TAHNIAH kepada Barisan Nasional dan Umno atas kejayaan mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar. Atau dengan kata lain pembangkang GAGAL merampas kerusi milik Umno di Selangor dan Perak. Kegagalan pembangkang sudah diduga dari awal berikutan perpecahan di kalangan pakatan pembangkang. Keputusan ini memberi banyak kesan kepada parti-parti politik dan protagonis politik. 1. NAJIB RAZAK: Malangnya Najib memilih meraikan kejayaan ini dengan membalas dendam terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad. Najib memilih menyerang Dr Mahathir dengan penuh emosi daripada mengambil kredit di atas kejayaan ini. Beliau kelihatan "cukup puas" dapat menghentam Dr Mahathir, orang yang memilih beliau untuk memegang jawatan Perdana Menteri. Ramai berpendapat Najib sekarang sudah boleh tidur nyenyak selepas ini. Mungkin benar dan mungkin tidak. Mungkin ada yang terbaca akan penulisan Rafidah Aziz tempohari menerusi Facebook beliau. Kata Rafidah, jika kita dikenali sebagai PENCURI seribu tahun yang lalu, akan tetap dikenali sebagai PENCURI sekarang dan tetapi dikenali sebagai PENCURI 1000 tahun akan datang. Isu 1MDB dan DERMA RM2.6 juta tidak akan mudah dilupakan, Ia akan lekat pada diri Najib buat selama-lamanya. Suatu hari nanti, bila sebut nama Najib, hanya kita ingati hanya 1MDB dan RM2.6 juta. Kemenangan di Sungai Besar dan Kuala Kangsar akan memberi sedikit ruang kepada Najib untuk ber"NAFAS". Itu sahaja. 2. UMNO & BARISAN NASIONAL: Kemenangan ini seolah-olah memberi bayangan bahawa BN akan menang besar apabila PRU-14 diadakan nanti. Benar jika pembangkang terus berpecah. Kemenangan ini tidak lain dan tidak bukan adalah kesan dari perpecahan di dalam Pakatan Rakyat. Hakikatnya di dalam mana-mana pilihanraya kecil, jentera Umno tiada tolok bandingnya. Sejarah menyebelahi Umno. Dan pengundi akan menggunakan kesempatan ini untuk meraih "keuntungan" dari pilihanraya kecil seumpama ini. Lihat sahaja Kuala Kangsar - orang Kuala Kangsar dapat jambatan di Manong dan sebuah Universiti. Itulah hasil pilihanraya kecil kepada penduduk tempatan. Adakah BN akan menang besar semasa PRU-14 nanti? Ia semata-mata bergantung kepada perpaduan di dalam Pakatan Rakyat/Harapan. 3. PAS: Malang buat Hadi Awang. Sejarah Pas akan berulang seperti mana di era Asri Muda. Pas akan jadi parti ketiga pilihan pengundi dan bukan lagi pilihan utama. Tidak pernah Presiden Pas dihina seperti mana Hadi dihina sekarang ini. Pelbagai nama samaran diberikan. Hadi WANG, Hadi Keris Panjang dan sebagainya. Kekalahan Pas akan memberi tekanan kepada Hadi. Sesetengah pemimpin Pas mencari makan sebagai ahli politik sepenuh masa. Hidup mereka bergantung kepada gaji sebagai Ahli Parlimen, Adun dan jawatan-jawatan kecil di peringkat negeri di Pulau Pinang dan Selangor. Berdasarkan keputusan di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, mereka-mereka ini akan hilang gaji, hilang punca pendapatan. Pas hari ini bukan Pas di zaman Fuad Hassan, Burhanuddin Hilmi, Yusof Rawa atau Fadzil Noor. Mereka di zaman Hadi Awang, zaman pakai kereta besar, bergaji mewah. Antara orang yang pertama memakai Pajero yang pada satu ketika dulu dilihat sebagai kereta mewah ialah Hadi Awang. Itulah perwatakan Hadi Awang sebenarnya. Hadi akan ditekan oleh pemimpin Pas yang kini bergaji kecuali Hadi dapat menjaminkan ganjaran yang lebih besar kepada mereka. Jika ini dapat dipenuhi oleh Hadi, maka Pas RELA hilang kerusi dan hilang negeri hanya semata-mata kerana cita-cita perbadi Hadi.
DUA hari Jelapang berkesempatan pusing-pusing di Parlimen Sungai Besar, Selangor. Maklumlah cuti sekolah. Kawan-kawan Umno ajak Jelapang ke Sungai Besar sambil makan-makan di kedai-kedai di Sungai Besar sambil mendengar celoteh orang Sungai Besar. Dalam perjalanan ke Sungai Besar, macam-macam ada - ada cendol bakar dan ada mentarang bakar. Bila dengar cerita orang Sungai Besar di warung-warung kopi, risau juga Jelapang akan peLuang BN di PRK ini. Bukan apa, takut Umno kalah. Kalah Umno, maksudnya rakyat menolak Najib Razak, bukan menolak Umno atau BN. Kemungkinan kalah rupa-rupanya ada. Bila sebut nama Jamal Yunos, ketua bahagian Sungai Besar, ada orang kata dia gangster. Jelapang pasti mereka salah anggap.
Bila sebut nama Ketua Perhubungan Umno Selangor Noh Omar (baru bergelar Tan Sri) pengundi Cina pula marah. Nampaknya, Umno kena perbetulkan persepsi kepada dua personaliti ini kalau hendak selamatkan Najib. Apabila Jelapang bertemu dengan ahli Pas, lain pula sentimennya. Rupa-rupanya ahli Pas Sungai Besar tidak "minat" calon mereka sendiri - Rani Osman. Tetapi agak memeranjatkan apabila ahli Pas menuduh presiden mereka, Hadi Awang (nama samaran baru di kalangan ahli Pas - Hadi keris panjang) cuba MENOLONG Umno MENANG di Sungai Besar. Terkejut besar kami. Cara ahli-ahli Pas ini bercakap seolah-olah Hadi meletak calon untuk KALAH bukan untuk menang kerana hendak MENANGkan Umno. Ahli-ahli Pas ini berkata, mereka akan tentukan semasa membuang undi samada hendak pangkah Pas atau AMANAH. Kalau mereka pangkah AMANAH, beratlah Umno. Kata ahli Pas lagi, kalau Hadi nak tolong Umno pun, janganlah buat skrip bodoh macam jalan cerita Good Star melenyapkan duit 1MDB. Kata mereka, alang-alang Hadi keris panjang hendak menolong Umno, tolonglah betul-betul. Ini orang Sungai Besar yang cakap. Jelapang hanya mengutip cerita-cerita ini dari kedai-kedai kopi dan tepi jalan. Ada lagi tuduhan yang dibuat oleh ahli Pas terhadap Hadi keris panjang mengenai pemilihan Rani dan penglibatan Umno dalam pemilihan calon. Tuduhan yang cukup serius. Tetapi biarlah Jelapang simpan rahsia ini. Biarlah Hadi keris panjang bertanyakan sendiri kepada ahli-ahlinya.
"Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan bertemu pimpinan pembangkang untuk berbincang mencari jalan menjatuhkan perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar."
Saya ahli Umno TETAPI malangnya bukan ahli Umno Sungai Besar. JIKA SAYA PENGUNDI SUNGAI BESAR, tiada peluang yang lebih baik dari PRK ini bagi menentukan masa depan Melayu dan Umno. PRK ini tidak akan mengubah apa-apa. Jika Umno kalah pun, Umno tetap memerintah. Perdana Menterinya TETAP dari Umno. Umno hari ini bukan Umno seperti dahulu lagi. Umno hari ini mengkhianati bangsanya. Pemimpinnya bergelumang dengan rasuah dan salahguna kuasa. Ini hakikat dan realitinya. Nafikanlah, TETAPI itulah realitinya. Negara rosak, bangsa hilang maruah. JIKA KITA PENGUNDI SUNGAI BESAR, inilah MASAnya untuk kita menyampaikan MESEJ KEPADA NAJIB RAZAK. Bahawa orang Melayu dan Islam MALU dipimpin oleh beliau yang diselubungi dengan pelbagai SKANDAL. Bahawa orang Melayu MENOLAK Najib sebagai Perdana Menteri. Kita tahu, di dalam hati, ramai ahli-ahli Umno tidak suka Najib. Ramai malu dengan skandal-skandal melibatkan Najib dan ahli keluarganya. Kita malu kepada kawan-kawan kita dari bangsa lain. Bukan ahli Umno sahaja yang tidak suka Najib. Pemimpin pun ada. Menteri pun ada. Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, difahamkan, MELETAKKAN JAWATAN tahun lepas apabila timbul isu wang derma RM2.6 bilion masuk ke dalam akaun Najib tetapi diTOLAK oleh Najib. Bukan semua Menteri pak turut. Bukan semua Menteri dapat menelan dakwaan salah laku Najib. Sebab itulah, hari ini, tidak ramai Menteri tampil mempertahankan Najib. Sebab itulah Najib terpaksa bergantung kepada pegawai bawahan beliau untuk mempertahankan beliau. Sesetengah Menteri memilih untuk berdiam diri. Hanya Khairy agak agresif dengan meletakkan jawatan. JIKA SAYA PENGUNDI SUNGAI BESAR, saya tidak akan mengundi BN kali ini. Jika saya AJK Bahagian Sungai Besar, inilah masanya saya akan mengunakan kuasa undi saya untuk menolak Najib Razak demi Melayu, Islam dan Umno. Kita mahu Umno direformasikan. Kita mahu Umno diperbetulkan. Kita mahu Umno dipimpin oleh seorang Presiden yang JUJUR dan Amanah dan dihatinya, kepentingan rakyat, orang Melayu mengatasi kepentingan diri, anak bini dan anak tiri. Inilah masanya kita di Sungai Besar memberi mesej yang jelas kepada Najib bahawa kita JELEK dengan pemimpin yang tidak amanah. JIKA SAYA PENGUNDI SUNGAI BESAR, jika saya tidak tergamak untuk mengundi parti lain selain Umno, sekurang-kurangnya, sebagai TANDA PROTES, saya tidak akan keluar mengundi. Menitis airmata saya melihat Umno sekarang. Dinodai oleh pemimpinnya sendiri. Tanpa Umno, siapalah Najib Razak. Kita dihina. Bila tiba masanya untuk mendapat sokongan kita, pemimpin di atas melontar wang (BR1M) ke arah kita. Begitu hinanya kita. Perit kehidupan kita tidak dipedulikan. JIKA SAYA PENGUNDI SUNGAI BESAR, inilah masa saya untuk menggunakan kuasa undi saya untuk meminta Najib mengundur diri. Kalah Umno tidak mengapa. Inilah pengorbanan kita untuk menyelamatkan Umno dan bangsa. Kudrat tiada, kuasa tiada untuk kita melawan mereka. Ini saja yang ada pada kita.