Friday, January 30, 2009

PUBLISITI LEBIH PENTING PADA MAT TAIB DARI RUMAH UNTUK ORANG MISKIN?


Hari ini terpampang satu lagi rencana iklan yang disiarkan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang diterajui Muhammad Muhammad Taib, calon Timbalan Presiden Umno Mac nanti.
Sekiranya beliau menang, beliaulah bakal pembantu Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri.
Kalau minggu lepas Mat Taib menabalkan dirinya sendiri "Arkitek Kemajuan Desa", hari ini dua mukasurat digunakan untuk mempromosikan dirinya sendiri dan hari ini Kementerian beliau membelanjakan hampir RM65,000 untuk menyiarkan rencana iklan di Utusan Malaysia hari ini.
Ini sudah melampau. RM65,000 digunakan oleh satu Kementerian yang diamanahkan untuk membela rakyat marhaen telah digunakan oleh Kementerian ini untuk mempromosikan bos mereka yang akan bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno.
Kalau RM65,000 ini digunakan untuk membina rumah buat golongan yang daif, sekurang-kurangnya, dua keluarga miskin mendapat pembelaan.
Malangnya, publisiti untuk Mat Taib lebih penting bagi Kementerian Kemajuan Luarbandar dan Wilayah daripada membina bumbung buat rakyat yang daif.
Tahniah kepada Kementerian Kemajuan Luarbandar dan Wilayah dan Menterinya.

SYED ALHABSHEE TEGUR PEMIMPIN UMNO


Syed Ali Alhabshee, Ketua Bahagian Umno Cheras, adalah antara pemimpin di peringkat bahagian yang konsisten dan berani dalam memberi teguran terhadap pucuk pimpinan Umno.

Rabu lalu, melalui penulisan beliau di Sinar Harian, Syed Ali sekali lagi membuat memberi pandangan atau teguran kepada pemimpin-pemimpin atasan Umno.

Dalam tulisan beliau "Kembalikan semula Umno kepada orang Melayu", Syed Ali berkata:

Petikan:

1) Dan Najib juga perlu melakukan perubahan secara drastik selepas Mac ini bagi membersihkan semula kabinet dan jentera parti yang sebelum ini dipandang serong oleh sebahagian besar pengundi Melayu.

2) Persespi masyarakat terhadap kepimpinan Umno perlu diubah. Oleh sebab itu saya berpendsapat pemimpin parti tidak terlalu ‘over’ dalam penampilannya sehingga menimbulkan rasa meluat dan menyampah kepada pengundi.

3) Pemimpin Umno perlu berpegang kepada petua kedai makan. Peniaga sediakan masakan bukan kerana ikut selera perutnya, tetapi peniaga ikut citarasa pelanggannya supaya kedai makan itu laris dan dikunjungi orang. Tetapi sekarang ini, Umno ‘masak’ ikut perut kita, kita tidak dahulukan kehendak pelanggan.
4) Umno harus dikembalikan kepada orang Melayu kerana parti itu ditubuhkan oleh orang Melayu untuk melindungi kepentingan orang Melayu, bukannya ditubuhkan untuk dikongsi kepentingannya oleh pelbagai kaum di negara ini. http://umnobahagiancheras.blogspot.com/2009/01/kembalikan-semula-umno-kepada-orang.html
Pokok pangkalnya sudah acap kali teguran seumpama ini dibuat dan Umno masih seperti dulu. Adakah Umno akan berubah? Sebenarnya, sehingga saat ini, tiada tanda-tanda ke arah itu.

Wednesday, January 28, 2009

UMNO PERAK DILANDA KRISIS

Kalau diambil kira komen-komen yang dibuat Adun Lintang Ahamad Pakeh Adam dan Adun Pengkalan Baharu Hamdi Abu Bakar, maka keputusan Tajol Rosli Ghazali meletakkan jawatan Ketua Perhubungan Umno Perak seharusnya di buat lebih awal lagi.

Semalam New Straits Times menyiarkan satu laporan yang jelas mengambarkan kegelisahan dan kekecewaan pemimpin-pemimpin Umno Perak atau dengan kata lain keadaan menyedihkan Umno Perak selepas negeri tersebut jatuh ke tangan Pakatan Rakyat.

Gambaran yang diberikan ialah Umno Perak tidak terurus, kepentingan peribadi mengatasi kepentingan parti, wang penentu kuasa dan tikam-menikam sesama sendiri sudah menjadi lumrah dalam parti dan akibatnya hanya diambil serius oleh pimpinan Umno apabila Adun Bota Nasarudin Hashim bertindak meninggalkan Umno dan menyertai Parti Keadilan Rakyat.

Barangkali menyedari kesilapan masing-masing, pimpinan Umno masih mengharapkan agar Nasarudin mengubah pendirian dan kembali ke pangkuan Umno. Malangnya, Nasarudin tetap pendirian beliau dan tidak akan rujuk semula dengan Umno. (http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0128&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_10.htm)

New Straits Times semalam menyiarkan komen-komen menarik yang dibuat Hamdi dan Ahamad. Antaranya:

"How can Tajol Rosli tell me not to contest the division chief's post? I am the only Barisan Nasional rep in the Sungai Siput constituency. Even Nasarudin was instructed not to contest the Parit division chief's post." (Adakah patut Tajol Rosli mengarahkan saya supaya tidak bertanding jawatan Ketua Bahagian (Sungai Siput)? Sayalah satu-satunya wakil rakyat di kawasan Sungai Siput. Malahan Nasaruddin (Bota) juga diarahkah untuk tidak bertanding jawatan Ketua Bahagian Parit)

"Yes, I admit I met state PR leaders recently to discuss my deep frustration with Umno leaders' behaviour since the last general election. (Ya, saya mengakui bertemu dengan pemimpin Pakatan Rakyat baru-baru ini untuk membincangkan kekecewaan saya dengan perangai pemimpin-pemimpin Umno selepas pilihanraya umum.)

"While I have not expressed my desire yet to join the PR, I may do so if things do not change for the better in Umno. (Walaupun saya masih belum menyatakan hasrat untuk menyertai Pakatan Rakyat, saya akan menyertai mereka sekiranya keadaan dalam Umno tidak berubah)

"People with money but who are not wakil rakyat have been elected as division chiefs because they were sanctioned to contest against incumbents who are elected reps. (Mereka yang mempunyai wang tetapi bukan wakil rakyat dipilih sebagai ketua bahagian sebab mereka direstui untuk bertanding menentang ketua bahagian yang juga wakil rakyat)

"I am disappointed with the BN's policies when it was ruling the state and "impressed with the PR state government". (Saya kecewa dengan dasar-dasar yang dibawa BN semasa memerintah Perak dan saya kagum dengan pentadbiran negeri oleh kerajaan Pakatan Rakyat) - AHAMAD.

"Ahamad, one or two other Umno state reps and I had discussed our frustrations with what is going on in Umno. (Ahamad serta satu dua wakil rakyat Umno dan saya berbincang mengenai kekecewaan kami dengan apa yang berlaku dalam Umno)

"Money had been used to win divisional positions in the state. If my wish to see a changed Umno did not materialise, any decision in that regard would only be made "collectively" with other Umno members who felt the same way. (Wang digunakan untuk merebut jawatan dalam bahagian di Perak. Sekiranya hasrat saya untuk melihat perubahan dalam Umno tidak kecapaian, sebarang keputusan untuk ini akan dibuat secara kolektif dengan ahli-ahli Umno yang lain yang mempunyai sentimen yang sama)

"If we jump ship to PR, we jump together. I will not do it alone, never. (Sekiranya kami melompat ke Pakatan Rakyat, kami akan melompat bersama-sama. Saya tidak akan melakunya berseorangan. Tidak sekali-kali)

"I hope incoming party president Datuk Seri Najib Razak will focus on improving ties between Umno members and stop factions within the party. (Saya harap presiden parti yang baru, Najib Razak, akan menumpukan kepada memperbaiki hubungan di antara ahli-ahli Umno dan menghapuskan sikap berpuak-puak dalam parti) - HAMDI

Rujukan: http://www.nst.com.my/Current_News/NST/Wednesday/Frontpage/2464276/Article/index_html
Kritikan-kritikan Ahamad dan Hamdi kepada Umno cukup keras dan pedas terutamanya komen Ahamad bahawa "saya kecewa dengan dasar-dasar yang dibawa BN ketika memerintah negeri Perak dan saya kagum dengan pentadbiran negeri oleh Kerajaan Pakatan Rakyat".

Komen seumpama ini sudah pasti memalukan Umno dan BN dan sudah pasti mengundang padah sekiranya Umno masih kuat dan memerintah Perak seperti mana yang berlaku kepada anggota UMNO Bahagian Taiping, Muzamir Ismail, yang merupakan seorang penulis blog, yang semalam digantung selama setahun setelah didapati bersalah atas tuduhan menyebarkan gambar tidak sopan dalam blog, fitnah dan menjadi ejen kepada pihak lain walaupun beliau telah memohon maaf secara terbuka menerusi blog beliau. http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0128&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_12.htm

Ini kerana sebarang tindakan terhadap Hamdi dan Ahamad sudah pasti melenyapkan sisa-sisa peluang yang ada untuk Umno terus hidup di Perak.

TAJOL ROSLI LETAK JAWATAN

Bekas Menteri Besar Tajol Rosli telah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Perak.

Desas desus kedengaran selepas Adun Bota Nasaruddin Hashim keluar Umno dan menyertai Keadilan.

Laporan Berita Harian sebentar tadi.

PARIT: Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali hari ini mengesahkan sudah menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Pengerusi Perhubungan Umno negeri.

Keputusannya itu berikutan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bota, Nasaruddin Hashim keluar daripada Umno dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ahad lalu.

Tajol Rosli yang juga bekas Menteri Besar Perak, berkata, surat peletakan jawatan itu diserahkan kepada Timbalan Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak jam 4.30 petang Isnin lalu.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan tindakan Nasaruddin keluar Umno dan menyertai PKR Ahad lalu sebagai sebagai undi tidak percaya terhadapnya untuk memimpim Umno Perak.

Beliau berkata, tindakan Nasaruddin cukup memalukan Umno negeri ketika ini terutama selepas BN kalah dalam pilihan raya umum lalu.

"Saya bertanggungjawab apa yang berlaku berlaku ketika ini," katanya.
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Mutakhir/20090128183704/Article

PROTON MPV


Beginilah rupanya MPV yang akan dikeluarkan Proton tidak lama lagi.
Penulis automotif Paul Tan mempunyai detail mengenai MPV ini.

Tuesday, January 27, 2009

SIAPA ADUN UMNO DIRAMAL MASUK PKR?

Menteri Besar Perak Mohammad Nizar Jamaluddin mendakwa sekurang-kurangnya tiga lagi wakil rakyat UMNO akan mengikut jejak ADUN Bota Nasaruddin Hashim menyertai Keadilan
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0127&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_11.htm

Siapa ketiga-tiga mereka ini? Laman-laman blog pro-Pas menamakan mereka sebagai:
Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar, Adun Kubu Gajah. Raja Ahmad menghadapi tentangan dari Ahli Parlimen Larut Hamzah Zainuddin, yang juga seorang Timbalan Menteri untuk jawatan Ketua Bahagian. http://www.bernama.com.my/bernama/v5/bm/newsumno.php?id=368753
Ahamad Pakeh Adam, Adun Lintang. Beliau tewas dalam pemilihan Ketua UMNO Bahagian Sungai Siput. Bila ditanya pemberita samada beliau akan menyertai Keadilan, jawabnya: “Tengoklah macam mana nanti”. http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0127&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_09.htm

Hamdi Abu Bakar, Adun Pengkalan Baharu.
Hamdi gagal mempertahankan jawatan Ketua Bahagian Beruas selepas ditewaskan oleh Naib Ketua Bahagian Abdul Manaf Hashim dengan 18 undi.
http://umnotaiping.org/

SURUHANJAYA RASUAH TANGKAP IKAN BILIS!

"Pertama, kalau hendak ditonjolkan bahawa UMNO begitu serius hendak menangani isu politik wang (rasuah politik) dalam UMNO, penangkapan tersebut hanya melibatkan beberapa ahli UMNO cawangan. Jawatan yang tertinggi yang didakwa terlibat hanyalah seorang Ahli Majlis Tertinggi dan seorang Naib Ketua Bahagian. Dimata masyarakat, ianya masih bertaraf `ikan bilis'. Ahli Majlis Tertinggi itu hanya seorang bekas Setiausaha Politik. Ianya melibatkan wang sejumlah RM200 ke RM500 sahaja...alahai..

"Bagi kebanyakan orang, insiden penangkapan tersebut tidak akan dapat meyakinkan orang ramai bahawa UMNO serius dalam usaha untuk menangani masalah politik wang. MACC juga akan dilihat tidak begitu komited dan serius untuk benar benar berkemampuan menangani masalah rasuah politik dinegara ini. Majoriti rakyat akan hanya menganggap bahawa tindakan tersebut hanyalah melepas batuk ditangga. Tindakan window dressing sahaja. Masih dianggap terlalu kecil bagi sebuah agensi yang bertaraf Suruhanjaya. Amat sukar untuk diyakinkan bahawa hanya setakat itu yang termampu dilakukan oleh MACC untuk mengibarkan bendera MACC sebagai badan anti rasuah yang berwibawa...

Ini adalah pandangan Saudara Ramli Yunus, orang kuat Umno Bahagian Pokok Sena, Kedah.

Ramli membayangkan bukan standard Suruhanjaya setakat nak cekup seorang ahli Majlis Tertinggi yang hanya Naib Ketua Bahagian. Standard Suruhanjaya sepatutnya cekup bapak-bapak jerung. Kalau setakat ikan bilis, tak payahlah naik taraf Suruhanjaya. BPR dulu pun cekup ikan bilis saja.

Bacalah pandangan Saudara Ramli di blog beliau, Batu Putih. http://ramli-dap.blogspot.com/2009/01/umno-dan-politik-wang.html

Monday, January 26, 2009

RASUAH POLITIK: DATO' N AKAN DIDAKWA?

Seorang Ahli Majlis Tertinggi Umno yang didakwa menyogok perwakilan untuk mengundi beliau semasa pemilihan Umno Mac nanti akan didakwa selepas Hari Raya Cina.

Itulah yang dilaporkan Berita Harian hari ini.

KUANTAN: Seorang Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno yang didakwa menyogok beberapa perwakilan ke Perhimpunan Agung Umno, Mac depan dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Temerloh beberapa hari lagi.

Sumber berkata, Ahli MT Umno berusia 40-an itu dipercayai didakwa selepas sambutan Tahun Baru Cina.

Menurut sumber, SPRM turut menahan Ketua Umno Cawangan Kampung Chenor dalam bahagian Maran berusia 48 tahun kelmarin yang dipercayai mengagihkan wang sogokan bagi pihak ahli MT yang ditahan itu. http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Nasional/20090125235145/Article/index_html

Kalau ikut cakap-cakap di coffee house, ahli MT tersebut ialah Dato' N.

Sekiranya Dato' N didakwa, maka nama bekas bosnya, seorang Tan Sri, juga pasti turut terpalit dek lumpur.

Hanya yang kita harapkan, tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ini tidak sekadar hangat-hangat tahi ayam.

Seperti kata Tun Dr Mahathir Mohamad: "Percayalah, apabila dalam Mesyuarat Agong Mac ini calon-calon yang diketahui menyogok wang kepada wakil ke mesyuarat agong menang, UMNO akan dipandang jijik oleh rakyat semua kaum dan UMNO akan kalah pada PRU 13. Selepas itu UMNO akan terkubur dan mereka yang membawa kehancuran pada UMNO kerana wang dan keuntungan bagi diri sendiri akan dikutuk oleh orang Melayu turun temurun." http://chedet.co.cc/chedetblog/2009/01/pilihanraya-kecil-kuala-tereng.html

Apapun, terpulanglah kepada Umno samada hendak memilih jalan ke kubur atau kembali ke perjuangan asal dengan meletakkan rakyat asas utama perjuangannya.

Sunday, January 25, 2009

MAT TAIB TABAL DIRINYA ARKITEK KEMAJUAN DESA

Muhammad Muhammad Taib "Arkitek Kemajuan Desa"?

Orang politik tebal kulit mukanya dan Mat Taib salah seorang dari mereka. Semalam, Mat Taib mengikuti jejak lawan beliau,
Mohd Ali Rustam, menggunakan Mingguan Malaysia untuk berkempen untuk jawatan Timbalan Presiden Umno Mac nanti.

Kalau Ali menggunakan seorang Dekan, Mat Taib menggunakan Kementerian Pembangunan Luar Bandar untuk tujuan berkempen.

Rencana iklan (gambar atas) disiarkan oleh Mingguan Malaysia dimukasurat 5 semalam.

Nampaknya Mat Taib lebih berani dari Ali Rustam. Berani kerana sanggup masuk bakul angkat sendiri. Berani kerana sanggup menabal diri sendiri sebagai Arkitek Kemajuan Desa".

Berani kerana Kementerian Pembangunan Luar Bandar sanggup mengeluarkan wang untuk membeli satu mukasurat iklan untuk membantu Mat Taib menang pemilihan nanti.

Mat Taib berani kerana tiada siapa yang menegur beliau. Berani kerana Abdullah Ahmad Badawi dan penggantinya, Najib Razak, tak ambil peduli.

Kita berharap Umno juga berani. Berani berhadapan dengan rakyat bila rakyat bangkitkan isu penyelewangan seumpama ini.

ADUN UMNO DI BOTA SERTAI PKR

Adun Bota Nasarudin Hashim sebentar tadi mengumumkan meninggalkan Umno untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat.
http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/25/mstar_mutakhir/20090125143746&sec=mstar_mutakhir

Kesan dari penyertaan Nasaruddin, Pakatan Rakyat kini mempunyai 32 kerusi di Perak berbanding Barisan Nasional dengan 27 kerusi.

Tindakan Nasarudin mungkin tindakan kecewa. Beliau tewas merebut jawatan Ketua Bahagian Parit Oktober lepas apabila tewas dengan 19 undi kepada Mohd Zaim Abu Hassan.
http://seriiskandar.wordpress.com/2008/10/29/kekalahan-dato-nasaruddin-hashim-penyokong-kecewa/

Saturday, January 24, 2009

DEKAN TUKANG LOBI UNTUK ALI RUSTAM

RAHISAM RAMLI, Dekan Fakulti Pengajian Islam Kolej Teknologi Islam Antarabangsa Melaka, pastinya peminat nombor satu Mohd Ali Rustam, calon Timbalan Presiden Umno Mac nanti.

Apa tidaknya. Rahisam menulis satu mukasurat rencana memuji melangit Ali Rustam yang disiarkan Mingguan Malaysia Ahad lepas. Tajuk rencana beliau "Ali Rustam memartabatkan Islam; Menjana pembangunan Ummah".

Yang anehnya, Rahisam sanggup membelanjakan hampir RM30,000 untuk menempah satu mukasurat Mingguan Malaysia semata-mata untuk memuji Ali Rustam. Itupun kalau Rahisam yang membayarnya.

Tulisan Rahisam disiarkan di mukasurat yang ditempah sebagai iklan atau rencana iklan. Kalau ikut kadar bayaran iklan biasa Mingguan Malaysia, kos satu mukasurat untuk iklan warna melebihi RM30,000.

Dekan Fakulti Pengajian Islam ini menyebut nama Ali Rustam (termasuk gantinama) sebanyak 30 kali dalam rencana beliau itu.

Antara puji-pujian Rahisam terhadap Ali:

Selaku Presiden Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Mohd Ali memainkan peranan utama membina penyatuan yang mantap antara umat Melayu Islam di seluruh dunia.

Ini turut diakui oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang merasa bangga dengan perkembangan DMDI dari sebuah pertubuhan sederhana ketika ditubuhkan sembilan tahun lalu, kini mampu membina hubungan mantap antara bangsa Melayu Islam............. blah, blah, blah

Ali Rustam seharusnya berterima kasih kepada seorang dekan seperti Rahisam yang sanggup mengorbankan RM30,000 untuk menjadi tukang lobi untuk Ali Rustam bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Mungkin ada lagi calon-calon yang akan bertanding jawatan Majlis Tertinggi Umno juga berminat menggunakan cara publisiti murahan ini untuk memuji diri sendiri.

Rasanya, ramai dekan-dekan lain juga berminat atau mereka boleh mendapatkan khidmat Rahisam untuk berkempen untuk mereka.

Friday, January 23, 2009

KES KUGAN KES BUNUH

Kematian A. Kugan Diklasifikasikan Kes Bunuh

KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail hari ini mengklasifikasikan kes kematian A. Kugan sebagai kes bunuh.
http://www.bernama.com.my/bernama/v5/bm/news_lite.php?id=385671

Itulah laporan awal Bernama sebentar tadi. Blogger Anil Netto menyiarkan video yang dikatakan dirakam dirumah mayat Hospital Serdang. http://anilnetto.com/accountability/they-say-he-died-of-liquid-in-his-lungs/

Blogger Apanama turut memberi komen mengenai isu ini: http://apanama2020.blogspot.com/2009/01/murdered-or-died.html

Blogger HardT turut menyiarkan gambar mayat Kugan: http://hard-t.blogspot.com/2009/01/death-of-kugan-has-been-classified-as.html

DATO' NORZA BANTU SIASATAN

Dato' Norza Zakaria adalah orang yang semalam disoal siasat selama lapan jam oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Itulah laporan Utusan Malaysia hari ini ketika akhbar-akhbar arus perdana lain mengambil sikap tunggu dan lihat dan merahsiakan nama ahli politik berkenaan.

Laporan Utusan: Norza tampil beri keterangan
KUANTAN 22 Jan. – Ketua Pemuda UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Norza Zakaria (gambar) hadir di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Temerloh hari ini difahamkan bagi membantu siasatan kes politik wang membabitkan seorang calon Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO.


Beliau dipercayai telah disoal siasat selama kira-kira lapan jam oleh pegawai SPRM Temerloh.

Menurut sumber, Norza tiba di pejabat berkenaan kira-kira pukul 9.30 pagi dengan menaiki sebuah kenderaan mewah dan kemudiannya beredar kira-kira pukul 5.30 petang.

Katanya, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Wangsa Maju itu memberikan kerjasama yang baik sepanjang soal siasat dijalankan.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0123&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_03.htm

Latarbelakang Norza dari sudut KMU: http://forum.mykmu.net/modules.php?name=Forums&file=viewtopic&t=6544&start=0&postdays=0&postorder=asc&highlight=

KENAPA RAKYAT BOSAN DENGAN UMNO

“Pemimpin UMNO sama ada suami atau isteri suka menonjol kemewahan yang melampau. Tak cukup dengan harta bertimbun ditambah kemewahan pada paras rupa. Pengundi bukan mahu tengok muka pemimpin berkulit mulus dan putih melepak. Biar hitam legam tetapi ada kualiti!”

“Terlampau banyak skandal di kalangan pemimpin UMNO (tidak semua). Ada pemimpin wanita muda (isteri orang) yang cantik terjebak cinta dengan suami orang sampai rumah tangga hancur lebur. Sepatutnya pemimpin UMNO menjadi 'imam kepada pengundi.”

“Isteri pemimpin UMNO susah nak tutup aurat (tidak semua) sedangkan tutup aurat itu wajib. Kenapa? Tak cantik? Ingat! Pengundi tak suka tengok isteri pemimpin menonjol pelbagai warna rambut. Isteri pemimpin UMNO biarlah bersederhana dalam apa keadaan.”

Ini bukan pandangan Jelapang. Ini pandangan seorang pembaca yang disiarkan Utusan Malaysia semalam. Adalah baiknya Jelapang siarkan kandungan surat ini untuk renungan pemimpin-pemimpin, ahli-ahli Umno dan isteri-isteri mereka.

Sebab-sebab pengundi bosan?

SEBAGAI penyokong dan juga ahli UMNO, saya ingin berkongsi dan memberi pandangan kenapa parti UMNO tidak lagi menjadi penarik di kalangan pengundi Melayu. Jika parti UMNO terus bertakhta di hati pengundi, para pemimpin renung-renungkanlah coretan ini.

- Sejauh manakah calon-calon yang akan bertanding dalam Perhimpunan Agung UMNO benar-benar pilihan rakyat. Walaupun mereka ditentukan oleh bahagian masing-masing tetapi sejauh manakah mereka disenangi oleh akar umbi. Ada ketua bahagian sudah berbelas-belas tahun memegang jawatan. Apa perubahan yang nampak? Perubahan yang nampak hanya kekayaan. Dan muka itu juga kekal hingga di Perhimpunan Agung UMNO nanti. Bosan tak pengundi?
-
- Tidak dinafikan ada pemimpin jujur, amanah dan mesra rakyat. Daripada wakil rakyat biasa akhirnya dapat menjawat jawatan menteri. Alhamdulillah. Sayangnya pemimpin ini kurang bijak, kurang idea dan terlampau berhati-hati mengatur langkah. Bosan tak pengundi?
-
- Jangan nafikan kehebatan pemimpin UMNO terdahulu. Pemimpin UMNO sekarang terlampau paranoid dengan pemimpin terdahulu. Kenapa? Mungkin mereka tidak dapat menandingi kehebatan pemimpin UMNO dahulu. Salahkah pemimpin sekarang berganding bersama pemimpin lama untuk melahirkan cetusan idea yang lebih baik? Asyik-asyik nak melenting saja.
-
Di mana kehebatan pemimpin ini? Ingat, sepatutnya pemimpin sekarang lebih berpuluh-puluh ganda lagi hebat daripada pemimpin dahulu. Tetapi pemimpin sekarang ketinggalan berpuluh-puluh ganda berbanding pemimpin terdahulu.

Layakkah mereka pada alaf 21 dengan segala-galanya bergerak pantas. Bosan tak pengundi?

- Pengundi muda sekarang lebih cenderung pada pemimpin vokal dan banyak idea. Kenapa UMNO tidak mahu menonjolkan pemimpin sebegini melalui badan bukan kerajaan agar mereka lebih rapat dengan pengundi muda.
-
Pemimpin yang ada ciri-ciri begini biasanya tidak diberi peluang kerana dikhuatiri akan menenggelamkan pemimpin yang gilakan kuasa. Akhirnya pemimpin sebegini berkubur perlahan-lahan dan UMNO ketandusan pemimpin yang baik. Siapa yang rugi? Bosan tak pengundi?

- Pemimpin UMNO sekarang suka berjanji kepada rakyat dengan bulan dan bintang. Yang peliknya menjelang pilihan raya sahaja. Jangan malu menciplak resipi baru parti pembangkang andai kata resipi baru ini boleh melazatkan selera pengundi!
-
- Pemimpin UMNO sama ada suami atau isteri suka menonjol kemewahan yang melampau. Tak cukup dengan harta bertimbun ditambah kemewahan pada paras rupa. Pengundi bukan mahu tengok muka pemimpin berkulit mulus dan putih melepak. Biar hitam legam tetapi ada kualiti!
-
- Terlampau banyak skandal di kalangan pemimpin UMNO (tidak semua). Ada pemimpin wanita muda (isteri orang) yang cantik terjebak cinta dengan suami orang sampai rumah tangga hancur lebur. Sepatutnya pemimpin UMNO menjadi 'imam kepada pengundi.'
-
- Isteri pemimpin UMNO susah nak tutup aurat (tidak semua) sedangkan tutup aurat itu wajib. Kenapa? Tak cantik? Ingat! Pengundi tak suka tengok isteri pemimpin menonjol pelbagai warna rambut. Isteri pemimpin UMNO biarlah bersederhana dalam apa keadaan.
-
- Pemimpin lama yang dah banyak terpalit dengan skandal jangan ghairah nak bertanding jawatan. Pengundi dah jemu. Sudah tiba masanya pemimpin ini mengundur diri. Ingat kalau anda sayangkan parti UMNO tanpa jawatan pun anda boleh memberi sumbangan.
-
Renungkanlah sebahagian coretan ini. Syabas kepada pemimpin yang ikhlas berjuang dalam UMNO. Jangan teragak-agak singkirkan mereka yang gila kuasa dan wang. UMNO perlukan jenama yang baru dan segar!

SAYANG UMNO

Bangi
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0122&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_02.htm

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu Ahmad Said mempunyai pandangannya tersendiri kenapa Umno kalah di Kuala Terengganu.

Kalau itu Ahmad, ianya bukan berpunca dari pemilihan Wan Farid Wan Salleh atau pengundi Cina. Ia juga bukan disebabkan perpecahan di dalam Umno Terengganu.

Ianya, kata Ahmad, disebabkan oleh pengundi luar tidak pulang mengundi. Kata beliau, kalau kesemua 3,000 pengundi luar balik dan mengundi BN, sudah pasti Umno menang.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0122&pub=utusan_malaysia&sec=Politik&pg=po_01.htm&arc=hive

Post mortem Ahmad Said sungguh menakjubkan. Mungkin itulah sebabnya beliau dilantik menerajui Umno Terengganu.

Thursday, January 22, 2009

POLITIK WANG: DATUK N KENA SOAL SIASAT 8 JAM!

Datuk N, ahli Majlis Tertinggi Umno, yang disyaki terlibat dengan rasuah politik semalam di soal siasat selama lapan jam selepas menyerah diri kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Laporan Berita Harian:

KUALA LUMPUR: Seorang ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno menyerah diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Temerloh, hari ini.

Ahli MT berusia 40-an itu yang dipanggil SPRM untuk memberi keterangan berkaitan dakwaan menyogok beberapa perwakilan ke Perhimpunan Agung Umno, Mac ini, hadir seorang diri di pejabat berkenaan, kira-kira jam 9.30 pagi dengan menaiki Mercedes putih.

Beliau memberi keterangan hampir lapan jam dan dilihat keluar dari pejabat itu, kira jam 5.30 petang.

Laporan penuh: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Mutakhir/20090122201717/Article/index_html

POLITIK WANG: DATUK N DIDAKWA RASUAH?

Hari ini, di Petaling Jaya, tiga orang termasuk Naib Ketua Umno Beruas, Perak, dan seorang kontraktor didakwa berhubung politik wang ketika pemilihan Umno Bahagian tahun lalu.

Di Kuala Lumpur, Penolong kanan sekolah rendah di Raub, Junaidi Abdul Hamid, 46, didakwa memberi suapan kepada dua ahli Umno, Noranizah Abd Hamid dan Adnan Samad, masing-masing RM200 sebagai dorongan untuk mengundi Datuk Mustafar Kamal Abdul Hamid sebagai Ketua Umno bahagian Raub dan Datuk Abdullah Bakar sebagai Timbalan Ketua Umno bahagian Raub. http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/22/mstar_berita/20090122110322&sec=mstar_berita

Semalam, akhbar melaporkan seorang bekas Setiausaha Politik Menteri dan calon ahli Majlis Tertinggi kerana dipercayai memberi rasuah bagi memastikan pemilihannya dalam pemilihan Umno Mac ini. Mereka yang menerima ganjaran dipercayai antara RM300 sehingga RM500 juga turut ditahan. http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/22/mstar_berita/20090121232932&sec=mstar_berita

Ada yang membuat spekulasi bahawa calon tersebut dikenali sebagai "Dato' N".

Kita tunggu samada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang dahulunya dikenali Badan Pencegah Rasuah benar-benar bebas. Kita tunggu samada Dato N akan dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan merasuah.

Kita juga ingi tahu dari SPRM samada orang yang memberi wang kepada Junaidi untuk memancing undi bagi pihak orang tertentu juga akan didakwa.

Ada juga desas desus mengatakan orang yang bertanding jawatan tinggi-tinggi dalam Umno menawarkan "tawaran lebih hebat" untuk mendapat pencalonan. Kita tenggoklah samada SPRM berani atau tidak cekup nama-nama hebat ini.

POST MORTEM KT V: UMNO AKAN DILANDA GERHANA?


Percayalah! Beberapa minggu lagi apa yang berlaku di Kuala Terengganu akan menjadi bahan sejarah. Malah sudah ada suara kononnya Umno kalah kerana pilihanraya kecil ini tidak penting.

Pilihanraya ini tidak membawa banyak makna. Pilihanraya ini bukan penentu siapa akan memerintah negara. Pilihanraya ini “tidak akan mengubah kerajaan, tidak memberi kesan terhadap Kerajaan Persekutuan dan kerana ia bukan pilihan raya umum maka mereka tidak kisah. Jadi di situ ada sedikit kealpaan untuk pengundi keluar mengundi atau pengundi luar balik mengundi."
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0119&pub=utusan_malaysia&sec=Politik&pg=po_04.htm&arc=hive

Maksudnya BN akan tetap berkuasa walaupun kalah pilihanraya kecil ini.

Percayalah, peristiwa hitam ini akan dilupai oleh pemimpin Umno beberapa hari lagi. Beberapa minggu lagi, pemimpin Umno akan kembali ke asal-usulnya.

Mereka akan kembali berkata-kata: Umno kuat, hanya Umno harapan orang Melayu, aku kuat, aku berkuasa, aku pandai, orang Pas bodoh, aku bawa pembangunan, orang Pas hanya harap syurga (seperti kata Ali Rustam), aku seorang saja layak jadi Menteri, sianu patut ditendang keluar dari Kabinet dan lantik aku jadi Menteri, rakyat sokong aku, kita akan menang pilihanraya akan datang, Najib bijak, Rosmah cantik.

Percayalah! Umno tidak akan berubah. Mac nanti, maka berhimpunlah mereka ini di PWTC. Ada yang datangnya dari Kedah. Ada yang menaiki pesawat dari Kelantan. Berduyun-duyun orang Umno Perak dan Pulau Pinang menziarahi Kuala Lumpur dan orang-orang Selangor dan Wilayah Persekutuan memenuhi coffee house di hotel-hotel terkenal bergelak ketawa di ibukota.

Terasa amat gagahnya mereka sebagai ahli Umno sedangkan negeri sendiri (Kedah, Perak, Selangor, Kelantan, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang) jatuh ke tangan orang.

Mereka datang penuh bergaya, berbaju Melayu. Yang bukan perwakilan akan berkampung, bertimpuh dan bersila di hadapan skrin raksasa untuk sama-sama menyaksikan betapa gagahnya Umno.

Bertambahlah semangat Melayunya. Maka mereka mendendangkan lagu semangat “Warisan”

Anak kecil main api
Terbakar hatinya yang sepi
Air mata darah bercampur keringat
Bumi dipijak milik orang
Nenek moyang kaya raya
Tergadai seluruh harta benda
Akibat sengketa sesamalah kita

Maka terasalah akan gagahnya Umno, seolah-olahnya kita saja yang sanggup bermandi darah mempertahankan bumi Melayu ini.

Selepas nyanyian, semangat akan tinggal semangat. Warisan hanyalah lagu buat dendangan.

Mac nanti, yang menang akan mula memasang impian dengan harapan Presiden parti meletakkannya di tempat unggul dalam kabinet negara.

Peristiwa hitam di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu tinggal kenangan.

Percayalah. Apabila Umno tersedar dari mimpinya, bumi dipijak sudah menjadi milik orang.

Wednesday, January 21, 2009

POST MORTEM KT IV: BUDAYA MEMBODEK PEMIMPIN

Hampir dua minggu pemimpin-pemimpin Umno berkempen. Tetapi berkempen untuk siapa?

Kebanyakannya berkempen untuk diri sendiri dan bukannya untuk Umno atau Barisan Nasional. Tak perlulah kita berlapik dalam berkata-kata. Biarlah kita berterus-terang bahawa sepanjang tempoh berkempen di Kuala Terengganu kebanyakan pemimpin Umno menghabiskan masa di bawah ketiak Najib Razak setiap masa.

Ada tiga empat pemimpin tertinggi parti menghabiskan masa ke sana ke sini menuruti Najib mungkin semata-mata untuk memastikan mereka menjadi pujaan Najib apabila beliau menjadi Perdana Menteri Mac nanti.

Tak cukup dengan mengekori Najib, ada yang sanggup memujuk agar dibenarkan bersama menaiki pesawat peribadi Najib untuk berulang-alik ke Kuala Terengganu dari Kuala Lumpur semata-mata mahu berada di sisi Najib setiap masa.

Kenapa perkara ini tidak berlaku di zaman Tun Dr Mahathir Mohamad? Semasa Tun menjadi Perdana Menteri, bapak-bapak Menteri bertukar menjadi tikus, apa lagi nak minta mengekori Tun sampai menumpang kapalterbang.

Kepada pemimpin Umno, siapa sebenarnya yang berkerah keringat berkempen dan siapa yang kesana-kesini memerap di bawah ketiak Najib semata-mata untuk melobi supaya kekal jawatan bila Najib menjadi PM kelak?

Oleh itu, tidak menghairankan Umno kalah di Kuala Terengganu.

KEGAGALAN SAYAP BN (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0120&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm&arc=hive

POST MORTEM KT III: WAN FARID KACA, BUKAN PERMATA, PAK LAH

Rumah Wan Farid umpama mahligai. Pagar rumahnya dikatakan sama tinggi dengan bumbung rumah. Mungkin ianya dakyah pembangkang. Tetapi tiada pokok tidak bergoyang kalau tiada angin.

Tetapi rakyat yang kerdil yang tinggal di sekeliling rumah Wan Farid berteduh dibawah pondok yang usang umpama anak ayam kesejukan, berteduh dari hujan dan petir kemiskinan.
http://www.malaysiakini.com/news/96168

“Undilah Wan Farid”. Sepelusuk Kuala Terengganu pemimpin Umno diketuai Pak Lah meminta rakyat Terengganu mengundi Wan Farid. “Wan Farid baik. Kalau tidak tak kan saya lantik dia jadi Setiausaha Politik saya,” kata Pak Lah. http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newspolitic.php?id=382368

Pak Lah ingat rakyat Kuala Terengganu tidak berakal. Beliau meletakkan “kaca” di atas pentas dan minta rakyat Terengganu mempercayai ianya “permata”. Malangnya, pemimpin-pemimpin Umno mengamalkan sikap “pak turut”. Maka mereka pun sama-sama menyeru ‘betul, itu permata.”

Kaca, tetap kaca, Pak Lah.

Era memaksa rakyat mengundi calun yang latarbelakangnya kurang molek sudah berakhir, Pak Lah.

Zaman di mana Umno mengharapkan rakyat mengundi siapa saja demi “bangsa, agama, negara dan Melayu”, sudah berakhir, Pak Lah.

Hari ini, ianya bukan lagi mengenai apa yang Umno mahu rakyat mempercayai, tetapi ianya mengenai apa yang rakyat mahu Umno penuhi!

Tuesday, January 20, 2009

KAJI SEMULA DEB, KATA KHIR TOYO


"Saya menyarankan agar Dasar Ekonomi Baru harus dikaji semula dan diberi nafas baru atau diwujudkan formula pentadbiran baru negara yang merangkumi ekonomi, hubungan antara kaum dan agama yang boleh memuaskan hati orang Melayu dan bukan Melayu. Ini penting kerana saya melihat DEB telah diberi label dan tanggapan yang salah oleh pemimpin politik parti tertentu yang mempunyai agenda peribadi berbanding menjaga kepentingan bangsa, agama dan negara." - Khir Toyo.

Itulah pandangan bekas Menteri Besar Selangor Khir Toyo mengenai reform yang perlu dilakukan Barisan Nasional untuk "menangkap" jiwa anak-anak muda dan rakyat.

Layari blog Khir untuk pandangan beliau mengenai imej baru BN:
http://www.drkhir.com/