat dari tahun ke tahun, tetapi jurang antara penggajian dan daya pengeluaran juga semakin meluas. Sebagai pemulihan sertamerta, selain daripada undang-undang penggajian minimum, saya ingin cadangkan pelaksanaan sistem bonus berpetunjuk daya pengeluaran (productivity-indexed bonus system) kedua-dua sektor awam dan swasta. Ini merupakan satu-satunya isu kritikal sekiranya kita hendak capai matlamat pembangunan melibatkan semua (inclusive growth) di Malaysia.


Walaupun terdapat kritikan di dalam Dewan serta kritikan masyarakat umum dan media terutamanya media sosial, pemimpin Kerajaan langsung tidak hirau akan keretakan di dalam ekonomi kita dengan sikap endah tak endah di mana setiap tahun belanjawan meremeh remehkan masalah yang memerlukan penyelesaian. 


Di sebaliknya ia ditunda ke tahun berikutnya dan kemudian daripada itu, ke rancangan lima tahun seterusnya. Isu-isu kritikal yang terlibat ini lazimnya mengenai masalah “akar umbi” atau struktural yang tidak mampu diselesai melalui peruntukan tahunan biasa.

Pada hemat saya tugas kita untuk mengatasi masalah ekonomi yang diperkatakan itu memerlukan ide baru yang berani. Ide-ide ini hendaklah di laksanakan dalam masa lima hingga 10 tahun akan datang dengan sokongan reformasi institusi demi membantu negara ke arah yang dijanjikan pemimpin-pemimpin pengasas negara kita ini. Reformasi ini memerlukan tekad politik untuk dilaksanakan secara menyeluruh, bukan hanya dilaksanakan satu persatu.

Saya amat takut akan keadaan ekonomi kita ini. Kita sebenarnya memerlukan reformasi ekonomi bersungguh-sungguh dan penyesuaian institusi menyeluruh dalam usaha kita mengaturkan sistem ekonomi supaya rakyat selamat daripada ancaman dan tekanan ekonomi dalaman dan ancaman krisis ekonomi global.

Rakyat memerlukan perubahan yang berani yang semestinya dibawa kepemimpinan handalan sensitif kepada tuntutan dan perasaan rakyat akar umbi. Kita seharusnya mengambil berat akan kebimbangan dan aspirasi mereka. Hakikatnya mereka perlu perubahan sekarang, jikalau tidak negara kita akan di anggap gagal. Ingatlah, kita bertanggung jawab perihal ini terhadap generasi akan datang.
Mungkin Yang Berhormat fikir saya ini seorang pesimis. Tidak, sebenarnya saya amat percaya akan kebolehan dan kemampuan rakyat kita terutama sekali generasi muda sekarang, yang akan mewarisi negara tercinta ini dan memimpinnya ke peringkat antarabangsa untuk berganding bahu bersama sama negara-negara dunia pertama. Inilah cabaran yang perlu kita atasi dan saya percaya ia akan terlaksana sekiranya kita mendekatinya dengan kebijaksanaan bersama.

Sekian, terima kasih. – 31 Oktober, 2014.