Showing posts with label kalimah Allah. Show all posts
Showing posts with label kalimah Allah. Show all posts

Tuesday, January 19, 2010

NAZRI: BUKAN ISLAM BOLEH GUNA KALIMAH ALLAH?


Kata Nazri Aziz: Bukan Islam di Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak boleh menggunakan kalimah Allah.
Bukankah kerajaan telah membuat keputusan untuk menunggu proses mahkamah berjalan?

Friday, January 15, 2010

BERSATU MEMPERTAHANKAN KALIMAH ALLAH

Hari ini, khutbah di kesemua masjid di seluruh negeri Selangor menyeru seluruh umat untuk bersatu mempertahankan kalimah Allah. Berikut disiarkan sebahagian dari teks khutbah tersebut.

BERSATU MEMPERTAHANKAN KALIMAH ALLAH”
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Marilah kita meningkatkan ketaqwaan kita dan menghadapkan seluruh jiwa raga kita kehadrat Allah S.W.T., dengan merenung, berfikir secara mendalam, tentang kebesaran Allah dan segala rahmat kurniaan-Nya.

Mereka yang sering mengingati Allah jiwanya akan tenang, hatinya akan tenteram, sehingga halus budi pekerti dan tutur katanya. Firman Allah S.W.T. dalam Surah ar-Ra’du: ayat 28:-
Bermaksud: “Orang yang beriman menjadi tenang hatinya dengan mengingati Allah, ketahuilah bahawa dengan mengingati Allah hati akan tenang”.

Muslimin yang berbahagia,

Dalam Al-Quran yang mengandungi lebih daripada 600 halaman, kalimah Allah diulang-ulang setiap halaman. Mereka yang membaca seluruh Al-Quran akan menyebut lebih 20 ribu kali. Dalam solat pula, kalimah Allah disebut sebanyak 425 kali bagi 17 rakaat sehari semalam. Begitulah intimnya umat Islam dengan kalimah Allah.

Perkataan Allah menurut Ensiklopedia Islam adalah merujuk kepada sebutan atau nama Tuhan yang tiada Tuhan selain Allah atau Tuhan Yang Maha Esa.
Menurut ensiklopedia Katholik, ianya telah dicatat bahawa “perkataan Allah adalah kalimah dalam bahasa arab, ianya hanya digunakan di kalangan orang Islam bagi nama tuhan mereka”.
Umum mengetahui perkataan Allah tidak pernah terdapat dalam bahasa asal perjanjian lama yang dikenali sebagai Taurat dan perjanjian baru yang dikenali sebagai Bible. Ini adalah kerana Kitab Taurat ditulis dalam bahasa Hebrew, manakala Bible dalam bahasa Greek.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada hari Khamis, 31 Disember 2009, yang membenarkan akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah “Allah” amat memeranjatkan bagi semua umat Islam di seluruh negara. Berbagai reaksi telah timbul baik daripada individu, termasuk di kalangan ulama’, ahli politik dan cendekiawan Islam, ataupun jawatankuasa masjid serta persatuan dan pertubuhan Islam.
Penggunaan nama Allah oleh pihak Kristian khususnya dalam penulisan mereka, amat wajar dilarang oleh pihak kerajaan. Di dalam hukum Islam, kerajaan berhak memutuskan hukuman di dalam konteks menghalang mudharat yang dijangkakan.

Dalam konteks Malaysia, penggunaan kalimah Allah bagi penganut agama Kristian amat dibimbangi boleh mencetuskan ketegangan antara agama seterusnya boleh membawa
perpecahan yang serius jika gagal dikawal.
Lebih-lebih lagi, apabila mengenangkan kelalaian umat Islam yang ada pada hari ini, telah memberi ruang kepada missionary bukan Islam mengambil kesempatan untuk tujuan-tujuan tertentu.
Di samping itu, kemunculan beberapa kumpulan bukan Islam, yang diyakini akan menyalahgunakan nama Allah dalam tulisan mereka secara berleluasa, sehingga membawa kekeliruan bagi penganut Islam.

Satu lagi fakta yang perlu difikirkan adalah, mengapa gereja-gereja di Eropah seperti Vatican City di Itali TIDAK MENGGUNAKAN kalimah Allah untuk God, malah negara-negara majoriti Kristian juga tidak pernah sibuk ingin menggunakan nama Allah ini. Malah dalam filem-filem bercorak agama terbitan Hollywood, pihak Kristian tidak pernah menggunakan kalimah Allah bila menyeru tuhan mereka. Mereka hanya gunakan God atau Lord sahaja. Itulah yang terpakai di sisi Kristian seluruh dunia sebenarnya.

Umat Islam perlu sedar mengapa kumpulan tersebut memperjuangkan penggunaan kalimah ini di negara-negara majoriti umat Islam seperti Mesir, Indonesia, beberapa negara Arab dan kini di negara kita, Malaysia.

Tahukah kita, apa sebabnya berlaku sedemikian?. Kesannya nanti, kita bimbang bahawa semua gereja akan ditukar kepada nama Baitullah (rumah Allah), bible juga akan dinamakan Kitabullah dan lebih keliru lagi apabila setiap agama yang ada di negara ini menggunakan nama tuhan mereka dengan nama Allah. Niat mereka adalah untuk menyamaratakan semua agama di negara ini. Sedangkan Islam itu adalah agama yang diredhai Allah SWT., tiada agama lain yang sebenarnya melainkan Islam. Kerana Islam datangnya daripada Allah sedangkan agama yang lain semuanya rekaan manusia semata-mata. Fikirkanlah!.

Sidang Jumaat sekalian,

Larangan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam bukan perkara baru. Larangan terhadap penggunaan kalimah Allah ini telah diputuskan oleh Jemaah Menteri pada 16 Mei 1986 yang memutuskan empat (4) perkataan khusus iaitu; Allah, solat, Kaabah dan Baitullah tidak dibenarkan penggunaannya oleh bukan Islam. Pada masa ini terdapat sepuluh (10) buah negeri telah memperuntukkan larangan penggunaan kalimah Allah dalam jadual kepada Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam kecuali Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan yang masih dalam proses menggubal Enakmen ini.

Demikian juga, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke – 82 yang bersidang pada 5 - 7 Mei 2008, telah memutuskan bahawa:-

1. Lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau dimasukkan dengan agama-agama bukan Islam yang lain.

2. Oleh itu, wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat
mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor telah memutuskan bahwa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau dimasukkan dengan agama-agama bukan Islam yang lain.

Oleh itu, wajib bagi umat Islam menjaga dengan cara yang terbaik sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Majlis Agama Islam Selangor juga telah melaksanakan beberapa tindakan, antaranya pada 13 Mac 2009 yang lalu, mengadakan satu sidang akhbar bagi menyatakan pendirian MAIS berhubung isu ini di mana MAIS berpendirian bahawa penggunaan kalimah Allah hanya eksklusif untuk orang Islam sahaja. Larangan penggunaan kalimah Allah oleh agama selain Islam adalah untuk mengelakkan kekeliruan di kalangan penganut agama Islam terhadap konsep
Keesaan Allah SWT.

Selain itu, MAIS turut menulis surat bertarikh 19 Mac 2009 bagi menyatakan pendirian ini kepada Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Penerangan Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan semua Majlis Agama Islam Negeri-Negeri Seluruh Negara.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita menghadapi perkara ini dengan penuh bijaksana. Tindakan pertama kita ialah bersatu memperkukuhkan perpaduan. Kita padamkan segala permusuhan dan perbalahan di kalangan kita. Walaupun sebahagian kita berbeza ideologi, namun ianya tidak sampai menggadai maruah agama yang maha suci, semata-mata mempertahankan pangkat dan kuasa.
Ingatlah firman Allah S.W.T. dalam Surah ali-‘Imran: ayat 26:-

Maksudnya:
“Katakanlah (wahai Muhammad), “Wahai Tuhan yang mempunyai pemerintahan!, Engkaulah yang memberi pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang mencabut pemerintahan daripada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu”.

Adalah diharapkan agar kita bertindak dengan penuh hikmah dan tidak mengambil tindakan yang melulu akibat keputusan mahkamah itu. Sebagai warga negara yang menghormati kedaulatan undang-undang, hendaklah kita bertindak dengan bijaksana di dalam lunas Undang-undang Negara. Pihak yang berkuasa sedang mengambil tindakan yang perlu mengikut proses undang undang negara kita. Kita berdoa semoga tindakan yang mereka ambil diperkenankan dan diredhai oleh Allah S.W.T. :

Bermaksud:
“Orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepada engkau (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut millah (agama) mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka), “Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar”. Sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepada engkau (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh daripada Allah (sesuatu pun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada engkau”. (Surah Al-Baqarah: ayat 120)

Wednesday, January 13, 2010

AKHBAR CINA MENGHASUT

Jika sesiapa terbaca akan terjemahan berita yang disiarkan oleh akhbar-akhbar Cina yang disiarkan oleh Utusan Malaysia, maka mudahlah untuk kita memahami kenapa kaum Cina menyimpan tanggapan negatif terhadap orang Melayu.

Puncanya ialah HASUTAN yang dibuat oleh akhbar-akhbar Cina

Semalam Utusan Malaysia menyiarkan isu-isu yang dibangkitkan oleh akhbar Cina yang bertumpu kepada bahasa di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina, lepasan UiTM dan NGO Cina.

Ambil contoh isu lepasan UiTM. Berikut ialah terjemahan yang di buat oleh Utusan Malaysia semalam.

Isu mencari pekerjaan di kalangan sisawazah dalam laporan Nanyang Siangpao pada 7 Januari 2010 yang ditulis oleh Phang Seng Choi bertajuk "Pemohon dari lepasan Mara paling tinggi?," cukup menarik.

Penulis itu mengupas mengenai laporan akhir tahun Dewan Rakyat berkaitan bantuan kerajaan terhadap graduan dan lepasan sekolah mencari kerja di Jobs Malaysia sehingga 12 November 2009, mencatat seramai 69,760 orang pemohon.

Dalam permohonan tersebut, siswa lulusan Mara paling ramai menjadi pemohon iaitu 12,768 orang (18.30 peratus), diikuti Universiti Utara Malaysia (UUM) 4,151 orang (5.05 peratus) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) 2,943 orang (4.22 peratus).

Selain daripada UiTM yang melaksanakan pengambilan pelajar di kalangan bangsa sendiri sahaja, lain-lain universiti awam juga memainkan peranan menggunakan sistem kuota untuk pengambilan pelajar bagi memberi ruang kepada bumiputera mendapat tempat di IPTA.

Bagi memberi peluang kepada bumiputera dapat masuk IPTA, mereka cuba rendahkan markah merit kelulusan sebenar dan mengabaikan kebolehan persaingan para pelajar tersebut selepas garduate di alam pekerjaan.

Oleh kerana pasaran pekerjaan mereka adalah bekerja dengan kerajaan, ramai dari kalangan mereka akan ditempatkan di badan-badan kerajaan.

Namun, mereka tidak dapat bersaing atau menandingi pelajar-pelajar lulusan luar negara dalam pasaran terbuka. Dengan mudah nampak kecacatan yang ada pada mereka.

Penulis itu berpendapat sekatan pihak kerajaan terhadap kemasukan ke universiti awam kerana mahu mempertahankan sesuatu kaum adalah konsep melawan arus kepada pembangunan pasaran terbuka.

Ia bukan sahaja tidak dapat menggalakkan pelajar keluaran universiti tempatan dapat bersaing, sebaliknya memdapat kesan negatif apabila mereka mahukan lebih banyak dibelai dan dimanjakan. Itulah menyebabkan mahasiswa UiTM berani melakukan tunjuk perasaan membantah "tidak mahu buka kepada bukan bumiputera masuk belajar". Sebab itu juga, mahasiswa UiTM sangat ramai memohon pekerjaan di Jobs Malaysia.

Persoalannya tidakkah artikel seumpama ini berunsur hasutan? Adakah para pemimpin Melayu bersetuju dengan pandangan yang dipaparkan oleh Nanyang Siangpao ini? Bilakah pihak yang bertanggungjawab memantau unsur-unsur hasutan ini mahu bertindak?

Ini bukan kali pertama akhbar-akhbar Cina memainkan isu perkauman dan menghasut. Antara kesilapan besar para pemimpin terdahulu ialah membiarkan akhbar Cina bermaharajalela sebegini rupa.

Hari ini pemimpin kita hanya banyak bercakap dan mengutamakan populariti dari mengambil tindakan sewajarnya. Bila sahaja ada masalah, peringkat bawahan disalahkan. Alangkah baiknya para pemimpin benar-benar memimpin dan mengetepikan kepentingan diri demi orang Melayu dan Islam.

Tuesday, January 12, 2010

KATA RPK: AKHBAR THE STAR ANTI-ISLAM

Jelapang bukanlah peminat tulisan Raja Petra Kamaruddin aka RPK.

Tetapi Jelapang turut berkongsi sentimen yang diketengahkan oleh RPK melalui artikel beliau "What the f*** is Wong Chun Wai trying to prove".
http://malaysia-today.net/index.php?option=com_content&view=article&id=29525:what-the-fuck-is-wong-chun-wai-trying-to-prove&catid=20:no-holds-barred&Itemid=100087

Mengenai artikel Wong Chun Wai, RPK menulis: "The Star has been playing up the Islamic State issue to the hilt. In its very subtle way it has attempted to paint Islam as ‘the enemy’ and a pariah religion to boot. The Star embarked on its anti-Islamic State campaign and, therefore, in the same breath, spun its anti-Islam propaganda in its effort to not only run down PAS but also to place DAP in a dilemma if it does not come out openly and strongly in opposition to the Islamic State."

Terjemahan: "Akhbar the Star telah mengeksploitkan isu negara Islam sepenuhnya. Dengan secara halus, akhbar itu cuba menggambarkan Islam sebagai musuh dan pariah agama. Akhbar The Star telah mengenengahkan kempen anti negara Islam ..."

Nampaknya tuduhan RPK terhadap akhbar The Star bukan sesuatu yang tidak berasas. Semalam dimuka hadapannya, akhbar tersebut meletakkan berita mengenai keputusan Kabinet meluluskan peruntukan sebanyak RM15 juta untuk digunakan sebagai bayaran pendahuluan kepada mereka yang memperoleh perintah nafkah daripada Mahkamah Syariah. Peruntukan itu bertujuan membantu isteri-isteri yang dalam proses perceraian dan tidak mendapat nafkah daripada suami, meneruskan hidup supaya kebajikan mereka dan anak tidak terabai.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0112&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_15.htm

Niat kerajaan murni sekali. Tetapi apakah tujuan akhbar tersebut memaparkan berita tersebut?

Alimony aid for Muslim women caught in divorce wrangles. (Bantuan nafkah untuk WANITA ISLAM terperangkap dalam masalah perceraian) sebagai tajuk muka depannya.

Dan dalam beritanya dimuatkan perenggan berikut: "Non-governmental organisations have cautiously welcomed the move, saying they wanted it to be implemented efficiently and fairly. (Organisasi-organisasi bukan kerajaan (NGOs) berhati-hati dalam reaksi mereka, sebaliknya mahukan ianya dilaksanakan secara cekap dan adil). http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2010/1/12/nation/5454333&sec=nation

Hanya pengarang-pengarang akhbar The Star yang mengetahui hasrat yang tersirat kenapa berita tersebut menjadi bahan muka hadapan akhbar mereka.

Jelapang tercari-cari akan artikel mengenai titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kepada semua pihak di Selangor agar berpegang teguh kepada pendirian mengharamkan pengunaan kalimah Allah oleh agama selain Islam di dalam akhbar The Star online tetapi tidak pula terjumpa sepatah ayat pun mengenai titah DYMM itu. http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0112&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm

Mungkin akhbar The Star lebih mengetahui akan nilai keharmonian bangsa lebih dari orang lain.

Monday, January 11, 2010

HERALD -THE CATHOLIC WEEKLY PERLU IKHLAS

‘‘Sudah tiba masanya kita, masyarakat Kristian khususnya Katholik membuat penilaian kepada keadaan sekarang demi keselamatan dan ketenteraman awam supaya dengan senang hati menggugurkan perkataan Allah untuk menenangkan saudara Islam kita.

‘‘Daripada terus mendesak hak untuk menggunakan perkataan Allah adalah lebih baik jika Katholik hanya menggunakan perkataan ‘Tuhan’ atau ‘Tuhan Yang Maha Kuasa’.

‘‘Biarlah saudara Islam kita sahaja yang menggunakan perkataan Allah untuk kebajikan supaya kita dapat hidup aman damai dan harmoni di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini." - Presiden Majlis Jaksa Pendamai Malaysia Datuk Clarence Bongkos Malakun.

Terima kasih dan tahniah Datuk Clarence. Sejak insiden gereja dibakar, pemimpin-pemimpin politik Melayu Islam berpusu-pusu menghulurkan tangan tanda persahabatan dengan pemimpin Kristian demi mengekalkan keharmonian negara.

Pemimpin-pemimpin politik tanpa mengira perbezaan fahaman politik menunjukkan tanda simpati demi meredakan keadaan. Oleh itu kenyataan yang dibuat oleh Datuk Clarence kena dan tepat pada masanya. http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0111&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm

Sesama kita tidak pernah memusuhi rakan-rakan kita dari agama lain. Tetapi malangnya apabila kes kalimah Allah dibawa ke mahkamah dan mahkamah merestui permohonan Akhbar Herald-The Catholic Weekly (http://www.heraldmalaysia.com/index.php), umat Islam tersinggung dan terluka dengan keputusan tersebut.

Berkurun lamanya kita hidup bersama dan tidak pernah kalimah Allah ini dijadikan bahan perbicaraan di mahkamah. Umat Islam sedar Kalimah Allah ini digunakan di Sabah dan Sarawak.

Seperti yang dinyatakan oleh satu komen yang di buat oleh "YB Raz" semalam: "kalau dikira segala pertimbangan memang tak mengapa asalkan ianya digunapakai di sabah/sarawak sahaja. ini bertepatan dengan kehendak penduduk pribumi disana yang telah menggunakannya sejak dulu lagi.tetapi yang dikhuatiri ianya turut digunakan di semenanjung. suasana agama di semenanjung tidak sama dengan sabah/sarawak.sebab itulah ianya ditentang. mencegah adalah lebih baik dari mengubati. sebelum ianya digunakan meluas di semenanjung, adalah lebih baik ianya dihalang."

Menurut Tan Sri Bernard Dompok: "Dalam upacara ibadat yang menggunakan bahasa Inggeris, istilah yang digunakan ialah God, manakala upacara ibadat dalam bahasa Melayu menggunakan istilah Allah dan upacara ibadat dalam bahasa ibunda, misalnya dalam bahasa Kadazandusun, menggunakan istilah 'Kinoingan'. Kebanyakan gereja di kawasan bandar menggunakan bahasa Inggeris, manakala bahasa Melayu dan bahasa ibunda digunakan dengan meluas di gereja-gereja di kawasan luar bandar di Sabah. " http://kedahku.blogspot.com/2010/01/dompok-kenapa-allah-popular-kepada.html

Seperti kata TS Bernard hanya gereja diluarbandar yang menggunakan bahasa Melayu dalam upacara ibadatnya yang banyak menggunakan kalimah Allah di Sabah dan Sarawak.

Berapa banyakkah gereja di Semenanjung yang menggunakan bahasa Melayu dalam upacara agamanya? Rasanya tiada.

Oleh itu apa perlunya menguris perasaan umat Islam di Semenanjung dengan permohonan akhbar Catholic tersebut sehinggakan mengambil tindakan mahkamah untuk menghalalkan penggunaan kalimah Allah di gereja di Semenanjung.

Perkembangan sehari dua ini jelas bahawa setiap rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa sayangkan keharmonian negara.

Demi kemakmuran dan keharmonian dan masa depan negara, adalah baik sekiranya Akhbar Herald-The Catholic Weekly menghormati pandangan Datuk Clarence dengan menggugurkan tuntutan keatas kalimah Allah.

Inilah satu-satunya pilihan dan tindakan dari akhbar ini untuk membuktikan ia juga cintakan kedamaian dan inilah satu-satunya cara untuk mengubat kembali perasaan sesetengah umat Islam yang terguris dengan tindakan akhbar tersebut dan mahkamah baru-baru ini.

Kita semua cintakan kedamaian tetapi kedamaian lahir dari keikhlasan dan sikap saling hormat menghormati antara satu sama lain.

Sunday, January 10, 2010

DOMPOK: KENAPA ALLAH POPULAR KEPADA PENGANUT KRISTIAN

Berikut ialah pandangan Tan Sri Bernard Dompok mengenai penggunaan kalimah Allah di kalangan pengikut Kristian. Surat ini telah disiarkan oleh Malaysiakini.


Kenapa 'Allah' popular kepada penganut Kristian
Bernard Giluk Dompok Jan 6, 10 12:42pm


Keputusan hakim Mahkamah Tinggi pada 31 Disember 2009 bahawa penerbitan Herald boleh terus menggunakan istilah Allah dalam penerbitan edisi Bahasa Malaysia telah mencetuskan pelbagai reaksi daripada beberapa pihak di seluruh negara.

Sesetengah daripada komen dan reaksi tersebut tidak membantu usaha pengukuhan perpaduan dan hubungan antara kaum di negara ini.

Sejurus selepas perkara ini dibawa ke mahkamah, saya telah menggesa semua pihak supaya menghormati dan memberikan sepenuhnya kebebasan kepada mahkamah untuk menjalankan tanggungjawabnya.

Saya percaya bahawa hakim Datuk Lau Bee Lian telah melihat segala aspek sejarah dan hak perlembagaan sebelum membuat keputusan tersebut.

Dari aspek sejarah, istilah Allah telah digunakan sejak sekian lama, yakni sebelum rakyat Sabah memutuskan untuk menubuhkan Malaysia bersama-sama dengan Tanah Melayu, Singapura dan Sarawak pada 1963.

Masyarakat Sabah telah menggunakan bahasa Melayu sesuai dengan statusnya sebagai lingua franca di rantau ini. Agama Kristian mulai bertapak di Sabah sejak 1881 dan terus berkembang selepas itu.

Bagi masyarakat bumiputera Kristian di Sabah seperti Kadazandusun dan Murut, upacara ibadat diadakan dalam tiga bahasa iaitu bahasa Inggeris, Melayu dan bahasa ibunda mereka.

Dalam upacara ibadat yang menggunakan bahasa Inggeris, istilah yang digunakan ialah God, manakala upacara ibadat dalam bahasa Melayu menggunakan istilah Allah dan upacara ibadat dalam bahasa ibunda, misalnya dalam bahasa Kadazandusun, menggunakan istilah 'Kinoingan'.

Kebanyakan gereja di kawasan bandar menggunakan bahasa Inggeris, manakala bahasa Melayu dan bahasa ibunda digunakan dengan meluas di gereja-gereja di kawasan luar bandar di Sabah.

Pengiktirafan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perantara dalam sistem pendidikan negara telah memperluaskan lagi pengaruh bahasa ini di kalangan masyarakat Sabah.

Generasi yang lahir selepas dasar ini dibuat lebih selesa menggunakan bahasa Melayu. Mereka juga lebih selesa menghadiri upacara-upacara ibadat yang diadakan dalam bahasa kebangsaan ini.

Generasi muda masyarakat bumiputera Kristian dari Sabah yang berhijrah ke Semenanjung sama ada untuk bekerja atau melanjutkan pelajaran turut meminta pihak gereja di sini supaya upacara ibadat dalam bahasa Melayu turut diadakan kerana mereka sudah serasi dengan penggunaan bahasa ini.

UPKO merasakan bahawa setiap anggota masyarakat diberikan kebebasan untuk terus menunaikan ibadat keagamaan mereka dalam keadaan yang tenang serta dapat menggunakan bahasa serta istilah-istilah yang mereka berasa selesa untuk menggunakannya sepanjang upacara ibadat tersebut.

Kenyataan media Tan Sri Bernard Giluk Dompok, presiden UPKO dan menteri perusahaan perladangan dan komoditi. http://www.malaysiakini.com/letters/121251