
PANJANG lebar seorang rakan blogger menulis di dalam Facebook beliau untuk menghalalkan penjualan stesen penjana elektrik kepunyaan 1MDB kepada syarikat China dan BUKAN kepada Tenaga Nasional Berhad.
Sebenarnya kuasa di tangan Kerajaan dan di tangan Najib Razak untuk menentukan pemilik baru penjana elektrik ini.
Kalau Najib kata "beri kepada TNB", maka TNB lah pemiliknya. Tetapi Najib berikan kepada syarikat dari negara luar, China General Nuclear Power Corp, maka IPP tersebut kini kepunyaan syarikat dari China.
Maka Jelapang teringat satu peristiwa bersejarah pada tahun 1981, 2 bulan selepas Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.
Peristiwa bersejarah tersebut dikenali sebagai - THE GUTHRIE DAWN RAID (SERANGAN SUBUH GUTHRIE).
Berikut tulisan Lela Iskandar Suhaimi mengenai peristiwa bersejarah tersebut.
Kisah benar kejayaan sekumpulan anak Melayu mengambil kembali tanah-tanah di Malaysia yang dipegang Inggeris selama 160 tahun dengan serangan terancang ke atas ibu kota Britain
Pada 7 haribulan September tahun 1981, kota London digemparkan dengan pengambilalihan mengejut syarikat perladangan Guthrie di London. Guthrie yang berusia lebih 100 tahun dan merupakan antara syarikat perladangan terbesar British jatuh ke tangan pihak asing di dalam masa 4 jam sahaja.
Apa yang lebih mengejutkan ialah syarikat tersebut jatuh ke tangan kerajaan Malaysia, di bawah pimpinan Dr. Mahathir Muhammad yang baru memegang jawatan Perdana Menteri selama 2 bulan.
Hari serangan akhirnya diputuskan — 7 September, pukul 9 pagi waktu London (4 petang waktu Malaysia).
Mengikut rancangan, kesemua yang terlibat akan mendapatkan persetujuan penjual-penjual sebelum bursa dibuka. Apabila ia dibuka, PNB akan mengisytiharkan berita menggemparkan ini dan menguruskan dokumentasinya sahaja — sekaligus memberi kejutan kepada Guthrie dan pemegang saham lain.
Yang rumitnya ialah memastikan pembelian ini dilakukan secara rahsia. Kerana jika ia terbongkar awal, harga saham Guthrie bakal melambung tinggi dan pengurusan Guthrie akan bertindakbalas untuk menggagalkan serangan hendap ini.
Di Malaysia Khalid yang diberi tugas menguruskan pembelian di sini optimis bahawa Bank Simpanan, Genting dan Kuwait Investment Group akan menerima tawaran PNB kerana ketiga-tiganya dianggap “mesra” dengan PNB.
Dato Ismail pula bergegas ke Singapura pada hari itu untuk berjumpa dengan pengerusi OCBC. Rancangannya ialah untuk meyakinkan pihak OCBC untuk menerima tawaran membeli saham Guthrie yang dipegang bank itu pada pukul 3:30 ptg, dan menghantar notis penerimaan pada pukul 3:45 petang.
Di London, Rowe & Pittman serta Rothschilds hanya menunggu lampu hijau dari Malaysia untuk membeli saham-saham Guthrie dari pelabur Inggeris pada pagi tersebut.
Sewaktu di Singapura, Ismail dan pengerusi OCBC, Tan Chin Tuan berbincang mengenai pembelian saham Guthrie sewaktu makan tengahari. Perbincangan yang memakan masa lama itu akhirnya berakhir dengan satu berita kurang enak. OCBC menolak tawaran PNB.
Ismail menelefon Khalid dan memberitahu berita buruk tersebut. Tetapi oleh kerana Khalid telah berjaya membeli saham dari Kuwait, Bank Simpanan dan Genting, mereka tiada jalan lain kecuali meneruskan serangan.
Di London, sebaik menerima lampu hijau, kedua-dua firma yang diupah PNB memulakan proses pembelian sepantas mungkin. Bank saudagar Rothschilds berjaya memujuk M&G Investment Trust, sebuah syarikat amanah saham Inggeris (yang memegang 17% dari Guthrie) menjual 11% saham Guthrie miliknya.
Broker-broker Rowe & Pittman yang ditugaskan membeli saham dari pelabur kecil Britain pula berjaya mengumpulkan sasaran 5% saham dari orang Inggeris.
Walaupun tanpa saham OCBC, dalam masa 4 jam, PNB berjaya memiliki 8 juta saham, atau 50.41% dari keseluruhan syarikat, tanpa disedari atau keizinan pihak pengurusan Guthrie.
Lewat tengahari waktu London, Guthrie jatuh ke dalam genggaman Malaysia.
Baca artikel penuh di link: http://www.jomjalan.com.my/2013/04/06/dawn-raid-guthrie-1981/
JELAPANG: Zaman Dr Mahathir kita bebaskan negara dari penjajahan dengan merampas khazanah negara dari penjajah British, malangnya hari ini, menjual aset negara kepada negara luar adalah perkara biasa.
Itu bezanya antara Najib dengan Dr Mahathir.