"Saya tidak ada pilihan selain dari menarik balik sokongan saya." - Tun Dr Mahathir Mohamad semalam menulis di blog beliau menjelaskan beliau tidak lagi menyokong Najib Razak. http://chedet.cc/?p=1438
Tun Dr Mahathir Mohamad amat terserlah bijak berpolitik.
Semalam beliau secara rasmi tidak lagi menyokong Najib. Hari untuk mengisytiharnya pun hari yang istimewa - Isnin, hari pertama Najib memasuki pejabat selepas lama bercuti di Eropah.
Apa kata Dr Mahathir? Antara intipatinya:
* Saya tidak akan menyangkal kerana saya telah berkali-kali menegur dasar-dasar Kerajaan sekarang. Saya menegur kerana saya berpendapat pemimpin yang tidak ditegur akan percaya segala-gala yang dilakukan oleh mereka baik-baik belaka. Hanya apabila ditegur sahaja barulah pemimpin akan sedar akan kesalahan dan mungkin akan memperbetulkannya.
** Pilihan saya bagi mengganti Tun Abdullah ialah Dato Seri Najib. Setelah beberapa lama dilihat bahawa dasar dan tindakan Dato Seri Najib tidak lebih berkesan dari Tun Abdullah.
*** Saya tidak sangka yang pencapaiannya dalam Pilihanraya Umum ke13 lebih buruk dari Tun Abdullah.
**** Harapan saya Dato Seri Najib akan mengambil ikhtibar dari prestasinya yang buruk dalam Pilihanraya Umum ke 13. Malangnya sehingga kini tidak ternampak apa-apa perubahan dari segi dasar atau pendekatan walaupun saya cuba menyampaikan pendapat saya, (yang juga pendapat ramai yang datang bertemu saya) secara langsung kepada Dato Seri Najib.
***** Wang Kerajaan diguna untuk mempengaruhi sokongan rakyat apabila sahaja pilihanraya umum diadakan. Ini menjadikan rakyat terlalu bergantung kepada Kerajaan untuk segala-galanya. Bagi yang betul-betul miskin, bantuan seperti ini memanglah wajar. Tetapi beribu rakyat yang ditawar menolak bantuan wang seperti ini. Semangat rakyat untuk bekerja menjadi luntur apabila mereka diberi ganjaran tanpa apa-apa usaha oleh mereka. Semangat ini tidak akan menolong pembangunan Negara.
****** Sesungguhnya banyaklah dasar, pendekatan dan perbuatan Kerajaan pimpinan Dato Seri Najib yang merosakkan hubungan antara kaum, merosakkan ekonomi dan kewangan negara.
******* Jikalau tiada siapa yang sanggup menegur, biarlah saya menegur. Saya pernah dipecat oleh Tunku Abdul Rahman, dipulau oleh Datuk Seri Abdullah dan difitnah oleh ramai. Jika kerana menegur saya akan didera, terpaksalah saya terima. Bukanlah saya tidak sayang pemimpin. Tetapi saya lebih sayang bangsa dan negara saya.
Kalau dulu, ketika Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri, kritikan Dr Mahathir sudah cukup untuk merebahkan Pak Lah.
Tetapi tidak hari ini.
Dr Mahathir boleh menyalak senyaring mana pun, yang pasti kesannya tidak ke mana.
Kalau dulu kritikan Dr Mahathir untuk menjatuhkan Pak Lah mendapat sokongan pemimpin Umno termasuk Muhyiddin Yassin dan Najib Razak, hari ini Dr Mahathir keseorangan.
Kalau dulu Dr Mahathir mendapat sokongan 3-0, setakat hari ini, 2-0 sudah menyebelahi Najib.
Dua Naib Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamid dan Hishammuddin Hussien, tidak menyokong Dr Mahathir.
Apa kata Hishammuddin?
Komen saya mengenai teguran Tun Mahathir Mohamad:
Tun Mahathir tidak pernah lokek dengan pandangan dan teguran. Tapi ini tak bermakna kita setuju dengan apa yang diluahkannya. Pada masa sama, saya tak nak aibkan pandangan Tun M kerana dari dulu lagi beliau ada pendiriannya sendiri. Saya hormati pandangan beliau. Jika sekiranya DS Najib tidak lakukan tindakan berani dengan berdepan dengan puak pemisah, tidak mungkin saya mampu mengurus kepulangan jenazah MH17 ke Malaysia. Justeru, terpulang kepada rakyat untuk menilai sendiri.
Apa kata Zahid?
Seseorang pemimpin yang telah dipilih rakyat harus dihormati termasuk oleh bekas pemimpin.
Setakat ini, belum ada kenyataan dari pemimpin Umno termasuk di peringkat bahagian menyokong pendirian Dr Mahathir terhadap Najib.
Kalau dulu Naib-Naib Presiden Umno menyokong Dr Mahathir untuk memencilkan Pak Lah, hari ini tiada sokongan untuk Dr Mahathir.
Itulah realiti politik Dr Mahathir perlu sedari.
Kebanyakan Ketua-Ketua Bahagian dan Ahli Parlimen menyokong Najib.
Apa tidaknya. Kebanyakan mereka kini memegang pelbagai jawatan - ada sudah jadi Pengerusi GLC, ada sudah jadi Ahli Lembaga Pengarah, ada sudah jadi Penasihat dan ramai sudah bertaraf Menteri.
Mereka cukup gembira dengan layanan yang diberikan oleh Presiden Umno, bukan macam zaman Dr Mahathir dulu.
Yang tidak diberi jawatan pun kelihatan tersenyum gembira. Hanya mereka sahaja yang tahu sebabnya.