Showing posts with label mahfuz. Show all posts
Showing posts with label mahfuz. Show all posts

Saturday, July 19, 2008

SKETSA PARLIMEN 13 (JULAI 14/08): PANDIKAR AMIN REDAKAN “PERANG” DI PARLIMEN.

PETIKAN MENARIK DARI HANSARD PARLIMEN
(Persidangan ini berlangsung di hari di mana polis membuat sekatan jalanraya di seluruh ibukota dan sekitar parlimen)
Rujukan laporan Malaysiakini pada hari tersebut: http://www.malaysiakini.com/news/86032
“…adakah kawasan Parlimen dan kawasan-kawasan yang berhampiran telah menjadi ‘war zone’? Saya minta penjelasan Tuan
Yang di-Pertua, adakah arahan Tuan Yang di-Pertua sendiri yang tidak mengizinkan Ahli-ahli Parlimen pada hari ini membawa tetamu-tetamu. Saya juga meminta, adakah boleh Tuan Yang di-Pertua menggunakan Peraturan Mesyuarat 14(1)(i), penerangan daripada menteri-menteri ini untuk mengizinkan sama ada Menteri Dalam Negeri yang menyebabkan kesesakan lalu lintas pada hari ini yang mengganggu perjalanan Ahli-ahli Parlimen? Apa yang dikatakan ada perhimpunan besar-besaran, sedangkan kami daripada Pakatan Rakyat tidak pernah menganjurkan, tidak pernah mengarahkan ahli-ahli kami untuk berhimpun di sini sehinggakan dua hari di Kuala Lumpur ini menjadi seolah-olah ‘kawasan perang’.
- Salahuddin Ayub (Kubang Kerian)

“…tidak pernah dengar, tidak tahu sesiapa yang tahu sama ada seseorang boleh diharamkan daripada menghadiri Parlimen, datang ke Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim, banned daripada datang ke Parlimen.” - Lim Kit Siang (Ipoh Timur)

“Saya cadangkan bahawa Ketua Polis Negara dirujuk di bawah 26(1)(p) Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan oleh kerana ingkar melaksanakan dan melanggar usul yang ada diluluskan oleh Dewan yang mulia ini pada 28 April.” - Lim Kit Siang (Ipoh Timur) ketika mendesak Parlimen membincang usul beliau selepas roadblock dibuat ke jalan-jalan masuk ke Parlimen dan Anwar Ibrahim dihalang ke Parlimen.

“Ahli-ahli Yang Berhormat, kalau umpamanya ada penghalang, tidak akan Ahli-ahli Yang Berhormat semua berada di Dewan pada hari ini. Saya tadi pagi pun sewaktu datang di sini juga kena tahan sebentar. Saya tidak buat apa-apa bantahan kerana saya faham bahawa tag Tuan Yang di-Pertua Dewan Rakyat depan kereta saya itu, sesiapa pun boleh dibuat, sesiapa pun boleh dibuat. Kereta Proton Perdana Eksekutif siapa pun boleh beli.”Speaker Pandikar Amin Mulia (gambar atas).

“Boleh atau tidak Tuan Yang di-Pertua menggunakan kerusi yang mulia ini memberitahu Dewan demonstrasi apa, siapa penganjurnya, siapa perancangnya, mengapa.” - Mohamed Azmin Ali (Gombak)

“Kalau betul Parlimen ataupun Ahli Parlimen Barisan Nasional hebat, mengapa takut dengan seorang insan bernama Anwar Ibrahim.” - Mohamed Azmin Ali (Gombak)

“Yang Berhormat Gombak sudah, tolong, tolonglah. Yang Berhormat Gombak tolong, sila. Ahli Yang Berhormat yang lain sudah. Suruh duduk dulu, menteri. Dua menteri duduk, Ahli-ahli Yang Berhormat duduk dulu. Duduk! Ahli-ahli Yang Berhormat... [Dewan riuh] Ahli-ahli Yang Berhormat, boleh duduk Ahli-ahli Yang Berhormat. Ahli-ahli Yang Berhormat tolong duduk, Yang Berhormat Gombak duduk. Yang Berhormat Gombak sudah saya dengar, sudah saya beri peluang kepada Yang Berhormat Gombak begitu lama. Sudah saya kasi peluang, sila Yang Berhormat duduk. Tolong Yang Berhormat Gombak. Tidak apa-apa, yang lain duduk juga. Yang lain pun duduk juga. Apabila saya arah Yang Berhormat Gombak duduk, Yang Berhormat Gombak duduk yang lain pun duduk jangan berdiri. Sila Yang Berhormat Gombak duduk. Sila. [Dewan riuh] Ahli-ahli Yang Berhormat, kalau dalam kekecohan begini saya mempunyai kuasa untuk menangguhkan Dewan sepuluh minit atau dua puluh minit. Buat apa? Untuk apa? Kalau balik masuk Dewan begitu juga.” Pandikar Amin Mulia

“Yang Berhormat Pokok Sena nanti dulu. Nanti dulu, menteri-menteri tolong duduk. Yang Berhormat Pokok Sena duduk, Yang Berhormat Gombak tolong duduk. Saya tidak boleh membenarkan umpannya sesuatu perkara di bahas sepanjang lebar yang tidak ada kena mengena dengan Mesyuarat, tidak boleh Yang Berhormat. Menurut risikan itulah, kalau tidak ada kekacauan berlaku, Alhamdulillahlah. Semua kita semua bersyukur, tidak ada kekacauan, kalau jaminan daripada pembangkang tidak ada kekacauan, Alhamdulillah. Saya berdoa, kalau kerajaan tidak ada kekacauan, polis cekap,Alhamdulillahlah.” Pandikar Amin Mulia.

“Bersyukur kita semua. Kenapa harus bertengkar dalam Dewan pasal soal ini? Syukurlah! Pagi ini saya datang di Dewan dengan selamat. Ahli-ahli Yang Berhormat datang dengan selamat walaupun tergendala sedikit kerana keselamatan. Jangan nanti terlapor di akhbar, ditolak 1,444 malaikat, satu, dua Ahli Yang Berhormat ditembak, ia sudah pun berlaku.” - Pandikar Amin Mulia.

“Kalau Tuan Yang di-Pertua boleh memberi peluang kepada Yang Berhormat Gombak tadi untuk memberikan sesuatu penjelasan, saya rasa elok kita menggunakan peruntukan ini bagi membolehkan seorang menteri supaya memberikan penerangan. Polis pencen mana yang memberi laporan kepada mereka? [Dewan riuh] - Mahfuz Omar (Pokok Sena)

“Saya minta mohon, kita terpaksa meninggalkan. Kalau beginilah cara kami diperlakukan di sini. [Dewan riuh] - Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (Permatang Pauh)

“Saya hendak menarik perhatian Tuan Yang di-Pertua. Di bawah Jabatan Perdana Menteri ada satu lagi bahagian yang penting iaitu bahagian undang-undang. Sepatutnya seorang menteri yang menjaga bahagian undang-undang turut datang ke Parlimen dan menjawab. Oleh sebab di waktu perbahasan Rancangan Malaysia Kesembilan, midterm ini ada ahli-ahli Yang Berhormat membangkit perkara pembayaran ex-gratia kepada bekas-bekas hakim, saya turut mencelah dan beliau tidak ada di sini. Menteri (Zaid Ibrahim) ini kalau saya baca di suratkhabar, cukup banyak bercakap di luar tetapi di Dewan tidak datang untuk menjawab pertanyaan Ahli-ahli
Dewan Rakyat. [Tepuk]
- Ibrahim Ali (Pasir Mas)

Kalau tidak, tidak guna dia jadi menteri. Lebih baik bagi kat Yang Berhormat Sri Gading, Menteri Undang-undang. Tiga, empat penggal. Yang Berhormat sendiri Tuan Yang di-Pertua seorang peguam baik jadi Menteri Undang-undang. Kalau dia tidak mahu menjadi menteri. Dia bukan bertanding pilihan raya pun.”Ibrahim Ali (Pasir Mas).

“Prestasi dia (Zaid Ibrahim) macam itu. Jadi itulah kita kesal. Biarlah dia datang, bukan pun selalu dia datang. Sekali-sekala dia datang. Kami sampai 9.15 malam boleh tunggu, kami bukan menteri, tetapi hendak menjayakan dan menjaga kerajaan Barisan Nasional kami tunggu sampai pukul 9.15 ini. Jadi bila kita lahirkan kekesalan itu biarlah didengar oleh YAB Perdana Menteri, pemimpin kita.” - Mohamad Aziz (Sri Gading)

Dr Mohd Puad Zarkashi (Batu Pahat): Apakah kementerian mengawal klinik-klinik swasta di mana doktor dia, dia ada perniagaan lain, dia sukar mencari doktor locum, maka pekerja itu, sesuka hati menjual ubat tanpa prescription terutamanya seperti viagra dan sebagainya.
Timbalan Menteri Kesihatan Dr Abdul Latiff Ahmad: Saya hairan dan ajaib, ada 5,000 lebih ubat yang ada di pasaran, di bawah Akta Racun, kenapa Batu Pahat hanya cakap viagra? [Ketawa]

Sunday, July 6, 2008

SKETSA PARLIMEN 8 (JULAI 3/08): MAHFUZ, CACING & LOUIS VUITTON

PETIKAN MENARIK DARI HANSARD PARLIMEN

“…bagi saya rebat RM625 untuk kereta 2000cc hanya untuk RM1.70 bagi satu hari. RM1.70 apa kita boleh buat? Hendak bubuh minyak motor pun tidak boleh. Kalau minyak itu sudah kering, naik lampu dah pergi bubuh RM1.70, dia start masuk gear, mati, sebab minyak itu hanya diguna untuk menghidupkan enjin, masuk gear, mati, tambah-tambah kalau dapat RM1.50. Melainkan macam orang Padang Besar (Azmi Khalid), memang dia besar. Dia tidak ada apa-apa masalah, pencen menteri ada, elaun Ahli Parlimen pun ada. Isteri pun cantik.” Mahfuz Omar (Pokok Sena)

“Tok saya pun boleh habaq, sabaq, tabah, jimat. Kalau dahulu tok saya habaq, “Jimat che”, jangan makan lauk banyak sebab kalau makan lauk banyak, cacing. Kalau pergi buang air besar, ada cacing. Jadi kita pun takut, padahal bukan tok kita beritahu bukan masalah cacing, masalah duit tidak ada.”Mahfuz Omar (Pokok Sena)

“Takkan kita hendak salahkan Bagan (Lim Guan Eng) bila dia naik jadi ketua menteri. Melayu Pulau Pinang terpinggir. 50 tahun UMNO buat apa? Duk cangak, nganga sahaja...” - Mahfuz Omar (Pokok Sena)

Terese Kok vs Joseph Kurup

Teresa Kok (Seputeh): Apa yang baik tentang jalan di Sabah ialah ia tidak ada tol tetapi kualiti jalan begitu teruk sekali. Ada tempat 20km langsung tidak ada tar tetapi dibuka untuk kereta. Ada yang tanah runtuh. Di Keningau kita tengok ada hospital yang begitu canggih, besar, ada sekolah yang begitu besar tetapi tidak ada kelengkapan.
Joseph Kurup: Apabila memberi keadaan jalan-jalan di negeri Sabah, salah satu saya setujuilah kalau kita pergi ke luar bandar memang jalan rayanya tidak berapa baik. Oleh sebab keadaan negeri Sabah itu begitu luas sekali. Akan tetapi janganlah cakap, bilang jalan raya begitu sangat teruk sekali. Bukanlah begitu teruk sekali, baik juga.
Teresa Kok: YB pernah pergi ke tempat yang saya cakap ini ke?
Joseph Kurup: Saya orang Sabah dan sering kali pergi tempat itu. Saya tidak percaya ia mengambil masa tujuh jam sampai di Kudat.
Teresa Kok: Mungkin YB pergi dengan kapal terbang dan helikopter, itu sebab YB tak tahu.

“Kurang logik jika diskaun ini juga diberi kepada golongan bumiputera yang memiliki atau mampu membeli rumah mewah berjuta-juta ringgit. Jika sebuah rumah dibeli bernilai RM1 juta, diskaunnya sudah mencukupi untuk membeli sebuah rumah kos rendah.” - Chua Tee Yong (Labis)

“Saya mencadangkan supaya kerajaan dapat memberikan subsidi dalam bentuk wang tunai terus kepada isi rumah yang berpendapatan kurang dari RM1,500 sebulan. 24% (pendapatan kurang RM1,500 sebulan) daripada 27 juta penduduk adalah 6.4 juta. Andaikan sebuah institusi keluarga terdiri daripada empat orang, iaitu ibu, bapa dan dua orang anak, maka dengan ini sebanyak 1 juta penduduk memerlukan pertolongan subsidi wang tunai ini segera. Jika dengan kesimpulan mudah, sebuah keluarga diberi RM10,000 setahun, maka hanya sebanyak RM17 bilion yang diperlukan.” - Chua Tee Yong (Labis)

Ahmad Maslan (Pontian)
Pulau Pisang dekat di tengah,
Batu Putih tiada lagi,
saya bangun untuk berhujah
bagi membela ibu pertiwi.

“…apakah mereka yang boleh membeli kereta Porsche dan Mercedes, membeli beg tangan Louis Vuitton dan Prada, pergi makan angin di Paris dan Milan mendapat diskaun ini atas nama bumiputera. Saya nampak YB Kinabatangan pun pakai beg Louis Vuitton. Tak kan orang yang boleh beli beg Louis Vuitton, Prada diberikan diskaun rumah.” - Loke Siew Fook (Rasah)

http://www.parlimen.gov.my/hindex/pdf/DR-03072008.pdf